Laman Webantu   KM2: 6132 File Size: 12.0 Kb *

| KM2 Index |


TAG SP 356: Guardian: Tiada sasaran di Afghanistan Berbaloi $1j Peluru Berpandu
By Mohamed Heikal

15/10/2001 10:41 am Mon

http://www.guardian.co.uk/Archive/Article/0,4273,4273924,00.html


Guardian:

Tidak ada satu sasaran di Afghanistan yang berbaloi ditembak dengan peluru berpandu berharga Satu Juta Dollar

(There isn't a target in Afghanistan worth $1m missile)

Oleh: Mohamed Heikal

Pengulas politik terunggul dunia Arab, berbual dengan Stephen Moss

Ada satu perasaan yang semacam khayalan dapat dirasakan apabila kita berbual dengan Mohamed Heikal, seorang pengulas politik terulung di dunia Arab, yang juga merupakan bekas menteri luar Mesir. Kami berada di ruang rehat Claridge, sebuah hotel yang dipengaruhi suasana Swiss di London. Ketika peluru berpandu menghunjam bumi Afghanistan, Heikal mendedahkan wawasannya akan kemungkinan tercetusnya keributan di hari muka di Afghanistan. Ketika itu pemikirannya itu seolah-olah diransang oleh bunyi piano yang alunannya berdenting dan tiupan klarinet yang meniru siulan seruling. Memang jarang wujudnya perbezaan antara timur dan barat yang nampaknya semakin hebat.

Heikal sudah pun berusia 78 tahun, namun sifatnya tetap sama, mudah bersopan santun. Beliau sudah lama menjelajahi dunia dan mengenal yang mana asli dan mana kepuraannya. Sebagai seorang wartawan selama 60 tahun, dia pernah menjadi pengarang dan pengerusi akhbar harian Mesir yang paling terkenal, Al-Ahram untuk selama 20 tahun. Beliau telah menulis lebih satu dozen buku yang dihormati mengenai Mesir dan Iran. Sejak bermulanya revolusi rakyat (di Mesir?) dia memang rapat dengan Presiden Nasser, dan untuk satu masa yang singkat, secara amat culas sekali, beliau pernah menjadi menteri penerangan dan halehwal luar pada 1970. Dia telah menikmati satu persahabatan yang rapat walaupun hangat dengan Presiden Sadat, yang telah menyumbatnya dalam penjara kerana menentang perundingan Kem David pada 1981.

Heikal tidak nampak sebarang logik serangan udara ke atas Afghanistan. Sebagai awalan, katanya, tidak ada satupun yang berbaloi untuk diserang. 'Saya telah melihat Afghanistan, dan tidak ada satu sasaranpun yang berbaloi untuk diserang dengan peluru berpandu yang bernilai satu juta dollar, setiap satu. Termasuklah Istana dijara di situ. Apabila saya kaji keadaannya, saya merumuskan bahawa ini semua adalah kerja gila. Jadi, saya fikir mereka ada satu rancangan utama dan ini hanyalah peringkat pertama sahaja.'

Dia juga mempersoalkan apakah Osama bin Laden dan kumpulan Al-Qaeda benar-benar bertanggungjawab dengan serangan September 11, memandangkan segala bahan bukti yang dikemukakan amat terhad dan seolah-olah penuh muslihat. 'Osama Laden tidak mempunyai keupayaan menaja satu operasi begitu hebat. Ketika saya mendengar Bush menuduh Al-Qaeda dia memberikan bayangan seoalah-olah dia berhadapan dengan Nazi Jerman ataupun Parti Komunis Soviet Union. Saya tertawa kerana mengetahui apa yang sebenarnnya. Osama Laden telah diekori bertahun lamanya, dan setiap hubungan telefon beliau telah lama dipantau. Al-Qaeda sudah lama disusupi oleh perisikan Amerika, perisikan Pakistan, perisikan Arab Saudi dan perisikan Mesir. Bagaimanakah mereka mampu menyimpan rahsia satu operasi yang begitu tinggi tahap organisasinya dan kecanggihannya'?

Heikal tidak yakin kepada cadangan betapa satu peranan pengawasan pusat telah dilaksanakan oleh timbalan Osama Laden, Ayman-al-Zawahiri, seorang pemimpin Jihad Islamia di Mesir. 'Dia memang berbahaya dan terlibat dalam pembunuhan Sadat, tetapi dia bukannya seorang pemikir dan perencana yang hebat. Dia hanya memainkan peranan sampingan ketika pembunuhan Sadat dulu, yang tidakpun dirancang dengan baik, tetapi mencapai kejayaan kerana mereka bernasib baik. Seperti yang didedahkan dalam perbualan mereka di TV Al-Jazeera, Osama Laden dan al-Zawahiri lebih bergantung kepada perasaan naluri mereka. Mereka ini bukannya Hamas ataupun Ihwan-u-Muslimin, mereka adalah satu kumpulan minoriti yang terpencil dan tidak melambangkan Islam ataupun perjuangan kita. Mereka ini adalah saki-baki sejarah penindasan dan mereka tidak mewakili masa depan kita.'

