Laman Webantu (M)   KM2: 6041 File Size: 9.6 Kb

| KM2i Index | KM2 Index |


TJ SP MGG: Papantanda: 'Jangan masuk' di Pilihanraya Sarawak
By M.G.G. Pillai

4/10/2001 12:05 am Thu

Papantanda: 'Jangan masuk' di Pilihanraya Sarawak

('Keep off' sign in Sarawak election)

Oleh: M.G.G. Pillai

Keputusan pilihanraya Sarawak pada hari Khamis lalu, telah mencetuskan kerunsingan di sebalik kemegahan BN menyapu 60 daripada 62 kerusi. Yang lebih merunsingkan ialah semakin luasnya jurang politik, budaya, perkauman dan keagamaan antara negara di sebelah timur di seberang semudera dengan Semenanjung Tanah Melayu.

Para pengundi di Sarawak telah menolak parti politik yang berpangkalan di semenanjung, baik yang sedang memerintah ataupun yang menjadi parti pembangkang. Antara yang rugi ialah UMNO. Dengan lain perkataan, inilah satu amaran awal betapa wujudnya banyak yang tidak kena bukan sahaja di Sarawak bahkan juga di Sabah.

Dalam pilihanraya Sarawak penentang utama datang daripada parti Semenanjung - DAP. Keadilan, PAS - dan bekas menteri pertahanan, Abang abu Bakar, yang merupakan mata tombak UMNO di negeri itu.

UMNO menyokongnya sehinggakan tidak menjadi satu rahsia lagi. Tetapi apabila UMNO terpaksa membuat penafian mengenainya setelah diasak di penjuru oleh BN Sarawak sebelum hari pengundian itu. Kalau ada satu-dua parti kecilan di Sarawak ketika itu, mereka ditolak tepi sahaja antara satu perlawanan antara cerpelai dan ular.

Apa yang terjadi mencetuskan satu keraguan. Undi yang telah diberikan adalah lebih menentang DAP, PAS, Keadilan dan juga UMNO. Inilah keraguan kerana takutkan kemunculan UMNO lebih lagi daripada kemunculan parti yang lain itu. Kumpulan parti pribumi yang utama di negara itu, sama ada animis ataupun beragama Kristian, boleh hidup seiring dengan parti Islam dengan bantuan persekutuan, tetapi tidak dengan UMNO, tidak kiralah kalau penubuhannya pada masa yang akan datang bertujuan untuk menentukan agar ketua menteri yang dilantik itu, seperti yang terjadi di Sabah, datang daripada calon beragama Islam.

Serangan terhadap PAS kerana fahaman Islamnya telah melantun balik, kerana cara BN menguatkuasakan fahaman islam di Sarawak. Mengaitkan keganasan dengan Pas dan menakutkan para pengundi dengan mengaitkannya kepada PAS dan kumpulan keganasan telah mengekalkan status quo yang sedia ada.

Petanda Kekecohan

Seperti di Sabah, UMNO mahukan ruang untuk bertapak lebih perkasa di negeri itu, bergabung dengan minoriti Melayu dalam negeri itu untuk menyaingi dan mengurangkan pengaruh kuasa Melayu Melanau seperti menyekat kemenangan semula ketua menteri Abdul Taib Mahmud. Ia melakukan perkara ini tanpa mendapatkan sokongan kumpulan pribumi Iban yang utama di negeri itu, seperti yang berlaku di Sabah. Apabila keadaan mendesak, orang Iban lebih suka memihak kepada hanturaya yang mereka sudah biasa daripada bersekongkol dengan hantu puaka yang datang daripada seberang semudera.

Dengan lain perkataan, selagi parti politik di Semenanjung tidak berubah sikap dalam tanggapan mereka terhadap Sarawak dan Sabah, akan tercetus satu konfrontasi yang lebih berbahaya di hari muka. Di Sabah, ketuanan UMNO dan para pemimpinnya yang berkuasa dengan sokongan persekutuan menyebabkan suasana politik menjadi gila. Inilah yang telah meminggirkan kumpulan pribumi tempatan bukan disebabkan politik malahan oleh agama juga.

Tidak ada satu pun parti politik persekutuan termasuk UMNO yang faham apa sebenarnya sasaran mereka di Sarawak dan Sabah, baik dari segi perbezaan budaya yang luas jurangnya, mahupun agama ataupun perbezaan politiknya. Yang mereka pentingkan ialah kuasa, dan kemudiannya melentur imej negeri itu mengikut ragam pandangan orang Kuala Lumpur.

Perkara yang menekan kini bukannya untuk membentuk dua buah negeri yang lebih besar daripada Semenajung Tanah Melayu (malah, Sarawak sahaja sudah hampir sama besar dengan Semenanjung) agar akur kepada Kuala Lumpur. Apa yang Kuala Lumpur lakukan sejak tertubuhnya Malaysia pada 1963, ialah memperlekehkan Sarawak dan Sabah untuk menjadi sebahagian persekutuan Malaysia, sama rentaknya ketika Malaysia telah dibentuk sebagai satu persyarikatan antara Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah. Perjanjian yang ditandatangani ketika itu telah diabaikan dengan selamba, dengan para pengampu persekutuan bercakap mengenai kecurangan persekutuan yang galak sangat sehingga kini.

