Laman Webantu   KM2: 6310 File Size: 17.9 Kb *

| KM2 Index |


TAG SP 430: Menghadapi Peperangan Panjang Yang Menyejukkan
By C. Caryl, J. Barry

7/11/2001 2:59 am Wed

Newsweek International

Menghadapi Peperangan Panjang Yang Menyejukkan

(Facing a Long, Cold War)

Oleh: Christian Caryl dan John Barry

Kommander Rakhmad Gol sedang seronok sendirian. Selama enam tahun yang lalu dia telah mengharungi satu peperangan yang mengecewakannya terhadap Taliban, kerana kerap kekalahan, walaupun adakalanya mencapai secebis kejayaan dalam menguasai sedikit kawasan lawan. Kini dia asyik menyaksikan pesawat pejuang perang Amerika menggugurkan bom mengena kubu Taliban hanya beberapa ratus ela jauhnya dari tempat di menunggu. Dia merasa gembira melihatkan kepulan asap dan debu yang mewarnai angkasa yang kebiruan terangnya di Lembah Shamali. Bunyi ledakan daripada pengguguran bom itu hanya bergema beberapa saat kemudiannya. 'Lihat di sana, itu memang mengena sasarannya,' kata beliau, menyambut kemusnahan apa yang dikatakannya sebuah keretakebal dan kubu pertahanan Taliban.

Askar di bawah pimpinan Gol yang berpakaian compang-camping turut merasakan semangat peperangan itu. Hubungan radio 'walkie-talkie' sesama mereka memang penuh dengan kata-kata nista kerana gelombang semboyan mereka dikongsi bersama dengan puak Taliban. 'Kalaulah Amerika memberikan bantuan yang diperlukan oleh kerajaan kami,' kata Abdul Sabur, yang telah bergelumang dengan peperangan antara gua dan peparit di Afghanistan selama enam tahun sedangkan usinya baru sahaja 21 tahun itu, 'kami tentu dapatkan tamatkan peperangan ini dengan cepat.'

Harapan itu tidak mungkin tercapai. Gol dan Sabur sedang duduk menenggek satu runtuhan bangunan tiga tingkat yang dulunya diperbuat daripada batu-batan. Mereka dapat melihat kesan dinding batu, yang sudah menghijau oleh lumut dan merekah di sana-sini menjadikan tempat mainan bebiri mencari rezeki. Kebanyakan pejuang kebebasan yang berjumlah sekitar 100 orang berkumpul di situ adalah anak-anak muda di bawah arahan Pakatan Utara, yang merupakan satu kumpulan militia anti-Taliban yang hanya mempu menguasai sekitar 10 peratus bumi Afghanistan. Mereka berpakaian compang-camping dengan mengenakan skaf di kepala dan memakai sandal ataupun kasut yang sudah usang rupanya.

Selalunya mereka mampu makan sekali sehari. Selama empat hari dalam seminggu mereka makan nasi dan kekacang; tiga hari sekali mereka disediakan nasi dan sedikit daging kambing. Ramai yang tidak dapat meneka usia mereka. Mereka mengadu dengan berlembut akan keadaan pakaian dan kelengkapan mereka yang usang.. (Begitu jugalah keadaan pejuang kebebasan yang lain di kubu pertahanan mereka yang berbeza, sehinggakan baru-baru ini seorang komander meminta bantuan wartawan asing untuk menggunakan telefon selular memanggil panglimanya). Walaupun mereka berada hanya 15 kilometer daripada Kabul, pejuang kebebasan ini sedar seperti orang lain juga, betapa jarak itu adalah satu perjalanan yang amat jauh kepada mereka kerana ada yang akan melangkahkan kaki ke sana untuk kali terakhirnya.

