Laman Webantu (M)   KM2: 6011 File Size: 9.8 Kb

| KM2 Index |


TJ SP MGG: Di Mana Dato' Seri Mahathir Mohamed?
By M.G.G. Pillai

30/9/2001 4:52 pm Sun

Di Mana Dato' Seri Mahathir Mohamed?

(Where is Dato' Seri Mahathir Mohamed?)

Oleh: M.G.G. Pillai

Perdana Menteri telah menghilang daripada pandangan umum sejak sepuluh hari yang lalu. Dia mahu mengaitkan Kumpulan Militan Malaysia ataupun (aka: also known as) Kumpulan Mujahidin Malaysia (seperti mana AS terpaksa menukar nama 'Operation Infinite Justice' {Operasi Keadilan Abadi} kepada satu nama yang masih dirahsiakan kerana, seperti yang diketahui oleh Setiausaha Pertahanan, Mr. Donald H. Rumsfield, dalam Islam hanya Allah, dan bukannya Amerika Syarikat (dan juga seorang diktator malbari tua - penterjemah) yang berkuasa menentukan keadilan yang abadi} terhadap serangan yang menggoncangkan akar umbi kewangan, ketenteraan dan kuasa politik Amerika. RTM dan TV3 telah mengulang-tayang senario kehancuran Pusat Dagang Dunia New York dan bangunan Pentagon dengan serangan sindiran terhadap KMM. Tidak ramai yang termakan umpan itu, kerana Malaysia sendiri sudah menjadi sasaran histeria yang melanda Amerika Syarikat disebabkan perdebatan mengenai Osama bin Laden, 'pengganas' jagoan yang begitu dimomokkan untuk menaikkan kemarahan rakyat Amerika agar memihak kepada Washington yang ghairah mahu mengbom Afghanistan. Inilah keghairahan yang dicetuskan di zaman besi untuk menyorot balik ke zaman batu kerana membenarkan Osama hidup dan menyorok di situ.

Adalah sesuatu yang serba mungkin, Osama bin Laden telah merancang serangan ganas terhadap Amerika Syarikat minggu lalu. Tetapi, tidak ada satu bukti yang ditonjolkan menunjukkan dia melakukannya, hanya andaian, sangkaan, pandangan, dan kepercayaan yang tidak boleh diguna pakai di muka pengadilan. Serangan pengganas menjadi penting hanya apabila yang diserang itu adalah Amerika Syarikat. Apabila Amerika Syarikat melakukannya sebagai satu dasar amalan negara, dia diberikan sanjungan menggunung tingginya. Cuba renung sejenak ketika Washington mengbom sebuah kilang vaksin di Sudan yang mencetuskan kengerian di negara itu dan bandingkan dengan apa yang telah berlaku di New York City dan Washington DC minggu lalu? Ataupun cara Amerika menakluk Grenada kerana kerakusannya, dulu?

Kebenaran sudah meloncat keluar di jendela, segala usaha muslihat Mahathir untuk menarik minat Washington memenuhi keghairahannya agar dijemput ke Rumah Putih sudah pun berkecai. Walau pun Malaysia telah menawarkan penggunaan ruang angkasanya dan kalau perlu pengkalan persinggahan untuk ketumbukan perang AS dalam perjalanan menuju Afghanistan. Yang penting ialah kegagalannya, kerana Mahathir sedang dihenyak oleh keadaan Washington yang mahu bertindak balas sedangkan Mahathir sendiri pun mahu membalas dendam terhadap PAS, KMM dan dua menteri besar di Kelantan dan Terengganu. Mahathir sudah terhenyak dalam usaha untuk mendekati Presiden Bush yang mengenakan syarat agar dia membebaskan seorang insan yang dia sendiri mahu gambarkan sebagai insan yang menyerupai Osama bin Laden di Malaysia, bernama Anwar bin Ibrahim, yang berbeza dengan Osama sedang merengkok di penjara.

Mahathir sudah tidak dapat menjawab soalan bertubi Washington kenapakah dia membenarkan Osama bin Laden membuka akaun bank di Malaysia, seperti yang didakwa. Ataupun kenapakah dia membenarkan 'pengganas' (di mata Amerika) bertemu di Malaysia seperti yang didakwa oleh Amerika? Tidak kiralah, kalau pun Washington yang telah mengesan pertemuan pengganas itu di KLIA tahun lalu, telah memberikan visa kepada mereka untuk menjalani latihan memandu pesawat terbang di Amerika Syarikat. Inilah yang dikatakan, apa yang dibenarkan kepada dewa Yunani, tidak semestinya boleh diberikan kepada seekor lembu betina di sini. Tetapi, apakah Dr. Mahathir boleh membuat pengakuan secara serius sebagai seorang pemimpin Islam seandainya dia tidak menerima dan memaafkan penderitaan orang Arab dan kemarahan mereka terhadap Barat? Oleh kerana dia memerlukan sokongan Saudi dalam memainkan peranan itu, apakah dia boleh menolak kemahuan Arab Saudi menggalakkan puak Taliban dan orang lain mengamalkan fahaman Wahabi di dunia ini? (Yang anehnya, Amerika Syarikat tidak pun menyerang Arab Saudi walau pun ia merupakan salah satu daripada tiga negara - yang lagi dua ialah Pakistan dan UAE - yang dulunya memperakui Taliban; tetapi oleh kerana Arab Saudi adalah sebahagian jaringan Amerika, ia dikecualikan: malahan secara terpaksa.

