Laman Webantu   KM2: 6209 File Size: 25.0 Kb *

| KM2 Index |


Iranian: B3-B4 Limbs of no body
By Mohsen Makhmalbaf

22/10/2001 3:53 pm Mon

[Banyak pihak yang menuduh bukan-bukan terhadap Taliban sedangkan rakyat Afghanistan sudah lama mewarisi satu budaya kepuakkan dan menolak sebarang usaha pemodenan. Lagipun keadaan muka-bumi yang kering kontang dan kemiskinan menyebabkan mereka terpaksa hidup merempat atau mengamalkan poligami. Bawalah sebarang budaya hebat barat ke sini ia tidak akan mampu menyelesaikan masalah Afghanistan. Sebaliknya ia lebih banyak menimbulkan kemudaratan. Sudahlah tanah yang subur berkurang, ia kini dipenuhi dengan berjuta periuk api yang tertanam.... Sekarang rakyat Afghanistan dihujani pula dengan bom (dan budaya asing juga) yang memautkan. Tidakkah itu semua teramat kejam?
- Editor
]


http://www.iranian.com/Opinion/2001/June/Afghan/

The Iranian
Jun 20, 2001

Afghanistan: Anggota Badan Yang Tidak Bertuan [Bahagian 3-4]

(Limbs of No Body)

Oleh: Mohsen Makhmalbaf


Mengimbau Sejarah Silam Afghanistan

Kewujudan Afghanistan adalah hasil perpisahannya daripada Iran. Kira-kira 250 tahun dulu, ia merupakan sebuah wilayah di Khorasan Besar di zaman pemerintahan Nadir Shah. Pada satu malam ketika dalam perjalanan pulang daripada India, Nadir Shah telah dibunuh di Ghoochan. Ahmad Abdi, seorang panglima tentera Afghan dalam ketumbukan bala tentera Nadir Shah telah lari dengan membawa bersamanya 4,500 askar. Kemudian, dia mengisytiharkan kemerdekaan daripada Iran, dan daripada situ munculnya Afghanistan.

Di zaman itu Afghanistan dihuni oleh peladang dan masyarakatnya diperintah oleh sistem perkauman. Ahmad Abdali datang daripada kaum Pashtoon (orang putih sebut 'Patan' - penterjemah). Kerana itu dia tidak mudah diterima sebagai seorang pemimpin utama oleh puak Tajik, Hazareh, dan Uzbek. Maka dipakati agar setiap kaum itu diperintah oleh pemimpin mereka sendiri. Para pemimpin kaum itu pun berpakat menubuhkan satu badan musyawarah mengandungi pemimpin puak mereka yang diberi nama 'Loya Jirga'.

Demikianlah, sejak daripada itu hingga kini, tidak ada satu bentuk pemerintahan yang pernah muncul secara berkesan di Afghanistan. Sistem Loya Jirga itu mendedahkan betapa Afghanistan bukan sahaja tidak pernah merencana satu program pertanian yang padu, malahan ia tidak pernah membangun melepasi pengaruh cengkaman pemerintah suku-kaum dan gagal mencipta satu semangat nasionalisme.

Seorang penduduk Afghanistan tidak menganggap dirinya seorang Afghan melainkan dia sudah keluar daripada kampung halamannya. Dia dicemuh dengan simpati ataupun merana keaiban. Di Afghanistan seseorang itu hanya merupakan seorang Pashtoon, Hazareh, Uzbek ataupun Tajik. Ini berbeza dengan di Iran, di mana kami (kecuali di Kurdistan) menganggap diri kami sebgai orang Iran dahulu, sebagai satu keutamaan. Nasionalisme merupakan fahaman utama dalam persepsi ke arah identiti yang ada kesamaannya. Tetapi di Afghanistan kemutamaan suku-kaum itu adalah dorongan utama sehinggakan perkauman itu merupakan teras identiti mereka.

