Laman Webantu (M)   KM2: 6017 File Size: 7.6 Kb

| KM2 Index |


TAG SP 305: ATimes: Gerakan Reformasi Mungkin Malap Tetapi Tidak Lenyap
By Anil Netto

30/9/2001 9:38 pm Sun

Gerakan Reformasi Mungkin Malap Tetapi Tidak Lenyap

(Reformasi Movement may be down, but not out)

Oleh: Anil Netto

Lim Boon Tong adalah seorang yang bersikap sederhana, tetapi nada suaranya membayangkan kecekalan apabila beliau menegaskan bahawa gerakan reformasi masih tetap subur dan membara.

Sambil menikmati mi sup berempah, ketua biro penerangan KeADILan yang berusia 36 tahun itu menekankan bahawa : '(Perdana Menteri) Mahathir (Mohamad) mahu rakyat melupakan tentang reformasi, tetapi reformasi masih tetap membara.'

Reformasi, sudah tentu, merupakan gerakan kepada pembaharuan yang luas bidangnya yang tercetus dari peristiwa penyingkiran dan seterusnya penahanan bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sejak tiga tahun yang lalu. Namun begitu mereka yang mahu turut mempercayai apa yang diperkatakan oleh Lim akan mendapati bahawa dakwaannya itu agak sukar untuk diterima bulat-bulat pada masa kini.

Baru sahaja pada minggu yang lepas, ulangtahun ketiga penahanan Anwar hampir-hampir berlalu tanpa disedari pada tanggal 20 September - dipandang sepi oleh media-media aliran utama dan ditenggelami oleh peristiwa di Amerika Syarikat dan Afghanistan. Seorang kolumnis yang pro-pemerintah turut mencemuh, 'Anwar who'? (Siapa Anwar?).

Tidak cukup dengan itu, dua hari kemudiannya, barisan pembangkang, Barisan Alternatif, yang juga terbentuk berikutan dari peristiwa penahanan Anwar, menerima tamparan yang hebat apabila satu dari parti komponen di dalam pakatan itu mengumumkan untuk menarik diri.

Parti DAP pelbagai kaum tetapi berteraskan kaum Cina itu memutuskan untuk keluar dari barisan tersebut berikutan timbulnya percanggahan dengan komponen parti PAS terhadap matlamat ideologi PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

DAP melahirkan kebimbangannya bahawa ia mungkin akan kehilangan sokongan tradisi dari komuniti Cina, yang menyumbang kepada hampir suku dari 23 juta populasi negara akibat dari jalinan hubungannya dengan PAS di dalam pakatan itu.

Para penganalisa berkata pemergian DAP akan menghakis sokongan kaum Cina dan India terhadap BA memandangkan keADILan, yang dipimpin oleh isteri Anwar, Wan Azizah Wan Ismail, kini mungkin dilihat sebagai lebih berhubungan rapat dengan PAS. (Komponen parti lain di dalam pakatan itu adalah parti kecil berbilang kaum, PRM, yang diramalkan akan bergabung dengan keADILan tidak lama lagi).

Rintangan Kepada Sistem Dua-Parti :

Toh Kin Woon yang mengetuai portfolio pendidikan kerajaan negeri Pulau Pinang dan merupakan ahli kepada parti Barisan Nasional yang memerintah, mempercayai bahawa penarikan diri DAP menjadi satu rintangan bukan sahaja kepada barisan pembangkang.

'Ia akan mengecewakan rakyat yang mahukan sistem dua-parti,' kata Toh, satu dari suara-suara yang lebih progresif di dalam Barisan Nasional.

'Pada saya DAP mengambil pendekatan jangka pendik di dalam perkiraan politiknya, melihat kepada (pilihan raya akan datang yang dijangkakan pada) 2004,' tambahnya, menyedari bahawa parti tersebut kelihatan lebih bimbang untuk dihubungkaitkan dengan elemen-elemen yang lebih radikal di dalam PAS dari perkara-perkara yang lain.

Para penganalisa juga berkata parti tersebut nampak bersungguh-sungguh untuk mengambil kesempatan di atas sokongan kaum Cina, yang akan memainkan peranan yang penting di dalam pilihan raya pada masa hadapan berdasarkan percanggahan politik di kalangan bangsa Melayu majoriti.

