Laman Webantu (M)   KM2: 5513 File Size: 11.0 Kb

| KM2 Index |


TJ SP MGG: Minda Yang Terjajah
By M.G.G. Pillai

29/9/2001 3:19 am Sat

[Apabila media pro A.S. dan Astro sendiri sebegitu galak menayangkan propaganda berlebihan kita sebenarnya sudahpun berperang. Ia adalah satu muslihat yang telah dirancang supaya tiada bantahan hebat jika A.S. nanti datang menyerang - kerana minda sudahpun tertawan - lantas segala tindakkan direlakan.

Ramai tidak sedar serangan Amerika lebih banyak mengorbankan orang yang tidak kena mengena langsung dari orang yang ingin diperkenakan. Serangan kepada Iraq misalnya bertujuan untuk menimbulkan huru-hara dalaman serta melumpuhkan ekonomi agar rakyat Iraq memberontak terhadap Saddam. Tetapi rancangan itu tidak pula kesampaian namun ribuan mati atau hidup dengan penuh kesengsaraan. Bilangan mereka ini jauh lebih ramai dari mangsa WTC - malah kebanyakkan mereka itu hidup jauh lebih miskin. - Editor]


Chiaroscuro 18 September

Minda Yang Terjajah

(The colonialism of the mind)

Oleh: M.G.G. Pillai

Apabila CNN, CNBC dan beberapa saluran TV Amerika yang lain menggembar-gemburkan cara hidup orang Amerika yang sepatutya ditiru oleh seluruh dunia - seperti yang kerap diperbesar-besarkan oleh dunia pengiklanan - sekaligus minda sejagatpun terjajah sehingga mencetuskan satu ketaksuban betapa setiap kali orang Amerika dihempap tragedi, keperitannya adalah lebih dahsyat daripada kesengsaraan orang lain yang dihantui bencana yang serupa.

Kematian yang dialami masyarakat Amerika dianggap lebih dahsyat berbanding kejadian sama di Eropah, dan keduanya itu adalah lebih dahsyat lagi berbanding keadaan yang menghempap Afrika ataupun Asia. Apatah lagi kalau yang tertindas itu adalah disebabkan dasar Barat yang songsang - seperti yang kerap berlaku di Timur Tengah, sekarang.

'Malaysiakini' ada menyiarkan beberapa surat yang mengkritik penulisan saya mengenai serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Pentagon dan kebanyakan surat ini menggambarkan wujudnya pemikiran yang jumud ini.

Bukanlah sesuatu yang menyeronokkan apabila munculnya pendapat yang menongkah arus pemikiran biasa, namun ia merupakan satu gambaran betapa setiap kali munculnya pendapat yang berbeza ini, orang yang melahirkan pendapat itu seharusnya dinyahkan keluar. Hakikat ini harus difahami oleh penghuni Malaysia, gara-gara pengaruh Astro yang mencengkam minda. Saya dibesarkan di zaman buku mencanai perbincangan, dan jarang melihat TV, sehinggakan saya merasa kerasan hidup bertemankan keceriaan minda.

Ada satu surat yang begitu yakin betapa Perang Salib sudah lama berlalu dan di zaman moden ini, pelbagai keadaan yang berbeza sudah mempengaruhi suasana hidup kita. Tidak dinafikan, kenapa Presiden Bush membuat pengisytiharan 'Perang'nya sebagai satu bentuk Perang Salib, dan mahu mencari musuhnya persis panglima Perang Salib menghambat kumpulan Islam. Ada pula seorang penulis yang mempertikaikan rujukan saya bahawa Osama bin Laden adalah menjadi sasaran Amerika.

Memomokkan Musuh

Setiap berita CNN, CNBC dan beberapa program berita TV yang lain di Astro menumpukan serangan mereka terhadap Osama bin Laden. Saya tidak nampak perkara lain lagi - seperti yang berlaku pada 1991 ketika Amerika memomokkan bekas sekutunya, Presiden Saddam Hussein - AS sudah bersedia untuk menghambat Osama Laden dengan stail Rambo, di tempat persembunyiannya di pergunungan Afghanistan.

