Laman Webantu   KM2: 6443 File Size: 9.1 Kb *

| KM2 Index |


TAG SP 500: IUK: Fisk - Perang Afghan yang Baru Bermula
By Robert Fisk

1/12/2001 2:02 am Sat

Perang Afghan yang Baru Bermula

(Afghan war has only just begun)

Oleh: Robert Fisk

Satu ketika dulu, pada 1998, angkatan tentera Iran telah berkumpul di bahagian barat sempadan Afghanistan. Mereka mahu melancarkan serang-balas kerana perbuatan Taliban membunuh para diplomat mereka -- dan rakan Afghan mereka -- di Mazar-e-Sharif. Ketika itu mereka menerima satu pesanan bertulis daripada pemimpin Taliban di Kandahar.

'Anda aturlah jadual penaklukan,' demikian ayat yang ditulis oleh pengikut Mullar Omar. 'Kami akan aturkan pula tarikh pemergian anda.' Pasukan Iran itu telah bertindak bijak dengan berlembut dan tidak menggunakan senjata mereka. Sudah tentu mereka menerima tentangan sengit daripada Taliban - mengikut cara orang Afghan membalasnya. Amerika Syarikat dan Britain - ataupun 'Pasukan Bersekutu' seperti yang kita amat liat mahu menyebutnya -- kini sedang dihantui balasan yang serupa. Pasukan Pakatan Utara melihatkan saja pengebom Amerika meneroka jalan selamat untuk mereka memasuki Kabul, denggan penuh terima kasihnya. Setelah berada di Kabul mereka meminta pasukan Britain untuk keluar dari situ. Bayangkan betapa Jack Straw bersusah payah menghubungi menteri luar Afghan itu untuk menenangkan keadaan. Tetapi telefon selular menteri itu tidakpun dipasangnya. Anda boleh bertaruh betapa telefon itu dimatikannya.

Tersingkaplah satu misteri kenapakah kita amat mengharapkan manusia seperti itu dapat mengikut arahan kita. Perundangan Afghan tidak wujud seperti itu. Kumpulan etnik dan suku kaum Afghan tidak akan akur kepada arahan orang asing. Mereka biasa dengan perundingan (deal). Barat merancang mahukan askar Pakatan Utara menjadi askar kerahan mereka di Afghanistan. Pakatan Utara mahukan pengebom Amerika membantu mereka menguasai semula ibunegara Afghanistan. Demikianlah jelasnya perkara itu kepada kumpulan Tajik, Uzbek dan Hazara. Mereka punahkan Taliban dan ambil-alih Afghanistan, ataupun sebanyak wilayah yang boleh mereka sauk secara spontan. Kalaupun mereka tergatal tangan membalas dendam di sana-sini -- melibatkan sekitar 500 hingga 600 nyawa Taliban yang terkorban dalam pembunuhan beramai-ramai di Mazar, dan mencetuskan satu penghapusan hak asasi manusia di Kunduz - apakah itu sesuatu yang mengejutkan?

Malahan kini, apabila berdepan dengan buah beracun persekongkolan kita dengan Pakatan Utara, kita sudah gelabah mahu mengulang semula lakonan lama yang kita lakukan di Bosnia; meminta semua pihak mengawal keadaan jangan bertindak berlebihan, sedangkan seluruh dunia kita ajar untuk mengingati betapa orang Afghan adalah satu bangsa yang suka berperang, zalim, dan garang.

Ketika askar Pakatan Utara sedang bersiap sedia untuk menyerang Kandahar, Blair telah bersuara lagi dengan perkataan 'sabar' dulu. Sebaliknya masyarakat media di Barat sudahpun bersedia memberitahu para pembaca dan para penonton mereka betapa mereka boleh menjangkakan satu peristiwa penghapusan beramai-ramai yang akan dilakukan oleh askar kerahan itu. Seorang wartawan Ireland telah menghubungi saya melalui telefon minggu lalu dengan satu aduan yang biasa. Kenapakah saya beraksi lebih tersinggung perasaan mengenai penyembelihan kecil di Mazar? Bukankah orang Afghan memang biasa dengan tradisi pekat mereka dalam peperangan? Bukankah satu keterlaluan kalau kita menyuruh orang Afghan berkelakuan dalam cara hidup yang bertamaddun?

Saya cuba mengingatkan penemubual itu betapa tamadun Afghanistan adalah satu tamadun yang lebih awal usianya berbanding tamadun Ireland. Malahan kebanyakan tamadun Barat -- dan segala peluru berpandu, keretakebal, kelengkapan meriam dan pelancar roket grenad yang digunakan oleh wira Afghan untuk memusnahkan sesama sendiri telah diberikan oleh kuasa luar yang berbangga sebagai bangsa yang bertamadun. Kehaprakan begini pernah saya dengar daripada menteri luar Britain, Malcolm Rifkind, yang menyebut 'peperangan mengikut tradisi lama' ketika dia cuba mengelat daripada tanggungjawabnya di Bosnia.

Soalnya sekarang ialah kita tidak boleh mengisytiharkan satu bala tentera orang lain sebagai pasukan tentera kita dan kemudian menafikan tanggungjawab kita terhadap gelagat mereka. Kita tidak memberikan restu seperti itu kepada Jerman selepas Perang Dunia Kedua. Lantas, apabila Pakatan Utara naik minyak membunuh secara gila sakan, adalah tanggungjawab kita memikul beban dosa pertumpahan darah dan nyawa yang terkorban.

