Laman Webantu (M)   KM2: 5473 File Size: 9.3 Kb

| KM2 Index |


TAG SP 287: Siapa Perancang Utama? [WTC]
By MSNBC

18/9/2001 6:09 pm Tue

[Amerika sebenarnya banyak tidak tahu dan ramai orang yang tidak kena mengena akan menjadi mangsa kejahilannya itu. Kalaulah pihak yang melakukan kemusnahan itu terus melenyapkan diri, Amerika akan tersilap memburu yang hanya akan mengundang kemusnahan yang lebih dahsyat lagi. - Editor]


MSNBC 11 September 2001

http://www.msnbc.com/news/627496.asp?Ocb=-b1f22998


Siapa Perancang Utama?

(Who's The Mastermind)

Oleh: Chirstopher Dickey dan Andrew Nagorski

'Siapakah yang mempunyai kebijaksanaan dan wang lumayan untuk membuat kerja-kerja ini?' tanya seorang veteran ketika melihatkan keadaan punah-ranah yang disiarkan di TV di awal pagi. Siapa sebenarnya mereka?

Spekulasi yang berwaspada tentu mengambil kira beberapa kelompok agamawan yang mempunyai pendirian sendiri mengenai Maha Pencipta dan negara mereka, seperti pengebom Oklahoma City yang baru sahaja menjalani hukuman mati, Timothy Mc Veigh; ataupun para pengganas dan tuanpunya perdagangan dadah Colombia, di mana askar A.S. melancarkan operasi rahsia yang semakin menggila. Namun, tekaan pertama ramai pegawai perisik Amerika di Timur Tengah, Eropah dan Amerika Syarikat ialah 'kumpulan jihad' yang telah berkumpul di Afghanistan di bawah pengaruh seorang pelarian Saudi, Osama bin Laden. 'Terdapat satu kumpulan manusia yang tidak semestinya mengikuti arahannya atupun tidak pernah bertentang mata dengannya,' kata Richard Murphy, bekas duta Amerika di Syria dan Arab Saudi, yang kini menjadi anggota Majlis Hubungan Luar kerajaan Bush.

Osama Bin Laden memang suka bercakap. Dia pernah membuat pengumuman terbuka melancarakan 'Perang Jihad' terhadap keseluruhan Amerika pada 1998 dan mengajak dunia menyerang Amerika. Namun, tindakan yang bertukar daripada retorik yang mengancam sudah berubah menjadi tindakan pembunuhan beramai-ramai yang dilaksanakan oleh mereka yang tidak dikenali akan identitinya. Walaupun Osama bin Laden dapat ditumpaskan, ramai pengamat bersetuju, ancaman yang dikeluarkannya adalah laksana satu fatwa yang akan dipatuhi. 'Kalau Osama bin Laden laksana seorang penggubah lagu, siapakah kondaktor simponinya? Itulah yang kami ingin tahu.' Demikian kata seorang pegawai Amerika yang amat prihatin dengan keganasan. Para penyiasat kini dapat melihat satu corak tertentu dalam beberapa operasi tajaan Osama: pada Ogos 1998, pengeboman kedutaan Amerika di Kenya dan Tanzania telah dilancarkan, pada Oktober 2000 'USS Cole' di Yemen telah diserang dan pada hari ini telah berlaku pengeboman secara menghunjamkan pesawat terbang oleh penerbang berani mati ke atas Pusat Dagang Dunia di New York dan Pentagon. Semua operasi yang disebut berjihad ini memerlukan masa bertahun untuk merancangnya dan memerlukan satu koordinasi yang rapi, namun semua itu bergantung kepada keberanian, unsur mengejutkan dan pengumpulan maklumat asas oleh kumpulan manusia berbanding penggunan bahan letupan yang sofistiket ataupun senjata pemusnah massa.

Para perancang telah mengawasi semua dan menyelidik apa yang perlu. Ada beberapa orang petugas anti-kegaganasan telah membuat andaian betapa segala risikan yang dikumpulkan oleh agensi A.S. mengenai kebarangkalian serangan terhadap Amerika pada bulan Jun lalu, berkemungkinan telah dibocorkan oleh segelintir petugas yang ada hubungan dengan Osama Laden. 'Sudah wujud satu industri khusus untuk menyelidik Osama bin Laden, dan setiap kali kami menerima sedikit isyaratpun kami bertindak macam nak gila,' kata seorang penyiasat yang berpangkalan di Teluk Parsi. Pada waktu itu, kapal perang A.S. sedang berundur daripada pelabuhan di Timur Tengah, beberapa pegawai tentera sedang dipindahkan, dan penyiasat FBI yang terlibat dengan siasatan USS Cole sedang bersiap untuk undur daripada Yemen kerana takutkan bahana ancaman yang sedang menghangtui mereka. Nampaknya kini, para pengganas itu 'berkemungkinan telah menjalankan beberapa ujian di mana dan bagaimana caranya kita mencungkil maklumat - dan apakah perkara yang telah kami abaikan', kata sumber itu. 'Mereka telah melihat di mana kami bertindak dan di tahap mana kami tidak bertindak.' Apakah mereka juga telah mengamati lapangan terbang Amerika pada waktu yang sama untuk menguji kalau-kalau ada peraturan baru yang dikuatkuasakan? 'Mereka bukan sahaja tahu merancang, tetapi pintar untuk mengujinya,' kata penyiasat itu. 'Dan mereka sudah tahu, rupanya, di mana wujudnya ruang yang lopong.'

