Laman Webantu   KM2: 6386 File Size: 10.1 Kb *

| KM2 Index |


TAG SP 470: MUK: Pilger - Perang Tipumuslihat Yang Berterusan
By John Pilger

19/11/2001 2:02 am Mon

Mirror UK
Sabtu 16/11/2001

Perang Tipumuslihat Yang Berterusan

(This War Of Lies Goes On)

Oleh: John Pilger

Tidak ada sesiapa yang menang dalam perperangan kabilah di Afghanistan. Cuma pertukaran satu kumpulan pembunuh dengan yang lagi satu. Perbezaannya kali ini, Presiden Bush mengiktiraf puak yang menguasai Kabul kali ini dengan panggilan 'sahabat kita'.

Betapa gembirapun gambaran manusia yang betandak dan menari dengan mainan irama yang mengiringi dan berduyunnya orang lelaki yang berpusu-pusu dan beratur mahukan giliran janggut mereka dicukur, apa yang disebut sebagai Pasukan Pakatan Utara itu bukannya kumpulan yang menjanjikan kemerdekaan. Mereka adalah kumpulan yang sama yang diberikan sambutan selamat datang dengan penuh keriangan pada 1992 dulu, yang kemudiannya bertindak ganas membunuh dengan kejam sekitar 50,000 manusia selama empat tahun mereka berperang sesama saudara.

Wira yang dijulang itu kini sudahpun membunuh dengan kejamnya sekurang-kurangnya 100 tawanan perang dan ramai lagi, termasuk merampas bekalan makanan sambil melakar semula satu monopoli perdagangan jualbeli 'heroin.'

Pada minggu ini, Amnesty International telah membuat satu kenyataan yang amat luar biasa yang menampakkan bisanya di muka berita. Kenyataan itu seharusnya dipaparkan dengan jelas di setiap muka akhbar dan kaca TV. 'Apabila pemimpin Pakatan Utara gagal menyedari serta menghormati kesan hak asasi manusia,' kata Amnesty, 'para menteri UK telah dengan sengaja merelakan satu budaya membiarkan jenayah silam berlarutan dan secara tidak langsung turut terbabit dengan kegiatan mencemar hak asasi manusia itu.'

Sebenarnya, kumpulan penjenayah yang kini 'membebaskan' Kabul telah diberikan peluang kedua oleh negara yang paling perkasa di dunia yang telah menyungkit debu daripada bumi sebuah negara yang termiskin di dunia, di mana jangka hayat rakyatnya adalah sekitar 40 tahaun sahaja.

Untuk Apa?

Tidak ada seorangpun pengganas yang terbabit dalam serangan ngeri terhadap Amerika yang telah ditangkap ataupun dibunuh. Osama Laden dan kumpulannya sudah tentu mampu menyelinap masuk ke kawasan selamat di 'North West Frontier' ataupun Pakistan. Apakah Pakistan akan diserang dengan bom pula? Bagaimana pula dengan Arab Saudi dan Mesir di mana kumpulan pelampau Islamiah dan akar umbi jaringan itu sudah lama bertapak? Sudah tentu tidak.

Ahli keluarga Saudi, yang mempunyai sebahagian ahli anggota mereka berfahaman pelampau persis kumpulan Taliban menguasai sumber bekalan minyak Amerika yang terbesar. Regim Mesir yang menerima sogokan wang berbilion dollar setiap tahun, merupakan satu proksi Amerika yang penting. Mereka tidak akan teraniaya.

Setakat ini belum lagi ada 'peperangan membasmi keganasan'. Sebaliknya, kita telah menyaksikan satu versi mainan besar imperial di mana pengganas yang 'jahat' ditukar-ganti dengan pengganas yang dianggap 'baik' sedangkan jumlah manusia yang tidak berdosa dan yang tidak terhitung banyaknya telah terkorban. Ada yang kehilangan seluruh perkampungan, seluruh keluarga, sebuah hospital, termasuk rekrut baru yang secara mudah diberi gelaran sebagai pasukan pejuang muda 'Taliban'.

Kita mudah faham kenapakah mereka yang datang dari Barat menyokong rentak serangan terbaru Amerika dari angkasa ataupun membuat pertaruhan mereka, kini terpaksa memikirkan betapa gelojohnya mereka dulu memberikan sokongan itu untuk mempercayai bahawa peperangan melalui serangan bom yang bergegar menjanjikan kemenangan yang besar. Cuba beritahu falsafah itu kepada golongan tua yang sedang meratapi pusara yang tidak seberapa rupanya di muka bumi yang tidakpun dapat dikesan oleh tukang arah pengeboman udara itu.

Pertembungan antara kepintaran dan keinsanan yang menjadi syarat mencapai kemenangan itu bukanlah satu fenomena yang baru. Kalau diketepikan mereka yang dungu untuk berfikiran waras, tinggallah golongan yang amat gemar bermain perang, yang tidak berhati perut, seperti yang pernah saya alami melihatkan kesediaan mereka menggunakan bom berangkai dan pelbagai senjata ganas lagi.

Apakah secara kebetulan serangan peluru berpandu Amerika yang terakhir di Kabul sebelum munculnya para 'penyelamat', telah memusnahkan alat pemancar stesen TV Al-Jazeera, yang merupakan satu-satunya sumber maklumat dan berita yang dapat dipercayai di rantau itu.

Selama berminggu, pegawai Amerika telah mendesak kerajaan Qatar, sebuah negara Teluk di mana Al-Jazeera mempunyai pusat dan ibupejabatnya, untuk menghukum penyiarnya yang telah memberikan laporan tersendiri mereka mengenai 'peperangan membasmi keganasan' berbeza daripada segala janji manis Bush dan Blair yang melancarkan 'jihadnya'.

