Laman Webantu   KM2A1: 6088 File Size: 24.0 Kb *

| KM2A1i Index | KM2A1 Index |


MMMM: 7 - Bermulanya Perang Agama
By Marhain Tua

10/10/2001 9:11 am Wed

[Kalaulah cara memerangi keganasan adalah dengan menyerang sesebuah negara, banyak negara termasuk A.S. sendiri perlu diserang kerana menyimpan dan melindungi pengganas Israel itu sendiri. Menurut N. Chomsky, Amerika telah membatalkan (veto) keputusan Mahkamah Antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB - malangnya hal ini tidak disiarkan secara meluas oleh media.

Media juga gagal untuk menerangkan bahawa ketika Perang Teluk, 70% daripada 88,500 tan bom yang dihujani di Iraq dan Kuwait langsung gagal mengena sasarannya, begitu juga dengan serangan Nato di Yugoslavia. Yang lebih banyak mati dan tercedera adalah orang biasa. (J. Pilger - Guardian)

Those who contribute to the current propaganda that says there is no other way but war might reflect that they, too, are likely to end up with blood on their hands. - Pilger
- Editor
]


Siri MMMM

Bab 7: Musim Dunia Kristian Menipu Dunia Islam


Bermulanya Perang Agama

Seperti yang saya tulis kepada segelintir penerima tulisan yang terdahulu, saya bependapat bahawa peperangan menyerang Afghanistan ialah permulaan Perang Agama yang pernah kita ramalkan kira-kira dua tahun yang lalu.

Seperti yang saya tuliskan juga dan diulang kembali oleh Robert Fisk, Amerika sebagai kuasa terkuat di dunia sanggup menghentam negara termiskin di dunia atas nama memerangi keganasan sedangkan itu hanya satu tipu-muslihat. Kalau betul-betul mahu perangi keganasan Amerika harus menghentam IRA yang sudah lama membunuh di negara barat terutama sekali di kota London. Amerika dan NATO harus mengebum wilayah Basque yang sudah lama mahukan kemerdekaannya daripada Sepanyol. Amerika harus menyerbu Colombia di mana bersarangnya Mafia Dadah terbesar dunia ataupun Tupak Maru di Peru. Ketika Milosevic (bekas presiden Yugoslavia) bertindak ganas membunuh orang yang tidak berdosa setiap hari, Amerika sepatutnya menyerang Kosovo dan bukan mengarahkan NATO melindunginya. Sehingga kini Ridzwan Karatzhik belum lagi tertangkap walaupun ratusan ribu umat Islam mati disembelihnya.

Malahan, Amerika seharusnya menakluki Israel kerana mengekspot keganasan seluruh dunia, termasuk satu pasukan khas di Singpura di mana terdapat satu pangkalan pesawat udara (drones) tanpa juruterbang sentiasa bersiap sedia (dan diberikan keizinan menggunakan ruang udara Malaysia secara percuma). Sekaligus Amerika harus mengebom Singapura yang menjadi proksi Israel membuat kerja risikan di seluruh Afrika dan Asia Tenggara. Singapura juga merupakan sarang pembikinan jerangkap samar yang dibekalkan kepada Kuwait untuk dipasang sepanjang sempadannya dengan Iraq; dan di persisiran pantai di Teluk Arab/Parsi yang tidak mampu dikawalnya.

Banyak lagi tempat lain di mana masih ramai penyangak yang mengganas besar-besaran, tetapi Amerika tidak pun bertindak mengajar mereka. Semua serangan itu mempunyai bukti sahih betapa Amerika benar-benar mahu mengganyang dunia Islam.

Memandangkan keadaan sedemikian saya mencadangkan agar pengendali laman Web menumpukan satu format memberi maklumat kepada bangsa, sebanyak mungkin yang tidak dapat dibaca di mana juga ataupun diikuti di TV dan radio dalam Bahasa Melayu.

