Laman Webantu (M)   KM2: 6015 File Size: 10.2 Kb

| KM2 Index |


TAG SP 304: Asiaweek: Peperangan Dunia
By Penny Crisp

30/9/2001 6:04 pm Sun

Asiaweek
28 September, 2001)

Peperangan Dunia

(The War Of The Worlds)

Oleh: Penny Crisp

Pemimpin negara Asia sedang kekeliruan. Apabila AS meminta bantuan mereka untuk membantu memerangi keganasan, sudah muncul satu gerakan bantahan yang berunsur anti-Amerikan.

Ada kalanya, pembangkang muncul daripada tempat yang paling tidak kita sangkakan. Presiden Filipina Gloria Macapagal Arroyo mungkin terfikir dia berada di tempat yang selamat minggu lalu apabila menawarkan Amerika kemudahan menggunakan pelabuhan Filipina sebagai pangkalan transit ataupun sebagai pangkalan pelancaran 'perang salib' terhadap keganasan. Lagipun, pertubuhan Islam yang utama di Selatan Filipina telah bertindak cepat mengutuk serangan terhadap Pusat Dunia Dagangan dan Pentagon. Tetapi dia telah menerima kecaman berbisa daripada satu kumpulan Kristian. 'Arroyo... sudah menjadi satu boneka kepada imperialis Amerika dalam usaha mereka menjaja peperangan,' kata Amie Dural, timbalan setiausaha agung di 'Promotion of Church People's Response', satu kumpulan agamawan dan penganut Kristian.

Di Thailand, Perdana Menteri Thaksin Shinawarta telah menunjukkan keghairahan kepada AS sehingga menyebabkan perasaan kurang senang di kalangan masyarakat Islam, namun pemimpin politik negara lebih bersifat berhati-hati. 'Amerika Syarikat tidak berbuat apa-apa untuk membantu ketika krisis ekonomi melanda Thailand,' kata Kraisak Choonhavan, Pengerusi Halehwal Luar Dewan Senat. Ketua pembangkang Jurin Laksanavisit pula menambah: 'Kerajaan harus berhati-hati agar musuh tidak berpaling ke arah kita.'

Inilah 'pertembungan tamadun' di Asia, yang dicetuskan oleh satu tindakan ganas di bahagian lain di dunia ini. Seorang professor Universiti Harvard yang bernama Samuel Huntington pernah mencipta frasa itu (The Clash of Civilisation), sambil memberi amaran betapa satu pertembungan yang bersejarah antara agama Islam dan Kristian. Tetapi konflik yang menghantui Asia masakini mengikut rentak perang yang semakin lantang, adalah lebih berkecamuk lagi. Bukan sahaja kumpulan Islam yang sederhana terjebak dalam kecelaruan itu, mereka terpaksa memihak-mihak apabila kerajaan mereka menyerlahkan sokongan terbuka kepada Washington. Kebanyakan negara Asian mengalukan kemunculan Amerika sebagai lambang keselamatan, sebagai pelabur, sebagai rakan perdagangan, dan dalam banyak hal sebagai seorang kawan. Tetapi, kalau diambil kira apa yang sedang berlaku, tindakan balas AS menyebabkan rantau ini menjadi medan perang yang hebat, di mana bahana ekonomi, kemanusian dan politik akan bertambah dahsyat.

Orang Asia memang perlu dimaafkan kerana perasaan yang bercelaru. Di sebalik kesanggupan kerajaan mereka menyerlahkan fahaman solidariti, ramai rakyat Asia yang percaya bahawa ada kalanya AS bergelumang dengan dasar yang songsang di Asia dan Timur Tengah. Mereka naik marah terhadap satu kuasa besar yang menganjurkan globalisasi sebagai satu ubat yang difikirkan mujarab, tanpa memikirkan penyakit sampingan yang tercetus olehnya. Mereka faham seandainya Washington tidak berhati-hati dan bersikap gelojoh dalam tindakan balasnya, Asia akan merana apabila berlakunya serangan balas.

