Laman Webantu   KM2: 6326 File Size: 8.7 Kb *

| KM2 Index |


TAG SP 440: LizM: B2 - Empayar Riak Yang Semakin Nazak
By Liz Michael

9/11/2001 4:27 pm Fri

http://www.lizmichael.com/deathbed.htm

6/11/01


Empayar Riak Yang Semakin Nazak - Bahagian 2

(The American Empire On Its Deathbed)

Oleh: Liz Michael

Rang Undang-Undang Anti Keganasan Menyediakan Waran Kematian

Kongres Amerika Syarikat telah mengusahakan beberapa rang undang-undang dalam usaha mengawal semula keadaan dengan menggunakan satu akta yang dinamakan dengan akronim PATRIOT Act. Perundangan itu merupakan segelintir peraturan yang paling mencekik kebebasan yang pernah diluluskan sejak beberapa dekad yang lalu. Presiden George W. Bush dengan mudah menandatangani akta tersebut tanpa sebarang bantahan, malahan beliau memang begitu girang melaksanakannya. Sama ada dia sedar mahupun tidak, pada ketika itu, George W. Bush, telah menandatangani satu waran kematian Empayar Amerika.

Sememangnya ia adalah satu waran kematian Empayar Amerika kerana beberapa sebab. Pertama, ia telah menggabungkan beberapa pihak yang kecil-kecilan tetapi penting, di sebelah kiri, tengah dan kanan, MENENTANG kerajaan Amerika Syarikat. Penggabungan ini merupakan manusia biasa yang semakin prihatin kepada kebebasan dan kemerdekaan. Secara asasnya, Presiden dan Kongres Amerika telah memberitahu setiap individu apakah itu konsep kebebasan dan kemerdekaan di Amerika, daripada aktivis ACLU hinggalah penentang WTO-NAFTA, kepada agamawan yang konservatif hinggalah pedagang yang berfikiran bebas, agar semua mereka ini pergi jahanam. Dengan lain perkataan, mereka telah memberitahu setiap patriot Amerika yang tulen supaya jangan menyibuk lagi. Kebebasan dan kemerdekaan itu adalah unsur yang tidak dianggap penting lagi. Yang lebih dipentingkan ialah keselamatan. Anda harus duduk dan tutup mulut, kibarkan bendera negara seperti yang diarahkan.

Sekaligus mereka menghidupkan kembali amaran Benjamin Franklin (seorang bekas presiden Amerika - penterjemah) satu ketika dulu, bahawa mereka yang menggadaikan kebebasan kerana pentingkan keselamatan tidak layak menerima apa-apa. Yang menjadi tragedi kepada mereka ialah kerajaan akan menjadi bahan sasaran yang lebih besar daripada sebelumnya.

Luputnya 'Peperangan Membasmi Keganasan'

Alasan yang kedua ialah, kemunculan waran kematian itu akan menentukan kecundangnya Peperangan Membasmi Keganasan. Perlukah kegagalan itu disandarkan kepada insurans? Betul. Bagaimana? Kenapa?

Adalah tidak penting lagi bagaimana askar Amerika menjalankan peranan mereka di luar negara. Adalah tidak penting lagi sama ada mereka berjaya membunuh Osama bin Laden. Begitu juga dengan jumlah anggota Al-Qaeda yang akan mereka bunuh di luar negara. Ukuran sebenar kejayaan ataupun kegagalan Peperangan Membasmi Keganasan (PMK) akan bergantung kepada kemampuan tanah besar Amerika mempertahankan segalanya selepas semua retorik dan tindakan di seberang laut itu digembleng dan dianggap sudah selesai.

Ini membawa kita kepada alasan yang ketiga kenapa empayar Amerika itu akan pupus juga. Ia ada kena mengena dengan dasar imigresen negara. Daripada sejumlah dasar baru yang dikuatkuasakan sejak beberapa bulan yang lalu untuk menentukan keselamatan setiap manusia di negara ini, yang paling terserlah yang mungkin membawa kebaikannya ialah untuk menutup semua pintu masuk di sempadan dan membatalkan segala visa dan 'green cards' (satu sistem pra-kelayakan seseorang luar menjadi warga Amerika - penterjemah), yang pernah diberikan kepada sesiapa yang memasuki negara ini daripada negara yang beragama Islam. Inilah satu akta yang mampu menyekat lebih ramai pengganas memasuki negara ini, dan boleh menjadi satu mekanisme untuk menghantar pulang sekitar 95% bakal pengganas yang masih meraban di negara ini.

Sebaliknya kita telah mempersilakan warga Syria datang menyertai kursus memandu pesawat terbang dan kita juga berhasrat mahu memberikan orang Pakistan yang menyebelahi Taliban kartu bebas (carte blanche) untuk memasuki negara ini dan berkecimpung dalam aktiviti keganasan.