Inilah perbezaan yang paling ketara antara semangat seorang Iran dengan fahaman hidup seorang Afghan. Dalam pilihanraya presiden di Iran, suku-kaum seseorang calon itu tidak mempunyai kepentingan nasional dan bukan merupakan satu ransangan untuk meraih undi. (Mereka sudah meniru Melayu UMNO memilih presiden parti, darah Melayu tidak berapa penting berbanding nama Melayu pada calon yang bertanding. Itupun kalau ada pertandingan. Jika tidak, yang paling pintar bermain songlapan akan menjadi presiden sampai mati - penterjemah)

Di Afghanistan, sejak era Ahmad Abdali hingga kini di mana Taliban menguasai 95 peratus pentadbiran negara, pemimpin utama negara datangnya daripada kaum Pashtoon. (Kalau ada kecualinya ia pernah wujud selama sembilan bulan ketika pemerintahan Habiballah Galekhani yang dicatat sebagai 'Bacheh Saga' dan dua tahun pentadbiran di bawah seorang Tajik bernama Burhanuddin Rabbani. Jika tidak, Tajik tidak pernah memegang tampuk kuasa sebelum itu). Di sebalik semua itu, penduduk Afghanistan secara keseluruhannya, sejak era Ahmad Abdali memang merasa selesa dengan pemerintahan ketua suku-kaum secara sistem federalisme.

Apakah maknanya semua ini berbanding dengan keadaan di Iran? Di bawah pemerintahan Reza Shah, fahaman perkauman menjadi lemah dan digantikan dengan semangat nasionalisme. Inilah yang tidak berlaku di Afghanistan. Malahan, Mujahid Afghanistan tidak pernah berjuang melawan musuh asing secara bersatu-padu, tetapi dengan cara setiap suku-kaum memerangi musuh asing itu dalam wilayah mereka.

Ketika aku membuat filem 'Kandahar' dan berada di sebuah khemah pelarian yang terletak di sempadan Iran-Afghanistan, aku dapat menyedari betapa pelarian Afghan yang tinggal merengkok di khemah pelarian itu, tidak dapat menerima identiti Afghan mereka. Mereka masih mempunyai semangat pergeseran dan perkauman dengan identiti sendiri sebagai Tajik, Hazareh ataupun Pashtoon. Perkahwinan campur masih tidak digalakkan antara Afghan dan begitulah juga dalam usahaniaga mereka yang tidak ada unsur percampuran antara kaum. Kerana itu apabila tercetus satu pergeseran kaum yang paling kecil masalah dan puncanya, ia berakhir selalu dengan pertumpahan darah. Aku pernah menyaksikan seorang suku-kaum dibunuh oleh seseorang daripada kaum lain kerana dia membalas dendam ke atas mangsa yang memintas (potong-jalan) ketika berbaris untuk mendapatkan bekalan roti.

Di khemah pelarian di Niatak (di sempadan Iran-Afghanistan) yang mampu menerima 5,000 penghuni, adalah sukar untuk kanak-kanak Pashtoon dan Hazareh bermain antara satu sama lain. Kadangkala inipun mencetuskan perbalahan. Kaum Tajik dan Hazareh menganggap kaum Pashtoon sebagai musuh ketat mereka di dunia ini, dan begitu jugalah perasaan Pashtoon terhadap mereka. Mereka tidak rela berkongsi masjid untuk bersolat. Kami pernah mengalami masalah mengaturkan tempat duduk kepada anak-anak mereka agar duduk bercampur untuk menonton wayang gambar. Mereka mencadangkan satu penyelesaian agar anak-anak mereka itu bergilir menyaksikan tayangan wayang itu.

Oleh kerana ketiadaan doktor di khemah pelarian itu, terdapat banyak jenis penyakit yang merebak. Apabila seorang doktor dibawa daripada bandar, penghuni kem itu tidak mahu mengutamakan mereka yang sakit dulu untuk diberikan rawatan. Mereka mahu mengamalkan susunan perkauman juga. Mereka menetapkan hari tertentu untuk orang Hazareh dan begitu juga untuk Pashtoon. Lagipun, anggpan bahawa kaum mereka lebih tinggi martabatnya, membuatkan Pashtoon memilih tidak mahu bercampur Hazareh untuk mendapatkan rawatan perubatan pada hari yang sama.

