Laman Webantu (M)   KM2: 5463 File Size: 12.3 Kb

| KM2 Index |


TJ SP MGG: Tanggapan Amerika terhadap keganasan yang berbentuk jenayah
By M.G.G. Pillai

17/9/2001 6:00 pm Mon

Tanggapan Amerika terhadap keganasan yang berbentuk jenayah

(American view of terrorism as criminal act wrong)

Oleh MGG Pillai

Tumpuan Amerika sudah berubah daripada melapetaka kesan serangan ganas di New York dan Washington DC kepada rencana terbaru yang memang tepat tindakannya. Hakikatnya sudah diterima bahawa Osama bin Laden adalah manusia yang mencetuskan huru-hara sehingga Kongres dan Dewan Senat merancang untuk menangkapnya tanpa mengorbankan nyawa rakyat Amerika.

Pihak Taliban kini menjadi sasaran kerana memberinya perlindungan. Pakistan, sebagai salah sebuah negara yang mengiktiraf Taliban, sedang tertekan, agar memberikan kerjasama kepada Amerika dan memberikan maklumat yang diketahuinya mengenai Osama Laden dan pertubuhan rahsianya.

Ada satu perkara yang mungkin ramai terlupa: semua opsyen ini dibincangkan secara terbuka dalam sessi liputan perbualan 24 jam yang diadakan oleh CNN, CNBC dan saluran yang lain. Ini adalah lambang kurangnya keyakinan disebabkan keaiban. Inilah yang dianggap boleh diselesaikan dengan menyerang musuh yang tidakpun dipastikan, di tempat persembunyiannya. Apabila keperitan yang sedang menyiksa menghilang ditelan masa, keaiban yang menghantui kerajaan Amerika yang dianggap paling kuat di dunia ini, akan terpahat di lubuk hati setiap rakyat Amerika laksana keaiban yang pernah memukul martabat mereka ketika Pearl Harbour dimusnahkan.

Amerika mungkin menggugurkan bom di beberapa tempat sebagai tanda bertindak balas, mungkin secara rambang, kalau perlu. Beberapa tahun yang lalu, Amerika pernah mengebom sebuah kilang mengeluarkan vaksin di Khartoum, sebagai tindak balas, demikianlah kita diberitahu, terhadap Sudan kerana melindungi Osama bin Laden. Rupanya sasaran itu adalah satu kesilapan.

Seperti yang berlaku dalam perang Vietnam dulu yang membabitkan pembayaran wang pampasan, Amerika Syarikat telah membayar wang kepada pemilik kilang untuk menutup kerugian sambil diiringi kemaafan. Tidak adapun yang disebut mengenai mangsa yang terbunuh, ataupun kisah bagaimana sebuah kilang telah dimusnahkan kerana satu kesilapan.

Saya telah menerima banyak emel *(sila baca Catatan Penterjemah) yang menjijikkan kerana mereka tidak senang dengan tulisan saya. Namun, keganasan selalunya membiak keganasan juga dan apa yang telah berlaku di New York dan Washington adalah sesuatu yang sepatutnya dijangka oleh Amerika Syarikat kerana segala kecelaruan yang disebarnya serata dunia. Terutama sekali di Timur Tengah. Apabila angin kematian menghembus di bumi sendiri, perasaan mula muncul mencuit hati. Kebanyakan emel kebencian itu datangnya daripada rakyat Amerika disebabkan kekosongan di hati mereka untuk memahami apa sebenarnya yang telah terjadi.

Ini bukannya kali pertama saya melihat keadaan terkapai-kapai ini. Saya telah banyak melihatnya ketika Perang Vietnam pada tahun 1960-an dulu. Ketika itu saya menjadi seorang pemberita kepada Reuters dan telah melihat beberapa kesan pengeboman Amerika di luar kawasan yang disasarkan sebagai tumpuan pengeboman. Ketika itu ada pengiktirafan kerana menyorokkan Vietcong yang tidak dikenali. Kini, Afghanistan sudah dijadikan sasaran kerana menyorokkan Osama bin Laden yang cukup pandai berahsia.

Inilah yang kita lihat selepas berlakunya malapetaka dan kemusnahan. Apakah ia dapat menyelesaikan semua perkara? Tentu tidak. Musuh Amerika dewasa ini bukan lagi negara dan ideologi yang pelbagai rupa, tetapi mereka yang terpinggir dengan hinanya oleh dasar Amerika di seluruh dunia. Washington menayangkan keangkuhannya di Timur Tengah laksana kerbau garang hiasan kedai tembikar (chinaware), segala sikap berkecualinya lebih condong memihak kepada Israel.

