Laman Webantu (M)   KM2: 5469 File Size: 5.0 Kb

| KM2 Index |


TAG SP 285: Bilakah Kita akan Sedar? [WTC]
By Harry Browne

18/9/2001 3:49 pm Tue

Bilakah Kita akan Sedar?

(When Will We Learn)

Oleh: Harry Browne

Serangan terhadap Amerika (oleh apa yang disebut pengganas) telah mencetuskan satu tragedi yang dahsyat sekali. Tetapi, itu sepatutnya tidak menjadi sesuatu yang mengejutkan.

Semua orang tahu, dalam peperangan, yang mula-mula menjadi mangsa ialah kebenaran. Dalam setiap peperangan itu kebenaran selalunya bertukar menjadi propaganda. Namun, kewarasan yang mula menjadi mangsa pertama; kerana disebabkan ketiadaan fikiran yang waras makanya tercetus sesuatu peperangan itu.

Dasar luar negara kita memang sudah tidak waras berdekad lamanya. Ia menunggu masa sahaja untuk menghenyak rakyat Amerika agar terlibat sama. Itulah dia, sudah menjadi lumrah dunia apabila yang tidak berdosa selalu sangat menanggung dosa orang yang sebenarnya bersalah.

Bilakah kita dapat menyedari hakikat betapa kita kita tidak boleh membenarkan ahli politik kita mendera dan membuli dunia tanpa muncul pula orang lain untuk membuli kita sebgai balasannya?

Presiden Bush telah membenarkan pengeboman berpanjangan di Iraq terhadap orang yang tidak berdosa. Presiden Clinton telah mengebom orang yang tidak berdosa di Sudan, Afghanistan, Iraq dan Serbia. Bush Senior (ayah presiden sekarang) telah menakluk Iraq dan Panama. Presiden Reagan telah mengebom orang yang tidak berdosa di Libya dan menakluk Grenada. Begitulah cerita itu seterusnya.

Apakah orang yang kehilangan keluarga dan sahabat-handai serta harta-benda dalam serangan memusnahkan itu boleh bersimpati dengan Amerika kerana musibah yang kini ditanggungnya? Sampai bilakah kita dapat memahami betapa keganasan itu disambut dengan keganasan juga?

Pengajaran dan Iktibar

Reagan telah mengebom Libya dengan tujuan mengajar Muammar al-Qadaffi, mengenai keganasan. Tetapi, tidak beberapa lama kemudiannya sebuah pesawat TWA telah dimusnahkan di Scotland, dan kerajaan kita yakin bahawa Libya yang bertanggungjawab.

Bilakah kita akan sedar bahawa 'mengajar seseorang sesuatu' tidak pernah berjaya mencapai maksudnya selain dari kedegilannya dan berkemungkinan mengajar beliau untuk tambah degil lagi.

Berapa kalikah pada Selasa dulu kita mendengar seseorang menggambarkan serangan ganas itu sebagai satu 'tindakan bacul'? Sedangkan mereka sendiripun tersasar jauh sehingga bersikap bacul juga? Orang yang mencetuskan keganasan itu telah mengorbankan nyawa mereka untuk memenuhi segala kepercayaan yang ada betapa bodohpun kepercayaan mereka itu.

Tetapi, bagaimana kisahnya dengan presiden Amerika yang memberikan arahan agar rakyat yang tidak berdosa dihujani bom - sedangkan presiden itu berada di tempat jauh daripada bahaya pengeboman itu? Apakah perkataan yang patut digunakan untuk membayangkan tindakan mereka itu?

Bilakah kita akan sedar bahawa mengenepikan kebenaran dan fikiran waras ketika kita diserang bahang perang akan disusuli oleh kekalahan yang sudah pasti?

Kehilangan Kebebasan yang Terakhir

Kini, seperti hakikatnya bahawa malam mengekori siang, kita akan diberitahu agar bersedia berkorban merelakan sedikit kebebasan kita itu membalas dendam sesuatu yang sepatutnya tidakpun berlaku.

Bilakah kita akan sedar begtapa adalah tidak masuk akal merelakan kebebasan kita atas nama kebebasan?

Apa yang patut dilaksanakan?

Pertama, hentikan kerja gila. Undur dulu dan fikirkan bagaimana perkara ini boleh berlaku. Cuba persoalkan kenapakah sebuah negara yang kaya raya dan dipisahkan oleh dua samudera yang luas terbentang sanggup bergelumang dengan masalah orang sehingga ada pihak yang sanggup bertindak balas pula. Kalau kita perhatikan Switzerland yang terletak di tengah-tengah Eropah tidakpun dikacau jembalang kerana mereka tidak menjaga tepi kain orang.

Kedua, ambil pendirian agar pemimpin kita tidak menggunakan bencana yang melanda sebagai alasan untuk mencetuskan keganasan mereka pula terhadap orang yang tidak berdosa, di luar negara ataupun dalam negeri sendiri, kerana ini akan mengundang banyak keganasan lagi.

Ketiga, carilah jalan dengan menggunakan kuasa undang-undang menghalang pemimpin kita daripada mencetuskan kerja-kerja kebinatangan yang akan mencetuskan kemarahan terhadap Amerika.

Patriotisme?

Tentu ada pihak yang akan berkata artikel itu tidak patriotik dan berunsur bukan-Amerikan - dan ini bukannya masa mempersoalkan pemimpin kita ataupun negara kita.

Bilakah kita akan sedar bahawa tanpa kebebasan dan kewarasan, memang tidak ada semangat patriotisme?


Harry Browne:
13 September, 2001.




Asal:

KM2 5448: When Will We Learn


KM2 Main Index