Ketika kami memulakan penggambaran, memanglah kami memerlukan ramai pelakon tambahan. Kami terpaksa membuat pilihan sama ada memilih Hazareh ataupun Pashtoon tanpa mencampurkan mereka untuk sesuatu tugasan. Padahal semua mereka itu adalah golongan pelarian dan menanggung penderitaan yang sama di rantau orang. Mereka tetap berdegil mahukan pilihan suku-kaum menjadi peraturannya. Sebenarnya majoriti mereka itu tidak pernah berpengalaman dengan wayang gambar dan pawagam. Seperti juga nenek aku dulu, mereka bersyukur kepada Ilahi kerana tidak pernah menjejakkan kaki di pintu pawagam.

Fahaman menebal sikap perkauman orang Afghan itu didasari cara hidup mereka yang berteraskan ekonomi agrarian (yang menyangkuti pemilikan tanah dan pembangunannya). Setiap kaum Afghan itu menghuni di lembah perkampungan yang berdindingkan tembok gunung-ganang, yang sekaligus memerangkap tatasusilanya sehingga ia menjadi seorang banduan yang semulajadi, cetusan budaya yang lahir daripada suasana pergunungan dan ekonomi pertanian. Budaya tribalisme mereka itu adalah imej keadaan bertani yang berakar umbi kepada suasana lembah yang dalam di Afghanistan. Kepercayaan kepada budaya tribalisme itu adalah sama dalamnya dengan kecuraman lembah yang dihuni.

Topografi Afghanistan menganduni 75 persen pergunungan yang mempunyai hanya 7 peratus kawasan yang sesuai untuk pertanian. Tidak ada sebarang bentuk industri yang boleh dimegahkan. Negara itu bergantung sepenuhnya kepda pertanian, kerana kawasan ragut (kalau bukan musim kemarau) merupakan hanya satu punca ekonomi yang berkesinambungan. Apabila perkebunan merupakan asas tribalisme ia sekaligus mendasari kebarangkalian konflik dalaman sesama kaum. Sifat ini bukan sahaja menyekat Afghanistan daripada menjadi sebuah negara yang moden, ia juga menghalang negara itu mencapai satu identiti nasionalnya.

Masih belum wujud lagi satu penyatuan fahaman yang hakiki dalam menentukan apa maknanya Afghan berbanding Afghanistan. Orang Afghan belum lagi bersedia untuk diserap dalam satu identiti yang disebut Afghanistan. Berbeza dengan salah-tafsiran punca kebanyakan peperangan agama, punca perbalahan orang Afghan selalunya dimulakan oleh pergeseran tribalisme (antara kaum). Kumpulan Tajik yang memerangi Taliban masakini adalah beragama Islam dan bermazhab Sunni - sama dengan orang Taliban itu juga.

Kepintaran Ahmad Abdali belum terserlah lagi gara-gara wawasannya mencipta 'tribal federalisme' (persekutuan suku-kaum) Memang dia ternyata lebih bijaksana berbanding orang lain ketika itu, yang berminat dengan pemerintahan sesuatu kaum ke atas kaum yang lain ataupun seorang individu memerintah seluruh negara - sedangkan ketika itu perkauman dan infrastruktur ekonomi masih tegap lagi.

Kaum Pashtoon yang mempunyai bilangan penduduk seramai enam juta merupakan kaum terbesar di Afghanistan. Selepas itu wujud Tajik yang mempunyai seramai empat juta manusia. Tempat yang ketiga ialah Hazareh seramai lebih kurang empat juta dan keempat ialah Uzbek yang ada seramai antara satau hingga dua juta manusia. Jumlah penduduk yang berbaki datang daripada kaum kecilan seperti Imagh, Fars, Balouch,Turkman dan Qeselbash.

Majoriti Pashtoon terdapat di wilayah selatan, Tajik kebanyakannya di utara dan Hazareh tertumpu di pertengahan Afghanistan. Tumpuan mereka mengikut taburan geografi ini di pelbagai wilayah negara menjadikan orang Afghan sentiasa berpuak-puak dan dapat berhubung antara ketua-ketua mereka hingglah ke akar umbi hanya melalui pemuafakatan yang wujud dalam sistem 'Loya Jirga'. Kalau mahu diwujudkan alternatif kepada dua senario ini, ia memerlukan perubahan terhadap infrastruktur ekonomi dan pengganti identiti kaum itu kepada satu indentiti berbentuk nasional.