Perlindungan perlembagaan yang diterimanya, termasuk 40 persen kerusi di Parlimen, telah terungkai dengan kebangkitan negeri Melayu dan penentangan di dua negeri itu diabaikan dalam satu rencana merampas kuasa yang ada pada Perlembagaan negara. Cabaran pertama muncul dua tahun kemudiannya, daripada ketua menteri Sarawak, Stephen Kalong Ningkan, yang telah diketepikan begitu sahaja dengan serta-merta. Pada waktu yang sama Singpura pun berundur daripada Malaysia. Dua petanda ini adalah alamat buruk kepada persekutuan yang sengaja diperlekeh kerana munculnya keghairahan untuk menegakkan ketuanan Melayu.

Keangkuhan yang tercemar disebabkan kecuaian persekutuan

Seperti Ningkan di Sarawak, Mustapha Harun telah digantikan sebagai ketua menteri di Sabah pada 1974 apabila jentera politik Persekutuan, salah seorang darinya Yang terbabit itu ialah Abdullah Ahmad yang kini menjadi ketua pengarang 'The New Straits Times', hingga mencetuskan satu pertubuhan baru politik untuk mentadbir negeri. Tetapi, perbalahan dalaman antara Kadazan dan masyarakat Islam menonjol begitu cepat sekali sehingga berlaku satu perpecahan menjadi dua kumpulan besar di Sabah - satu kumpulan Islam di belakang UMNO dan satu kumpulan Kadazan yang menyokong Parti Bersatu Sabah.

Masyarakat Iban dan kumpulan pribumi yang lain memang takutkan berulangnya perkara ini di Sarawak, seandainya UMNO dan parti politik di Semenanjung diberi muka untuk mendominasi kehidupan mereka. Mereka lebih takutkan UMNO yang masih berkhayal dengan kuasanya berbanding semua parti pembangkang yang disatukan. Pemimpin kerajaan persekutuan menguasai pilihanraya, dan inilah yang dibenci di Sarawak. Bukan sahaja oleh masyarakat peribumi, malahan oleh orang lain juga.

Dengan lain perkataan, banyak isu yang bertentangan akan muncul di hari muka. Sudah tercetus kini beberapa masalah yang berlegar di udara yang menyerupai masalah besar yang pernah terjadi di Pakistan sehingga berpecahnya negara itu dan tertubuhnya apa yang dipanggil Bangladesh masakini. Penyebabnya adalah sama berpunca daripada perasaan makan hati disebabkan layanan yang berpura-pura. Lagi kerap rakyat Sabah dan Sarawak dihantui oleh perasaan mereka diganggu-gugat oleh keangkuhan kerajaan Persekutuan yang terus mengabaikan mereka, akan bertambah berlipat ganda masalah mereka.

Kerana itu, kedua-dua pihak: BN di persekutuan dan parti pembangkang yang ada, turut bersalah. Kedua pihak ini mempunyai anggapan yang penuh kesombongan mahu melakukan apa yang mereka fikir bersesuaian di Sarawak dan Sabah mengikut nafsu sendiri tanpa menyoal dulu apa pula perasaan orang tempatan.

Pembahagian Persekutuan -Negeri

Usaha setengah masak untuk mengekalkan imbangan Perlembagaan ketika Sabah dan Sarawak memasuki persekutuan Malaysia, terutamasekali mengenai 40 kerusi dalam Parlimen, adalah dalil yang berfikiran sempit kenapa dua negeri itu akan terus memihak kepada BN daripada parti pembangkang. Ia tidak menyelesaikan masalah yang ada mengenai perpecahan antara persekutuan dan negeri.

Inilah yang akan menjadi satau tragedi kepada Malaysia selagi tidak ada kajian yang serius menyelesaikan masalah ini. Ketika adik seorang ketua menteri mengumpulkan satu kumpulan perbincangan mengkaji isu ini dia telah dimasukkan penjara di bawah ISA dengan tuduhan mahu melancarkan gerakan perpisahan. Perasaan takut di pihak persekutuan terhadap sebarang usaha untuk memahami hubungan antara persekutuan dengan negeri itu, sebagai satu tindakan menderhaka, akan lebih menyulitkan selagi tidak ada kajian menyeluruh oleh kerajaan persekutuan mengenainya.

Apabila rakyat yang bertimbang rasa dan perihatin digagalkan daripada mengusahakan rencana itu, orang awam akan terjebak kerana tidak celik kepada masalah berbangkit seandainya ia melimpah dan menghantui fikiran mereka. Begitulah yang terjadi, apabila bekas timbalan perdana menteri, Anwar Ibrahim, telah ditangkap, dilebamkan matanya kerana dibalun (sambil tangannya digari di belakangnya dan matanya tertutup pula) oleh bekas Ketua Polis Negara, yang mencetuskan kebangkitan dan tentangan rakyat secara terbuka, terutama oleh pegawai kerajaan yang turut terkejut sama. Sehingga kini kerajaan masih cuba membetulkan suasana walaupun tiga tahun sudah beredar selepas tercetusnya peristiwa.

Pilihanraya Sarawak seharusnya menjadi satu panggilan untuk menyedarkan semua pihak betapa ada yang tidak kena dengan kerajaan Persekutuan, betapa pihak yang seharusnya memahami keadaan sebenar sengaja tidak memahaminya, dan selagi perpecahan di antara Kuala Lumpur dengan Sabah dan Sarawak difahami dengan penuh timbangrasa dan hormat-menghormati, kemenangan besar yang diperolehi oleh BN, seperti yang pernah dimenanginya di Kelantan dan Terengganu satu masa dulu, boleh tunggang balik dalam satu pilihanraya yang tidak dijangka. Akan tetapi adakah sesiapa yang mendengarnya?

Tamat.

Terjemahan: SPAR-01-1681

Asal: KM2 6027