Toh mengatakan bahawa terdapat pengaruh elemen-elemen kesederhanaan yang agak besar di dalam barisan pembangkang, termasuk PAS, yang mungkin telah dipupuk oleh DAP. 'Tetapi, ' beliau mengakui, 'Ia memerlukan masa untuk menyuburkannya.'

Lim, walau bagaimanapun, begitu yakin bahawa keADILan - dan gerakan reformasi - tidak langsung terjejas berikutan penarikan diri DAP dari pakatan itu, memberitahu bahawa partinya turut mendapat sokongan dari kaum Cina.

Ramai pensimpati-pensimpati reformasi sendiri, walau bagaimanapun, tidak begitu pasti. Mereka berkata bahawa dengan penarikan diri DAP dan Anwar sendiri masih menjalani hukuman penjara untuk 15 tahun, masa hadapan reformasi tidak dapat ditentukan.

Sekatan terhadap media dan perhimpunan awam :

Lain-lain pendapat mengatakan langkah-langkah rasmi terhadap reformasi telah memberikan kesan yang besar kepada gerakan itu dan nampaknya telah melemahkannya.

'Sekiranya reformasi kelihatan semakin dingin, ia mungkin berkait dengan sekatan terhadap media dan kebebasan untuk berhimpunan,' penganalisa media Mustafa Anuar berkata.

'Semua ini telah memainkan peranan sehingga menyebabkan aktiviti-aktiviti reformasi kurang menonjol.'

Memang benar, demonstrasi besar-besaran telah beransur-ansur lenyap disebabkan sekatan polis yang terlalu ketat. Ceramah-ceramah politik di seluruh negara - kecuali di Utara Borneo negeri Sarawak, di mana pilihan raya negeri akan diadakan pada hari Khamis - telah diharamkan.

Pada bulan April yang lepas, 10 aktivis-aktivis utama reformasi telah ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dikatakan menyokong aktiviti militan reformasi untuk 'menggulingkan kerajaan'. Enam dari aktivis-aktivis ini masih di bawah penahanan yang tidak pasti.

Di universiti-universiti, yang menjadi sarang sentimen anti-pemerintah, pelajar-pelajar telah ditindas sehingga tidak langsung boleh bersuara berikutan dari tindakan rasmi yang keras. Dua pelajar telah ditahan di ISA pada bulan Julai - walaupun mereka kemudiannya dibebaskan - sementara beberapa yang lain telah diancam untuk digantung pengajian.

Pada bulan Ogos yang baru berlalu pula, pihak polis telah menahan 10 lelaki, kebanyakannya terdiri dari aktivis-aktivi dan penyokong-penyokong PAS, juga di bawah ISA, kerana dikatakan terlibat di dalam apa yang dipanggil sebagai Kumpulan Mujahidin Malaysia.

Anwar tidak kehilangan pengaruh :

PAS telah menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan di dalam sebarang kumpulan yang berkenaan sementara kumpulan-kumpulan hak-hak asasi telah menggesa agar bukti tentang kewujudan kumpulan tersebut dikemukakan dan supaya 10 orang yang ditahan itu dihadapkan ke mahkamah bagi membolehkan mereka mempertahankan diri masing-masing.

Sesetengah pemerhati kini juga berkata bahawa spektra aktiviti militan di luar negara mungkin menjadikan rakyat Malaysia lebih berhati-hati untuk memihak kepada sesuatu yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Hakikatnya, ahli-ahli politik veteran seperti Toh juga mengakui sukar untuk membuat sebarang tanggapan sama ada gerakan reformasi masih mempunyai sokongan yang besar dari masyarakat umum.

Walau bagaimanapun, Toh percaya bahawa Anwar masih merupakan satu pengaruh yang perlu dihadapi. Beliau menyebut tentang pemimpin pembangkang yang terpenjara itu : 'Saya tidak fikir beliau telah kehilangan pengaruh. Beliau masih memiliki karismanya.'

Begitu juga, masih ramai rakyat Malaysia yang percaya Anwar akan kembali semula sebaik sahaja Mahathir melepaskan kuasanya. Mereka menyatakan bahawa sekiranya ada sesiapa yang boleh menyatukan semua pengaruh yang berbeza-beza itu, orang itu adalah Anwar. Namun yang menjadi persoalan utamanya kepada sesetengah penganalisa adalah sama ada beliau akan tetap berpegang teguh kepada agenda reformisnya itu.

Tamat

Terjemahan: SPAR




Asal: KM2 6003


KM2 Main Index