Seorang lagi pegawai A.S. yang prihatin dengan keganasan di Timur Tengah telah mencatatkan betapa kejayaan yang dilihat kepada serangan terbaru ini bergantung kepada pilihan senjata perang mereka: pesawat penumpang jarak jauh yang sarat dengan minyak jet yang diketahui terbang tidak jauh daripa Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon. Senjata api memang sukar diseludup ke dalam pesawat terbang. Senjata lain seperti pisau yang diperbuat daripada tembikar tidak dapat dikesan oleh x-ray.

Namun, sebahagian besar penelitian Washington kini tertumpu kepada ancaman pengganas sejak lima tahun yang lalu, yang menyebut betapa secara teorinya musuh fanatik Amerika telah merancang menggunakan senjata yang memusnahkan 'sama ada kimia, berunsur biologi ataupun nuklear' dan A.S adalah sasarannya.

John Parachini daripada Monetery Institute of International Studies telah memberikan amarannya berulang kali, betapa berasaskan pengamatan belanjawan yang menyeluruh, Washington telah membuat taksiran terhadap ugutan 'berdasarkan andaian manusia terhadap perbuatan yang mungkin dilakukan oleh kumpulan pengganas, dan bukannya berlandaskan gelagat mereka pada masa dulu, ataupun kemungkinan yang mampu mereka lakukan apabila dinafikan keupayaan memperoleh barangan teknikal ataupun pembuatannya dan kesulitan mengangkutnya' segala senjata yang boleh mencetuskan kemusnahan besar.

Menjejaki Kumpulan Jihad

Sementara itu, musuh-musuh Amerika sudah semakin pintar menggunakan pelbagai senjata yang mereka perolehi. "Sudah wujud satu kumpulan teras yang semakin canggih dalam setiap serangan mereka,' kata seorang pegawai yang telah memantau kumpulan jihad untuk beberapa tahun lamanya. 'Yang lebih menakutkan ialah mereka berkeupayaan menggunakan senjata canggih ini pada satu waktu yang sama'. Beberapa nama perancang utama kerap menyinar di skrin komputer para penyiasat. Ayman Zawahiri pemimpin Jihad Mesir kerap disebut-sebut sebaris dengan nama Osama bin Laden. Seorang lagi perancang utama ialah yang berada di Tebing Gaza Palestin, bernama 'Abu Zubaydah' ataupun Mohammaed Hussein Zeinal-abidin. Kadangkala dia ini dirujuk sebagai ketua ekskutif Osama Laden dan telah disebut sebagai penghubung utama kepada beberapa sel operasi 'pengganas' yang bergiat di Eropah Barat dan wilayah Balkans pada 1990-an. Namun siapa juga yang menjadi kondaktor pancaragam itu, mereka bijak menggunakan petugas di medan perang yang tidak mengetahui keseluruhan senario operasi mereka. 'Mereka pintar menggunakan petugas tempatan membuat kerja tertentu,' kata seorang pegawai A.S. Walaupun ada penangkapan, dan pendakwaan, tidak ada sebarang bukti mengaitkan pengeboman di Afrika dengan episod membabitkan USS Cole, ataupun kisah Cole yang boleh mengaitkannya kepada Osama bin Laden ataupun kepada jaringan kumpulannya yang bernama Al-Qaeda.'

Yang benar-benar diperlukan ialah tahap risikan yang lebih baik. Tetapi, tahap keupayaan Washington untuk menembusi kumpulan ini masih lemah lagi, dan segala khidmat persahabatan yang pada waktu dulu digunakannya untuk mendapatkan bantuan, sudah tidak serasi seperti dulu. Pihak israel sekarang ini mempunyai masalahnya sendiri. Pihak Mesir sentiasa bertolak ansur dengan kumpulan pengganas untuk menjamin satu keadaan keharmonian di rantau mereka (seperti yang disedari begitu lama oleh kerajaan Barat). Khidmat risikan Pakistan sudah begitu lama bersimpul dengan puak Taliban sehinggakan amat sukar untuk mempercayai cakap-cakap mereka. Pada minggu lalu pula, Raja Fahad telah memecat putera Turki-el-Faisal yang berpendidikan di Amerika dulu dan pernah memegang jawatan ketua perisik Arab Saudi lebih dua dekad lamanya.

Ada kalanya para penyiasat mendapat nasib baik juga. Selepas Pusat Dagangan Dunia diserang pada 1993 dulu, salah seorang konspirator itu telah tersilap dan pergi mendapatkan wang deposit sewaan van yang digunakan untuk megebom bangunan itu. Selepas pengeboman di Oklahoma City pada 1995, Timothy Mc Veigh telah ditahan oleh polis hanya selepas dia memandu sebuah kereta yang tidak memasang plet nombornya. Tetapi, kebanyakan pengganas yang menyerang Amerika sekarang ini bukan lagi orang sembarangan. Selagi Amerika tidak berupaya menaksir risiko keganasan itu, dan cara terbaik untuk menyelinap masuk jaringan kumpulan pengganas itu secara terus, semakin besar risiko bahawa para penyiasat dan agen perisiknya terpaku kepada barang bukti keganasan yang basi sedangkan pengganas sudahpun menggunakan kaedah lain untuk terus mengganas lagi.

Tamat

Terjemahan: SPAR-20


KM2 Main Index