Dr. Mahathir sudah tidak mampu menyelenggarakan masalah yang menggunung tinggi di hadapannya setiap hari. Isu Anwar Ibrahim akan muncul lagi pada persidangan ketua negara Komanwel di Australia bulan hadapan. Kawannya, Mr. Robert Mugabe, dijangka akan dihenyak kerana dasar negaranya mengnyahkan orang kulit putih yang memiliki ladang di Zimbabwe. Besar kemungkinan Mahathir tidak akan menghadiri persidangan itu dan mewakilkan kepada timbalan perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi sebagai penggantinya. Dia tidak akan menghadiri Puncak Apec di Shanghai. Presiden Bush tidak ingin berceloteh dengannya di sana. Timbalan perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi akan menggantikannya lagi.

Akan tetapi, bukankah Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, insan yang serupa yang tidak diingini oleh Dr. Mahathir sebagai bakal pengganti jawatannya? Ada seorang ahli pasukan konspirasi terhadap Anwar Ibrahim, bekas menteri bernama Megat Junid Megat Ayob, terlalu yakin bahawa Mahathir mahukan Abdullah Ahmad Badawi diganti oleh menteri pertahanan Dato' Seri Dr (?) Najib Tun Razak. Seorang bekas komando yang condong kepada pihak pembangkang telah menceritakan kisah perjumpaan yang dihadiri oleh semua bekas komando di Melaka, baru-baru ini. Mahathir telah memberikan ucapan utamanya, dan tajuk perbincangan seterusnya ialah bagaimana caranya untuk menyekat kemaraan timbalannya itu. Paklah, mengikut firasat Orang Tua itu, bukannya calon yang cocok untuk menggantikannya sebagai Perdana Menteri.

Mengikut firasat doktor yang baik itu, anak lelaki bekas seorang perdana menteri sudah pun dewasa mencapai 50 tahun usianya, dan boleh diberikan kepercayaan pula. Dato' Abdullah Ahmad Badawi, nampaknya, sudah bersekongkol dengan kumpulan timbalan perdana menterinya yang dulu-dulu yang mengikut taksirannya telah menghampakannya, dan dengan itu tidak layak mengambil tempatnya apabila tiba masanya. Kerana itu dia sudah ditakdirkan? terhumban di lorong yang dilalui oleh Tan Sri Musa Hitam, Tun Ghafar Baba, dan Dato Seri Anwar Ibrahim. Seorang lagi lelaki yang tidak boleh dipercayai untuk memegang jawatan tinggi ialah seorang insan dalam politik Malaysia, Si Penunggu Langgak Golf, yang satu ketika dulu memang didesas-desuskan untuk menganggotai kabinet semula, yang dikatakan sebagai satu muslihat untuk mengenepikan timbalan perdana menteri yang sedia ada. Tetapi, Dr. Mahathir tidak boleh memaafkannya kerana keberanian beliau mencabar Mahathir untuk jawatan presiden UMNO 14 tahun yang lalu.

Kini, satu masalah baru sudah muncul menghantuinya. Serangan pengganas (di Amerika) telah mencantas pertumbuhan ekonomi Malaysia, setidak-tidaknya pertumbuhan yang telah dijanjikan kepada rakyat Malaysia, yang bertentangan segala bukti, dikatakan memang serba mungkin. Apabila kerajaan Malaysia mengatakan ekonomi negaranya masih kukuh dan tidak seperti Singapura, yang terpaksa mengambil langkah melindungi rakyatnya daripada kegawatan itu, Malaysia berpendirian tidak perlu berbuat begitu. Kita telah disogokkan dengan satu kepercayaan bahawa hukum-hakam ekonomi adalah untuk negara lain yang disalah tadbir dan oleh kerana Malaysia diurus dengan baik oleh Dr. Mahathir rakyat tidak perlu gusar kerana masa depannya memang cerah sentiasa. Khayalan yang berunsur temberang kerana pengendalian ekonomi, politik dan dasar kewangan Mahathir memang sentiasa diulang-ulang untuk menghayun kepercayaan orang. Petanda malapetaka memang jelas di mana-mana: kompleks beli-belah yang kosong, pelaburan yang semakin lompong, penurunan carta segala angka rasmi kerajaan yang selama ini sengaja disokong.

Sudah tidak menjadi satu rahsia lagi kenapa Dr. Mahathir jarang kelihatan untuk meyakinkan rakyat Malaysia akan keadaan hidup mereka yang selamat dan sejahtera. Gabenor bank Negara yang keletihan meyakinkan rakyat betapa ekonomi negara adalah tegap dan sedia naik mencanak, kini dihenyak oleh kesilapan kenyataannya dulu dan terpaksa diam membisu apabila indeks komposit BSKL turun meruntun lebih satu ratus mata dalam jangka masa dua hari sahaja. Mahathir terpaksa menunjukkan muka pada hari Jumaat yang ketiga pada bulan Oktober, belanjawan negara terpaksa dibentang kepada Parlimen dan rakyat jelata. Pembentangan belanjawan negara bukannya masa untuk menyorot ke belakang akan hal ehwal negara, tetapi dijadikan satu majlis suka-suka untuk memberikan keyakinan betapa zaman ceria masih lagi ada. Inilah muslihat kerajaan yang ada untuk mengkhayalkan rakyat jelata. Mahathir mesti membentang belanjawan negara dalam masa satu bulan, dan semua perangkaan yang baik-baik yang direncana untuk menaikkan imejnya sudah lesap ditelan suasana yang penuh bencana. Tetapi, (dia fikir) masih lagi ada tenaga simpanan pada dirinya untuk mengeluarkan seekor arnab daripada topi silap-matanya. Apakah nasibnya sebagai seorang pakar songlapan akan terus dapat bertahan, semestinya, merupakan suatu perkara lain untuk renungan.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Tamat

Terjemahan: SPAR-01-1661




Asal:

KM2: 5497


KM2 Main Index