Oleh kerana alasan yang ketiga itu tidak dapat diperbetulkan, agen-agen yang berkemungkinan menghancurkan Amerika di bulan-bulan yang mendatang dan tahun berikutnya, dan mengorbankan berjuta manusia lagi, sudahpun berada dalam negara ini dan akan terus kekal di sini. Lambat-laun mereka akan menjalankan tugas mereka. Semua pengganas ini akan menghancurkan tanah besar Amerika. Mereka akan melaksanakan tugas itu tidak kiralah betapa berjayanya kita menakluki medan perang di luar negara. Malahan, adalah serba mungkin setiap kali kita menghenyak al-Qaeda di luar negara, setiap kali itu pula pengganas di dalam negara kita ini akan menghancurkan kita.

Rakyat Amerika tidak akan memaafkan kerajaan dan segala agensi kerajaan yang akan merelakan perkara ini terjadi. Mereka sendiri akan berpaling tadah dan menghancurkan apa juga yang masih tinggal tidak terjejas oleh al-Qaeda ketika itu nanti. Sama ada mereka menjadi ahli Demokrat ataupun Republikan tidak membawa sebarang makna kepada mereka kerana mereka semua telah membiarkan perkara itu berlaku, dan kedua pihak ini juga yang akan menanggung dosa kerana membiarkannya dilakukan.

FBI menunjukkan bahan bukti kehilangan pengawalan

Kini, sekali-sekala, pegawai kerajaan sudahpun menangkap segelintir manusia pemusnah ini. Sebagai contohnya, peristiwa mahu meledakkan 'Millennium Bomb' telah dapat ditumpaskan. Tetapi, tidaklah sampai mereka itu dapat ditangkap, semuanya, bertepatan dengan masanya. Kerajaan mengambil masa selama tujuh belas tahun untuk menangkap pengganas pos yang terbesar, yang disebut 'the Unabomber', sedangkan dia hidup hanya di sebuah teratak sahaja. Mereka berjaya apabila Timothy McVeigh memandu sebuah kenderaan yang tidak mempunyai plet nombor; tetapi mereka masih tidak berjaya menangkap beberapa orang lagi yang bersekongkolan dengan McVeigh. Kerajaan sudahpun memenjarakan satu ribu orang asing gara-gara peristiwa ngeri 9-11: kalau adapun mereka yang telah didakwa, pendakwaan mereka itu adalah berasaskan perkara yang remeh-temeh seperti 'berbohong dalam membuat laporan dan kenyataan kepada pihak polis' mengenai pertemuan mereka dengan salah seorang pengganas, ataupun berbohong ketika mengisi borang permohonan untuk sesuatu. Ini menunjukkan kepada saya bagaimana penguatkuasa tidakpun mempunyai sebarang peraturan yang terencana untuk mendekati sesuatu. Penangkapan sekitar satu ribu manusia itu tanpa sebarang dalil menunjukkan betapa tertekannya pihak penguatkuasa dan ia memberikan pertanda yang amat jelas bagaimana mereka telah kehilangan pengawalan: dan inilah pertanda kezaliman yang ramai antara kita enggan merelakannya di amalkan di sebuah negara yang sepatutnya bebas merdeka.

Tidak ada sebuah kerajaan yang bersifat hakiki dan boleh bertahan sehingga kiamat. Namun, saya kenal ramai manusia dalam kerajaan yang mempunyai tanggapan semacam ini. Banyak kerajaan dan ramai pemimpin kerajaan yang bercakap seolah-olah mereka akan terus berkuasa tanpa perlu menyerahkan kuasa. Hitler bercakap mengenai 'a thousand year Reich' yakni satu kerajaannya yang dapat bertahan hingga kiamat, sedangkan kerajaannya itu tumpas selepas 12 tahun sahaja. Kerajaan kepada salah satu kuasa yang paling besar dalam abad ke-20 dulu, Soviet Union, runtuh dan gagal bertahan untuk melangkah ambang abad ke-21.

Sama ada Amerika Syarikat dapat bertahan dengan selamatnya sebagai satu entiti, sama ada ia dapat diselamatkan semula mengikut landasan yang pernah dilakar oleh peneroka asalnya, sama ada kita dapat melihat perpecahannya kepada beberapa wilayah dan negeri dan daerah, sama ada kita melihat nanti satu pembentukan semula beberapa negara yang berpecah itu menjadi satu 'Confederate States of America' ataupun 'Indian Nations' (bekas wilayah Red Indians - penterjemah) adalah sesuatu yang tidak dapat saya ramalkan. Tetapi ada satu perkara yang amat saya yakini: apa yang disebut sebagai dunia kuasa besar imperial Amerika Syarikat sudahpun menghilang. Ia mungkin mampu bertahan setakat selepas tempoh jawatan presiden Bush yang ada, tetapi tidak mungkin ia dapat bertahan lebih lama lagi dari itu.

Saya mendoakan agar tidak ramai warga Amerika yang ada sekarang ini yang tidak terbunuh bersama kerajaan mereka.

....bersambung....

Terjemahan: SPAR.

Asal: KM2 6324