Janji-janji kemenangan yang pantas, terutama sekali dalam peperangan yang begitu bercelaru dan haru-biru seperti yang itu, mempunyai unsur-unsur yang mempunyai kualiti yang mengerikan iramanya. (Siapakah yang tidak akan mempercayai mereka?) Pentagon kini memainkan propaganda bahawa pasukan Pakatan Utara mempunyai 'Strategi Utara' mengalahkan Taliban, yang semakin dikatakan amat menggalakkan daripada pendapat Washington. Hantarkan pengbom B-52, kirim beberpa pasukan 'penasihat ketenteraan', ganyang pihak musuh yang berada tiga batu daripada benteng pertahanan dan biarkan sekutu kita di kalangan orang tempatan itu berperang di darat. Pasukan Amerika boleh memberikan apa juga bantuan yang diperlukan daripada angkasa, termasuk bekalan peluru, kelengkapan semboyan dan pengetahuan logistik; sedangkan orang tempatan mengetahui dengan pintar keadaan setempat dan kedudukan pihak musuh. Dengan berpandukan maklumat risikan tempatan, Amerika boleh melancarkan serangan komando dan Ops Khas untuk menangkap Osama bin Laden dan beberapa sasaran lain daripada Al Qaida dan pemimpin Taliban.

Akan tetapi, strategi terbaru itu, direncana oleh perasaan yang tidak kesabaran. Pentagon mengharapkan rencana mereka itu dapat bertahan sehingga munculnya musim bunga tahun hadapan. Akibatnya, sudah berhembus kini keluhan kekecewaan di kalangan perancang dasar di Washington, yang semakin galak meloncat daripda satu strategi kepada strategi yang lain. Pada mulanya tujuan mereka ialah memisahkan Taliban secara berpolitik, dengan harapan pertubuhan itu akan runtuh dari dalam. Kemudian, mereka mulakan pengboman dengan harapan keangkuhan menunjuk-nunjuk kuasa angkatan udara mereka itu akan menghancurkan Taliban. Tidak ada sesiapa yang sebenarnya berminat menyokong Pasukan Utara, kerana Pakistan amat membenci kaedah itu, dan disebabkan kumpulan pakatan utara itu hanya merupakan persekongkolan beberapa kumpulan kecil etnik yang dilihat tidak boleh dipercayai untuk menjadi pasukan gantian kepada pemerintahan Taliban. Namun, pentadbiran Bush disebabkan terdesak dan tertekan, dan diasak oleh serangan bertubi-tubi bahaya anthrax di negara sendiri, sudah semakin gian mahukan satu bentuk bayangan kemenangan di luar negara. Pentadbiran itu sudah semakin gusar bahawa kemunculan musim sejuk nanti akan menolak sebarang kemungkinan pelancaran tentera darat. Minggu yang lalu, beberapa pegawai di Pentagon sudah pun mula memberi alasan betapa suasana salju yang sejuk dan berbahaya sudah bertanggungjawab menumpaskan sebuah helikopter Pasukan Khas dan sebuah pesawat terbang risikan yang tidak berkemudi dalamnya.

NEWSWEEK menerima berita bahawa Setiausaha Pertahanan Donald Rumsfeld baru-baru ini memanggil sekitar sedozen perunding politik di Washington, yang turut melibatkan Michael Deaver dan Jody Powell. Pertemuannya itu disebut orang sebagai satu usaha mahu tahu apa tanggapan masyarakat akan kemajuan perang itu. Sementara itu, Jabatan Kerajaan dan Pentagon sudah pun mula bergocoh pendapat apakah perlunya mendapatkan penyertaaan sekutu NATO dalam peperangan itu (Pentagon tidak ingin penyertaan mereka, takutkan muncul semula kecelaruan seperti mereka hadapi di Kosovo mengenai sasaran dan segala taktiknya.)

Satu sumber dalaman Pentagon ada menyebut bahawa Rumah Putih sudahpun mengasak tenakannya agar perancang tentera memberikan kejayaan yang lebih pantas lagi. Yang lebih khusus ada menyebut, pentadbiran Bush semakin tidak sabar mahukan satu serangan mantap ke arah bandar Mazar-e-Sharif. Serangan yang dijangka pada awal minggu ini, akan turut dibantu oleh anggota Pasukan Khas yang menyertai pasukan militia Pakatan Utara. Tugas pasukan khas ini ialah menentukan serangan itu terus dipantau dan tersusun, sambil memberikan nasihat taktik, bantuan logistik dan bantuan serangan udara AS. (Jika tidak mereka enggan terlibat secara terus dengan serangan itu). Satu rencana serangan yang dibuat seperti konsep bidan terjun adalah satu percaturan yang besar risikonya. Apatah lagi sejak beberapa minggu yang lalu, Pakatan Utara semakin kehilangan kawasan pertahanan mereka diganyang Taliban. Seandainya mereka mampu merampas Mazar-e Sharif, pasukan Taliban akan menjadi semakin terpinggir, dan terputus daripada laluan bekalan utama mereka. Tetapi, Taliban berjaya bertahan menangani serangan hebat itu, dan inilah yang menjadi satu pembakar semangat yang hebat, sehinggakan Washington sudahpun menggigil dihantui musim sejuk yang lebih menakutkan daripada yang sebenarnya.

