Laman Webantu (M)   KM2: 5511 File Size: 7.1 Kb

| KM2 Index |


TAG SP 297: CNN - Menjejak Jaringan Ganas di Asia
By Maria Ressa

29/9/2001 3:20 am Sat

CNN Manila

Menjejak Jaringan Ganas di Asia

(Tracing the Asian terror links)

Oleh: Maria Ressa

Filipina telah menghantar lebih 1,000 pejuang Islam. Indonesia dan Malaysia telah mengirimkan sekitar ratusan.

Seperti Osama bin Laden dan penyokong beragama Islam di serata dunia, orang Islam di Asia Tenggara mendapatkan pengalaman dan semangat militan mereka di Afghanistan ketika berlaku peperangan Afghan melawan Soviet Union pada 1980-an.

Sel ataupun markas yang paling besar dan berpengaruh di rantau ini terdapat di Filipina.

Senator Rodolfo Biazon, daripada Filipina yang juga bekas ketua Turus Angkatan Tentera Filipina telah menceritakan betapa kumpulan Abu Sayyaf yang merupakan satu kumpulan ekstrim Islam di Filipina telah menculik lebih satu ratus orang Filipina dan pelancong Barat sejak dua tahun yang lalu. Kumpulan ini seolah-olah meniru gelagat warga Saudi Osama bin Laden, yang kini menjadi tertuduh utama di belakang serangan terhadap Amerika Syarikat.

'Sekitar 1,000 pejuang Islam telah digembleng, dengan ihsan CIA,' kata Biazon kepada CNN.

'Apabila peperangan itu tamat di Afghanistan pada 1989, semua pejuang pulang ke tanah air masing-masing. Osama pulang ke Saudi. Pejuang Filipina pulang ke sini. Setelah bergelumang dengan sentimen fundamentalis Islam terutama sekali selepas Perang Teluk, Osama bin Laden membuat keputusan untuk memerangi Amerika. Sejak itu kumpulan Abu Sayyaf (dikatakan) memulakan tindakan keganasannya.'

Apabila pejuang Islam pulang ke Filipina, kebanyakan mereka telah menganggotai Moro Islamic Liberation Front ataupun MILF.

Abu Sayyaf

Pada 1992, Khadaffy Janjalani, yang tegas orangnya berpecah dan menubuhkan Abu Sayyaf. Pasukan terasnya telah mengamalkan ajaran fundamentalis Islam, tetapi apabila dia terbunuh beberapa tahun kemudiannya, adiknya telah mengambil alih pucuk kepimpinan Abu Sayyaf dan telah menerima beberapa pejuang upahan untuk menyertai mereka. Sekaligus matlamat perjuangan semakin luntur.

Kini, tentera Filipina menyambung operasi menentang Abu Sayyaf dengan matlamat untuk menyelamatkan satu kumpulan mangsa penculikan, termasuk dua orang warga Amerika. Walaupun Abu Sayyaf mendesak agar dibebaskan seorang pengganas antarabangsa Ramzi Yousef sebagai pertukaran dengan mangsa culiknya tahun lalu, pihak berkuasa Filipina menolak sebarang pertalian kumpulan itu dengan Osama bin Laden.

Penculikan Untuk Tebusan

'Kami fikir Abu Sayyyaf ditubuhkan untuk menculik dan mendapatkan wang tebusan,' kata jurucakap istana presiden Rigoberto Tiglao kepada CNN.

'Mereka mungkin mempamerkan sedikit aksi militan Islam, tetapi sebenarnya mereka sudah menjadi satu kumpulan pengganas.'

Tetapi, anggota kumpulan Abu Sayyaf pernah menerima latihan daripada Ramzi Yousef, yang pernah menetap di Filipina pada 1994-1995. Sebagai seorang pakar membuat bom, Yousef adalah salah seorang pakar perancang di sebalik pengeboman Pusat Dagangan Dunia pada 1993. Selepas itu dia telah menubuhkan satu markas pengganas ataupun disebut sel di Filipina, membolehkannya menghantar sahabat dan saudara mara daripada Timur Tengah.