Amerika Syarikat tidak berjaya menumpaskan Fidel Castro, Saddam Hussein, Ho Chi Minh; kerana itu ia ghairah mahukan Osama Laden dan darahnya sekali sebagai sebagai tangkal menonjolkan kehebatannya di Timur Tengah selain menjadi sekutu terkuat Israel.

Demikianlah begitu terjajahnya minda seorang penulis sehingga dia sanggup merobah sejarah: katanya Malaysia bukan merupakan ahli Seato (Southeast Asia Treaty Organisation), kerana itulah imaginasinya, disebabkan kegagalan Seato membantu Malaysia ketika diganyang oleh konfrontasi Indonesia. Sedangkan perjanjian pertahanan Anglo-Malaysia yang membuatkan British berdepan dengan Indonesia.

Itulah waktunya British mengeletar, sanggup menumpahkan darah mempertahankan Malaysia, walaupun ia menjadi sebuah bekas jajahannya: kini, yang wujud hanyalah satu perjanjian pertahanan yang tidak bermakna antara lima 'kuasa' - Malaysia, Singapura, Great Britain, Australia dan New Zealand. Mereka hanya akan berbincang dulu kalau ada sesiapa yang diserang. Ini amat berbeza daripada persyarikatan NATO yang berlari membantu Amerika ketika ia bangkit untuk membalas dendam.

Saya melihat serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon secara hakikatnya. Ia merupakan satu rancangan yang sungguh bijaksana pengolahannya, walaupun ia telah membawa malapetaka dan menghancurkan kekuasaan Amerika dan setiap rakyatnya. Saya tidak menulis perkara itu dengan penuh ceria ataupun kerana suka-suka, cuma mengambil pendirian berkecuali bahawa dalam keadaan yang sungguh menyemarakkan kebencian, di Amerika Syarikat dan Timur Tengah, kalau ada hanya satu pilihan pada setiap pihak itu; ialah bayangan keganasan yang lebih dahsyat terhadap musuhnya sebagai tindak-balas. Ternyata perkara ini semakin diperkasakan.

Ramai manusia yang tidak berdosa akan terkorban, seperti yang menjadi mangsa di Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon. Begitulah juga penghuni khemah pelarian yang selama ini menanggung azab sambil berselindung laksana ulat-tahi gara-gara pertandingan menentukan ketuanan dunia Arab. Amerika Syarikat merasa terperanjat apabila ada orang luar yang bersuka-ria ketika ia ditikam bencana, dan bertindak marah terhadap Palestin yang menari di jalanraya sambil menikmati gula-gula yang ditabur sebagai lambang tercetusnya malapetaka. Lebih-lagi setelah beberapa pelawat China disuruh pulang ke Amerika Syarikat kerana keseronokan menyambut peristiwa serangan keganasan itu.

Washington tidak senang hati dengan gelagat itu. Tetapi, Amerika Syarikat pernah bersuka ria ketika Presiden Saddam Hussein ditimpa bencana hasil bikinan Amerika pada 1991 dulu. Pada waktu itu CNN menayangkan rakaman pesawat Amerika yang menyerang Iraq sementara rakyat yang diserang tidak mampu berbuat apa-apa. Tatkala Washington menerima padah yang serupa, ia bertindak dengan murka. Apakah ini bererti gambaran kedukaan itu satu lambang kepada pihak yang benar-benar berduka?

Singa Yang Terluka

Apabila seekor singa yang luka masih bebas gerakannnya, ramai haiwan di hutan yang tidak berani bertentang mata dengannya. Kita dapat merasakan kenapa wujudnya perasaan ketakutan di kalangan beberapa negara yang terpaksa pergi menghadap Washington dalam Perang Salib terhadap keganasan. Ini bukannya satu dasar kerajaan tetapi dilakukan disebabkan ketakutan dan kecurigaan, seperti peristiwa menyerang Presiden Saddam Hussein pada 1991.

Apakah ini akan membantu Presiden Bush dalam usaha membasmi keganasan? Saya tidak fikir begitu. Besar kemungkinannya ia mencetuskan percambahan kumpulan ganas lain yang akan menghantui kehidupan setiap orang. Ia akan menjadikan Pakistan, sebagai negara di hadapan yang mudah tertekan. India memang seronok dengan kemungkinan ini, tetapi apakah India mampu berhadapan dengan Afghanistan dan Pakistan jika sempadannya bergolak? Saya tidak fikir begitu.