Keseluruhan rantau itu, rakyat mula mengimbau segala rintihan yang lalu. Pengeboman kedutaan China di Belgrade, (adalah contohnya). Begitu juga dengan keperitan terpaksa menelan preskripsi (atur-jadual) daripada agensi multilateral yang dikuasai oleh AS seperti IMF (Dana Kewangan Antarabangsa) dan Bank Dunia. Sedangkan Amerika mempunyai hutang menggunung dengan PBB, ia enggan menandatangani perjanjian ujian nuklear dan protokol senjata kimia - sambil mendera negara lain yang engkar. Jelas sudah wujud kini satu persepsi menggunung adanya satu imperialis yang sungguh angkuh, tidak bersedia ataupun tidak sanggup memahami gelombang kesengsaraan di luar sempadannya. Naib Presiden Indonesia, Hamzah Haz telah menyindir suasana ini. 'Diharapkan,' katanya, 'tragedi (keganasan) itu dapat membersihkan segala dosa AS.'

Apakah yang termampu dilakukan oleh para pemimpin Asia tentang gelombang bantahan itu, selain mencuba berpura-pura? Kim Dae Jung daripada Korea Selatan, yang mengizinkan penempatan 37,000 askar Amerika di buminya, mungkin berpendapat bahawa kalau dibandingkan negaranya dengan negara Asia yang lain, dia dapat meraih sokongan tempatan kerana pendiriannya itu. 'Kerajaan Korea akan memberi segala bentuk sokongan dan bantuan kepada AS sebagai seorang rakan dan akan menyertai sebarang koalisi untuk membasmi aktiviti keganasan,' katanya.

Akan tetapi, apabila sebuah akhbar menyoal 184,461 rakyat Korea apakah patut tentera Korea turut menyertai pasukan yang diketuai oleh AS itu, hanya 21% yang menjawab 'Ya'. Satu seruan kerajaan agar diadakan penghormatan bertafakur selama satu minit pada September 14, telah tidak diendahkan. 'Kenapa kita mesti berkabung'? tanya Seong Joo Myung, 32 tahun yang bertugas sebagai seorang pereka barangan eceran. 'Ketika kompleks belibelah Sampoong tumbang pada 1995, kerajaan tidakpun meminta rakyat bertafakur. Korea masih merupakan sebuah jajahan Amerika dan tidak sepatutnya meratapi warga Amerika yang mati.'

Begitu juga pendapat sekitar 50 orang daripada 21 pertubuhan bukan kerajaan yang menunjuk perasaan di hadapan kedutaan AS, mengutuknya kerana pelbagai perbuatan yang kejam. Kumpulan pelajar menunjuk perasaan di seluruh negara itu sambil mengutuk sikap imperialisma dan 'ancaman kepada kedamaian dunia'. Laman web Kementerian Pertahanan telah menerima sekitar 250 kiriman, hampir semuanya menentang niat AS untuk melancarkan tindak balas ketenteraan. 'Adalah lebih baik kalau kita dapat kumpulkan derma dan membantu anak-anak Afghan yang merana, daripada membantu Amerika yang sudah kaya raya,' kata salah satu kiriman emel. Persekutuan Islam Korea telah memohon dan diberikan pengawal bersenjata untuk mengawal Masjid Islam Korea di Seoul, tetapi sedar dengan cepat betapa anggotanya tidakpun menjadi sasaran kemarahan. Yoon Young Mo, seorang jurucakap Korean Confederation of Trade Unions pernah berkata: 'Korea sedar bagaimana perasaan dibuli oleh AS. Amerika dan IMF telah menolak kami, bertindak sehingga ada yang kehilangan pekerjaan. Kami memang tidak senang dengan serangan itu, tetapi AS mesti fikirkan masalah pihak lain dan bersikap saksama.

