Laman Webantu (M)   KM2: 5505 File Size: 21.7 Kb

| KM2 Index |


TJ SP 293: B16B - Perisik di Padang Pasir
By GT

29/9/2001 2:31 am Sat

Bab 16B: Perisik Di Padang Pasir

(Spies In The Sand)

Enam minggu kemudiannya, pada 12 Januari, 1991, Shalom menjadi anggota satu pasukan khas Mossad dan pegawai risikan Aman yang duduk di satu meja persidangan di United States Joint Special Operations Command. Nama singkatannya ialah JSOC (tetapi para anggota yang terbabit menyebutnya sebagai 'jaysock' sahaja). Tempatnya terletak di Pope Air Force Base, Georgia. JSOC merupakan pusat pemerintahan pasukan Green Beret dan SEALs, dan telah lama mempunyai hubungan rapat dengan Mossad.

Sebaik sahaja Shalom pulang daripada Iraq dulu, Shavit telah memberitahu General Earl Stiner, ketua operasi JSOC, betapa Saddam mampu bertindak lebih dahsyat daripada yang dicakapkannya. Panglima yang terkenal kebijaksanaannya itu mempunyai stail menggunakan bahasa yang memang disukai oleh pegawai Israel. Tetapi apabila bermesyuarat secara rasmi, loghat Tennessee dalam pertuturannya terpaksa dipengapnya kerana mahu membuat keputusan yang bijaksana. Sebagai pegawai komando terulung di Amerika, dia sedar nilai hasil perisikan, dan daripada pengalaman peribadinya ketika berada di Timur Tengah dulu, dia memang yakin bahawa Mossad selalu memberikan perkhidmatan yang terulung.

Sejak Saddam menakluki Kuwait, Stiner kerap berhubung rapat dengan pegawai Israel yang dikenalinya. Sejarah hubungan mereka menyorot jauh sejak 1983 dulu, ketika dia baru dilantik menjadi Brigedier Jeneral, dia telah dihantar bertugas secara berahsia di Beirut oleh Pentagon untuk melaporkan dirinya kepada Ketua Turus Angkatan Tenera di sana dan memberitahu beliau setakat mana Amerika akan membabitkan dirinya dalam Perang Lebanon itu.

Selepas itu beliau bekerjasama dengan Mossad dalam episod rampasan kapal pelancongan 'Archille Lauro'. Ketika itu beliau telah memimpin satu pasukan komando 'Delta Force' di satu pangkalan udara Itali di Sicily, di mana para penculik telah berhenti sebentar dengan pesawat udara mereka setelah membebaskan diri daripada Mesir. Pasukan Itali telah mencegah Stiner daripada menangkap para perampas itu, dan ini telah mencetuskan peristiwa tembak-menembak. Kerana terdesak Stiner telah mengejar pesawat perompak itu dengan pesawat udara milik kerajaan, dan terpaksa membantutkan kerjanya itu ketika kedua-dua pesawat itu memasuki ruang udara Rome dan seteleh pengawal lalulintas udara mengugut untuk menembak jatuh pesawat yang membawa pasukan Delta Force kerana tuduhan mencabul ruang udara. Pada 1989, Stiner telah memainkan peranan sebagai komander pangkalan ketika mereka menyerang Panama, dan beliau bertanggungjawab dalam operasi menyauk Manuel Noriega.

Hanya Pengerusi Bersama Ketua Tentera Panglima Colin Powell dan Panglima Norman Schwarzkopf, yang memerintah pasukan bersekutu, yang faham akan perhubungan Stiner dengan Mossad. Ketika Schwarkopf sibuk mengatur benteng pertahanan di sepanjang sempadan Saudi, sebagai kubu mempertahankan serangan pasukan Iraq, para pegawai risikan Stiner telah berjaya bekerja rapat dengan Mossad untuk menubuhkan satu gerakan penentang dalam Iraq dengan niat menumbangkan Saddam.

Ketika Major General Wayne Downing, ketua utama JSOC mulakan mesyuarat di bilik persidangan itu, semua yang hadir sudah sedar betapa masa terus berjalan selepas Amerika Syarikat menetapkan tarikh 15 Januari, 1991, bertepatan dengan hari Selasa sebagai hari penentuan yang ditetapkan oleh PBB. Itulah tarikhnya seluruh dunia dikehendakki berdialog dengan pihak yang sudah tuli di Baghdad. Saddam sudah mengulangi apa yang disebutnya sebagai 'Ibu kepada semua peperangan' itu.

