Laman Webantu   KM2: 6175 File Size: 16.2 Kb *

| KM2 Index |


TAG SP 369: NarcoNews - B1 Bahan Bukti Palsu, Bush Memang Menipu
By Stan Goff

18/10/2001 11:22 pm Thu

[Afghanistan penting buat AS kerana banyak perkara - terutamanya kedudukkannya yang strategik untuk membantai Iran (musuh lamanya), Pakistan (negara Islam nukliar) serta mengintip China dan Rusia. Lagipun bumi itu kaya dengan hasil batu permata dan minyak sehingga syarikat minyak AS UNOCAL mengidam untuk menyedutnya. Tetapi kekacauan tanpa henti menyebabkan sukarnya untuk menggali bumi yang menjadi rebutan sekian lama.
- Editor
]


http://www.narconews.com/goff1.html


Bahan Bukti Palsu, Bush Memang Menipu

(The So-Called Evidence Is a Farce)

Oleh: Stan Goff

Saya adalah seorang bekas 'Master Sergeant' dalam Pasukan Khas 'Green Beret' (komando) Amerika. Mungkin cakap saya ini tidak laku di kalangan bekas pegawai, kerana orang semacam kami ini dianggap tidak mampu memahami lakaran warna doktrin tentera.

Tetapi saya bukan sahaja pernah berkhidmat dalam tentera darat. Saya pernah belajar dan mengajar sains ketenteraan dan dokrin tentera. Saya pernah menjadi jurulatih taktik dalam operasi perhutanan di Pusat Latihan di Panama, dan pernah mengajar Sains Ketenteraan di West Point (akademi tentera Amerika yang terkenal - penterjemah). Berbeza dengan imej popular yang menonjolkan Special Forces (SF), kami sebenarnnya diberikan tugas untuk mendidik. Kami berikan nasihat dan bantuan kepada tentera luar. Bermula daripada cara menjadi jurutembak yang terbaik hinggalah menunjuk-ajar pegawai batalion cara-cara mengkordinasi operasi udara yang berkesan dengan perkhidmatan lain.

Berdasarkan pengalaman itu, dan pengalaman berkhidmat di lapan kawasan konflik yang berbeza daripada Vietnam hingga Haiti, saya ingin nyatakan di sini betapa banyak cerita yang kita dengar dan baca dalam media adalah cerita yang tidak boleh dipercayai. Kalau kita tinjau fakta yang dicatat sebelum, ketika dan selepas September 11, kita akan dapati banyak cerita itu tidak selari dengan perjalanan tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Tetapi, kenyataan kerajaan itu hanya dapat berfungsi seandainya mereka dapat memperngaruhi orang lain menerima-pakai segala alasan yang dikemukakan. Saya tidak akan hairan apabila Parti Republikan dan Demokrat (Amerika) mengulangi semula segala sebab-musababnya. Terdapat dua puak dalam setiap kelas politik yang dominan, dan keduanya adalah dibiayai oleh kuasa-besar ekonomi yang serupa. Sebagai seorang yang lebih condong fahamannya ke arah kiri, saya merasa sedih melihatkan bagaimana segala dalil dan alasan semacam ini boleh diterima dengan mudah sekali oleh puak kiri, kadangkala secara lurus bendul, tanpa mahu mempertikai- kannya untuk mencari mana satu yang betul. Terdapat dua jenis alasan itu. Pertama, ada dalil yang mengatakan gelagat pentadbiran AS sekarang ini adalah berupa satu 'tindak balas' kepada peristiwa September 11 (kini disebut secara lebih glamour di Amerika sebagai 'Nine-eleven', = Sembilan-sebelas - penterjemah). Kedua, serangan yang mengena Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon itu telah dilakukan oleh orang yang berpangkalan di Afghanistan. Pada pendapat saya, kedua dalil ini tidak boleh dipakai.

Untuk mengamati perkara ini dengan betul kita terpaksa mengulang kembali bukannya peristiwa sembilan-sebelas itu, tetapi merujuk jauh hingga tahun lalu ataupun waktu yang lebih lama sebelum itu.