Korea Utara memang sibuk memperbaiki maruahnya yang teraib, walaupun ia mengutuk serangan itu. Jepun sedang kekalutan bagaimana mahu memberikan sokongan ketenteraan tanpa mencemar perlembagaannya yang bersifat pasifis. China yang sedang digugat oleh penduduk Islam di Xinjiang yang resah gelisah telah menyatakan sokongannya dalam usaha menentang keganasan - tetapi bertegas mahukan bukti yang kukuh sebelum sebarang tindakan dilaksanakan. Lagipun China mahu setiap cadangan dibincangkan oleh Majlis Keselamatan PBB sebelum ia bersetuju membantu AS. 'Saya fikir kalaulah Amerika menghancurkan Talibanpun, mereka tidak akan ambil pusing.' Demikian pendapat Brendan Smith seorang professor sains politik di Foreign Affairs College, di Beijing. 'Tetapi kewujudan askar AS di negara (berjiran) di Asia Tengah merunsingkan mereka.' Demikian pendapat Laurence Brahm, seorang peguam Amerika, pengarang dan penasihat kepada pemimpin China.

'Besar kemungkinannya kerajaan China menyediakan kemudahan logistik yang positif kepada AS, tetapi ia tidak akan menyentuh perasaan dunia Islam. Menyedari banyaknya warna politik di rantau negara Islam, China memang tidak berminat menyalakan sebarang warna itu.'

Indonesia yang merupakan negara Islam yang paling besar penduduknya masalah yang berbangkit memang merupakan sakit kepala yang bukan kepalang. Presiden (terbaru) Megawati Sukarnoputri telah terbang ke AS minggu lalu, di mana pengamat menjangkakan beliau memohon sokongan ketenteraan yang berterusan setelah dihentikan gara-gara tindakan militia Indonesai bermaharajagila di Timor Timur. Walaupun secara dasarnya Indonesia bersifat sederhana dalam fahaman keIslamannya, masih terdapat beberapa kumpulan yang paling radikal di Asia Tenggara menghuni negara itu. Kebanyakannya sibuk dengan agenda tempatan, namun ada sebuah kumpulan kecil yang telah bersumpah mahu menyerang kedutaan Amerika di Jakara seandainya Amerika meneruskan rencana menyerang negara Islam. Satu kumpulan lagi menjanjikan mengisytihar perang jihad terhadap AS.

Walau bagaimanapun terdapat pendapat umum yang mahukan AS menarik balik niat mengistiharkan perang itu, ataupun setidak-tidaknya menghentikan tekanan terhadap negara Islam untuk menjadi sekutunya. 'Kami faham dan dapat rasakan kemarahan mereka,' kata lidah pengarang akhbar utama Indonesia, 'Kompas' mengenai suasana di Amerika. 'Tetapi, seperti orang lain juga, termasuk teman-teman Amerika, kita terpaksa memilih jalan yang betul-betul memerangai keganasan dan mengelakkan dengan apa cara jua, mendorong orang yang tidak berdosa turut menjadi mangsa.'

Dengan memihak kepada Amerika dalam pertembungan ini, negara Islam menghadapi risiko dianggap sebagai boneka kepada pentadbiran George Bush. Lagipun kalaulah serangan Amerika terhadap Afghanistan dilakukan juga tanpa sebarang bukti sahih yang dapat diterima mengenai kesalahan Osama bin Laden, pihak berkuasa di Pakistan, Malaysia, Thailand, dan Indonesia akan menjadi sasaran penduduknya sendiri yang beragama Islam. Keseluruhan masyarakat pengganas di merata tempat di dunia ini mempunyai sebab untuk bersatu. Apa yang berpusing sudah tentu akan memusing - dan seperti yang akan difahami oleh Asia, ia akan berpusing sekali lagi.

Tamat

Terjemahan: SPAR




Asal:

http://www.asiaweek.com/asiaweek/ magazine/dateline/0,8782,175612,00.html

atau KM2: 6014


KM2 Main Index