Laman Webantu   KM2: 6147 File Size: 8.4 Kb *

| KM2 Index |


TAG SP 359: IUK: Mungkinkah NATO hilang peranan berperang?
By Charles Grant

17/10/2001 10:35 am Wed

[Banyak sekutu Amerika tidak begitu menyetujui serangan terhadap Afghanistan kerana banyak perkara. Pertama ia takkan menyelesaikan masalah keganasan. Kedua ia akan menyebabkan keselamatan rakyat dalam negara mereka sendiri tergugat. Dan yang penting sekali - mereka kini sedang sakit tenat akibat kemelesetan ekonomi. Faktor lain yang juga penting ialah pendedahan melalui internet yang akan membogelkan keganasan mereka dan Amerika. Lagipun Bush Jr adalah budak baru yang asyik melakukan kesilapan dan mudah dirobotkan. - Editor]


Mungkinkah NATO hilang peranan berperang?

(Does this war show that NATO no longer has a serious military role?)

Oleh: Charles Grant

16 Oktober 2001.

Kali terakhir pasukan sekutu Barat pergi berperang, ialah di ruang udara Kosovo 30 bulan dulu. Ketika itu NATO mengepalainya. Tetapi kini, dengan pergolakan di Afghanistan, perancang ketenteraan NATO dan ibupejabatnya tidak mempunyai banyak peranan. Amerika menguruskannya sendirian, dan besar kemungkinan mereka tidak lagi mengingini pembabitan NATO untuk menguruskan peperangan yang serius.

Sepanjang sejarahnya selama 52 tahun, NATO telah menjalankan tugas menangani masalah politik dan ketenteraan. Tetapi episod September 11 telah menonjolkan betapa peranannya dari segi politik - sebagai satu kelab kepada negara yang mempunyai minat dan nilai hidup yang sama - telah membesar dan membayangi peranan ketenteraan. Vladimir Putin, telah dapat mendahului ramai pengulas barat untuk menyedari fenomena ini. Ketika berucap di Brussels awal bulan ini, Presiden Russia itu telah membuat pengumuman: 'seandainya NATO menukar rentaknya dan menjadi satu pertubuhan politik,' Russia bersedia mengkaji semula sikap penentangannya terhadap pembesaran pertubuhan itu.

Sejak tamatnya Perang Dingin, NATO telah mengubah peranannya daripada pertahanan sempadan kepada pengawal keamanan, dalam kempen Kosovo dulu, ia memainkan peranan pengawal keselamatan yang liar. Di waktu yang sama kewujudan NATO itu sudah semakin condong kepada unsur-unsur berpolitik. Program Pakatan Keamanan yang disusuli oleh pembesaran (keahlian) 1999, yang menerima keanggotaan Czechoslovakia, Hungary dan Poland, telah direncana untuk mengekalkan kestabilan Eropah Barat dan mengembangkan unsur-unsur keselamatan ke arah timur. Tiga ahli yang baru itu tidak memenuhi pra-syarat untuk mempunyai kekuatan ketenteraan yang berpada sehingga menjejaskan satu daya kekuatan ketenteraan secara keseluruhannya. Namun kepincangan ini tidak pula menjadi satu masalah yang merunsingkan kerajaan NATO itu.

Kini pentadbiran Bush sudah menjelaskan betapa ia tidak memerlukan khidmat ketenteraan NATO untuk turut sama memerangi keganasan. Ini mungkin disebabkan pengalaman Pentagon yang kecewa dengan kempen serangan udara Kosovo dulu. Terdapat percanggahan antara kepimpinan NATO dan tentera Amerika dulu. Lagipun, bertindak melalui NATO bererti berurusan dengan satu jawatankuasa, yang kerap menyulitkan pihak Amerika. Contohnya, Peranchis pernah mengecewakan pasukan angkatan udara AS ketika Peranchis menolak keinginan Amerika memusnahkan jambatan-jambatan di Belgrade (mujurlah Peranchis degil bertindak demikian!)

Tindakan AS menguruskan sendiri peperangan yang terkini memang dapat diterima akal, kerana NATO tidak mempunyai upaya yang khusus memerangi keganasan. Ironisnya, keputusan menghormati Artikel 5 Perjanjian Washington - satu persetujuan untuk sama-sama terlibat mempertahankan ahli pertubuhan yang merupakan teras persyarikatan itu - telah menjelaskan betapa NATO hanya mempunyai peranan kecil dalam konflik ini. Ini juga mendedahkan betapa Artikel 5 itu mempunyai satu makna kecil sahaja berbanding yang pernah difikirkan sebelum itu. Artikel itu menjelaskan bahawa setiap ahli pertubuhan perlu 'membantu pihak ataupun pihak-pihak yang telah diserang dengan bertindak sepatutnya, termasuk menggunakan kuasa tentera.'