Kami mampu memilih seorang presiden di Iran hari ini, bebas daripada isu perkauman, disebabkan wujudnya satu transformasi ekonomi yang dicetus oleh terjumpanya minyak di bumi Iran, sekrang-kurangnya pada abad yang lalu. Apakah bentuk kuantiti ataupun kualiti minyak yang digerudi itu, tidak menjadi persoalan utama. Yang pentingnya, apabila minyak memainkan peranan dalam pertumbuhan ekonomi Iran menggantikan tempat pertanian yang menjadi asas ekonomi sebelum itu, sekaligus ia merobah struktur ekonomi negara sehinggakan Iran memainkan peranan penting dalam interaksi politik negara. Secara berdikit ia menjadi pengeksport bahan mentah yang penting, dan menerima sebagai ganjarannya lebihan keluaran negara berindustri.

Perubahan transformasi kepada infrastruktur sosio-ekonomi negara akhirnya menggugat budaya tradisi yang lapuk dan menggantinya dengan yang baru, sambil minyak dipasarkan ke luar negara dan barangan negara berindustri dibawa masuk untuk digunakan pula. Kalau kita tidak gunakan wang sebagai perantara jual-beli, maka minyak dipasarkan dan diganti dengan barangan konsumer. Tetapi, Afghanistan tidak ada barang lain untuk ditukarkan kecuali dadah sahaja. Kerana itu ia memencilkan dirinya semula dan menjadi terpinggir. Mungkin juga, seandainya Afghanistan tidak berpisah daripada Iran 250 tahun yang lalu, ia sudah mengharungi perjalanan hidup yang berbeza bergantung kepada keluaran minyak dan pungutan hasilnya.

Tidak berapa lama lagi saya akan mencertikan kisah dadah candu (opium) yang tidak berapa hebat kalau dibandingkan dengan minyak keluaran Iran. Pada tahun 2000 Iran, mempunyai pendapatan berlebihan daripada penjualan minyak melebehi $10 bilion. Jumlah penjualan candu di Afghanistan kekal pada paras $500 juta.

Kita telah memainkan peranan dalam ekonomi sejagat dan menggunakan barangan keluaran orang lain, dan memahami betapa kita punyai pilihan hingga menjadi semakin moden. Tetapi kepada seorang petani Afghan, dunianya ialah lembah perkampungannya dan dia mempunyai kerjaya sebagai petani, walaupun musim kemarau mudah mencekiknya hingga hampir mati. Pada waktu yang sama, sistem berpuak-puak terus mengawal tatasusila hidupnya. Ini bererti dia tidak dapat menikmati sebahagian saham ekonomi dunia, kerana dia mendapati dirinya begitu lemah untuk menggunakan kemampuan ekonomi dan budaya mendapatkan secebis saham ekonomi dunia itu. Lagipun, pusingan perniagaan dadah dunia yang bernilai $80 billion itu bergantung kepada kemampuan Afghanistan bertahan tanpa menyuntik sebarang perubahan. Kalaulah perubahan itu diransang, wang bernilai $80 billion itu akan menghadapi ancaman besar. Kerana itu Afghanistan tidak boleh memandai-mandai mahukan satu tahap keuntungan itu disauk dulu, kerana fahaman begitu akan membawa perubahan kepada Afghanistan.

Walaupun Iran dan Afghanistan mengongsi sejarahnya yang sama kira-kira 250 tahun dulu berasaskan minyak, sejarah Iran sudah lama naik mencanak sehingga tidak mampu diragau oleh Afghanistan secara menyanggak untuk satu waktu yang panjang. Dadah candu merupakan komoditi tawaran Afghanistan kepada dunia. Namun, disebabkan ciri barangan itu dan nilai khazanah negara yang tercemar itu, ia tidak boleh dibandingkan dengan minyak. Kalaulah dicampurkan pendapatan candu bernilai $500 juta dengan penjualan gas utara Afghanistan bernilai $300 juta, kemudian dibahagikan dengan 20 juta penduduk negara, ia menghasilkan $40 per kapita pendaptan tahunan. Seandainya dibahagi pula nilai itu kepada 365 hari, setiap orang Afghan hanya mampu meraih 10 US cents setiap hari yang bersamaan dengan satu buku roti pada hari biasa.