Strategi Pentagon itu bukan sahaja mempunyai risiko yang tinggi, tetapi ia mengulangi semula gema kegagalan taktik yang pernah direncana sejak lama dulu. Penyertaan penasihat tentera (Amerika) dan sikap bergantung harapa kepada proksi berperang yang tidak boleh diharap sangat adalah ulangan taktik songsang yang kecundang di Vietnam dulu. Segala bahaya melibatkan diri dalam konflik kabilah dengan para pejuang yang mempunyai keberanian yang tidak ada tepiannya dan amat pintar menggunakan senjata, mengimbau kembali peperangan Amerika di Somalia. Salah seorang panglima perang tentera Osama Laden, pernah memberi amaran kepada Amerika betapa kemungkinan besar ada mayat askar Amerika yang akan diseret di jalanraya Afghanistan persis perbuatan yang mengaibkan Amerika di Mogadhisu pada 1993 dulu. Lagipun, Afghanistan yang selama ini sudah merupakan pemamah daging kepada penceroboh asing selama berabad lamanya, memang bukan calang-calang tempat untuk dicetuskan perbandingannya. Dulu, Vietnam Utara mempunyai sebuah kuasa besar menyokong perjuangannya, tetapi Taliban tidak pun ada sokongan kuasa besar semacam itu. Di Somalia, kisah mayat seorang askar yang diheret dengan aibnya sudah menjadi satu pemangkin besar membuatkan Amerika lari keluar, pertumpahan darah yang serupa di Afghanisan sudah tentu akan membuatkan Amerika bingkas cabut lari memandangkan peristiwa September 11 yang menghantuinya dengan sungguh ngeri.

Pentagon sudah semakin gusar mengendalikan kempen ketenteraan mengikut jadual waktu yang detiknya dilakar oleh orang politik. Sebahagian alasannya ialah kecurigaan apakah Pakatan Utara itu benar-benar bersedia dan sebahagian lagi disebabkan angkatan tentera Amerika sendiri belum bersedia melangkahkan kaki berperang di darat Afghanistan. Perancang tentera mahukan kumpulan Pasukan Khas (Special Forces) menceroboh masuk kawasan yang dikuasai oleh Taliban. Tetapi sebagai langkah mengurangkan risiko bencana persis Somalia dulu, Pasukan Khas Amerika mestilah diberikan sokongan oleh pasuakan khas lain pula bersiap sedia untuk turun membantu. NEWSWEEK dapat tahu, AS mahu menubuhkan satu pangkalan terdepan untuk Pasukan Khas itu di Uzbekistan. Tetapi, Presiden Islam Karimov, yang telahpun mengizinkan Amerika Syarikat mengggunakan bekas markas udara Soviet dalam negaranya, tidak pula memberikan keizinan askar Amerika itu melancarkan serangan memasukki Afghanistan daripada pangkalan negaranya.

General Tommy Franks, komander pasukan sekutu Amerika Syarikat, telah dipetik oleh para pembantunya menyebut akan kesangsian beliau terhadap keupayaan sebenar pasukan Pakatan Utara. Pasukan pakatanitu disebut berjumlah seramai antara 15,000 hingga 20,000 orang, bermakna hampir separuh kekuatan keseluruhan Taliban. Pasukan itu tidak pula terlatih dan mempunyai kelengkapan perang yang cukup. Kebanyakan mereka itu adalah muda seperti Sayeed karim, yang pernah bertugas di benteng hadapan di Rabat. Ada satu ketika laras senapangnnya tersumbat dan Karim hanya tahu menanggalkan laras itu dan mencungkil peluru yang tersumbat itu dengan menggunakan sebatang kayu. Dia hanya memakai sepasang sandal dan sepasang tunik bulu kambing, Karim selalu merungut akan 'kedatangan musim sejuk sedangkan kami tidakpun mempunyai sepasang but untuk berjalan.'