Heikel percaya, mungkin terdapat beberapa unsur yang masih tidak dijumpai dalam keganasan September 11 itu. Apapun kebenarnnya, dia berpendapat segala penjelasan yang ada masa kini adalah terlalu terburu-buru, tidak jelas dan sengaja memudahkan sesuatu. 'Saya difahami bahawa pentadbiran Amerika mahukan satu seteru secepat mungkin untuk dibalun bertalu-talu. Inilah seteru yang dijadikan satu penampan kemarahan rakyat Amerika yang membuak-buak,' katanya. 'Saya mengharapkan mereka sudah punyai bukti yang kukuh. Saya telah membaca ucapan Mr. Blair yang dibacanya di Dewan Rakyat, dengan amat teliti sekali. Mereka telah bersiap sedia dengan suasana yang sesuai dengan menyatakan Mr.Blair akan mendedahkan beberapa bahan bukti, sedangkan tidakpun ada sebarang bukti, kerana semua itu adalah andaian semata-mata. Collin Powell telah menunjukkan ketelusannya berbanding orang lain. Dia berkata, kalau bahan bukti itu tidak dapat diterima, tidak mengapa, kerana dia telah melakukan banyak dosa di lain masa, yang membolehkan tindakan dikenakan terhadapnya. Tetapi ini amat menyerupai satu pepatah Cina yang berkata: 'Tamparlah isteri kamu setiap hari, kalau anda tidak tahu kenapa, tanyalah dia yang akan berkata. 'Anda tidak boleh menampar setiap masa.'

Adalah penting, kata Heikal, membezakan semangat anti-Amerika yang sungguh kuat pengaruhnya di Timur Tengah dengan tindakan kepada serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia. 'Saya sedar adanya tunjuk perasaan oleh orang yang menunjukkan keriangan mereka,' katanya,' tetapi itu bukannya sesuatu yang boleh diambil-kira. Penduduk Timur Tengah faham apa makna keganasan yang sebenar. Ketika pelancong asing ditembak mati di Luxor, tercetus perasaan marah di Mesir. Sebaliknya, sudah wujud satu perasaan anti-Amerika yang meluap di merata dunia.'

Beberapa sebab kenapa tercetusnya kebencian terhadap Amerika itu adalah mudah dicari, katanya: 'Sokongan Amerika yang membabi-buta terhadap Israel, dan sikap mereka yang tergila-gila menyokong regim yang tidak sah, dan tidak bermaruah, di merata Timur Tengah. Dia mencemuh setiap kerajaan di rantau ini, termasuk kerajaan negaranya sendiri, dan menyalahkan Amerika kerana menyokong mereka dengan ghairah. 'Rakyat tidak memilih semua kerajaan ini, dan kalau adapun pilihanraya bebas, tidak seorangpun mereka ini boleh menang di tangga teratas. Mereka bukannya kerajaan yang sah, mereka tidak mewakili apapun selain kuasa untuk bermegah.'

Memang buruk cerita ini, tetapi, cerita betapa Amerika Syarikat yang merupakan kuasa besar dunia, bersekongkolan dengan mereka, tentulah merupakan cerita yang lebih buruk lagi. 'AS menyokong status quo itu, tidak kira bagaimana. Mereka mendabik dada mengenai demokrasi, sedangkan merekalah yang mengabainya. Mereka menyebut mengenai PBB tetapi mengabainya juga. Inilah yang melayakkan anda mencemuh mereka kerana mempunyai dua jenis kayu pengukur. Adalah menjijikkan bila kita melihat mereka bercakap mengenai demokrasi, tetapi di waktu yang sama mereka menyokong regim yang zalim. Mereka bercakap lantang mengenai hak sejagat, tetapi mereka menyokong perbuatan Israel. Semua itu mereka sebut dengan kejituan seorang penganalis, dan tidak dengan keghairahan seorang yang pintar berpidato.