Presiden George Bush, ialah seorang yang mempunyai kepintaran yang terhad. Tidak ada lagi yang lebih menarik pada nama itu kecuali wujudnya satu kuasa yang cukup berpengaruh di sebalik tabir daripada bapanya yang memang merupakan seorang bekas presiden yang punyai banyak kuasa. Maklumlah beliau pernah menjadi bekas pengarah CIA dan sebagai seorang yang berkepentingan dalam industri minyak dia telah naik mencanak dengan perbelanjaan yang paling tinggi. Di seluruh negara, beberapa rencana bijak dan juga tidak bijak telah dipasang-siap untuk mengkucar-kacirkan fraksi terpenting di kalangan masyarakat Afrikan-Amerikan untuk menggugat asas pengundian mereka. Rencana ini hanya terdedah apabila Florida menjadi satu medan perlawanan politik Amerika yang menyentuh sistem 'undi Electoral College' (cara mengundi memilih presiden mengikut sistem perwakilan). Kerancakan perlawanan itu telah sengaja dipengap oleh media korporat yang sedang menguasai industri ini, sehinggalah waktu kini. Dalam satu keputusan yang sungguh tidak masuk akal, mahkamah Teragung di Amerika (Supreme Court) telah memutuskan betapa keputusan mahkamah tidak boleh dirayu lagi dan keputusan itu tidak boleh diguna-pakai sebagai rujukan untuk masa hadapan. Dalam kes Bush vs. Gore, mahkamah telah menganugerahkan jawatan presiden Amerika kepada seorang calon yang telah kalah undian popular di Florida dan telah kalah undian popular nasional dengan pungutan suara yang melebehi 600,000 undi.

Regim de facto ini kemudiannya merancang satu kabinet yang amat menarik. Timbalan presiden adalah seorang ketua ekskutif industri minyak dan juga bekas Setiausaha Pertahanan Amerika. Penasihat Keselamatan Negara ialah seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat minyak multi-nasional dan juga pakar halehwal Russia. Jawatan Setiausaha Negara pula dipegang oleh seorang yang tidak ada pengalaman diplomatik, walaupun beliau pernah menjadi pengerusi kepada lembaga ketua turus ketenteraan Amerika. Kemudian, mereka melantik Donald Rumsfeld sebagai Setiausaha Pertahanan sedangkan sebelum itu beliau ialah bekas CEO kepada Searle Pharmaceuticals (pengeluar ubat). Beliau dan juga Cheney pernah turut serta dalam satu persidangan pada Mei, 2000, berjodol 'Russian-American Business Leaders Forum'. Jadi, tarikan perdana kabinet yang ada berkisar mengenai petroleum, bekas Soviet Union dan ketenteraan (dan nampaknya termasuk perubatan juga - penterjemah)

Kalau diambil kira rekod kerjaya Daddy Bush (bapa presiden sekarang) dan segala tipu muslihat dan samar-menyamarnya, dan segala halatuju dasar luar AS menyorot di zaman pentadbiran Carter dulu, saya boleh merumuskan betapa Timur Tengah dan khazanah bahan-bakar fosil di Asia Selatan adalah salah satu mata serampang yang mereka minati. Ini tidak bermakna penyangak ini semua mempunyai kepentingan kewangan dalam bahan-bakar fosil, tetapi kerana mereka amat yakin bahawa pengeluaran minyak sedang naik mencanak ketika kita membincangkan perkara ini, dan tidak lama lagi akan menggelonsor ke bawah tahap pengeluarannya dan akan menukar ciri-ciri ketamadunan seperti yang kita tahu dalam masa dua puluh tahun lagi.

Puak kiri mungkin mahu menafikan juga perkara ini, tetapi mereka tidak boleh lari daripada perkiraan matematik. Tidak ada bahan haba alternatif dan teknologi haba lain yang mampu menyelamatkan kita. Semua bahan-bakar alternatif di dunia ini tidakpun mampu menyediakan secebis asas tenaga yang kini disediakan oleh minyak. Ini membuatkannya menjadi satu sumber yang berharga dan sebarang usaha untuk mengawal apa juga yang ada itu merupakan satu usaha yang melebihi jangkaan tandingan ekonomi.

Saya juga merumuskan bahawa usaha menjajah ekonomi bekas Soviet Russia merupakan keutamaan dalam agenda, dan ia mempunyai satu sinergi yang sungguh perkasa dengan isu minyak petroleum. Bukan sahaja Russia memiliki kawasan simpanan minyak yang besar dan luas yang belum diterokai lagi, yang dianggap sebagai pelunak krisis imperialisme, Russia juga merupakan satu sumber ketenteraan yang berwibawa dan mampu mencabar dengan kekuatan nuklear di rantau itu.

Terdapat tiga orang bekas pegawai tinggi tentera dalam kabinet Bush yang membuatkan kabinet itu menyerupai satu Lembaga Turus Tentera. Semua ini sudah siap diatur sebelum September 11.