Dawning mulakan mesyuarat dengan memberi ingatan kepada yang hadir betapa Washington tidak mahu Israel terbabit dalam perang itu. Sebagai balasan Amerika menjanjikan bantuan politik untuk jangka panjang dan juga faedah ekonomi yang menyenangkan.

Israel memberikan tindakan balas yang pantas dengan membentangkan satu set gambar yang telah dibesarkan yang diambil oleh Shalom dulu ketika Iraq melancarkan roket Scud nya. Inilah yang mencetuskan banyak soalan: Apa jadinya kalau Saddam memasang peledak nuklear pada peluru berpandu itu? Mossad sudah berpuashati bahawa Iraq mempunyai keupayaan membuat alat itu. Ia juga mempunyai keupayaan memasang peledak kimia dan senjata biologi pada kepala Scud itu. Apakah Israel mesti menunggu peristiwa yang akan terjadi selepas itu? Apakah rencana pihak bersekutu untuk menyekat pelancaran Scud tersebut? Apakah pihak Amerika mengetahui berapakah jumlah Scud yang dimilikki oleh Saddam?

Salah seorang pegawai perisik Downing menyatakan bahawa mengikut taksiran terbaik mereka, Saddam mempunyai sekitar lima puluh Scud sahaja.

'Kami menganggarkan Saddam mempunyai lima kali ganda daripada itu dan mungkin juga lima ratus Scud semuanya,' jawab Shabtai Shavit.

Yang hadir terdiam membisu di bilik itu sehinggalah Downing menyoal apakah Shavit mampu menunjukkan tempat Scud disimpan? Shavit hanya mampu memberikan satu kawasan yang samar di kawasan padang pasir di bahagian barat Iraq dan juga di bahagian timur negara itu. Pihak Amerika bersetuju dengan Downing betapa 'memang banyak tempat menyorokkan Scud itu di kawasan padang pasir.'

'Itulah, lagi cepat anda mulakannya, lagi baik,' kata Shavit tanpa cuba menyorokkan perasaan kehampaannya.

Downing membuat janji untuk menyegerakan perkara itu, dan majlis itu ditamatkan dengan satu ingatan yang diulang lagi agar Israel tidak melibatkan diri - namun semua hasil pemantauan perisik Mossad dan Aman memang dialu-alukan oleh Amerika Syarikat. Pada waktu yang sama, mereka boleh merasa yakin bahawa Amerika Syarikat dan sekutunya akan menangani masalah Scud itu. Pasukan Israel pulang ke negara mereka dengan perasaan yang amat kecewa.

Pada 17 Januari, 1991, sejurus selepas jam 3.00 pagi, - beberapa jam sahaja selepas Operasi Desert Storm dilancarkan - tujuh peluru berpandu Scud telah mengena Tel Aviv dan Haifa, memusnahkan 1,587 bangunan dan mencederakan empat puluh tujuh orang awam.

Pada siang hari itu, Perdana menteri Yitzak Shamir telah menggunakan telefon (hotline) ke Washington menanyakan berapa ramaikah lagi rakyat Israel yang harus mati sebelum Presiden Bush mahu bertindak. Perbualan yang singkat itu berakhir dengan Bush merayu agar Shamir bersabar, sementara Shamir pula memberi amaran bahawa Israel tidak akan duduk bersila melihatkan segala bencana.

Shamir telah mengarahkan jet pejuang Israel mengawasi bahagian utara angkasa Iraq. Ini membuatkan Bush menjanjikan tindakan seandainya jet pejuang Israel itu dipanggil pulang. Lagipun dia mahu mengirimkan dengan segera dua meriam penangkis peluru berpandu jenis 'Patriot' untuk membolehkan Shamir 'mempertahankan bandaraya anda,' sementara pasukan bersekutu 'akan menghancurkan saki-baki Scud dalam beberapa hari lagi.'