Jadi, apakah Islam akan bersatu padu dengan perjuangan Afghanistan? Heikal berpendapat, tidak banyak sokongan kepada Taliban, yang digambarkannya sebagai 'mahkluk dari dunia asing'. Dia mengungkit satu cerita membabitkan Mullah Omar, pemimpin Taliban, ketika menghadiri satu persidangan pemimpin Islam di Pakisatan yang enggan duduk selagi satu potret yang tergantung di dinding tidak diturunkan. 'Tetapi itu gambar Jinnah" (bapa kemerdekaan Pakistan pada 1947, Mohammed Ali Jinnah), kata tuan-rumah persidangan. 'Jinnah itu siapa?' soalnya pula. Dia juga gagal mengecam Yassir Arafat. Heikal menceritakan kisah itu sebagai andaian bahawa kalaulah masalah Timur Tengah itu tidak dimaklumi oleh Mullah Omar, sudah tentu masalah Taliban, tidak menjadi isu utama di rantau itu.

Walau bagaimanapun, sebagai satu simbol imperialisme Amerika, serangan ke atas Afghanistan itu memang amat berbisa, dan berkemungkinan membengkak, terutama sekali kalau Iraq dan negara lain dimasukkan dalam senarai sasaran tambahan. Yang pasti berlaku, kata Heikal, setiapkali wujudnya kelompongan, Islam - yang merupakan satu budaya penyatuan yang semula jadi dan ubat mujarab kepada krisis serantau yang berlipat kali ganda masalahnya - memang sedia ada untuk menjadi pengisinya. Heikal menyebut Pakistan sebagai negara yang akan dihenyak gangguan yang paling hebat. 'Besar kemungkinan tindakan sekarang amat berbahaya dan mungkin menjatuhkan regim Pakistan yang ada,' katanya. 'Limpahannya akan menular dalam angkatan tentera Pakistan, di mana sebilangan pegawainya adalah pro-Islam. Bayangan senario yang paling buruk ialah satu keadaan bercelaru di mana tidak ada sesiapa yang berkuasa untuk mengambil-alih. Keadaan bercelaru itu akan menjalar dengan mudah merata di Timur Tengah.' Dia juga menyebut betapa Turkipun turut mereput, walaupun angkatan tenteranya berlagak sebagai penegak kubu sekularisme.

Di sebalik semua masalah itu, wujud masalah Palestin - tidak diselesaikan dan berkemungkinan tidak dapat diselesaikan juga. 'Krisis Afghanistan yang terkini, akan membanjiri negara lain juga,' kata Heikal, 'tetapi penyakit yang kronik ialah masalah Palestin.' Dia amat pesimis dengan cerita perdamaian, sambil mengingatkan sepucuk telegram yang dikirim kepada pemimpin Zionis, Theodor Herzl, oleh dua orang rabbi yang dihantarnya ke Palestin untuk melihat kawasan tanah yang mahu dijadikan tapak perkampungan Israel. 'Pengantin perempuan memang cantik, cuma dia sudah berkahwin.'

Cadangannya ialah penubuhan satu negara Palestin dan 'sebuah Israel untuk semua rakyat yang ada,' di mana jutaan Arab yang ada itu tidak dianggap sebagai warga kelas dua.' 'Yang pentingnya ialah mengenepikan masalah agama, ' kata beliau. 'Anda bercakap mengenai sebuah negara Islam dengan saya, sedangkan anda tidakpun menyentuh perihal negara Yahudi, sebuah negara yang dibina berasaskan agama. Mana aci! Agama tidak boleh dijadikan satu asas pembinaan sesebuah negara.'

Dia tidak yakin dengan cara Amerika berlembut terhadap orang Palestin, yang dikatakannya seiras perangai Amerika ketika perang Teluk dulu. 'Setiapkali Amerika memerlukan bantuan Arab, merekapun bersedia menghulur umpan, ' katanya. 'Pada 1991, seluruh dunia Arab telah diumpan menyertgai peperangan Teluk menentang Iraq kerana mereka telah dijanjikan satu penyelesaian terhadap masalah Palestin. Amerika telah mengirim surat utusan yang meyakinkan kepada semua pihak yang terlibat dan juga negara Arab dan mereka telah berkumpul di Madrid untuk membincangkan segala janji Amerika itu. Sepuluh tahun sudah berlalu sejak persidangan Madrid itu, dan tidak ada satupun yang telah ditunaikan.

Kini, senario yang sama diulang-tayang. Yang anehnya, ia membabitkan manusia yang sama juga - Cheney, Powell dan seorang ahli keluarga Bush. Seolah-olah tidak adapun yang sudah berubah. Rakyat di dunia Arab akan melihat bagaimana pemimpin kami kena kelentong lagi. Mereka yang kerap tertahan di kelas pengajiannya adalah mereka di kalangan pelajar yang tongong, dan kami memang pelajar yang tongong (dan bengong semacam Melayu dalam UMNO -penterjemah) Kami tidak pernah belajar daripada kesilapan, kerana itu kami akan dilaknat melakukan kesilapan yang sama.'

Tamat

Terjemahan: SPAR.

Asal: KM2 6126