Tentera Amerika mempunyai keupayaan mengangkut apa juga bentuk pembekalan melalui udara. (Agenda merampas Mazar e-Sharif ialah untuk memudahkan penggunaan pangkalan udara di musim sejuk). Jika diandaikan Pakatan Utara berjaya mengejutkan semua pihak dan menang secara mendadak, apakah tindakan selanjutnya? Semua komander Pakatan Utara adalah merupakan panglima perang yang tidak boleh diharapkan kerana rakus dan tamak haloba dan mempunyai sejarah mudah berperang sesama mereka. Kali terakhir mereka merampas Kabul, pada 1992 dulu, kemenangan mereka akhirnya bertukar menjadi satu peperangan saudara yang sungguh ganas kerana panglima perang yang tamakkan kawasana untuk mencengkam kuasa. Ramai orang Afghan tidak mahukan kemunculan semula Pakatan Utara itu, walaupun mengikut daya mereka sendiri. Pakistan yang berjiran, yang merupakan sekutu AS yang amat cerewet walaupun membekalkan maklumat risikan dan sokongan ketenteraan, mahukan satu regim Kabul didominasi oleh Kaum Pashtun, sedangkan inilah kriteria yang amat dibenci oleh Pakatan Utara itu.

Para pemimpin Pakatan Utara itu sudah betegaas betapa mereka sudah mempelajari kesilapan mereka yang lalu, dan mendakwa tidak akan menyerang Kabul sehinggalah sudah sedia satu suasana yang sesuai untuk menubuhkan satu majlis pentadbiran yang mewakili semua kabilah. Tetapi bebrapa rencana untuk menubuhkan satu kerajaan alternatif sudah gagal segagalnya. Komandar tempatan pula tidak pernah diransang oleh idea mewujudkan satu kerajaan yang bersifat pluralistik. Mereka lebih menganggap kemenangan mereka itu nanti sebagai satu peristiwa membalas dendam. Jeneral Gol Heydar, seorang anak pembuat roti yang berusia 40 tahun, yang mengidap enam kesan luka peperangan termasuk satu kaki palsu, berkata pejuang Taliban boleh diampunkan hanya kalau mereka berpaling tadah sekarang ini. Para pejuang Arab yang menyokong Osama Laden tidak payah memikirkan pengampunan semacam itu, tidak kiralah apa yang akan mereka lakukan: 'Walaupun mereka menyerah diri, kami akan bunuh mereka juga,' katanya dengan selamba.

Walaupun askar Aemrika tertumpu kepada kemenangan di bumi Afghanistan, Osama Laden sudahpun menyatakan hasrat mahukan kemenangan mereka untuk dunia Islam di Pakistan (yang berbekal senjata nuklear), di mana kempen serangan Amerika itu sudah pun mencetuskan banyak kebencian. Minggu lalu, Osama Laden mengeluarkan satu kenyataan mengajak orang Pakistan bangkit menentang pemerintahan General Perves Musharraf, yang dituduhnya 'berdiri di bawah panji-panji Kristian.'

Di sini, nampaknya Osama Laden cuba menepis usaha AS menangkap dirinya. Dulu, sebahagian besar usaha kempen AS adalah berniat mahukan berlakunya perpecahan dalam benteng pertahanan Taliban, tetapi kebanyakan pergerakan minggu lalu menunjukkan fenomena yang sebaliknya. Warga lelaki Pashtun daripada Pakistan - berbekalkan senapang AK-47, kapak, dan pelancar anti-pesawat terbang - berbondong-bondong memasukki Afghanistan di sepanjang wilayah North West Frontier. Mereka mengenakan sarban putih sebagai lambang kesatuan Taliban dan berbekalkan semangat yang berkobar-kobar. 'Saya tidak sanggup duduk diam di bawah pemerintahan sebauh kerajaan yang anti Islam di Pakistan,' kata Asal Din, 65. 'Saya lebih rela mati bersama orang Taliban, walaupun diserang roket AS.' Selama berminggu Taliban telah meminta semua sukarelawan itu terus bersabar dan menunggu - 'Jangan panggil kami, tunggu kami panggil anda nanti' merupakan pesanan kepada bakal yang akan mati syahid. Kemudian, pada minggu lalu, mereka mula menerima kemasukan 600 pejuang. Tetapi, 1,200 calon masuk menyeberang pada hari Khamis sahaja, sedangkan Musharaf telah mengeluarkan perintah melarang rakyat Pakistan masuk membantu pasukan Taliban.