Kemudian, kita perlu membincangkan hal NATO yang sepatutnya sudah dibubarkan selepas berakhirnya Perang Dingin dan kehancuran Blok Timur pada 1991. Sebaliknya NATO sudah berkembang ke arah timur untuk menjangkau kawasan Blok Timur itu untuk menerima masuk keanggotaan negeri yang pernah dijajahi oleh Soviet Union, dan pernah menyumbang kepada kemusnahan keluaran minyak Iraq di pasaran dunia. Kalaulah semua negara kecilan ini dapat dipengaruhi, bererti mudahlah mengawal turun-naik harga minyak di pasaran dunia.

NATO adalah satu pertubuhan berasaskan doktrin ketenteraan di mana Amerika menguasai perjalanannya. Ia sudah menyerupai satu bentuk tanpa sebarang fungsi. Tetapi kepincangan itu telah diperbetulkan dengan cepatnya.

Tatkala Yugoslavia enggan mematuhi penguatkuasaan IMF (International Monetary Fund = Dana Kewangan Antarabangsa), Amerika Syarikat dan Jerman telah memulakan satu kempen mengkucar-kacirkan Yugoslavia, termasuk menggunakan khidmat veteran perang Afghanistan dalam kempen itu.

NATO telah menjadi satu sayap ketenteraan dalam agenda memecah-belahkan Yugoslavia hingga berserpih menjadi negara kecilan, sebagai satu usaha untuk menyekat kekuatan Soviet Union, dan untuk memudahkan sebarang usaha pemasangan saluran-paip minyak di Lautan Caspian untuk pasaran Eropah Barat melalui Kosovo.

Adalah penting perkara ini difahami dengan baik, kerana ramai orang yang bercakap membenci peperangan itu mudah mengabaikan perkara ini. NATO bukannya penjamin pengukuhan undang-undang antarabangsa, dan ia juga bukannya sebuah pertubuhan hal ehwal kemanusiaan.

Inilah dia satu pakatan ketenteraan yang dikuasai oleh satu rakan yang dominan. Justeru, kita tidak lagi layak memperakukan peranannya sebagai satu pakatan pertahanan terhadap sosialis Eropah, kerana sudah menjadi satu alat menggempur secara ketenteraan.

NATO kini menjadi satu pertubuhan yang akan terus menusuk lebih jauh sepanjang garis lintang ke-40 daripada Balkan melintasi Republik Selatan Asia yang pernah menganggotai Soviet Union. (Semua negara merdeka ini dikenali sebagai CIS = Commonwealth Independent States - penterjemah). Tentera Amerika sudahpun menguasai satu pangkalan tentera di Uzbekistan. Tidak ada sesiapapun yang membincangkan perkembangan strategi itu yang telah diusahakan selama dua dekad yang lalu. Apabila dikenali corak aktiviti yang bertujuan merangkumkan segala kawalan secara serentak terhadap usaha menguasai minyak di Timur Tengah, dan Selatan Asia, serta menyekat dan menjajah bekas Soviet Union, maka terserlah rahsia betapa Afghanistan adalah titik-tolak segala-galanya untuk melaksanakan agenda besar itu.

Afghanistan mengongsi sempadan dengan Iran, India dan juga China. Yang lebih penting lagi ia bersempadan dengan beberapa republik CIS seperti Uzbekistan, Turkmenistan dan Tajikistan. Semua negara ini bersempadan dengan Kazakhstan. Kazakhstan pula bersempadan dengan Russia. Tukmenistan pula tercanguk di bahagian tenggara Lautan Caspian dan minyak yang masih banyak dalam buminya menjadi igauan pentabdiran Bush.

Afghanistan dianggap penting kerana dua perkara: sebagai satu pangkalan operasi untuk merencana proses mengkucar-kacir, memecah-belah dan menggugat kuasa di Republik Asia Selatan itu. Saya berpendapat semua ini akan dimulakan dalam masa 18 - 24 bulan lagi dan bermulalah pembikinan saluran paip merentasi Turkmenistan, Afghanistan, dan Pakistan untuk menyalurkan petroleum ke pasaran Asia.

Baru-baru ini, Niaz Naik, seorang Menteri Luar Pakistan telah memberitahu BBC, betapa pegawai tinggi Amerika telah memberikan isyarat amaran kepada mereka sejak pertengahan Julai betapa tindakan ketenteraan akan dilancarkan pada pertengahan Oktober terhadap Afghanistan. Pada 1996, Jabatan Tenaga (Amerika) telah menerbitkan satu laporan mengenai pentingnya menyediakan satu saluran paip merentasi Afghanistan. Pada 1998, Unocal telah memperakukan kepada 'House Subcommittee on Asia and the Pacific' (jawatankuasa Kongres mengenai Asia dan Pasifik - penterjemah) betapa pentingnya saluran minyak ini untuk menyalurkan minyak lembah Caspian ke Lautan Hindi.