Saya harap pengendali laman web beragama Islam dan mereka yang cintakan keamanan dunia, supaya tidak terikut rentak CNN dan media perdana UMNO yang memperkecilkan perang Afghanistan ini, kerana AS mahu menyudahkan perang mereka yang gagal ditamatkan dengan jayanya oleh Presiden Bush Sr. dulu. Kalau AS berjaya menguasai Afghanistan melalui perang yang tipu muslihatnya dikatakan untuk mendera Osama Laden dan Kumpulan Al Qaeda; ini bererti seluruh dunia Islam akan tergugat. Banyak unsur-unsur penekanan perjuangan Islam itu sedang ditekan oleh pemimpin Islam sebagai proksi kepada AS dan Zionisme serta dunia Kristian.

Ketika Kosovo dan keseluruhan Bosnia tergugat, Malaysia merupakan salah satu negara yang mula-mula menawarkan perlindungan kepada masyarakat Islam di sana termasuk di Albania untuk mendapat perlindungan di sini. Kenapa kali ini tidak ada tawaran diberi kepada masyarakat Afghanistan? Apakah kerana masyarakat Bosnia yang diberi perlindungan dulu merupakan oang Islam hanya pada namanya sahaja?

Kenapakah kerajaan PAS di Terengganu dan Kelantan tidak menawarkan kemasukan pelarian Afghanistan di kalangan kanak-kanak yang belum baligh untuk memasukki Kelantan dan Terengganu dan minta derma masyarakat Islam untuk menaja pembiayaan mereka? Bukankah itu lebih besar pahalanya daripada setakat sembahyang hajat dan berdemo di depan Kedutaan Amerika?

Kenapakah UMNO melalui 'Puteri' dan 'Kaum Ibunya' tidak melancarkan gerakan mengambil anak angkat kanak-kanak Afghanistan yang masih kecil lagi, sebelum mereka mati kebuluran dan kesejukan di sempadan Pakistan? Kenapa tidak dilancarkan satu program khas membenarkan sistem anak angkat ini di kalangan keluarga kaya raya di Malaysia? Kerajaan tidak perlu keluarkan duit untuk projek ini. Serahkan kepada rakyat biasa untuk mengaturnya dan lihat berapa ribu anak-anak yang merempat di Afghanistan itu dapat diselamatkan, sebelum mereka diambil oleh UNHCR untuk diagihkan kepada dunia Kristian seperti yang berlaku di banyak empat sebelum ini. Apa jadi kepada mereka akhirnya? Ramai yang sudah besar dan kini menjadi sumber tenaga untuk mewarnai dunia pelacuran di barat, kerana projek anak angkat di Barat selama ini dibiayai oleh gereja dan ada yang dikendalikan oleh industri pelacuran juga.

Bukankah itu yang berlaku di Vietnam, Congo, Mozambique, Somalia, Bosnia, Ethiopia, Eriteria, Jerman dan banyak lagi?

Serangan yang dibuat oleh AS dan Britain terhadap Afghanistan adalah satu penghinaan besar kepada dunia Islam kerana tidak mampu menyekatnya. Ketika Amerika di serang pada September 11 dulu, ia dilakukan sebelum waktu pejabat di siang hari. Ramai orang Yahudi yang sudah mengambil cuti seolah-olah mereka tahu akan kemunculan serangan. Apakah Osama Laden dan orang-orangnya yang memberitahu jadual serangan itu ataupun serangan itu dilakukan oleh kumkpulan proksi Yahudi? Jika demikian, Osama Laden bukannya orang yang patut dituduh mencetuskan jenayah itu.

Ketika Amerika menyerang-balas, serangan dibuat di tengah malam kerana mengambil kira 'prime-time' untuk tontonan rakyat Amerika (Amerika ada empat zon waktu). Tetapi itulah waktunya rakyat Afghanistan sedang tidur tanpa lampu letrik di banyak tempat. Bayangkan kesengsaraan mangsa meraba-raba mencari perlindungan di waktu gelap gelita tanpa sebarang bantuan kepada pihak yang cedera.