Peluru berpandu (missail) terus menghujani Israel. Pada 22 Januari, satu massail itu gugur di pinggir Tel Aviv di Ramat Gan. Sembilan puluh enam orang awam telah tercedera, ada yang teruk juga, dan tiga orang mati kerana diserang penyakit jantung. Bunyi ledakan missail itu telah didengar sehingga ibupejabat Mossad. Di Kirya, Amnon Shahak telah membuat panggilan kepada National Military Command Centre di tingkat dua Pentagon. Panggilannya itu lebih singkat lagi berbanding panggilan yang dibuat oleh Shamir kepada Presiden Bush: Bertindaklah sesuatu kalau tidak mahu Israel bertindak pula.

Beberapa jam kemudiannya, Downing dan pasukan komandonya telah bertolak ke Arab Saudi. Ketika tiba di kampung Ar Ar di sempadan Iraq ada seorang insan yang lengkap berpakaian askar British, sedia menunggu mereka. Namanya ialah Shalom. Dia tidak menjelaskan bagaimana dia dapat pakaian askar British itu, kerana tidak ada sesiapa yang mahu tahu. Dia membawa bersamanya berita yang amat mengejutkan. Dia telah memperakukan terdapat empat pangkalan pelancaran roket Scud kira tiga puluh minit penerbangan, jauhnya dari situ.

'Baiklah!' kata Downing. 'Mari kita lanyak mereka.'

Pesawat helikopter jenis Chinooks telah mengangkut pasukan itu memasuki kawasan padang pasir Iraq, lengkap dengan sebuah 'Land Rover' yang siap diubahsuai untuk membolehkannya beroperasi di kawasan berpasir yang kebanyakannnya berbentuk permukaan bulan. Dalam satu jam mereka telah dapat mengecam kedudukan pelancar Scud. Dengan menggunakan hubungan radio yang berahsia, ketua komando itu telah memberi isyarat kepada jet pejuang AS yang dilengkapi peluru berangkai dan bom jenis 'thousand-pound'. Sebuah hekikopter jenis Black Hawk telah membuat penggambaran video akan serangan pemusnahan itu.

Beberapa jam kemudiannya satu pita penggambaran telah diserahkan kepada Shamir untuk tontonannya di pejabat sendiri di Tel Aviv.

Dalam satu panggilan telefon daripada Bush, perdana menteri itu mengaku telah melihat semuanya untuk meyakinkan Israel agar tidak turut terlibat. Tidak seorangpun yang menyebut peranan Mossad dalam pemusnahan Scud itu.

Pada hari berikutnya dalam Perang Teluk itu, pelancaran Scud telah membunuh dan mencederakan hampir 500 orang - termasuk 128 askar Amerika yang mati ataupun tercedera daripada sebuah Scud yang gugur di Arab Saudi; lebih 4,000 orang Israel yang kehilangan rumah kediaman mereka.

Bencana Perang Teluk itu telah menyebabkan Mossad dan Aman dikutuk dengan hebatnya oleh beberapa sidang rahsia. Knesset telah membabitkan 'Foreign Affairs and Defense Oversight Intelligence Subcommittee' (Jawatankuasa Kecil mengenai Halehwal Luar dan Risikan Kecuaian Pertahanan). Kedua perkhidmatan ini telah dikutuk kerana gagal meramalkan penaklukan Kuwait ataupun memberikan amaran yang berpadan mengenai ancaman Iraq. Beberapa rahsia yang sengaja dibocorkan oleh segelintir anggota jawatankuasa itu telah melaporkan kisah pergaduhan antara Smnon Shahak, ketua perisik Aman dengan Shabtai Shavit dan ahli jawatankuasa yang lain. Pernah berlaku pada satu ketika, apabila ketua Mossad itu mahu meletakkan jawatannya. Namun, Shabtai Shavit telah dipujuk untuk meneruskan khidmatnya.

Jabatan Perangsaraf Mossad (Mossad's Department of Psychological Warfare) ataupun yang lebih dikenali sebagai 'LAP', selalunya digunakan untuk menyebarkan maklumat songsang dan mengaibkan watak musuh Israel di kalangan wartawan asing, sambil menumpukan kepintarannya pada media tempatan (mungkin mereka pernah menggunakan khidmat Zam Mamak daripada Utusan Malaysia untuk melatih mereka?). Wartawan pilihan dipanggil dan diberitahu betapa soal kurangnya bahan risikan tidak menjadi pokok utama, yang pentingnya masyarakat Israel telah terlalu manja dengan berita yang mereka suka di kawasan sendiri.