Inilah bahan-bukti menunjukkan betapa perlunya satu operasi ketenteraan untuk menyauk sekurang-kurangnya sebahagian bumi Afghanistan untuk dirundingkan, sepatutnya seawal lima tahun dulu. Saya beranggapan bahawa segala tindakan yang kita tonton sekarang ini adalah sebahagian dari agenda pra-sembilan-sebelas. Saya sudah semakin yakin dengan fakta ini. Kalau dikaji tahap perencanaan yang perlu, akan skala operasi itu dan corak perancangan yang membengkak sehingga memakan masa berbulan lamanya, tentu kita kehairanan bila diberitahu rencana itu memakan masa beberapa minggu sahaja.

Semua itu memang tidak masuk akal. Pentadbiran Bush ini sedang menipu segala-galanya sebagai 'reaksi' kepada episod September 11. Dengan pantas ia menyedarkan saya, kemungkinan mereka mengeluarkan bahan bukti bikinan sendiri bahawa seseorang di Afghanistan bertanggungjawab. Nampak mudah kerja bajingan mereka ini. Sekaligus saya tergerak mencari sebab-musababnya apa yang sebenarnya berlaku pada September 11 dulu, dan siapa sebenarnya yang bertanggungjawab ke atas segala-galanya.

Apa yang disebut sebagai bahan-bukti itu adalah satu pembohongan. Amerika Syarikat telah membentangkan dalil itu kepada kerajaan boneka Tony Blair. Daripada 70 dalil yang dikatakan bahan-bukti itu, hanya sembilan sahaja yang merujuk kepada serangan Pusat Dagangan Dunia dan semua itupun berupa andaian semata-mata. Inilah dia cerita 'bullshit' (temberang Mahathir) dari awal hingga akhirnya. Kalaulah ini dianggap sebagai bahan bukti, hanya seorang anak muda berusia 16 tahun yang berminat dengan drama perbicaraan akan menyiatkan cerita itu laksana dia menyiat dan mengoyakkan sehelai baju murahan. Sebaliknya akhbar perdana telah memuntahkannya tanpa sebarang kritikan. Tetapi, seperti yang kita faham sekarang ini, peranan mereka (seperti yang mungkin mereka pelajari daripada akhbar di Malaysia) memanglah untuk mengesahkan apa yang diputar-belitkan itu.

Cerita kartun yang mereka buat menuduh Osama bin Laden memng tidak boleh diterima akal. Apalagi kalau kita ambil kira segala kerumitan dan kerja-kerja aturan-semasa untuk melancarkan serangan itu. Sebagai seorang bekas pegawai tentera yang banyak melibatkan diri membangunkan pelbagai arahan operasi bertahun lamanya, saya berani sebutkan betapa perencanaan serangan itu dulu adalah satu kerja yang rumit dan sofistiket serta memerlukan belanja yang banyak sehingga meninggalkan banyak kesan besar yang kita sebut sebagai 'signature' (kesan kerja).

Dengan lain perkataan, kerja-kerja itu adalah begitu berat sehigga tidak mudah untuk menyorokkannya.

Kerana itu muncul satu soalan yang tulen kenapa tidak ada sebarang amaran akan hal itu. Inilah persoalannya yang mempertikai kelicikan jentera risikan kerajaan. Sekaligus ia mempertikaikan beberapa dasar di pelbagai agensi kerajaan yang terpaksa ditutup dan dibohongi untuk merencana tindakan mega itu. Tentu sekali ia mendorong kepada satu persoalan apakah ada pihak yang mengetahui dulu bahawa kejadian ini akan berlaku, dan pengetahuan awal itu memang sengaja diperam sahaja. Untuk memperlekehkan kecurigaan ini sebagai satu pemikiran orang gila adalah sesuatu yang dikira terlalu awal. Apatahlagi setelah adanya catatan sejarah betapa perkara semacam ini pernah berlaku ke atas ketua politik negara di zaman dulu, termasuk tokoh liberal yang diminati, Franklin Roosevelt. Sudah ada bahanbukti yang amat menyerlah betapa pentadbiran Roosevelt dulu sengaja gagal menyekat tindakan Jepun mengebom Pearl Harbour semata-mata mahu menyemarakkan kemarahan rakyat Amerika untuk membolehkan Amerika menyertai Peperangan Dunia Kedua. (Ayoyo.!!!..macam seorang doktor malbari sengaja menyemarakkan kemarahan Melayu untuk mencetuskan Mei 13 rupanya...!! penterjemah)


....bersambung....

Tamat.

Terjemahan: SPAR

Asal: KM2 6166