Cuba amati kisah di Kunduz. Lebih 50 pesawat pengebom Amerika telah digembleng untuk menghunjam bom punah-ranah ke atas Taliban di satu kawasan dalam satu kempen yang direncana begitu teliti untuk mematahkan moral mereka yang bertahan dan memberi ruang kepada askar Pakatan Utara merampas kuasa.

Pihak Pakatan Utara telah memberi katadua kepada Taliban. Kesan kedegilan mengengkari katadua memang amat jelas bahananya. Mereka akan dibunuh dengan kejamnya, dan saya mengharapkan ini satu berita palsu semata-mata. Inilah yang menakutkan saya. Tetapi apakah kita akan berpeluk tubuh kalau perkara ini terjadi? Apakah kita akan membuat pengakuan betapa kita membantu Pakatan Utara untuk mencengkam kuasa sambil tidak pedulikan kesan yang terjadi selepas itu. Bukankah itu mempunyai satu persamaan walaupun secebis coraknya dengan kelakuan Osama Bin Laden? Seandainya dia menjadi satu lambang inspirasi para pembunuh kejam melakukan jenayah pada Sept. 11 dulu, sudah tentu dia menyumbang kepada kematian 5,000 manusia. Tetapi kita yang memberi laluan mudah kepada pembunuh Pakatan Utara itu, seolah-olah kita terlepas dosa daripada jenayah yang sama.

Sementara itu di pinggir Kabul, proses anarki yang biasa kepada askar Pakatan Utara sudahpun terjalin. Para panglima perang di Jalalabad sedang bertelingkah untuk menentukan ketuanan beberapa bahagian wilayah Nangahar. Para pemimpin puak Pashtun di Kandahar sudahpun mengancam mahu memerangi Pakatan Utara. Sukukaum Hazara yang mengangotai Pakatan Utara sudahpun mengancam rakan juang mereka daripada kaum Tajik dan Uzbek, seandainya mereka tidak mendapat bahagian kuasa yang berpadan di Kabul.

Dalam keributan semua ini, tiba-tiba muncul kaldai tua PBB, yang diheret memasuki lubang untuk melaksanakan satu tugas yang paling sukar yang pernah dihadapi oleh setiap negarawan dalam sejarah tamadun moden dunia. Tugas itu ialah membawa keamanan di Afghanistan. Apakah Pakatan Utara bersedia memberi ruang dan saham berpadan kepada puak Pashtun untuk mentadbir kerajaan? Mampukah kita mendapatkan khidmat beberapa kerat Taliban yang sederhana fahamannya, dan tidak berjanggut dan jambang yang panjang -- menganggotai pentadbiran pelbagai kaum itu? Saya boleh bayangkan reaksi para perwakilan yang bersidang apabila mereka memahami konsep 'pelbagai kaum'.

Kalau adapun konsep pentadbiran yang berunsur 'kepelbagaian kaum' yang difahami oleh orang Afghan ialah yang ada sangkut-paut dengan genjatan senjata. Itupun orang Afghan sahaja yang dapat memahaminya. Unsur kecelakaan yang melibatkan tawaran genjatan senjata di Kunduz hanya mempunyai kaitan dengan orang Pashtun - bukan kepada orang asing (pejuang Arab) - yang terperangkap di kawasan itu. Mereka, dijangka akan dimusnahkan ataupun -- mengikut kata-kata yang menakutkan daripada seorang wartawan BBC yang bersama Pakatan Utara kelmarin - inilah puak yang 'tidak akan diberi peluang untuk bernafas'.

Pengalaman saya dengan pasukan tentera yang tidak mahu memberi peluang kepada musuhnya yang menyerah diri, menunjukkan pasukan seperti itu sudah nekad mahu melakukan jenayah perang -- seperti yang sudahpun terjadi di Mazar --- dan inilah yang akan menjadikan semangat juang mereka yang terlepas dari malapetaka itu lebih kental lagi untuk meneruskan perjuangan mereka. Kerana itu adalah satu kemestian mengingati segala etika tatasusila hidup apabila kita melancarkan perang. Bukankah kita mesti mengingati betapa inilah peperangan 'untuk tamadun manusia.' Inilah yang dikatakan peperangan untuk menegakkan 'demokrasi'. Inilah dia peperangan antara yang 'baik menentang yang jahat'. Inilah dia peperangan di mana mesti ada satu pilihan sama ada 'anda memihak kepada kami ataupun memusuhi kami.'

Oleh itu, seandainya anda melihat gambar pembunuhan kejam beramai-ramai, cuba ingatkan diri kita dengan soalan, di pihak manakah kita. Apakah kita memihak kumpulan yang menjadi mangsa ataupun yang membunuh mereka? Kalaulah pihak yang baik itu secara kebetulan terjadi di pihak yang membunuh, apakah yang akan jadi kepada kita? Kita terlalu kerap mendengar kejayaan besar Pakatan Utara dalam peperangan itu. Sedangkan peperangan itu baru saja bermula.

Terjemahan: SPAR
30.11.01

Asal: KM2 6390 Ref: http://www.independent.co.uk/story.jsp?story=105560