Serangan Amerika diberikan lintas langsung di TV sambil diberikan penjelasan apa sasarannya. Kemudian diselang seli dengan sinario mencari mayat di Pusat Dagang Dunia sebagai muslihat untuk menyedarkan rakyat dunia supaya bersimpati dengan Amerika kerana tindakannya. Kalau Amerika mahu, runtuhan Pusat Dagang Dunia itu sudah boleh dibersihkan dalam jangkamasa dua minggu. Kalau AS betul-betul ingatkan ajaran Allah dan hormati mangsa yang sudah mereput di bawah runtuhan batu itu, keseluruhan timbunan batu sudah pun bersih diangkut dan apa juga mayat yang dijumpai ataupun cebisan anggota badan, sudah ditanam. Tetapi, ia sengaja dilambatkan supaya tidak terdedah kemana perginya puluhan ribu orang Yahudi yang dikatakan bekerja di pusat itu? Ia memang dilengahkan kerana Bush mahu mengimbangi sentimen manusia, kalau-kalau berlaku kecelakaan dalam serangan mereka di Afghanistan. Timbunan runtuhan bangunan itu sengaja dijadikan bahan pelancungan terbaru baik dari segi fizikal ataupun segi lawatan letronik, kerana parti Repablikan mahu menyauk simpati rakyat untuk merestui perancangan menambahkan belanjawan darurat yang akan merancakkan industri pengeluaran kelengkapan perang. Untuk menambahkan kehebatan rencana itu mereka kerahkan hampir 50,000 tenaga kerahan (national sevice) dan tubuhkan pula satu jabatan 'Homeland Security Service' yang tidak jauh bezanya dengan konsep 'Home Guard' di zaman pra-kemerdekaan dulu dan konsep 'Rukun Tetangga' di zaman ini.

Alangkah pelik, satu keruntuhan yang memendamkan sekitar 250 juta dolar jongkong emas di bahagian bawah bangunan dan simpanan dana, jam yang mahal-mahal, simpanan perhiasan yang mewah-mewah dan simpanan lukisan serta bahan simpanan purba (antik) yang mahal dan terlalu berharga, dibiarkan terperam begitu sahaja menunggu masa diselongkar dan diselamatkan hanya selepas AS selesai menjahanamkan sebuah negara Islam dan bekemungkinan menyambungnya (serangan udara membenteras keganasan) di negara Islam yang lain seperti Iraq, Syria dan Iran?


Siapakah yang dapat mencelikkan dunia Islam

Kebenaran cerita perang di medannya hanya dapat diikuti melalui Al-Jazeera sebuah saluran TV di Iraq dan al-Manar yang berpangkalan di Beirut. Soalnya sekarang kenapakah negara Islam yang sudah berkokok lama akan keIslamannya seperti Malaysia tidak mahu mencarum kepada dua saluran TV itu untuk mendapatkan berita mereka sebagai imbangan berita barat?

Kenapakah PAS dan Keadilan sebagai parti pembangkang tidak dapat mengusahakan menghubungi dua saluran TV itu untuk disalurkan dalam internet Malaysia untuk diikuti oleh rakyat negara ini?


Pemimpin Politik Islam Terus Berlakon

Jelas, apa yang berlaku di Afghanistan mencetuskan banyak kekeliruan kepada masyarakat Islam di negara ini kerana sikap keangkuhan ramai pemimpin itu sendiri yang tidak kisah dan perihatin kepada apa yang sebenarnya sedang bergolak di Afghanistan. Kebanyakan mereka khayal dengan masalah dalaman yang kebanyakannya merupakan 'trivial' ataupun tetek-bengek yang tidak sepatutnya difikirkan ataupun digembar-gemburkan oleh pemimpin politik. Mereka fikir masalah di Afghanistan tidak ada kena mengena dengan kehidupan Melayu dan Malaysia. Tidak ramai yang sedar akan pentingnya memahami pergolakan itu untuk menyedari imbangan kuasa di rantau ini. Mereka tidak sedar perasaan manusia Islam adalah sama di mana juga, apabila kesuciaan agama mereka dihambat oleh orang luar terutama apabila orang yang menghina itu datangnnya daripada agama yang lain. Mungkin disebabkan pemimpin BN seperti Samy Vellu, Kayeveas dan Ling Liong Sik masih terlepas bebas walaupun sudah semakin berani menghina agama Islam dan al-Quran, makanya sentimen orang luar dalam mempertahankan keluhuran agama itu boleh diketepikan sahaja. Seperti juga segala keceluparan Mahathir memperlekehkan Islam yang lebih aib daripada gelagat Salman Rushdie, satu ketika dulu.

