Laman Webantu (M)   KM2: 5504 File Size: 19.2 Kb

| KM2 Index |


TJ SP 292: B16A - Perisik di Padang Pasir
By GT

29/9/2001 3:12 am Sat

Bab 16A: Perisik di Padang Pasir

(Spies In The Sand)

Awalkata:
Kita sambung semula penulisan Gordon Thomas dalam bukunya 'Mossad's Secret Warriors' dengan melompat daripada bab Satu kepada Bab 16 buku itu. Mungkin ada sesuatu yang terselit dalam kisah bab ini yang ada pertaliannya dengan keadaan di Amerika sekarang.

Yang amat jelas, ketika peperangan 'Desert Storm' dilancarkan, CNN memainkan peranan propaganda betapa askar Amerika berjuang dengan hebatnya dan Israel tidakpun mengalami banyak masalah mempertahankan rakyatnya daripada serangan SCUD Iraq. Tulisan dalam buku ini menyatakan perkara yang sebaliknya.

Yang paling menonjol dalam bab ini, ada persamaan antara Presiden George Bush yang ada sekarang dengan insan yang sama namanya ketika itu.


Bab 16A:

PERISIK DI PADANG PASIR

(Spies In The Sand)

Pada 2 Disember, 1990, nun jauh di bahagian selatan Baghdad, satu lembaga manusia yang bergelumang dengan pakaian kotor seorang penghuni padang pasir sedang terbaring membujur kaku di pinggir sebuah wadi. Subuh memang terlalu sejuk di situ dan pasirpun sejuk laksana airbatu, kerana cuaca malam yang menurunkan suhu di bawah sifar. 'Kepala lembaga manusia itu disungkup dengan bulu biri-biri yang dipanggil 'bupta', itulah sejenis tengkolok penutup kepala yang menunjukkan dia adalah warga kaum Sarami, puak Islam yang berfahaman Sufi, yang memang suka merayau-rayau padang pasir Iraq. Inilah puak yang mempunyai fahaman fanatik yang tidak ada tolok bandingnya di kalangan puak yang lain.' Namun, kesetiaan sebenar insan ini diberikannya kepada sebuah negara yang terletak enam ratus batu jauhnya di bahagian barat padang pasir itu. Di negaranya, Israel, dia dikenal sebagai seorang 'katsa' (perisik).

Pakaiannya itu dibekalkan oleh stor pakaian simpanan Mossad yang menyimpan pelbagai jenis pakaian seluruh dunia yang sentiasa dikemaskini. Kebanyakan pakaian itu dibekalkan oleh 'sayanim' dan diserahkan kepada kedutaan Israel di merata dunia untuk dikirimkan kepada Tel Aviv dalam beg diplomatik. Ada juga pakaian yang dibeli di negara Arab yang dianggap bermusuh dengan Israel oleh para pelawat yang pro-Israel. Ada juga yang dijahit sendiri oleh tukang jahit yang manjaga stor pakaian itu. Pengalamannya yang bertahun membolehkan beliau dan para tukang jahit di bawah pengawasannya menyediakan pakaian yang menepati segala butiran jahitannya, lengkap dengan benang dan cara potongan yang mengkagumkan.

Katsa yang ini mempunyai nama kod -Shalom- yang diberikan daripada satu senarai nama samaran yang tersimpan di Jabatan Operasi; Rafi Eitan telah memperkenalkan senarai ini selepas Operasi Menjejaki Eichmann (pegawai tinggi Jerman dalam episod holokos- penterjemah). Shalom Weiss memang merupakan antara tukang penciplak yang pintar dalam Mossad sebelum beliau dipilih untuk menganggotai pasukan yang menangkap Adolf Eichmann. Shalom Weiss telah mati kerana penyakit barah pada 1963, namun namanya telah diabadikan dan digunakan banyak kali oleh masyarakat katsa. Hanya segelintir pegawai tinggi IDF, Shabtai Shavit, dan ketua jabatan 'Shalom' yang tahu apa sebab sebenar beliau menyorok di padang pasir itu.

Pada Ogos 1990, Saddam Hussein telah menakluki Kuwait, dan tindakannya itu dianggap sebagai pemula Peperangan Teluk. Tindakan Iraq ke atas Kuwait merupakan satu kegagalan industri risikan dalam perkhidmatan Barat, kerana tidak ada satupun perkhidmatan negara Barat yang dapat menjangkakan perkara itu boleh berlaku; Mossad telah cuba memperakukan laporan bahawa Saddam sudahpun menyimpan beberapa jenis senjata kimia yang berbahaya di beberapa tempat simpanan rahsia di sebelah selatan Baghdad, yang membolehkan senjata itu digunakan dalam rangka serangan sasarannya, bukan sahaja ke atas bandar Kuwait tetapi juga beberapa bandar di Israel.