Rahsia tependam dan dianggap salah ialah serangan terhadap Afghanistan itu adalah sesuatu yang tidak perlu. 'Asap perabun' berkaitan dengan keseluruhan episod ini jelas terdapat dalam segala bahan bukti yang dikemukakan oleh kerajaan British yang semata-mata tidak berasas dan penuh kepalsuan. Mengikut Tony Blair, adalah tidak mungkin dapat diekstradisi Osama bin Laden daripada Afghanistan dengan cara lain selain pengeboman.

Akan tetapi, pada akhir September dan awal Oktober, para pemimpin dua parti Islamiah Pakistan pernah berunding untuk menyerahkan Osama bin Laden ke muka pengadilan berkaitan dengan serangan September 11. Mereka mencadangkan agar Osama dikenakan tahanan di dalam rumah kediamannya di Peshawar. Mengikut laporan di Pakistan (dan dalam Daily Telegraph) cadangan ini telah dipersetujui oleh Osama Laden dan juga pemimpin Taliban Mullah Omar.

Tawaran itu sepatutnya menyediakan juga satu mahkamah antarabangsa, yang akan menentukan sama ada mengadilinya ataupun menyerahkannya kepada Amerika. Apapun, dia sudah tentu keluar daripada Afghanistan dan ini bererti satu bentuk penghakiman boleh dilihat sudah dianjurkan. Tawaran itu telah diveto oleh Presiden Pervez Musharraf yang berkata dia 'tidak mampu menjamin keselamatan Osama Laden'.

Siapa sebenarnya merosakkan rencana itu?

Duta AS di Pakistan telahpun diberitahu lebih awal lagi akan cadangan itu dan penubuhan satu missi membabitkan Taliban. Kemudian, seorang pegawai AS berkata rencana itu 'telah menyempitkan sasaran kita' yang dianggap menghadapi risiko 'membantutkan satu usaha bertaraf antarabangsa yang berkemungkinan berlaku seandainya Osama Laden dapat ditangkap'.

Sebaliknya AS dan Britain telah berbohong dengan memberi penjelasan bahawa tidak ada tindakan alternatif selain melancarakan pengeboman ke atas Afghanistan kerana 'keengganan' Taliban menyerahkan Osama bin Laden. Apa yang diterima oleh rakyat Afghan sebenarnya ialah apa yang dikatakan sebagai 'Penghakiman Amerika' yang dikuat-kuasakan oleh seorang presiden yang telah menolak-tepi perjanjian antarabangsa mengenai senjata nuklear, senjata kimia, penzaliman dan pencemaran alam sekitar yang menghangatkan bumi. Inilah dia seorang presiden keparat yang enggan menandatangani perjanjian untuk diwujudkan satu mahkamah antarabangsa untuk mengadili penjenayah perang, kerana itulah tempatnya yang sesuai untuk menghakimi Osama bin Laden.

Apabila Tony Blair menyebut bahawa peperangan ini bukannya satu serangan ke atas Islam, dia menyebut sesuatu yang ada kebenarannya.

Tujuannya, untuk jangka pendek, ialah untuk memuaskan desakan orang tempatan kemudiannya mengembangkan lagi pengaruh Amerika di wilayah yang sungguh penting itu yang memang wujud satu kelompongan kuasa sejak Soviet Union berundur dan gugur, dan kini muncul pula China yang mempunyai keperluan minyak yang dijangka akan melampaui keperluan Amerika Syariakt. Kerana itu pengawalan Asia Tengah dan sumber minyak di Lembah Caspian merupakan faktor penting ketika kerja-kerja mencarigali sedang dipergiatkan.

Demikianlah, sehingga digugurkan bom berangkai untuk memusnahkan nyawa mereka yang tidak berdosa, sebagai pembalasan secara usaha sepakatan antarabangsa untuk membalas dendam tindakan ganas yang telah mengorbankan banyak nyawa di New York.

Tetapi tindak balas yang tidak berperikemanusian sebagai serangan balas episod September 11 itu telah dikuatkuasakan oleh pentadbiran Amerika yang sebenarnya bertujuan memperkasakan penonjolan ketuanannya di zaman pasca perang dingin. Sedangkan usaha penonjolan kuasa itu mempunyai satu sejarah tercatat yang panjang.

Tipu muslihat 'peperangan membasmi keganasan' memberi Bush satu helah untuk menekan Kongres agar menyetujui beberapa undang-undang yang menghakiskan kebanyakan asas keadilan dan demokrasi individu Amerika. Blair mengikut langkah itu secara membabi-buta dengan beberapa undang-undang anti-keganasan yang tidakpun berjaya menangkap seorangpun pengganas ketika perang Irish dulu.

Dalam suasana pengawalan yang zalim yang menakutkan di AS dan Britain, sebarang usaha untuk memberikan penjelasan kepada sebab musabab serangan dilakukan terhadap Amerika telah disambut dengan tuduhan ganas sebagai 'penderhaka'.

Apabila diambil kira semua itu, segala kemenangan yang penuh kepalsuan menunjukkan betapa mereka yang memegang teraju kuasa di Washington dan London, dan mereka yang bersuara lantang sebagai proksi mereka, akan faham juga, bahawa nyawa sesetengah manusia mempunyai harga yang lebih tinggi berbanding orang lain dan pembunuhan satu puak manusia awam adalah satu jenayah. Kalaulah kita terima hakikat itu, bererti kita mengalukan berlakunya segala kezaliman di banyak pihak, secara berulang-ulang.

Terjemahan: SPAR.

Asal: KM2 6385 Ref: http://mirror.icnetwork.co.uk/news/allnews/ page.cfm?objectid=11427607&method=full