Laman Webantu   KM2A1: 6087 File Size: 4.7 Kb *

| KM2A1i Index | KM2A1 Index |


Lori Penguatkuasa MPPJ Dibakar Rentung
By Najmi Samsudin

10/10/2001 8:36 am Wed

[MPPJ nampaknya belum belajar lagi dari kes ngeri di pasar Chow Kit satu ketika dulu (yang tidak disiarkan di mana-mana media) dimana kenderaan dan pasukan DBKL turut menjadi mangsa akibat keganasan mereka juga. Masalah gerai 'haram' boleh diatasi tanpa perlu mengirim 'bala tentera' yang tentunya akan mengundang bala. Itu tidak akan dapat menyelesaikan apa-apa. Apa yang perlu cumalah dialog terbuka jika otak itu sememangnya ada. Sayangnya mereka tidak nampak itu semua mungkin kerana mendapat idea dari pasukan polis agaknya. - Editor]


Lori Penguatkuasa MPPJ Dibakar Rentung

Sebuah lori pengangkut penguatkuasa MPPJ telah dibakar oleh penduduk pangsapuri Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya di sini malam ini. Operasi menyita gerai yang tidak berpermit telah bermula pada jam 9.00 malam dengan menggunakan kira-kira 4 buah lori pengangkut dan sebuah pacuan 4 roda. Anggota MPPJ yang terlibat dalam operasi malam ini ialah lebih kurang seramai 100 orang yang lengkap beruniform. Pada peringkat awalnya, pihak penguatkuasa hanya menyita gerai-gerai yang masih beroperasi selain restoran berhampiran yang membuka meja di tempat letak kereta. Setelah selesai mengangkut segala barang peniaga gerai dan restoran tersebut, satu daripada lori tersebut bersama-sama sekumpulan anggota lain telah pergi menuju ke sekitar pangsapuri 5 tingkat yang juga terdapat sebilangan gerai-gerai kecil penduduk tempatan yang tidak berniaga pada malam ini.

Tanpa ada rasa sikap toleransi dan budibicara anggota terbabit terus mengangkut segala meja dan kerusi milik penduduk tempatan dengan lagak sombong dan angkuh. Di samping itu mereka tanpa ada rasa hormat mengugut penduduk tempatan agar diam dan jangan nak buat kecoh sedangkan perbuatan mereka mengangkut barang milik penduduk yang tidak menjalankan operasi perniagaan langsung tidak diambil kira.

Apabila salah seorang penduduk (lelaki melayu yang sudah berumur) mempersoalkan tindakan mereka itu, sekumpulan anggota penguatkuasa MPPJ ini telah memukul kepala dan anggota badan lain dengan cota di samping sepak terajang yang tidak terkira. Dalam masa yang sama, seorang penduduk (pemuda berketurunan India) telah diugut dengan pistol oleh salah seorang penguatkusa setelah pemuda ini mempersoalkan tindakan samseng MPPJ ini memukul lelaki berkenaan. Hakikatnya, api yang membakar lori milik MPPJ ini, tidak akan menyala jika tindakan ala-samseng penguatkuasa MPPJ ini tidak berlaku. Perbuatan 'kaki pukul' MPPJ ini benar-benar mencabar wibawa warga Sekyen 6 ini. Justeru, keadaan menjadi kelam kabut dengan api yang membakar lori semakin marak di perkarangan antara 2 bangunan pangsapuri.

Kelihatan samseng-samseng MPPJ ini lari lintang-pukang mencari tempat berlindung kerana para penduduk mula berkumpul dengan ramainya untuk menangkap sesiapa sahaja staff beruniform MPPJ untuk dibelasah. Mujur tindakan cepat sebilangan penduduk yang prihatin mengawal keadaan daripada keadaan menjadi lebih teruk dan parah lagi. Namun, apa yang menyedihkan penduduk di sini, ialah tiada seorang pun pegawai tertinggi MPPJ yang hadir melawat tempat kejadian pada malam ini. Apatah lagi bayang-bayang pegawai yang mengetuai operasi malam ini yang dipercayai telah cabut lari lebih awal dengan menaiki 4WD berwarna biru.

Moral daripada kejadian ini ialah, sikap dan lagak MPPJ itu sendiri yang perlu dilihat dan dinilai kembali. Adakah tindakan brutal dengan memukul orang awam yang tidak berdosa telah menjadi polisi baru operasi MPPJ? Sejak bila MPPJ diberi kuasa membelasah orang awam? Apakah terlalu sukar untuk mengeluarkan lesen kepada penduduk-penduduk ini menjalankan perniagaan secara sah? Kami sendiri penduduk di sini tidak berasa apa-apa dengan kemampuan dan kebolehan mereka menjalankan perniagaan kecil-kecilan bahkan berasa bangga kerana sekurang-kurangnya memberi sedikit pilihan daripada restoran berhampiran. Seperkara lagi, adakah pemilik gerai ini telah diberikan notis lebih awal untuk mengosongkan barang-barang mereka daripada premis pangsapuri terbabit?

Walau notis telah diberi lebih awal sekali pun, MPPJ mestilah bersikap 'membantu', mesra dan berakhlaklah sedikit bukannya terus menghukum mereka dengan tindakan semborono dan membuta tuli. Jika MPPJ masih lagi terus-terusan bersikap samseng dan brutal ini, jangan harap kejadian yang serupa pada malam ini tidak akan berulang malah mungkin lebih dahsyat -maut!

Najmi Samsudin

ANTI KEZALIMAN, CINTA KEADILAN & KEBENARAN