Berita yang benar selalu disogokkan oleh LAP; berbeza dengan negara lain yang sama saiz negara dan jumlah penduduknya yang menggunakan begitu banyak bahan risikan seperti yang diamalkan oleh Israel. Memang tidak ada pasukan risikan negara lain yang dapat menandingi kepintaran Mossad dalam memahami ragam dan niat musuhnya, ataupun yang dapat menandingi rekod pencapaiannya menggagalkan rencana musuh yang cuba menjahanamkan Israel sejak lima puluh tahun lamanya. Semua maklumat itu adalah berita sensasi yang diterbitkan oleh media yang merasa berterima kasih dan berhutang budi untuk menjadikannya maklumat dan bahan 'cerita dalam' untuk terbitannya.

Beberapa siri artikel dierbitkan dengan ingatan kepada pembaca bahawa di sebalik pemotongan belanja pertahanan yang diperkenalkan sejurus sebelum meledaknya Perang Teluk, Mossad telah berjaya menguruskan benteng pertahanannya di Lebanon, Jordan, Syria dan Iraq. Rakyat telah berjaya memahami apa yang tersirat: Mossad telah dikekang kerana pemimpin politik telah menyalahgunakan peruntukan belanjawan pertahanan. Ini merupakan satu tema yang biasa yang menjaminkan kejayaannya. Rakyat yang menjadi ketakutan disebabkan serangan Scud itu telah menyalahkan kaedah memotong peruntukan pertahanan itu dan mengalihkan pandangan mereka daripada Mossad untuk menuduh pemimpin politik pula. Tiba-tiba peruntukan wang disediakan semula. Israel yang selama ini bergantung kepada maklumat satelit AS, telah melancarkan satelit risikannya sendiri. Keutamaan mereka ialah melancarkan satu satelit tentera untuk memantau secara khususnya perjalanan Iraq. Satu jenis senjata anti-missail yang bernama 'Hertz' telah dimulakan secara pengeluaran pukal. Beberapa pelancar Patriot telah dipesan daripada Amerika Syarikat.

Jawatankuasa kecil perisikan telah menjadi lumpuh apabila berlakunya serangan terbuka berbentuk pro-Mossad yang dibuat oleh orang awam. Inilah yang memperkasakan kedudukan Mossad. Shavit muncul sebagai jagoan. Perisik katsa di Iraq yang bergerak bersendirian telah diarahkan untuk mendapatkan maklumat mengenai simpanan senjata kimia Saddam, dan senjata biologinya yang telah berjaya menangkis serangan bertubi pengeboman pihak AS.

Rupa-rupanya Iraq masih memiliki simpanan (gas) 'anthrax', kuman cacar (smallpox), virus Ebola, dan kimia urat saraf yang mampu membunuh setiap penduduk Israel malahan juga sebahagian penghuni dunia ini.

Persoalan yang menghantui Shabtai, dan beberapa ketua masyarakat perisikan Israel serta para pmimpin politik Israel ialah apakah maklumat ini boleh diberitahu kepada rakyat Israel. Ini akan mencetuskan ketakutan di kalangan rakyat Israel, dan mungkin memprovok beberapa kesan sampingan yang tidak diingini. Industri pelancongan negara itu telah dimusnahkan oleh Perang Teluk. Ekonomi Israel sudah sampai ke dasar lantainya dan pelaburan baru sudah lama berhenti. Mendedahkan bahawa Israel masih dihantui serangan ganas senjata berbahaya tidak akan mampu menarik kembali pelancong luar ataupun menarik kemasukan wang ke dalam negara.

Lagipun, perpecahan di kalangan persyarikatan kuasa tentera Perang Teluk itu, yang telah dianggotai oleh beberapa negara Arab yang bersikap dingin kerana dimestikan berperang dengan saudara Arabnya, telah mencetuskan satu semangat kasihan terhadap nasib Iraq yang sedang tertekan. Bukti kemusnahan yang menimpa Iraq oleh serangan bertubi-tubi pasukan bersekutu hingga menyebabkan mala petaka yang amat mengaibkan telah melahirkan semangat yang membuak di kawasan lain di Timur Tengah dan memperbaharui kebencian masyarakat Arab terhadap Israel. Lagipun, seandainya Tel Aviv menyiarkan segala butiran simpanan Iraq yang tidak terjejas itu ia akan dilihat oleh negara Arab yang pro-barat sebagai satu usaha Israel untuk mendesak AS dan Britain melancarkan semula serangan terhadap Iraq.