Mahathir sudah tua dan sudah tidak mampu memberikan perhatian yang amat mendalam kepaada masalah ini. Masalah masa depannya dan anak-anak serta cucu-cicitnya sudah lebih dari mencukupi untuk menghantui hidupnya. Apatahlagi masalah musuh dalaman UMNO yang menunggu untuk menyembelih karier politiknya. Kerana itu Mahathir terpaksa berlakon seolah-olah menangani masalah besar ekonomi negara, sedangkan dia sudah tidak mampu menangani masalah yang dia sendiri menjadi pencetusnya.

Kenapakah keadaan Mahathir yang paling rapuh ketika ini tidak digunakan oleh pemimpin parti pembangkang untuk mendedahkan lebih banyak kepincangan pentadbiran negara dan segala kerakusan Mahathir dan jongosnya. Kenapakah sejak Ezam dan rakannya dipenjarakan, gelombang penentangan rakyat kelihatan lemah dan tidak bertenaga?

Di sinilah letaknya dalil bahawa kebanyakan pemimpin pembangkang turut berlakon sama. Kerana itu apabila Mahathir menyekat ceramah terbuka, hampir semua pemimpin pembangkang bersuara mahu menentangnya, tetapi di waktu yang sama mereka pun mengurangkan ceramah terbuka itu. Apabila disekat penjualan VCD secara terbuka yang sebenarnya bertujuan menumpulkan bisa dakwah Islamiah, pihak pemimpin pembangkang akur juga, sedangkan mereka boleh mempelopori penyibaran VCD itu secara lain. Kalau di tempat penjualan yang didominasi masyarakat Cina, VCD lucah masih mudah dibeli, kenapakah VCD dakwah mesti ditegah untuk diedarkan ?


Amerika Membodohkan Negara Islam

Tekanan Amerika mengganyang Afghanistan tidak dipedulikan oleh dunia Islam, kerana Afghanistan merupakan sebuah negara yang termiskin di dunia. Apabila Timbalan Presiden Dick Cheyney memberi katadua, 'You are with me or with the babarians!' tidak ada seorang pun pemimpin negara Islam yang membantah secara terbuka. Kenapakah Amerika sanggup menggugat dunia dengan katadua tanpa memberi peluang kepada orang lain untuk ambil sikap berkecuali? Kalau di PBB semua negara ahli pertubuhan itu boleh memilih untuk berkecuali, kenapa Amerika tidak mengamalkan dasar itu, sedangkan Amerika merupakan negara yang paling besar hutangnya kepada tabung PBB itu?

Amerika bangga menunjukkan gambar 'live' mereka mengebom untuk menghancurkan bandar-bandar Afghanistan. Di waktu yang sama mereka juga menggugurkan bantuan bekalan makanan dan transistor radio untuk membolehkan rakyat Afghanistan mendengar propaganda mereka. Tindakan Amerika ini adalah satu tindakan kurang ajar kerana:

a) Kalau setakat mengebom pusat latihan Al-Qaedah kenapakah dimusnahkan rumah kediaman dan pejabat NGO di sana? Amerika menyerang menggunakan peluru berpandu 'tomahawk' yang bernilai satu juta dollar setiap satu; pada malam pertama serangan telah memuntahkan 50 biji peluru 'tomahawk' itu. Kosnya ialah sekitar satu juta dollar, dan kalau diambil kira kos penggembelingan askar dan kelengkapan perang yang menghenyak Afghanistan pada malam pertama itu sahaja, ia mencecah melebehi setengah bilion dollar. Jumlah sebanyak itu sudah mencukupi memulihkan ekonomi Afghanistan di tahap awalannya sehingga orang Afghanistan dapat bermandiri.