Tiga Rencana Jahat

Satu kebakaran terjadi di apartmen yang diduduki Yuosef hingga menarik perhatian pihak berkuasa kepada persembunyiannya itu dan mendedahkan tiga rancangan ganasnya:

- satu usaha membunuh Pope ketika lawatannya ke Manila pada 1995;

- satu konspirasi memusnahkan pesawat Amerika di Asia dalam Operasi Bojinka (ledakan kuat);

- satu rancangan mendapatkan khidmat juruterbang untuk menculik jet kepunyaan AS dengan tujuan menghunjamkan pesawat itu ke pejabat kerajaan dan bangunan komersial.

Kerajaan Filipina telah menyerahkan bukti yang diperolehi kepada kerajaan AS lengkap dengan butir yang membolehkan AS menangkap Ramzi Yousef dan mereka yang bersekongkolan untuk melancarkan 'Operasi Bojinka'.

Ketika tinggal di Filipina, Yousef pernah pergi ke Basilan dan melatih sekitar 20 ahli Abu Sayyaf pada 1994. Setahun kemudian dia telah mengumpulkan sekitar 20 orang di Matabungkay, berdekatan Manila, dan melatih mereka untuk membunuh Pope.

Pengembara Biasa

Sementara itu, adik ipar Osama bin Laden, Mohamad Jamal Khalifa, kerap datang ke Manila sebagai seorang pengembara biasa. Mungkin kerana dia mempunyai dua orang isteri warga Filipina. Ataupun besar kemungkinannya kerana dia mempunyai matlamat yang lebih besar. Pihak berkuasa Filipina percaya pertubuhan bukan-kerajaan yang dibiayainya adalah satu operasi proksi untuk Osama bin laden menyalurkan dana sokongan kepada MILF.

Kejayaan jaringan kewangan yang dicipta oleh Osama Laden mengikut taksiran perisik kerajaan, adalah sebabnya kenapa Ramzi Yousef memilih untuk melancarkan satu sel di Filipina.

'Dia datang ke sini kerana wujudnya jaringan dan struktur yang sedia ada,' kata Col. Rodolfo Mendoza kepada CNN.

'Mereka mudah memainkan peranan di sini. Apabila menerima dana, mereka boleh bersembunyi bertopengkan pertubuhan NGO Islam seperti yang biasa mereka amalkan. Dengan kehadiran Mohamad Jamal Khalifa, mereka boleh berfungsi secara bebas di Filipina.'

Satu Jaringan Lagi

Jaringan itu telah ditutup pada tahun berikutnya, selepas tertangkapnya Ramzi Yousef. Namun, ramai di Filipina percaya pertubuhan itu masih lagi memainkan peranan mereka.

'Jaringan lama itu telah dibubarkan. Tetapi kami terima maklumat yang sahih - mengatakan pertubuhan itu telah mencipta satu jaringan baru,' tambah Mendoza.

Sudah tentu segala bukti yang dimulakan oleh Yousef bersama penyokongnya masih membesar lagi. Di tahun kebelakangan, ada petanda kegiatan kerjasama antara beberapa pejuang Muslim di rantau ini.

Siasatan di Indonesia mendapati sekitara 700 pejuang telah dilatih oleh pakar Filipina di Markas Abubakar, yang merupakan pengkalan MILF. Tahun lalu, apabila askar Filipina menawan markas Abubakar, mereka telah menjumpai beberapa pasport Indonesia.

Serangan Maut

Seorang diplomat kanan Barat telah memberitahu CNN betapa peledak yang digunakan dalam bahan letupan dan juga bom yang meledak di Bursa Saham Jakarta (Jakarta Stock Exchange) tiga bulan kemudiannya mempunyai tanda pengenalan MILF.

Warga Malaysia telah juga ditangkap di Jakarta kerana terbabit dengan serangan terhadap sasaran Kristian di Indonesia antara Disember dan Julai.

Sementara itu di Kuala Lumpur, pihak berkuasa Malaysia telah memintas usaha mengebom dengan tertangkapnya dua orang warga Indonesia.

'Jaringan antara negara sudahpun wujud,' kata Col. Mendoza.

'Jaringan ini memang mantap: Indonesia, Malaysia dan Filipina. Saya fikir segala siasatan dan sistem operasi di tiga buah negara ini perlu ditingkatkan.'

'Kerjasama mesti ditingkatkan kerana kecanggihan jaringan ini yang semakin membesar.'

Tamat.

Terjemahan: SPAR


KM2 Main Index