Tetapi, pendapatan tahunan negara adalah hak kerajaan dan mafia tempatan dan ia tidak dibahagi secara saksama. Hasil pendapatan negara ini memang tidak mencukupi menanggung keperluan rakyatnya dan semakin tidak mencukupi untuk membangunkan ekonomi negara dan membawa perubahan kepada sosial, politik dan infrastruktur budaya.


Kenapa ramai Afghan Keluar Merempat?

Sudah menjadi satu amalan gembala ternakan, untuk hidup berpindah-randah. Penduduk bandar dan para peladang tidak berapa kerap berbuat demikian. Sebabnya ialah musim yang berubah, yang memaksa para gembala berpindah-randah mencari padang ragut, bekalan air dan kawasan panas untuk megelakkan musim sejuk. Sebab yang kedua ialah kekurangan kerja tetap. Afghan terpaksa berhijrah untuk mengelakkan kematian kerana ketiadaan pekerjaan.

Pendapatan harian Afghan bergantung kepada pekerjaan mereka di negara orang. Apabila celik sahaja matanya, seseorang Afghan perlu memikirkan empat bebanan. Pertama, apakah masalah yang akan dihadapi oleh ternakan yang banyak bergantung kepada keadaan cuaca. Kedua, tugas untuk mempertahankan martabat kaumnya, dan pada kebiasaannya, kerana mahukan pekerjaan dia masuk berkhidmat dalam pasukan ketenteraan. Menyara hidup ahli keluarga ialah satu lagi sebab kenapa berlaku penghijrahan dan kalau itupun tidak berjaya, diapun terlibat dengan perniagaan dadah.

Peluang pekerjaan dalam pilihan terakhir ini adalah amat terhad kerana sebuah negara yang mempunyai penduduk seramai 20 juta tidak boleh diukur dengan sejumlah $500 juta dollar yang diperolehi daripada industri penanaman 'poppy' untuk menghasilkan candu. Kerana itu, sebarang usaha memburukkan orang Afghanistan sebagai penyeludup dadah adalah satu tuduhan yang tidak tepat kerana yang berbuat demikian, ternyata segologan manusia antara mereka, sahaja.


Budaya Afghan Yang Mangli Terhadap Ketamadunan

Amanullah Khan yang memerintah Afghanistan daripada 1919-1928, adalah insan sezaman dengan Reza Shah dan Kemal Ataturk. Secara peribadi, dia memang cenderung kepada ketamadunan. Pada 1924, Amanullah telah melancong ke Eropah, dan pulang membawa sebuah Rolls Royce dan cuba merangka satu program reformasi, yang mengambil-kira menukar cara berpakaian. Dia memberitahu isterinya untuk tidak memakai penutup muka (burqa/burgha) dan memerintahkan kaum lelaki Afghan untuk mengenepikan pakaian Afghan tradisi dan bertukar dengan pakaian 'suit' barat. Dia juga menyanggah budaya Afghanistan, dan menegah kaum lelaki mengamalkan poligami. Kumpulan tradisionalis dengan pantas mula menentang rencana Amanullah. Tidak seorangpun kaum agrarian ini bersetuju dengan reformasi itu dan mereka telah bertindak untuk merusuh menentangnya.

Jelas, usaha membawa arus kemodenan tanpa asas sosio-ekonomi, menjadi satu penekanan yang bercorak tidak homogen terhadap budaya dan adat resam masyarakat Afghan yang terlalu kuat bergantung kepada perladangan secara kecilan. Mereka ketiadaan sebarang industri lain, pertanian atau cara asas untuk menggunakan sumber, apalagi larangan tidak boleh dipraktikkan perkahwinan antara pelbagai kaum. Pengenalan modenisasi yang rasmi dan remeh-temeh ini hanya merupakan satu kejutan untuk menyuntik kebangkitan budaya Afghan yang tulen itu sendiri, menyebabkan penduduk Afghanistan menjadi mangli kepada usaha reformasi budaya itu pada zaman berdekad yang menyusul. Kesannya, sebarang konsep permodenan tidak dapat menembusi sikap kalis-budaya walaupun dalam bentuk yang lebih rasional, selepas itu.