Apakah perkiraan di atas tidak dapat dicongak oleh para pemikir yang bijaksana di Amerika? Setiap institusi pengajian tinggi di Amerika boleh memberikan pendapat yang sama, tetapi siapakah yang akan mendengar cadangan mereka?

Presiden Bush sudah lama merancang untuk menghancurkan dunia Islam kerana itu merupakan agenda ayahnya dulu yang pernah berkata 'After Iraq, Islam is next?' Tetapi, ketika dia menghentam Iraq dulu hampir keseluruhan belanjawan angkatan tentera Amerika telah dibiayai oleh Kerajaan Arab Saudi, Kuwait, UAE dan Sultan Brunei. Dengan lain perkataan, sejak pemerintahan bapanya Presiden Bush yang ini bersama sekumpulan penyangak di Rumah Putih sudah mempunyai satu pendirian tegas mahu memerangi Islam dengan menggunakan kekayaan Islam. Sekaligus dunia mahu dihancurkan dengan menggunakan kekayaan dunia Islam itu sendiri. Amerika fikir mereka boleh berjaya dengan agenda ini kerana hampir semua pemimpin negara Islam termasuk seorang yang berjiran dengan Indonesia yang hanya tinggal gigi dan lidah sahaja apabila mahu berdepan dengan Amerika.

Memang sejak peperangan Vietnam dulu Amerika sudah berjaya melancarkan sistem menghakis kekayaan negara Islam dengan muslihat adu-domba peperangan yang diselangseli dengan sistem sekatan ekonomi. Suasana peperangan membuatkan negara Islam berbelanja sakan membeli kelengkapan perang, sehingga banyak negara itu yang membeli lebih pesawat terbang daripada jumlah juruterbang dan juruteknik terlatih. Kemudian direncana pula untuk menekan negara yang sudah banyak mempunyai kelengkapan perang itu sehinggakan wang simpanan mereka di Barat dapat dibekukan, dan sekatan ekonomi dan embargo dikuatkuasakan. Itulah yang terjadi kepada beberapa negara berminyak seperti Libya, Nigeria, Iraq, Kuwait, Iran, Saudia, UAE, Indonesia dan Malaysia. Malahan Brunei yang dikatakan negara Islam yang paling aman sudah semakin hancur apabila sebilangan besar harta negara disalahurus oleh adik raja yang sedia ada.

Propaganda membeli kelengkapan perang buatan barat dan Amerika dapat dilihat dengan pertunjukan peralatan perang seperti yang ditaja oleh LIMA. LIMA bukannya sehebat mana kalau dibandingkan dengan pertunjukan yang sama di negara Barat yang lebih besar dan lebih hebat. Tetapi, kerana tamak dan haloba ia dibuat selalu di Langkawi tanpa memikirkan belanja dan pembazirannya. Apakah tanpa LIMA negara yang memerlukan kelengkapan perang tidak dapat membelinya? Apakah tanpa LIMA Langkawi tidak dapat membangun pelancungannya? Sepatutnya LIMA kali ini dibatalkan kerana Amerika dan Britain tidak akan menyertainya. Sudah tentu banyak lagi negara lain dan syarikat lain yang tidak akan hadir tetapi sengaja tidak mahu diumumkan pada waktu ini. Inilah dasar kerajaan haprak yang memikirkan rakyatnya semacam gembala keldai di pergunungan Afghanistan.

Di waktu yang sama negara Islam yang mempunyai banyak rakyat yang pintar dalam dunia pendidikan dan teknologi, terus ditekan agar tidak bangkit sehingga mampu bergusi dan menggigit. Pakistan, Bangladesh, Indonesia adalah contoh yang terbaik. Tetapi, di negara Arab inilah negara yang menghantarkan ramai penduduknya untuk menguruskan pelbagai industri di sana.