Perjuangan Palestin, betapapun kesengsaraan yang menodainya, masih tertanam dalam malapetaka yang terbenam. Kalau itu dapat diselesaikan, bolehlah Amerika merasa kelegaannya. Bukannya mudah kerja itu, walaupun Amerika angkuh dengan kecanggihan teknologi dan kekuatan IT yang tidak disokong oleh maklumat sahih di muka bumi.

Apabila Amerika menggugurkan bom di kawasan yang menimbulkan pertelagahan, kehampaan kerajaan yang dihambat kesengsaraan oleh tindakan Amerika itu, adalah sama dengan kehampaan yang sedang menghambat George Bush Jr ketika ini. Presiden Bush menjadi bingung, sebingung-bingungnya. Segala 'chat shows' (program perbualan) di TV memaparkan hakikat ini. Segala usaha sedang dipacu agar rakyat Amerika memberikan sokongan kepada kerajaan Amerika, dan segala pendapat yang bertentangan tetapi berfikiran waras sengaja diketepikan.

Bukannya tidak bersebab apabila kebanyakan laporan yang waras mengenai episod yang tidak menyenangkan ini muncul daripada akhbar Eropah dan saluran telivisyen mereka. Amerika Syarikat tidak pernah senang hati menerima pendapat yang bercanggah dengan pendiriannya. Inilah yang menggelodak di tengah-tengah segala kerancakan pendapat rasmi dan histeria orang awam.

Dilema Pakistan

Kita bukannya berminat memperlekehkan keperitan tragedi yang sudah melanda. Tetapi, tragedi itu mesti dinilai dengan kejituan yang saksama. Kini, ia dilihat sebagai satu tragedi besar dari kacamata Amerika Syarikat. Bukan begitu pula tanggapan di tempat lain di penjuru dunia. Terutama sekali di Timur Tengah.

Ada dasar rasmi kerajaan Amerika Syarikat mahu membasmi keganasan kerana menganggapnya sebagai satu tindakan jenayah. Di sinilah terletaknya kesilapan itu. Sepatutnya episod ini dilihat sebagai satu serangan peperangan dan membasminya seperti yang dilaksanakan oleh Angkatan Sekutu (Allied Forces) menumpaskan Jerman pada Perang Dunia Kedua dulu. Jika tidak, Amerika akan tumpas lagi laksana yang diajar oleh Vietnam dulu.

Segala rencana yang diumumkan oleh Amerika setakat ini sudahpun membuatkan banyak kerajaan yang bersahabat dengannya dalam keadaan kecut perut. Pakistan sedang tertekan kerana ia sudah lama mengiktiraf puak Taliban. Pemimpin di Kabul adalah warga Pathan yang mempunyai pertalian darah dengan penduduk Pakistan di Wilayah Northwest Frontier. Setiap jurucakap Pakistan yang saya lihat dan dengar bersuara di TV, dan mempunyai pengetahuan mendalam mengenai Taliban, adalah orang Pathan.

Jadi, kalaulah Presiden Pakistan, Perves Musharaff membuat keputusan menyerahkan apa juga maklumat yang disimpan oleh negaranya mengenai Osama bin Laden kepada Amerika, seperti yang dilaporkan, dia akan terjebak dalam perangkap kegelisahan yang tidak akan dapat melepaskannya. Sebagai sebuah negara yang bersempadan dengan Afghanistan, Pakistan adalah lebih terdedah kepada tekanan besar berbanding Amerika Syarikat yang terletak 15,000 kilometer lebih jauh dari situ. Melainkan Amerika Syarikat dapat menubuhkan satu ketumbukan tentera yang dianggotai oleh orang Pathan yang dapat menumpaskan kumpulan Taliban, usaha terbaru Amerika itu akan menemui kegagalan akhirnya.

Andaikata Osama bin Laden tertangkap dan terbunuh, mampukah perkara ini menemui penyelesainnya? Tidak mungkin. Ia hanya akan mencetuskan satu lagi keadaan kecelaruan di satu keadaan yang memang sudah bercelaru, dan mencetuskan satu tekanan terhadap sekutu Amerika di rantau ini, termasuk India dan Soviet Union. Apakah Amerika mampu membasmi keganasan di rantau ini? Amerika Syarikat hanya dapat satu keadaan yang melegakan untuk sementara sahaja.

Kegaganasan yang dimaksudkan itu tidak akan terhenti hanya kerana seorang ketua kumpulan mati dibunuh. Terlampau banyak kumpulan yang kini menggunakan keganasan sebagai alat menakutkan untuk mengganyang Amerika disebabkan dasarnya menangani masalah Palestin. Lagipun, seperti yang ditulis oleh Robert Fisk, (Kekejaman & Keganasan Yang Menakjubkan) dalam The Independent di London, Osama bin Laden pernah memberitahu beliau dalam beberapa wawancara dengannya betapa Osama mempunyai dua sasaran berkembar untuk menumpaskan Amerika Syarikat dan segala negara-pembodeknya di rantau ini.

