Laman Webantu   KM2: 6305 File Size: 4.9 Kb *

| KM2 Index |


TAG SP 428: Doktor Islam Bertugas Memerangi Perasaan Jahat
By Peter Simunovich

7/11/2001 1:50 am Wed

Newsday.com - Labouring to heal

Doktor Islam Bertugas Memerangi Perasaan Jahat

(Muslim doctors work to counter ill feelings)

Oleh Peter Simunovich.

Tiga hari selepas Pusat Dagangan Dunia diserang, Abu Yousuf, seorang beragama Islam adalah antara pemimpin pelbagai anutan agama yang berkumpul untuk sama-sama berdoa di Coney Island Hospital.

Dia mulakan doanya dengan menyebut 'Bismillah...,' dan ketika itu semua yang hadir menundukkan kepala mereka. Yousuf, 33, adalah seorang 'radiographer' di hospital itu, dan mengangkat mukanya untuk melihat reaksi yang hadir.

'Ketika saya mengangkat muka memerhatikan sekeliling, saya nampak semua orang menundukkan kepala mereka, dan ini sungguh menyayat hati,' kata Yousuf. 'Semua orang merasa sedih mengenangkan orang yang terkorban,' katanya secara perlahan.

'Semua orang merasa sedih dan majlis itu berjaya menyatu-padukan semua orang di hospital itu. Wujud sepakatan ketika itu,' katanya.

Hampir 500 orang menghadiri upacara di hospital itu menyambut seruan Presiden Bush untuk diadakan upacara berdoa dan mengingati serangan di New York, Pentagon dan Pennsylvania.

Kejayaan upacara agama itu memperteguhkan semangat kesatuan di kalangan warga Islam di hospital itu, terutama sekali dengan wujudnya satu ruang untuk bersolat di hospital itu sejak beberapa bulan yang terdekat.

Kengerian serangan itu menghenyak kerisauan warga Islam secara amnya. Satu hari selepas serangan itu, Yousuf yang berasal daripada Bangladesh, dapat mendengar cemuhan dan kemarahan segelintir manusia ketika dia pergi bersolat di sebuah masjid berdekatan tempat tinggalnya di Brooklyn. 'Mereka menghina saya,' katanya.

Dr. Muhammad Hossain, 45, yang juga berasal daripada Bangladesh, dan seorang doktor pakar di hospital itu, telah turut merasakan tempias peristiwa ngeri itu, sehingga menjejas keselamatannya. Beg miliknya diperiksa di pintu masuk hospital - satu perkara yang belum pernah dialaminya.

'Semua orang merasa tertekan sejurus serangan itu,' kata Dr. Mohammad I. Uddin, 37 seorang doktor pakar daripada Bangladesh. 'Pernah berlaku apabila seorang wanita yang memakai hijab berada dalam lif bersama anaknya telah diejek oleh dua orang muda yang menyebabkan beliau merasa tidak selesa."

Lebih 100 orang beragama Islam bertugas di hospital itu dan ramai doktor yang menceritakan pengalaman mereka yang bercampur-baur - daripada simpati kepada kebencian - daripada kakitangan dan para pesakit sejak peristiwa September 11.

Dr. Khaja Mohsin 26, seorang doktor daripada India, berkata dia telah bercakap dengan pesakit yang memahaminya dan menambah, 'Kamipun turut merasakan keperitan itu dan kami terpaksa menyebut betapa episod itu adalah satu tragedi yang dahsyat. Ramai juga orang Islam yang mati di Pusat Dagangan Dunia.'

'Di masjid, kami telah mengumpulkan derma untuk mangsa dan juga mendapatkan derma darah. Kami bersatu dalam perkara ini dan menghadapinya secara bersama,' kata beliau.

Brian palmer, Ketua Eksekutif hospital itu, menyebut kisah seorang petugas wanita yang telah dinasihati oleh ibunya agar menanggalkan hijab yang menjadi pakaian hariannya sebagai satu cara mengelakkan kemungkinan beliau diserang dan diaibkan.

'Di menjadi tertekan dengan nasihat itu, dan berbincang dengan suaminya yang menyuruh isterinya membuat keputusannya sendiri. Wanita itu terus mengenakan pakaian hijab itu. Mujur tidak ada sesiapa mengacaunya dan ini telah menggembirakan beliau,' kata Palmer.

Serangan ngeri itu telah menjejaskan perasaan Yousuf. 'Saya terkejut dan gementar ketika ia berlaku. Saya tidak mampu berdiri di hadapan TV dan melihatnya dengan para pesakit kerana ia sungguh memalukan. Kita orang Islam bukannya seperti itu.'

Uddin menambah; 'Kalau ada sesiapa yang tertekan, kita sebagai orang Islam mesti menolongnya dan kalau ada sesiapa yang ditekan kita mesti menolong juga. Orang Islam tidak boleh menebang pokok ataupun membunuh haiwan sesuka hati tanpa sebabnya.'

Uddin juga terharu dengan beberapa pesakit yang memahami masalahnya dan bertanya mengenai keselamatan keluarganya.

'Orang Islam dimestikan bersolat lima kali sehari dan sejak Sep. 11 kita telah berdoa kepada Allah untuk membantu mangsa dan negara ini yang terjejas kerana serangan itu,' kata Dr. Abdul Rahman, 36, seorang pakar perubatan daripada Bangladesh.

Yousuf yakin bahawa satu cara memperbaiki kefahaman terhadap agama mereka ialah dengan mengadakan lebih banyak majlis pertemuan. 'Adalah menjadi tugas kita untuk menerangkan ajaran agama Islam kepada mereka yang belum memahaminya,' kata beliau.

Terjemahan: SPAR.