Dunia Islam Yang Dihinakan

Adalah satu ironis, Mahathir Mohammad yang selama ini berlagak gagah menjuarai Dunia Ketiga, tiba-tiba menikus apabila Amerika menyerang Afghanistan. Kenapakah Malaysia tidak bersuara meminta PBB bersidang tergempar menyekat kemaraan Amerika untuk terus menghancurkan Afghanistan? Kenapakah Amerika dibiarkan menyerang Afghanistan dengan pesawat udara sedangkan Afghanistan sudah tidak lagi memiliki tentera udaranya? Kenapakah Mahathir tidak melaungkan Amerika menipu apabila ada berita mengatakan perdumbaan pesawat Amerika dengan MIG Taliban? Manakah Taliban ada pesawatt perangnya lagi yang mampu menandingi F-14 dan F-16 Amerika ataupun pesawat perang Britain?

Selepas menjahanamkan peralatan radar Afghanistan, Amerika sedang menyerang bekalan simpanan logistik Afghanistan seperti bekalan peluru, pangkalan meriam pertahanan, bekalan minyak dan sebagainya. Ini merupakah serangan untuk melumpuhkan keupayaan pertahanan. Dari situ kita menjangkakan Amerika berkemungkinan menurunkan komando payung terjun di bandar besar, sebagai satu tindakan untuk pablisiti waktu 'prime time' juga. Selepas itu, mereka akan cuba menubuhkan pemerintahan tempatan mengandungi orang proksi mereka termasuk satu dua puak Taliban sebagai tukang sanggup sahaja.

Kita menjangkakan, Amerika akan menyerang terus Afghanistan untuk membolehkan pendaratan askar payung terjun ke bandar besar sebelum askar yang lain dikerahkan. Ini merupakan kemuncak peperangan ini yang dijangka akan selesai sebelum hari Khamis terakhir bulan November (Thanksgiving Day = Hari kesyukuran Kristian Amerika). Jika ini tidak dapat tercapai, Amerika akan menarik pulang askarnya untuk diganti dengan pasukan baru, lengkap dengan perbarisan kemenangan (victory parade) membodohkan dunia Islam. Kemudian, peperangan itu akan diselesaikan untuk askar itu pulang bercuti menyambut Krismas dan tahun baru.


Masalah Yang Menghantui Amerika dan Britain.

Setiap waktu kita diberitahu pembabitan dan sokongan negara besar lain. Peranchis, Autstralia, Kanada, Jerman, China, Soviet dan Jepun semuanya dikatakan menyokong. Semua dikatakan akan menghantar pesawat terbang mereka. Tetapi sehingga kini, hanya Amerika dan Britain yang terlibat. Amerika menggunakan hanya sekitar empat pesawat pengebom setiap hari, sedangkan Amerika mempunyai longgokan pesawat yang sungguh banyak sekali. Itupun, ketika menyerang Afghanistan, pesawat Britain hanya memainkan peranan logistik sahaja (bermakna sebagai tukang iring bersenjata sahaja untjuk ambil gambar tembakan dan sasaran).

Ini bererti Amerika tidak memerlukan penglibatan pesawat perang negara lain untuk menjahanamkan Afghanistan. Kenapa pula Amerika merungut dengan kemungkinan berpecahnya pakatan menyerang Afghanistan itu?

Negara lain yang menyokong Amerika sebenarnya berbuat demikian kerana muslihat politik sahaja. Mereka sendiri faham bahawa bukti penglibatan Osama Laden dalam pengeboman Menara Pusat Dagang Dunia (WTC) itu masih samar dan penuh tekateki. Mereka sedar sejarah akan menuduh mereka bersubahat membunuh orang Afghanistan yang tidak berdosa. Ketika NATO tidak berjaya menangkap Radzwan Karadchik, mahkamah dunia telah mengadilinya secara 'absentia' berasaskan segala bahan butkti yang ada. Kenapakah Osama Ladin tidak diadili dulu oleh mahkamah dunia berasaskan bahan bukti yang dikemukakan oleh Amerika?