Di kalangan pegawai tinggi Mossad, memang wujud kesangsian apakah Iraq sudah memiliki roket untuk melancarkan serangan berbisa itu. Gerald Bull telah diketepikan oleh Amerika dan senjatanya yang bergelar 'supergun' itu sudahpun diketepikan juga kerana gagal melepasi ujian pemantauan satelit Amerika Syarikat. Pengamat Shavit telah mencadangkan kalaulah Saddam sudah memiliki peluru berpandu, tidak ada kepastian apakah kepala peluru berpandu itu boleh diisi dengan kimia, seperti yang dijanjikan oleh Saddam dulu.

Sebagai seorang pegawai yang baru sangat memegang jawatannya yang baru, Shabtai Shavit, telah mengulang apa yang diberitahu kepadanya, betapa sikap mencetuskan kewaspadaan boleh mencetuskan suasana panik yang tidak diperlukan. Sahalom telah diberikan kelulusan khas untuk mencari kebenarannya. Dia telahpun melaksanakan beberapa operasi seperti itu dulu di Iraq. Dia pernah pergi ke Baghdad setelah menyamar sebagai seorang peniaga daripada Jordan. Di Baghdad memang terdapat 'sayanim' yang dapat membantunya. Tetapi, di satu kawasan padang pasir yang luas, dia terpaksa menyesuaikan diri mengikut keadaan dan keupayaannya - dan segala didikan yang diturunkan oleh para jurulatih yang sudahpun mengujinya.

Shalom pernah menjalani latihan lasak di padang pasir Negev, sambil menjalani kaedah 'latihan memori', cara mengenal sasaran walaupun ketika dihujani taufan pasir; dan 'perlindungan imej diri' yang membabitkan usaha menyesuaikan diri dengan keadaan sekelilingnya. Dia telah mengenakan pakaian yang sama untuk melusuhkan kainnya. Dia telah menghabiskan sehari suntuk di padang tembak, sambil mempamerkan kepintaran menggunakan senjata dalam latihan pertembungan jarak dekat. Kemudian dia menghabiskan satu jam dengan pakar farmasi untuk mengetahui kaedah terkini menggunakan perubatan kecemasan di padang pasir; kemudian dia menghabiskan satu bahagian pagi untuk menghafal peta kawasan yang akan diharunginya untuk merentas padang pasir itu.

Semua jurulatihnya mengenal Shalom hanya melalui nombornya sahaja; mereka tidakpun merendahkannya ataupun memberi kepujian kepadanya. Mereka tidak pernah memberitahu Shalom apakah kedudukan latihan yang dipelajarinya, kerana mereka sudah bersifat laksana robot sahaja. Sebahagian dari setiap hari latihan dihabiskan untuk membina stamina dan fisiknya dengan cara berjalan di tengah panas terik sambil menggalas satu beg yang diisi batu. Shalom sentiasa menepati waktu jadualnya, tetapi tidak ada sesiapapun yang berleter apakah dia menepati jadualnya itu. Ada satu ujian yang menghentikan setiap latihan yang sedang dijalaninya untuk membolehkan Shalom 'didera' dengan soalan seperti begini: 'Seorang anak Badui ternampak kamu: apakah kamu akan membunuhnya untuk meneruskan misi kamu?'. 'Anda hampir ditangkap. Apakah anda menyerah diri ataupun membunuh diri?'. 'Anda terserempak dengan seorang askar Israel yang tercedera dalam satu misi yang berbeza, apakah anda akan berhenti membantunya ataupun membiarkan sahaja beliau begitu setelah menyedari dia akan mati akhirnya?' Segala jawapan Shalom tidak perlu berupa sesuatu yang menentu, kerana soalan yang diarahkan hanya merupakan satu cara lain untuk menguji keupayaannya membuat keputusan ketika perasaannnya ditekan. Berapa lamakah dia membuat keputusan untuk menjawab? Apakah dia bercelaru ataupun menunjukkan keyakinan ketika memberikan jawapan itu?

