Laman Webantu (M)   KM2: 5510 File Size: 6.4 Kb

| KM2 Index |


TAG SP 296: NYT - Hukum Hama
By Thomas L. Friedman

29/9/2001 2:46 am Sat

The New York Times.
September 21, 2001.

Hukum Hama

(Hama Rules)

Oleh: Thomas L. Friedman

Prakata:
Hukum Hama adalah cerita lama. Ia sudah dijadikan satu taktik oleh setiap regim diktator dunia Islam. Algeria, Tunisia, Maghribi, Somalia, Malaysia, dan Indonesia. Kita mesti menerima hakikatnya bahawa tragedi di Syria itu adalah satu peristiwa yang sudah berulang banyak kali di banyak tempat. Ia berlaku di negara Islam di mana ketuanya kerap mengerjakan Haji dan umrah. Artikel ini ditulis mengikut kacamata seorang yahudi. Apakah ianya mungkin berlaku juga di Malaysia? - Penterjemah



Pada Februari 1982, kerajaan sekular Syria yang dipimpin oleh Presiden Hafes al-Assad (Almarhum) telah menghadapi ancaman pelampau Islam, yang mahu menumbangkan regim Assad. Bagaimanakah dia bertindak terhadap mereka? Presiden Assad telah mengetahui bahawa bantahan itu berpunca daripada bandar yang nombor empat terbesar di Syria - Hama - dan dia bertindak untuk memusnahkannya. Tindakan itu melibatkan serangan meriam arah perkampungan puak pelampau itu untuk beberapa hari. Apabila meriam berhenti meledak, dia telah mengarahkan bandar itu disodok dengan jentolak sehingga menjadi satu kawasan rata yang luas yang bertukar menjadi kawasan meletak kereta. Amnesty International telah menganggarkan sekitar 10,000 hingga 25,000 rakyat Syria, kebanyakannya orang awam, telah terbunuh dalam satu tindakan yang tidak berperi-kemanusiaan. Syria tidak pernah menghadapi masalah pelampau Islam sejak itu.

Saya telah melawat Hama beberapa bulan selepas ia diratakan. Regim Assad memang mahukan setiap rakyatnya pergi melihat kawasan itu, dan merenung akan kesepian Hama dan memikirkan maknanya. Saya telah menulis selepas itu; 'keseluruhan bandar itu kelihatan seperti baru diserang tornado (taufan) yang menghembus berkali-kali selama satu minggu - tetapi ini bukannya kesan bencana alam seperti itu..'

Inilah dia 'Hukum Hama' - peraturan sebenarnya dalam politik Timur Tengah - dan Hukuman Hama itu bukannya berbentuk perundangan. Saya mengulang cerita ini bukannya sebagai satu cadangan bahawa ia harus dijadikan pendekatan kerajaan Amerika. Kita tidak boleh pergi meratakan bandaraya. Kita perlu lebih menumpukan pemikiran, memilih-milih ketika membuat pilihan dan bijaksana dalam menghapuskan pencetus keganasan.

Saya mengulang kisah ini kerana adalah penting kita memahami betapa Syria, Mesir, Algeria dan Tunisia semuanya telah menghadapi ancaman kumpulan Islamiah dan telah menumpaskan kumpulan itu tanpa sebarang kasihan. Sebahagian masalah yang menghantui Amerika sekarang ini sebenarnya merupakan kesan daripada operasi penekanan itu. Tiga perkara telah berlaku:

Pertama, apabila kumpulan fundamentalis telah ditekan oleh negara Arab, mereka telah lari ke tempat yang tidak terkawal di rantau itu - di Lembah Bekaa di Lebanon dan Afghanistan - ataupun mencari kebebasan di Amerika dan Eropah.

Kedua, beberapa regim Arab, kebanyakannya merupakan kerajaan diktator yang rakus dan korup tetapi amat takutkan rakyat mereka sendiri. Mereka sanggup membuat perjanjian iblis dengan puak fundamentalis. Mereka memberikan ruang kepada penyokong kumpulan Islamiah tempatan untuk melancarkan kutipan dana, dengan berselindung di sebalik usaha kebaikan kumpulan, dan menyalurkan dana itu kepada Osama bin Laden - dengan syarat kumpulan pelampau itu tidak menyerang regim tersebut. Kerajaan Saudi, sebenarnya telah membuat perjanjian begini.

Ketiga, beberapa regim Arab ini, merasa tertekan terhadap serangan Islamiah, telah membenarkan pihak media dan golongan cerdik pandai mereka menyerang Amerika dan Israel, sebagai satu cara untuk mengelakkan diri mereka menjadi bahan kritikan.

Hasilnya, satu generasi Muslim dan Arab telah mempunyai satu pandangan yang songsang mengenai Amerika walaupun Amerika telah memberikan Mesir sebanyak $2 bilion setahun, dan di sebalik usaha Amerika berjuang untuk membebaskan orang Islam di Kuwait, Bosnia dan Kosovo dan walaupun Bill Clinton pernah bertemu Yasir Arafat lebih kerap berbanding pertemuannya dengan pemimpin luar yang lain. Amerika telah dikutuk sebagai musuh yang paling dahsyat di dalam dunia Arab-Islam. Inilah satu sebabnya kenapa umat Islam-Arab telah mengalu-alukan serangan terhadap Amerika ataupun dengan muka yang selamba akan berkata - bahawa serangan itu adalah satu muslihat pakatan CIA-Mossad untuk mengaibkan dunia Islam.

Kita memerlukan negara Arab yang sederhana sebagai rakan kita - tetapi kita tidak memerlukan kebijaksanaan mereka semata-mata. Kita mahukan mereka mempunyai otak. Saya tidak mengharapkan mereka mengarahkan media mereka memuji-muja kita ataupun Israel. Mereka berhak kepada pemikiran sendiri terhadap kedua-dua negara ini, yang ada kalanya boleh dikecam juga. Tetapi, apa yang tidak pernah mereka galakkan ialah agar setiap insan mempunyai pandangan yang positif terhadap Amerika - walaupun mereka menghantar anak-anak mereka untuk menerima didikan di sini. Sesiapa yang melakukan perkara itu dicop terus sebagai seorang agen CIA.

Ketika negara Arab telah menghancurkan pengganas Islamiah mereka, tidak pula mereka mencabar ideologi dan mengutuk fahaman mereka sebagai tidak Islam. Orang Amerika yang berdarah Arab ataupun berfahaman Islam bukannya sebahagian masalah ini. Namun, mereka boleh memainkan peranan penting menyelesaikannya dengan terlibat dalam perdebatan di dunia Arab, dan mengemukakan satu pendapat mengenai Amerika.

Kerana itu martabat Amerika di dunia Arab dan Islam didapati menurun - sebahagiannya kerana kita tidak memberitahu cerita kita dengan betul, sebahagian lagi kerana sikap kita dan juga kerana ada pemimpin Arab yang tidak sah dan berwibawa sengaja melencongkan kritikan tempatan terhadap mereka agar tersasar mengena kita. Akibatnya: Kita mesti memerangi pengganas yang sudah menjadi gila dan dirasuk syaitan. Saya merasa sedih menyebutnya, betapa pengganas ini semua telah mencetuskan perasaan kebencian di negara asal mereka lebih hebat lagi dari apa yang kita fikirkan.

Tamat

Terjemahan: SPAR-20


KM2 Main Index