Sehingga hari ini, sebarang idea terhadap reformasi yang mengambil kira penggemblengan sumber (asli) dan usaha menukarkan bahan mentah yang lebih murah sebagai pertukaran kepada barangan yang sedia ada, tidak juga dapat diterima. Masyarakat Afghan yang paling majupun masih berpendapat bahawa masyarakat Afghan itu pada keseluruhannya belum lagi bersedia dengan konsep pemilihan sesuatu dengan pilihan terbuka. Apabila kaum yang lebih maju terlibat dengan peperangan saudara, beranggapan bahawa belum sampai masanya untuk kaum wanita dibenarkan hak mengundi, adalah jelas betapa puak yang paling konservatif itu akan menyekat persekolahan dan kegiatan sosial di kalangan mereka. Sekaligus adalah menjadi satu adat sekali lagi untuk 10 juta wanita Afghanistan berpakaian 'Burqa' yang menyungkup kepala dan keseluruhan badan mereka.

Inilah dia masyarakat Afghan, yang telah ditinggalkan oleh Amanullah, 70 tahun yang lalu selepas mencuba meniupkan hembusan reformasi yang cuba menegakkan sistem monogami di kalangan lelaki Afghanistan, yang pada dulu lagi menganggap kekeluargaannya adalah kewujudan satu harem. Pada 2001, poligami masih diterima sebagai amalan hidup oleh kaum wanita yang menghuni kem pelarian di sepanjang sempadan Iran/Afghanistan. Aku pernah menghadiri dua majlis perkahwinan kaum Pashtoon dan Hazareh dan mendengar ucapan tahniah yang mendoakan mempelai lelaki diberi rezeki berkahwin lebih banyak lagi. Pada mulanya aku fikir itu adalah jenaka semata-mata. Tetapi ada satu ketika yang aku dengar keluarga mempelai wanita berkata: 'Kalau silelaki mampu, dia boleh berkahwin sampai empat isteri dan ini adalah satu perkara yang baik sekali kerana ini diizinkan oleh agama dan dapat menghindarkan kebuluran.'

Ketika aku pergi ke Khemah Saveh mendapatkan rakaman muzik untuk filem 'Kandahar', aku telah menyaksikan seorang anak perempuan berusia dua tahun dikahwinkan kepada seorang budak lelaki berusia tujuh tahun. Aku tidak mengerti perkara ini sebelum itu. Begitu juga pengantin budak lelaki dan budak perempuan yang masih menghisap puting mereka. Tentulah majlis perkahwinan itu bukannya pilihan mereka. Apabila diambil kira tradisi masyarakat ini, sikap Amanullah memperkenalkan reformasi ketamadunan memang nampak terlalu meniru-niru amalan negara orang.

Memanglah, ada segelintir manusia yang masih percaya, seandainya seorang wanita menukarkan pakaian burganya dan mengenakan penyungkup yang menampakkan muka, dia akan dilaknati Allah dan bertukar menjadi batu hitam. Mungkin juga, seseorang wanita itu terpaksa dinafikan memakai burgha itu agar dia dapat merasakan betapa sumpahan itu adalah palsu dan membolehkan beliau membuat pemilihannya sendiri.

Sememangnya terdapat pandangan betapa wujudnya satu kecenderungan yang berat sebelah dalam konsep ketamadunan Amanullah dulu. Dalam sebuah masyarakat tradisional, sesuatu budaya yang mirip kepalsuan itu adalah satu bentuk menyungkupi tahap kasta dan pengkelasan. Dalam masyarakat Iran, keluarga yang berfahaman tradisi menghiasi ruang dalaman rumah mereka laksana perhiasan yang didapati dalam sebuah mahligai, sedangkan di bahagian luar rumah itu sengaja dibiarkan kelihatan selekeh sahaja kerana mereka takutkan gangguan masyarakat yang miskin. Dengan lain perkataan bibit benih aristokrasi memerlukan satu kulit menebal yang kelihatan haprak sahaja.