Dia hanya akan makan apa juga jenis makanan yang ada di padang pasir; ketulan yang dicampurnya dengan air payau yang memang boleh didapati bertakung di tempat tertentu di padang pasir. Dia pernah menerima latihan perseorangan dengan seorang pakar psikiatri Mossad cara menangani 'stress' (tekanan jiwa) dan cara menenangkan perasaan. Doktor pakar itu mahu menentukan Shalom berupaya berfikir sendirian supaya dia mampu bertindak pantas dan ganas mengikut keadaan yang mungkin dihadapinya di padang pasir itu.. Ujian bakat itu dapat menentukan keadaan emosi dan keyakinan dirinya. Ujian dibuat untuk menentukan apakah dia sudah menunjukkan tanda-tanda mampu bersikap laksana 'serigala keseorangan', kerana sikap demikian memang mencurigakan sehingga ramai katsa yang terpaksa diberhentikan khidmat mereka kerana sudah memiliki sifat itu.

Seorang jurulatih 'loghat'(dialect) telah mengajarnya beberapa jam lamanya, sambil mendengar beliau mengulang-ulang loghat orang Sufi. Kerana Shalom pintar berbahasa Parsi dan Arab, dia memang mudah menjadi pakar dalam loghat yang dituturkan oleh puak badui. Setiap malam dia dihantar ke beberapa bahagian kawasan padang pasir Negev untuk tidur. Sambil menggali pasir untuk menyorok dirinya, dia akan berehat untuk beberapa ketika tanpa sempat berdengkur di situ, sebelum beralih tempat, untuk mengelakkan dikesan oleh para jurulatih yang sentiasa memburunya di malam hari. Jikalau dia dikesan, maka berakhirlah misinya itu ataupun sengaja ditunda untuk beliau menambah latihan lagi, ataupun dia dipindahkan untuk membolehkan misinya itu diambil-alih oleh seorang katsa yang lain.

Shalom berjaya mengelakkan dirinya daripada dikesan oleh sesiapa. Pada petang 25 November 1990, dia telah menaiki pesawat CH-536 helikopter Sikorsky kepunyaan 'Israeli Defense Forces Central Regional Command.'

Anak kapal helikopter telah diberikan latihan yang berasingan untuk misi itu. Di satu bahagian lain padang pasir Negev, mereka telah mebuat latihan terbang rendah sambil berlatih melepasi pelbagai rintangan yang sengaja dipasang di waktu malam. Ada 'turbine' khas yang memancutkan pasir ke arah helikopter itu untuk membolehkannya memperbaiki teknik terbang melalui tekanan udara yang berbeza di padang pasir Iraq. Pemandu pesawat telah berjaya terbang serendah mungkin tanpa mencetuskan bencana. Dalam satu latihan yang lain, jurulatih telah bergayut pada tapak pendaratan, sambil menembak pada sasaran di kaki langit, sambil juruterbang mengawal pesawatnya tanpa bergerak. Ketika latihan begitu anak-kapal berlatih untuk menentukan hala tuju pesawat itu seterusnya.

Hanya ketua pemerintah, Major General Danny Yatom, mengetahui laluan sebenar yang mereka gunakan untuk menuju sempadan Iraq. Yatom pernah menganggotai unit komando elit Sayeret Matkal, yang merupakan pasukan beret hijau Israel yang pada 1972 dulu telah menyerang sebuah pesawat Belgium di Lapangan Terbang Tel Aviv. Anggota lain komando yang sama ialah Benyamin Netanyahu. Persahabatan antara mereka berdua akhirnya menaikkan pangkat Yatom menjadi ketua utama Mossad, ketika Netanyahu menjadi perdana menteri. Itu juga pangkat yang menamatkan perhubungan baiknya dengan Netanyahu, akhirnya. Tetapi, cerita itu adalah kisah masa depan mereka.

Pada pagi Disember itu, Shalom masih lagi meneliti keadaan di persekitaran wadi, dia tidakpun menyangka betapa perjalanan yang jauh dan berbahaya itu telah diputuskan di satu bilik persidangan di Kirya, ibupejabat pertahanan di Tel Aviv.