Yang peliknya pada episod yang menyedihkan ini, ialah saranan Bush betapa Amerika Syarikat sedang 'berperang' yang tidak membawa sebarang makna. Kuasa isytihar perang terletak kepada Dewan Senat, dan ini belum dilakukan lagi. Besar kemungkinan ia tidak akan dilakukannya.

Apa yang Bush harapkan ialah satu lesen terbuka untuk melancarkan perang tanpa restu Kongres, seperti yang dilakukan oleh Presiden Lyndon B Johnson di Teluk Tonkin. Resolusi itu diluluskan setelah dia mendakwa kapal peronda Vietnam Utara telah menyerang kapal perang Amerika di Teluk itu. Hanya kemudian, baru muncul berita kapal Amerika yang memulakan serangan. Hampir 60,000 askar Amerika mati sebagai kemuncak nafsu seorang pemimpin Amerika yang mahukan negaranya berperang.

Bush akan mendapat kelulusan itu. Tetapi kali ini Nato akan turut menyerang sama sebagai memenuhi perjanjian yang terikat, betapa negara di Eropah adalah sehaluan dengan Amerika Syarikat. Ini akan memberi ruang kepada semua pemimpin menghenyak keganasan, dengan syarat tidak ada askar mereka yang kehilangan nyawa.

Peperangan di Asia

Kenapakah begitu niat mereka sedangkan Amerika Syarikat liat sangat mengaku musibah yang akan melanda, rentetan pengakuan rasmi Washington bahawa peperangan kali ini akan lebih panjang tempohnya berbanding Perang Dunia Pertama dan yang Kedua, kalau dihitung semuanya?

Amerika Syarikat belum bersedia melancar perang di Asia, memandangkan kemungkinan ianya boleh memakan satu dekad lamanya. Namun, Asia memberinya peluang menunjuk-nunjuk kuasanya. Apakah maknanya semua itu apabila ia terlalu takut menghadapi musibah perang itu?

Jadi, tidak ada yang akan dapat diselesaikan. Washington hanya menghembuskan angin panas kelentongan untuk melegakan rakyatnya sambil mereka maratapi tragedi ini. Tujuan Washignton itu tidak banyak berbeza daripada gelagatnya di Baghdad pada 1991 dulu: satu sikap kecelaruan dan kedayusan apabila tragedi menjenguk di depan pintu. Presiden Bush bertindak saling tak tumpah gelagat Presiden Saddam dulu.

Setiap gerak langkah melindungi kedayusannya. Dia akan meneruskan suasana ini sehingga rakyat Amerika serasi dengan keadaan untuk menyambung kehidupan mereka dan melupakan tragedi itu. Demikianlah, sejak lima puluh tahun Amerika mencetuskan mainan ini di Timur Tengah, dan kalau direnung kembali semua itu, apa yang berlaku di New York dan Washington DC menaikkan kembali semangat masyarakat yang telah tertindas begitu lama dan episod pecah-belah masyarakat Islam di dunia.

Inilah yang sepatutnya menjadi usaha Amerika Syarikat kalau mahu terus menjadi polis dunia. Dia mesti sanggup menumpahkan darah untuk menunjukkan kata-kata keangkuhannya. Apa ertinya menyibuk meminta seluruh dunia menerima definisi keganasan mengikut tafsirannya. Membunuh Osama bin Laden tidak membawa sebarang makna, sedangkan banyak perkara yang akan lebih bermakna kalau Amerika Syarikat tumpas dan jatuh kerananya.

Yang menjadi malang dalam peperangan ini nanti adalah pihak yang tidak berdosa, di Amerika Syarikat dan di mana juga di dunia ini, dan mereka yang mempunyai minda yang dijajah sepenuhnya, sehingga ketaksuban bahawa berita yang elok dipercayai adalah yang dicetuskan oleh Barat sahaja.


Tamat

Terjemahan: SPAR-01-1651




Asal: KM2 5481 The colonialism of the mind


KM2 Main Index