Bantahan terhadap modenisasi bukannya ditunjukkan oleh pertubuhan tradisi sahaja. Ada kalanya, ia merupakan satu reaksi golongan miskin terhadap golongan yang kaya raya. Di zaman Amanullah dulu, memiliki kuda dianggap satu kehormatan, apabila dilihatkan mereka yang masih memiliki baghal (kacukan kuda dengan kaldai). Jikalau kuda itu menjadi lambang kemuliaan dan aristokrasi ketika itu, keupayaan Amanullah memiliki sebuah Rolls Royce adalah diangap sebagai satu penghinaan oleh rakyatnya. Perbalahan antara tradisi lama dengan suntikan pemikiran moden adalah sama getarannya dengan perbalahan antara Rolls Royce dan seekor baghal. Inilah dia satu peperangan antara kemiskinan dan kekayaan.

Di Afghanistan kini, lambang kemodenan yang diterima-pakai oleh semua penduduk negara itu ialah senjata perang. Perang saudara yang masih berlanjutan telah mencetuskan sumber pekerjaan selain menjadi satu bentuk kegiatan politik dan ketenteraan yang mecetuskan pula satu pasaran senjata moden. Orang Afghan tidak lagi pintar bertarung dengan pisau dan parang panjang walaupun masanya senjata itu ketinggalan zaman belumpun terjadi begitu lama. Penggunaan senjata perang itu adalah satu perkara yang serius. Peluru berpandu jenis 'Stinger Missiles' yang dikendong oleh mereka yang berjanggut panjang ataupun pakaian burgha yang menjela labuhnya, adalah simbol tamadun yang menyerlah yang sama taraf dengan penyerapan budaya moden itu.

Peluang memiliki senjata perang dianggap sebagai satu peningkatan ekonomi yang memberikan pekerjaan kepada Mujahid Afghan. Seandainya semua senjata yang ada di Afghanistan itu dikumpul untuk dimusnahkan, lenyaplah suasana berperang secara bersar-besaran dan oleh kerana keadaan ekonomi negara yang daif, semua mujahid yang ada akan bertukar peranan menjadi pelarian di negara lain. Soal amalan hidup cara lama dan kemodenannya, peperangan dan kedamaian, sikap berpuak-puak dan nasionalisme di Afghanistan mestilah dianalisa dengan mengambil kira keadaan ekonomi dan krisis pengangguran. Inilah yang mesti difahami dengan baik betapa tidak ada satu jalan penyelesaian yang spontan dan mudah untuk menyelesaikan krisis ekonomi di Afghanistan.

Satu penyelesaian jangka panjang amat bergantung kepada keajaiban ekonomi dan bukanya kepada serangan ketenteraan yang menyerluruh daripada utara higga ke selatan ataupun sebaliknya. Apakah keajaiban itu tidak pernah berlaku? Apakah pengunduran Soviet dulu bukannya satu keajaiban? Apakah kedaulatan pentadbiran Mujahidin dulu bukan satu keajaiban? Bukankah kemunculan pihak Taliban secara mendadak dulu tidak dianggap sebagai satu bentuk keajaiban? Jika demikian, kenapakah berlarutannya segala masalah itu? Konsep modenisasi yang kita bincangkan ini dihantui oleh dua masalah yang amat asas. Pertama, ia ada kaitannya dengan hal ehwal ekonomi negara itu. Kedua, kemanglian masyarakat Afghan yang taat kepada budaya tradisinya terhadap kemodenan yang setengah masak itu.

....bersambung....


Catatan Penterjemah: Apa bezanya dengan kemanglian orang Melayu dengan pembangunan yang dosogokkan kepada benaknya? Bagaimanakah orang Melayu boleh memahami tamadun sains dan teknologi sedangkan kayu pengukur kemajuan bangsa mereka dikatakan sudah tertegak di KLCC dan di Putrajaya sebagai lambang mendahului budaya moden itu? Sedangkan untuk hidup dengan hidangan makanan yang selesa setiap hari sudah menjadi punca masalah hidup sendiri? Bagaimana pula dengan masalah 'suffrage' apabila berpolitik, mereka terpaksa menerima peraturan bahawa jawatan presiden dan timbalannya tidak perlu dipertandingkan? Apakah benar sukusakat Amanullah Khan yang memerintah Malaysia sekarang ini?

Terjemahan: SPAR

Asal: KM2 6208