Rencana Jahat israel?

Ada satu soalan yang belum diselesaikan: bagaimanakah satu rencana yang dilakar dengan penuh bijaksana dapat dilaksanakan menjadi satu operasi yang ditaja oleh Osama bin Laden ataupun orang lain? Laporan terkini memberi andaian betapa para perampas pesawat terbang itu mempunyai maklumat rahsia yang paling berharga sehingga ia mencetuskan persoalan apakah rahsia itu telah dibocorkan oleh seseorang yang berpangkat tinggi dalam pentadbiran negara? Sama ada orang itu (lelaki ataupun perempuan) merupakan talibarut upahan, bukan menjadi bahan perdebatan, apabila diambil kira kebijaksanaan merancang segala rencana.

Ada dua kemungkinan dalam fikiran: ada satu kumpulan Islamiah yang mencadangkan bahawa episod ini adalah satu rencana yang disengaja dirancang oleh israel untuk mengaibkan dunia Islam kerana malapetaka yang sungguh menjahanamkan keadaan. Yang kedua, pakar risik bertaraf jembalang, tidak semestinya daripada KGB (perisik Russia) tetapi mungkin daripada agensi Barat juga, berkemungkinan merancang ini untuk bayaran yang tinggi. Saya tidak fikir kemungkinan sebarang organisasi Arab yang mampu melaksanakan perkara ini dengan sendirinya. Sesiapa sahaja yang melaksanakan huruhara ini sudah pasti menerima bantuan kepakaran yang di luar keupayaannya.

Ada satu teori Francis Fukuyama yang menyebut bahawa kepupusan sejarah dunia kita ini adalah disebabkan kecuaian pihak monopolis. Ini adalah disebabkan kecuaian mereka mengabaikan kuasa yang ada di pihak yang tertekan.

Apa yang telah dialami oleh Amerika Syarikat awal minggu ini adalah serupa dari segi skop dan penglibatannya kepada keadaan merebaknya virus komputer yang menjahanamkan sistem dunia siber. Begitu juga dengan meningginya penyakit Aids disebabkan kecuaian dan kepercayaan betapa malapetaka dan bencana hanya akan menimpa orang lain. Tesis Samuel P Huntington dalam 'Clash of Civilizations' (Pertembungan Tamadun) dan 'Remaking of World Order ' (Pengolahan Tatacara Baru Dunia) ada menyebut betapa dunia ini terbahagi kepada beberapa peradabannya.

Saya mempunyai tanggapan bebeza terhadap peristiwa yang telah melanda. Apa yang telah berlaku adalah rentetan kepada terbelahnya Empayar Osmaniah. Kebangkitan kuasa Eropah tengah di Jerman pada 1970-an telah menghenyak keruntuhan empayar Osmaniah itu, yang bermula pada 1848 dan berakhir pada 1922.

Akan tetapi, kegoyahan yang tercetus itu telah menjerumuskan Empayar Jerman itu ke kancah Perang Dunia Pertama, sehingga melahirkan Perjanjian Versailles (Treaty of Versailles) yang mengaibkan Jerman. Ini juga yang mencetuskan semangat 'lebensraum' dalam jemala pemikiran setiap individu Jerman yang menghasilkan kemunculan Hitler, Perang Dingin dan akhirnya perpecahan Soviet Union pada 1989. Ia memerlukan satu abad ataupun lebih sedikit dari itu sebelum sesuatu empayar boleh hancur-lebur. Kita sedang melihat ekornya sekarang. Segala domino kepada keguguran itu semakin hampir akan tersungkur juga.

Tamat.

MGGPillai

Terjemahan: SPAR-01-1641




Catatan Penterjemah:

Adalah satu ironi, sejak tersembamnya WTC, orang yang membela masyarakat Islam yang sekian lama tertekan ialah seorang wartawan unggulan Malaysia yang bukanpun beragama Islam. Sekaligus MGG Pillai telah merampas 'kuasa pelanyak' yang satu ketika dulu dimonopoli oleh seorang Wira Dunia Ketiga dan Melayu Terunggul Millineum ini hasil hadiah anak seorang diktator tua.

To MGG Pillai:

Thank you......! Your sincerity in writing the truth has usurped the salient right of a 'Western-basher cum the Self-glorified Spokesman of the Third World'. It is amazing that he remains silent for the moment, perhaps enjoying the glory of being 'The Super Malay of the Mellinium', accorded to him by his son(s).





Asal:

KM 5462: American view of terrorism as criminal act wrong


KM2 Main Index