Nampak sangat Amerika telah memaksa setiap negara yang memperakukan sokongan kepadanya dengan pelbagai bentuk ugutan ataupun sogokan yang membuatkan mereka menyokong Amerika. Apabila dibandingkan Osama bin Laden dan puak Taliban, sudah tentu lebih menguntungkan menyebelahi Amerika.

Kerana itu hampir semua pemimpin dunia ketiga dan dunia Arab menyokong Bush dan Amerika. Tetapi apabila rakyat mereka tidak dibenarkan menaikki pesawat Amerika adakah mereka membantahnya? Apakah tindakan Mahathir apabila anak-anak kapal (awak-awak) Malaysia tidak dibenarkan turun menjejakkan kaki di bumi Amerika? Adakah sesiapa di Malaysia yang menulis surat secara terbuka kepada Bush menunjukkan biadap Amerika terhadap rakyat Malaysia? Adakah sesiapa di kalangan pemimpin pembangkang yang menulis mengenai perkara ini kepada kedutaan Amerika di Malaysia?

Sebelum Amerika mengebom Iraq dulu, mereka terpaksa mendapatkan keizinan PBB untuk membincangkan segala bahan bukti mereka sehinggalah PBB mendapatkan suara keahlian Majlis Keselamatan PBB untuk menyetujuinya. Salah satu negara yang bersetuju itu ialah Malaysia. Setelah Iraq dibom hingga lumat, Saddam Husin yang menjadi sasaran pertama tidak juga mati. Kemudian Amerika lancarkan pelbagai muslihat lagi untuk mengganyang Iraq hingga kini. Jawatan Presiden Amerika sudah bertukar tangan sebanyak tiga kali sebelum jatuh ke tangan Bush Jr. Itupun dengan cara tipu muslihat juga. Apabila Amerika gagal menundukkan Iraq mereka perlukan satu medan perang baru untuk memacu ekonomi yang sudah jatuh merudum. Mereka mahukan kegiatan yang merancakkan industri kelengkapan perang.

Amerika sudah merasa serik dengan Sadam Hussin. Oleh kerana tidak ada lagi tokoh negara yang boleh mereka dera sehebat Saddam, mereka terpaksa memilih Osama Laden, kerana dia adalah berdarah Arab dan beragama Islam. Inilah tipu muslihat Amerika seterusnya, Osama Laden hanyalah satu sasaran rasmi sahaja. Yang sebenarnya Amerika mahu henyak negara Islam dan dunianya. Afghanistan telah dikira paling cocok kerana rakyat yang sudah merempat selama lebih dua puluh tahun. Sehinggakan Amerika terpaksa menghadiahkan radio kecil untuk memberikan propaganda kepada orang Afghan. Inilah masalahnya dengan dunia Islam keseluruhannya, membiarkan Amerika memukul rebana untuk diragamkan tariannya.

Sebenarnya gelagat Amerika memberi bekalan makanan kepada Afghan adalah cara yang dimulakan oleh Askar Melayu pimpinan Jeneral (B) Abdul Latiff Ahmad di Somalia. Malahan, ketika lebih dua puluh askar Amerika diserang dan dibunuh di Somalia ketika mahu menangkap Jeneral Aidid, Askar Melayu yang telah menyelamatkan mereka sehingga mengorbankan seorang pemandu APC daripada Perlis.

Disebabkan kedaifan orang Islam di Afghanisan itu seluruh dunia Islam terpaksa memilih apakah mereka memihak kepada tamaddun moden ataupun kepada zaman jahiliah. Inilah kata dua Amerika mengikut hukum ala kaoboi menyuruh kita memilihnya. Osama Laden dianggap oleh Amerika masih hidup di zaman jahiliah, sedangkan Amerika dan CIA serta NATO yang mencipta Osama Laden dan Taliban.

Soalnya sekarang, apakah dunia Islam memang masih jahil lagi persis Taliban ciptaan Amerika itu?

Marhaintua
Oktober 11, 2001.