Seperti yang dijelaskan oleh seorang pegawai tinggi NATO, Artikel 5 menekankan 'satu kesediaan setiap ahli memberikan khidmat yang diperlukan oleh AS'. Namun demikian, terpulanglah kepada seseorang ahli itu memberikan khidmat mengikut kesediannya. AS telah meminta keizinan ruang udara, pelabuhan dan pangkalan ketenteraan, dan untuk pemindahan kapal tertentu ke arah timur Mediterranean. AS telah meminta lima pesawat pengawasan bumi kendalian NATO untuk berpindah ke AS menggantikan pesawat Amerika yang dipindahkan ke Asia. Alasan pertukaran tempat ini adalah bertujuan memudahkan arahan perang Amerika tanpa menggunakan kelengkapan perang NATO.

Ini tidak bererti Artikel 5 itu tidak penting. Kewajipan moral memang kerap menghasilkan sesuatu, seperti yang terbukti kini. Tetapi, kejituan sebenar artikel itu menunjukkan betapa wujudnya kata sepakat pertubuhan itu (NATO) dalam sikap berpolitik dengan AS. NATO telah menawarkan kepada AS sokongan diplomatik yang menyeluruh dalam setiap tindakan ketenteraan yang menepati selera Amerika.

Sementara itu masalah rantau Balkan sudah semakin menggelonsor dalam senarai keutamaan Bush. Sekitar 80 persen kerja-kerja mengawal keamanan di Bosnia dan Kosovo telah ditanggung oleh NATO, dan penglibatan ini dijangka akan terus meningkat. Memandangkan keadaan Bosnia sudah beransur pulih, besar kemungkinan AS meminta EU mengambil alih tugas NATO di situ. Seorang pegawai AS pernah bertanya: 'Apa gunanya diwujudkan ESDP (European Security dan Defence Policy - Dasar Pertahanan dan Keselamatan Eropah), seandainya Eropah tidak mampu menguruskan satu keadaan yang menyerupai Bosnia?'

Kalaulah AS menjangkakan EU mengambil alih tugas mudah seperti pasukan kawalan aman, dan mahu menguruskan sendirian peperangan yang serius, apakah peranan ketenteraan lain yang tinggal untuk diuruskan oleh NATO? Jawapannya mungkin terletak kepada masalah sederhana seperti Kosovo, yang memang tidak terdaya diuruskan sendirian oleh NATO. Akhirnya nanti, apakala ESDP sudah maju, peranan ketenteraan NATO akan terkapit antara sikap unilateralisme Amerika dan sikap keyakinan diri EU.

Ciri-ciri politik NATO yang semakin membesar akan menghambat pembesarannya masa depan. Pada November akan datang, di 'Kemuncak Prague' besar kemungkinannya NATO mengumumkan kesediaannya menerima keahlian Slovenia dan Slovakia. Ramai rakyat Amerika yang mempertikaikan agar Estonia, Latvia dan Lithuania diterima masuk, sebagai usaha mengekalkan keselamatan dan kestabilan. Mereka semacam tidak peduli apakah kemasukan lima ahli baru itu nanti akan melemahkan perpaduan ketenteraan pertubuhan itu. Kebanyakan kerajaan pertubuhan itu memang merelakan kemasukan negara balkan itu. Namun, kadangkala Britain mengemukakan kemusykilan sambil menunjukkan betapa negara itu amat sukar untuk dipertahankan. Masalahnya, kerajaan British adalah antara negara terakhir dalam NATO yang terus menganggap pertubuhan itu sebagai satu pertubuhan ketenteraan yang serius.

LAGI CENDERUNG PERTUBUHAN ITU BERPOLITIK, lagi mudah Russia menerima sikap pembesaran NATO dan menjalin hubungan yang lebih rapat dengannya. Presiden Putin berkata dia mahukan perubahan dalam hubungan Russia dan EU serta NATO. Dulukala, Artikel 5 itu menjadi satu penghalang kepada keahlian Russia dalam NATO. Negara Eropah Bart tidak berapa berminat untuk bersekongkol dengan Russia mempertahankan keselamatannya di bahagian sempadannya dengan Asia. Setelah dilihat bagaimana Artikel 5 itu ditafsirkan sebagai satu penglibatan politik yang longgar terhadap pertahanan bersama, berabanding fahaman lama yang menganggapnya satu kemestian, maka semakin lunturlah tanggapan penentangan tersebut.

Selagi kerajaan Presiden Putin meneruskan sikap menyenangi ruang demokrasi yang luas, NATO harus mengisytiharkan bahawa ia tidak lagi membantah kemasukan Russia menganggotai pertubuhan itu di masa depan. Apabila NATO menerima keanggotaan Russia, ia sekaligus menjadi satu pakatan politik - dan menjadi satu pertubuhan penting kepada sebarang pakatan sejagat yang beriltizam memerangi keganasan dan segala perjuangannya.

Tamat

Terjemahan: SPAR

Asal: KM2 6146