Selain Yatom, hadir juga Amon Shahak, ketua Aman, bahagian risikan tentera, dan Shabtai Shavit. Mereka sedang membincangkan satu maklumat terkini yang mereka perolehi daripada seorang perisik yang bergerak secara senyap-senyap di dalam jaringan kumpulan ganas Iran di Eropah. Talibarut khas mereka ini, tidak dikenali oleh orang lain, apakah dia seorang lelaki ataupun wanita. Hanya Shavit yang mengetahui jantinanya, kerana itu nama kod talibarut itu diberikan sebagai abjad 'I' sahaja. Shahak dan Yatom hanya boleh membuat andaian betapa talibarut ini berjaya menyerap masuk kompeks kubukuat Iran di tingkat tiga di kedutaan Iran di Bonn, Jerman. Keseluruhan kawasan itu telah diperkuatkan untuk menahan ledakan bom dan ia sentiasa dikawal oleh sekitar 20 Pengawal Revolusi (Revolutionary Guards) yang mempunyai peranan seiring untuk menyelaraskan aktiviti keganasan Iran di Eropah Barat. Mereka pernah mencuba menghantar satu ton 'Semtex' dan pemacu elektronik keluar daripada Lebanon untuk memasuki Sepanyol. Pengiriman itu bertujuan menambun (bekalan tambahan) bahan peledak untuk beberapa kumpulan pejuang pro-Iranian di negara Eropah. Setelah menerima maklumat daripada Mossad, kastam Sepanyol telah menaiki kapal itu sebaik sahaja ia memasukki perairan antarabangsa.

Apabila munculnya musim panas 1990, Iran telah mengagihkan dana melalui kedutaannya di Bonn untuk mempertingkatkan pengaruhnya di kalangan kumpulan fundamental Islam di Eropah. Jumlah wang yang dilibatkan itu memang mengejutkan kerana Iran telah dihenyak oleh kegawatan ekonomi disebabkan peperangan dengan Iraq yang berlanjutan selama lapan tahun, dan berakhir dengan satu perdamaian hanya pada 1988.

Akan tetapi, pada suatu hari dalam November, di kamar persidangan yang terkawal di Kirya itu, bukannya kemunculan satu ancaman baru daripada Iran yang telah dibongkar oleh agen perisik talam-dua-muka itu. Maklumat yang dibongkar oleh 'I' membabitkan Iraq, dan dia sudah berjaya mendapatkan satu salinan yang terperinci mengenai rencana perang Iraq yang dicuri oleh pasukan risikan Iran daripada ibupejabat ketenteraan Baghdad. Rencana Iraq itu membabitkan cara penggunaan peluru berpandu 'Scud' yang akan diisi kepalanya dengan kimia dan senjata biologi yang beracun terhadap Iran, Kuwait dan Israel.

Setiap peserta yang bersidang ketika itu hanya mempunyai satu soalan utama untuk diketengahkan. Apakah maklumat itu dapat dipercayai? Sebelum itu 'I' memang telah membuktikan kesahihan segala maklumat yang dikirimkannya. Namun, segala maklumat sebelum itu tidak sehebat maklumat yang terkini darinya. Apakah kemungkinannya, maklumat yang baru diterima itu bertujuan untuk menipu Israel agar melancarkan serangan awal terhadap Iraq? Apakah kemungkinannya 'I' sudah tertangkap dan dia kini digunakan oleh Iran?

Untuk mencari jawapan kepada soalan itu mencetuskan risiko juga. Masa untuk membolehkan seseorang katsa menghubungi 'I' mungkin memerlukan beberapa minggu. Proses mudah jadi bercelaru untuk menarik perhatian seorang perisik yang jauh di lubang risikan untuk timbul di permukaan. Kalau 'I' masih lagi setia, keselamatannya mungkin terjejas menjadi bahaya. Namun, kesan bertindak terhadap dokumen Iraqi tanpa menyelidik kesahihannya akan mencetuskan bencana kepada Israel. Satu serangan awal untuk memintas sudah tentu mencetuskan satu tindak balas. Sudah tentu ini akan menjejaskan satu permuafakatan yang telah dijalin dan dipersetujui di Washington untuk menghapuskan Saddam Hussein daripada Kuwait. Lagipun, banyak negara Arab yang akan menyokong Iraq kalau ia beperang menentang Israel.

Hanya ada satu jalan untuk mengesahkan berita yang dicuri daripada medan perang itu dengan menghantar Shalom memasuki Iraq. Helikopter yang membawanya telah terbang rendah di atas permukaan padang pasir Jordan di malam buta yang gelap gelita. Pesawat yang dicat dengan pewarna khas untuk menepis pemantauan cahaya radar, mempunyai injin khas yang tidak bising sehinggakan Sikorsky itu tidak dapat dikesan oleh sebarang radar Jordan yang canggih-manggih. Keupayaannya terbang dengan 'silent mode' (senyap-sunyi) membolehkan helikopter itu terbang menuju tempat pendaratan yang berdekatan sempadan Iraq.