Perbalahan dalam mendedahkan maklumat simpanan senjata perang Saddam telah dipengaruhi oleh satu perbincangan rahsia yang sengaja dirancang begitu rupa untuk menamatkan keganasan yang menghantui puak PLO dan Israel. Setakat 1992, perdebatan ini telah berpindah ke Norway, dan telah berjalan dengan licin, walaupun ia memakan masa satu tahun lagi sebelum sebarang persetujuan dapat dicapai dan disahkan secara terbuka pada Oktober 1993. Pada waktu itu, Yasser Arafat dan perdana menteri Yitzhak Rabin telah berjabat tangan di Rumah Putih, sambil disaksikan oleh Presiden Clinton yang pemurah dengan senyumannya. Setiap orang yang berada di situ memang jelas wujudnya perasaan kejayaan diplomasi di hati mereka.

Akan tetapi, bukannnya semua warga Mossad yang bersetuju dengan formula 'land for peace' (tanah untuk kedamaian) - yakni tanah untuk orang Palestin yang ditukarkan sebagai pengganti permusuhan - boleh mencapai kejayaannya. Fundamentalisme Islam sudah membangun, di negara jiran Israel seperti Jordan, Mesir, dan Syria, yang telah ditaja oleh pengaruh pelampau puak Iran. Golongan mullah Teheran, masih menganggp Israel sebagai sebuah pentadbiran pariah. Di kalangan Mossad, dan juga pada kebanyakan rakyat Israel, kemungkinan wujudnya satu kedamaian yang berpanjangan dengan PLO adalah satu impian semata. Zionis Israel memang tidak berminat berbaik-baik dengan Arab; apa juga yang bersangkutan agama dan budaya mereka dianggap oleh puak Zionis sebagai lebih rendah daripada kepercayaan dan sejarah; mereka tidak dapat menerima perjanjian Oslo itu sebagai menjamin masa depan mereka untuk mendapatkan Tanah Harapan di mana kedua bangsa itu dapat hidup aman secara berjiran, kalaupun tidak riang ria, setidaknya dapat menghormati sesama mereka.

Semua ini dipertimbangkan oleh Shabtai Shavit ketika dihantui persoalan apakah mesti diterbitkan maklumat simpanan kelengkapan perang Iraq. Akhirnya dia bertindak untuk memerap sahaja maklumat rahsia itu untuk tidak menjejaskan gelombang optimisma di luar Israel ekoran perjanjian di Washington. Lagipun, kalaulah berlaku sesuatu yang tidak diingini, maklumat mengenai simpanan beracun Iraq itu masih boleh didedahkan kepada umum. Imej perwatakan Saddam yang ganas, memberi prasangka kemungkinan ada agennya yang akan meletakkan satu tabung anthrax di stesen keretapi bawah tanah di New York, ataupun seorang pengganas menyumbat satu tabung berisi virus Ebola dalam sistem penghawa dingin pesawat Boeing 747, supaya setiap penumpang yang menjadi mangsa akan merupakan satu bom jangka yang menyibarkan virus itu kepada ribuan manusia lain sebelum kebenaran dapat didedahkan. Semua andaian ini adalah senario yang memang cocok kepada pakar Mossad yang terlatih dalam bidang 'psycholgical warfare' untuk menggerakkan semangat kebencian bila tiba masanya untuk menyerang Iraq.

Ada dua lagi peristiwa, di mana kebenarannya telah disorokkan oleh Mossad, yang mungkin menyebabkan banyak bencana dan memalukan Amerika Syarikat.