Musharraf mungkin enggan menggunakan kekerasan untuk menyekat kumpulan manusia yang degil itu kerna dia takutkan satu konfrontasi yang berakhir dengan pertumpahan darah dan membuatkan berlakunya satu perpecahan pada pasukan angkatan tentera Pakistan. Sejak beliau bertindak bersepakat untuk menyertai pasukan anti-terror Amerika itu, September yang lalu, Musharraf telah pun memecat lima daripada 14 orang panglima tentera terkanannya, termasuk ketua Khidmat Risikan Pakistan yang sungguh kuat pengaruhnya. Namun, masih ramai pegawai tentera yang bersimpati dengan Taliban dan keseluruhan unit tentera beremungkinan mengingkari arahan tentera ataupun berpaling tadah menyeberani sempadan untuk turut serta dengan pasukan revolusi Taliban. Beberapa penganalis amat takutkan berulangnya apa yang mereka sebut sebagai 'Sadat Sinario', (di Mesir dulu) yang akan menggalakkan kumpulan militan Islam dalam tentera Pakistan membunuh Musharraf.

Strategi Washington dengan menggunakan Pakatan Utara sebagai proksi perangnya, hanya akan membuat kedudukan Musharraf menjadi bertambah rapuh. Mungkin juga strategi itu dilakar untuk tujuan yang sama juga - dan merencana mahukan Pakistan bertungkus lumur mencari satu alternatif bikinan sendiri untuk menggantikan pemerintahan Taliban. Tetapi, usaha semacam itu memakan masa yang lama, dan inilah yang membuatkan Musharraf semakin curiga. Mengikut sumber yang rapat dengan pemikiran Musharraf, dia berpendapat Rumah Putih sengaja mahu merancang satu peperangan di seberang samudera dengan muslihat yang mengikuti rentak politik tempatannya. Dia beranggapan pengeboman Amerika itu telah dilancarkan terlalu cepat, tanpa persediaan menyediakan agenda politik mengenai pasca Taliban di Afghanistan. Dia juga percaya Pakatan Utara memerlukan masa yang berbulan untuk menjalani latihan dan dilengkapkan dengan senjata perang sebelum mereka boleh diiktiraf sebagai satu ketumbukan perang yang serius. 'Apakah sebenarnya pelan kempen ketenteraan?' tanya seorang anggota tentera Pakistan. 'Apakah orang Amerika sudah mempunyai rencana besar seperti itu?' Osama Laden sudah lama mempunyai rencananya - dan tidak ada sesiapa yang menyedari perkara tersebut selain Musharraf dan sekutu Amerika Syarikat Presiden Pakistan itu.

Catatan Penterjemah: Alangkah pelik, setiap kali kita baca ataupun tonton berita temubual kerajaan Pakatan Utara, yang kita lihat hanyalah Dr. Abdullah yang merupakan 'Menteri Luar Pakatan Utara.' Mana presidennya dan mana kabinet kerajaannya? Begitu juga dengan hal mengenai Duta Afghanistan di Kuala Lumpur. Bagaimanakah Malaysia boleh terikut-ikut propaganda barat mengiktiraf sebuah pentadbiran yang hanya menguasai 5 peratus bumi Afghanistan dan selama ini merupakan satu kartel pengedaran dadah terbesar di dunia, sedangkan pentadbiran Taliban diakui oleh PBB sebagai kerajaan yang berjaya membasmi penanaman 'opium' di bumi yang dikuasainya? Fikirkan perkara ini wahai bangsaku!!!!!

Terjemahan: SPAR

Asal: KM2 6309 Rujuk: http://www.msnbc.com/news/652510.asp