Di situlah Shalom digugurkan pada malam buta itu. Walaupun telah diberikan latihan yang bertubi-tubi, tidak ada sebarang persediaan yang mampu memberikan keselesaan kepadanya ketika itu. Dia sudah bersendirian, dan untuk selamat dia terpaksa menghormati keadaan sekelilingnya. Setiap kawasan padang pasir memang tidak ada perbandigannya dari segi unsur kejutan yang mampu dicetuskannya. Pada bila-bila masa taufan pasir boleh melanda, merobahkan keadaan alam (landscape) dengan tidak semena-mena sehingga mampu menimbusnya. Satu bentuk keadaan langit mempunyai makna yang tersendiri berbanding satu bentuk yang lain yang datang berganti. Shalom rerpaksa membuat kajian cuaca mengikut tafsiran yang dipelajarinya, semuaitu terpaksa dibuatnya sendiri sambil menggunakan telinga sebagai alat untuk menyesuaikan diri kepada malam yang sunyi. Dia terpaksa berwaspada mengingati bahawa kesunyian padang pasir di malam hari bukannya keadaan yang sembarangan. Dia juga perlu mengingati selalu, betapa kesilapan pertamanya adalah juga kesilapannya yang terakhir di situ.

Tiga hari selepas digugurkan oleh helikopter dan pada subuh Disember itu, Shalom masih terbaring kekejangan di wadi Iraq. Dia memang memakai cermin-mata hitam khas di sebalik 'bupta' yang digunakannya. Lensa khas 'goggle' itu memberikan gambaran bentuk keadaan alam di persekitarannya. Shalom hanya bersenjatakan satu senjata yang kerap digunakan oleh Sarami di situ: sebilah pisau belati untuk memburu. Dia memang terlatih menggunakan pisau itu dengan pelbagai cara. Apakah dia akan menggunakan pisau itu menentang kuasa yang lebih kuat darinya, belum lagi dipastikannya. Seperti juga apakah dia akan menyerah diri kalau diperangkap di situ. Ataupun apakah dia akan menelan pil beracun yang dibekalkan untuknya. Sejak Eli Cohan ditangkap, diazab dan didera sampai mati, setiap katsa yang bertugas di Iran, Iraq, Yemen, ataupun Syria telah diberi kuasa membuat pertimbangan sendiri sama ada mahu membunuh diri daripada ditangkap untuk diseksa oleh pihak yang menangkap mereka. Sementara itu Shalom terus melihat keadaan dan menunggu.

Orang badui di perkhemahan yang terletak kira-kira setengah batu di seberang wadi sedang mengerjakan solat subuh. Suara salakan anjing mereka sudah kedengaran sayup-sayup di bawa bayu. Tetapi, anjing-anjing itu tidak akan keluar daripada kawasan perkhemahan mereka sehinggalah sinaran matahari sudah kelihatan di bahagian kaki langit Inilah corak hidup yang pertama kali dipelajari oleh Shalom ketika 'bertapa' di padang pasir dulu.

Mengikut maklumat yang diperolehinya pada majlis penerangan dulu, konvoi pertama seharusnya muncul di antara dua bukit di bahagian kiri tempat persembunyiannya. Mata yang tidak terlatih tentu tidak dapat mengesan jejak kesan yang dilalui oleh konvoi itu dulu. Kepada Shalom kesan itu amat jelas sekali kerana antara kesan tayar kenderaan itu sudah ada kesan lubang yang dikorek oleh ulat-ular padang pasir untuk hidup di situ.

Matahari sudah naik meninggi, ketika konvoi yang dikatakan muncul di situ. Satu kenderaan pelancar Scud dan sebuah kenderaan sokongan muncul dan berhenti kira-kira setengah batu daripada lubang persembunyian Shalom. Ini membolehkan Shalom mengambil gambar dan mencatatkan waktu penggambarannya.

Pasukan tentera Iraq itu mengambil lima belas minit untuk melancarkan peluru berpandunya. Ia muncul dalam satu lengkongan dan hilang di kaki langit. Beberapa minit kemudian, konvoi itu berpatah balik meluncur di celah-celah bukit. Dalam masa beberapa minit, Scud yang dilancarkan itu mengenai sasarannya di Tel Aviiv ataupun apa juga bandar Israel. Mujurlah tembakan itu hanya satu latihan sahaja. Shalompun memulakan perjalanannya pulang menghala ke Tel Aviv.


....bersambung....


Terjemahan: SPAR-20


KM2 Main Index