Pada satu petang Disember 1998, Penerbangan 103 Pan American Airways daripada London ke New York telah meletup di ruang angkasa Lockerbie di Scotland. Dalam jangka beberapa jam, kakitangan di LAP telah sibuk menelefon hubungan media mereka, mendesak mereka menerbitkan cerita bahawa 'terdapat bukti yang sahih' bahawa Libya, melalui pasukan risikannya, Jamahirya, telah bertanggungjawab. (Pengarang buku ini telah menerima panggilan telefon daripada LAP beberapa jam selepas letupan pesawat itu mengatakan penglibatan Libya). Tindakan sekatan ekonomi (sanctions) dikuatkuasakan serta merta oleh Barat terhadap regim Ghadafi. Amerika Syarikat dan Britain telah mengeluarkan dakwaan bertulis terhadap dua orang rakyat Libya, menuduh mereka memusnahkan pesawat Pan Am itu. Ghadaffi menolak dakwaan itu dan enggan menyerahkan dua pegawai Libya itu untuk diadili.

Kemudian LAP telah menuduh Syria dan Iran sebagai perancang bersekutu dalam bencana Lockerbie. Dakwaan terhadap regim di Damsyik (Damascus) itu sebenarnya bertujuan untuk mengaibkannya dengan tuduhan menyokong gerakan keganasan. Tuduhan terhadap Iran dipalitkan juga dengan lebih khusus lagi. Pemusnahan Pan Am 103 itu adalah sebagai satu tindak balas kerana tembakan pada 3 Julai 1998, apabila USS Vincennes menembak jatuh sebuah pesawat penumpang Iran di Teluk Parsi, membunuh semua 290 penumpangnya. Itu adalah satu peristiwa yang disebabkan kesilapan pihak Amerika dan mereka telah menuntut maaf.

Kemudian, LAP telah menuduh PLO (Palestine Liberation Organisation) dengan bersekongkol untuk menghancurkan pesawat itu di Lockerbie. Tidak ada seorangpun wartawan yang giat menyebarkan berita songsang ini pernah berhenti sejenak memikirkan kenapakah Libya yang dituduh sebagai perancang utama kemusnahan ini memerlukan bantuan Syria ataupun Iran, apalagi satu kumpulan Palestin.

Mengikut satu sumber risikan British, 'LAP telah sibuk sakan, Lockerbie telah dianggap sebagai satu peluang keemasan untuk mengingatkan dunia betapa wujudnya satu jaringan keganasan yang salama itu pernah diunjukkan oleh LAP. Peristiwa Lockerbie tidak memerlukan pablisiti semacam itu. Malahan usaha membabitkan banyak pihak menjadikan isu itu kehilangan bisanya. Yang kami tahu, hanya puak Libya yang terlibat'. Malahan masih banyak fakta yang menunjukkan betapa Pan Am 103 bukanlah satu kes semudah yang dijangkakan.

Kemusnahan pesawat Pan Am 103 itu berlaku ketika George Bush menjadi bakal presiden Amerika Syarikat yang baru dilantik. Satu pasukan awalan pemerintahan barunya telah berada di Washington dan sedang membuat kajian keadaan di Timur Tengah. Episod ledakan pesawat itu akan menonjolkan watak George Bush sebaik sahaja dia memasuki 'Oval office' di Rumah Putih.

George Bush pernah menjadi pengarah CIA pada 1976-77, di waktu Setiausaha Negara Henry Kissinger menentukan corak dasar hubungan antara Washington dengan Israel. Walaupun Bush menyokong dengan setianya segala dasar Reagan terhadap Israel, pengalamannya mengarah CIA telah meyakinkannya bahawa Reagan telah dipengaruhi dengan cukup berkesan 'untuk memihak kepada Israel'. Sambil menunggu giliran menjadi presiden Amerika, Bush tidak perlu diingatkan bagaimana, pada 1986, Amerika Syarikat terpaksa membatalkan perjanjian menjual kelengkapan perang kepada Jordan bernilai US$1.9 billion, kerana tentangan hebat daripada pihak pelobi Yahudi di Kongres. Bush telah memberitahu pasukan petugas pengambilalihan kuasa bahawa sebagai seorang presiden dia tidak mahu membenarkan sebarang campur tangan mana-mana pihak yang menyekat sebarang usaha niaga sesiapa di negara itu. Sikap inilah yang memainkan peranannya dalam kemusnahan Pan Am 103.


....bersambung....


Terjemahan: SPAR-20


KM2 Main Index