Laman Webantu (M)   KM2: 5447 File Size: 12.0 Kb

| KM2 Index |


TAG SP 281: Dagangan Asing dan Hutang Negara
By Harun Rashid

13/9/2001 7:00 pm Thu

[Menurut Ustaz Fadhil Nor, Harimau Asia ini sudah menjadi kucing gemuk yang berhutang keliling pinggang. Dulu kita mampu goyang kaki kerana pelabur suka kemari tetapi sekarang sudah tidak lagi. Sebaliknya menteri perdagangan kita dan Mahathir sendiri yang asyik ke sana kemari, mengubah polisi secara mendadak dan terpaksa mencipta berita palsu agar pelabur tertarik hati. Tetapi mereka semakin lari sehingga kilang-kilang elektronik pun tidak terkecuali. Inilah antara faktor yang menolong Malaysia ketika krisis 97-98 dulu di samping harga minyak yang tinggi. Tapi jangan lupa rezab minyak negara akan habis juga dan Amerika yang sedang marah gila ketika ini mungkin akan menyerang pelantar kita pula kerana Dollah Badawi mengatakan Malaysia adalah pusat terbaru pengganas antarabangsa.... - Editor]


Dagangan Asing dan Hutang Negara

(Foreign Trade and the National Debt)

Oleh : Harun Rashid

Secara umumnya telah dipersetujui bahawa fenomena Harimau Asia adalah berdasarkan kepada pelaburan asing. Gelaran harimau itu dengan cepatnya menjadi pupus apabila pengeluaran dana asing berlaku secara berterusan.

Buat seketika telah diumumkan bahawa Malaysia berupaya secara bebas, dengan ketahanan dan kekuatan dalaman; bahawa permintaan domestik akan meningkat untuk menyediakan aktiviti ekonomi yang secukupnya bagi menghalang sebarang kemerosotan. Kini terdapat kesedaran yang meningkat bahawa aktiviti dagangan asing memainkan peranan yang lebih besar dari apa yang sanggup diperakui oleh kerajaan.

Perangkaan terkumpul, yang diperolehi dari jumlah perangkaan import dan eksport bulanan, kelihatan berubah-ubah, dan arah alirannya (trend) adalah sukar untuk dilihat. Namun begitu kiraan purata perangkaan tersebut mungkin sengaja dibuat supaya arah alirannya menghampiri lingkungan yang lancar (smooth curve). Di dalam gambar rajah 1, lingkungan biru yang ditunjukkan adalah berdasarkan kepada data kasar, diambil dari jumlah rasmi kerajaan (dalam bilion ringgit). Lingkungan merah yang lancar adalah purata pergerakan dari bulan Febuari sehingga Julai tahun lalu. Gambar rajah tersebut menunjukkan bagaimana pertumbuhan yang cergas dapat dilihat pada sebuah graf.

fig1

Gambar Rajah 1.


Perangkaan bagi bulan Julai, 2001 baru sahaja diumumkan, dan graf yang sama mungkin boleh dilakarkan, di mana garisan biru menyambungkan angka-angka kasar, dan lingkungan merah menunjukkan purata pergerakan. Adalah mudah untuk melihat bahawa tidak semuanya sama, dan dijangkakan gambarannya akan menjadi lebih teruk lagi. Sudah pasti arah aliran bukannya mendatar. Ianya menurun, walau pun tidak turun menjunam seperti yang sepatutnya, kerana perangkaan tersebut merujuk kepada aktiviti perniagaan yang lepas. Data yang paling terkini menunjukkan tiada perubahan dalam aliran arah tersebut, malahan, sudut penurunan lingkungan tersebut mungkin dijangkakan akan meningkat pada tempoh masa hadapan. Ini adalah disebabkan data kasar bulan Julai (49.6) adalah yang paling rendah dari yang ditunjukkan oleh bulan-bulan yang lain.


fig2

Gambar rajah 2.


Data bagi tahun 2000 dan 20001 mungkin dilakarkan pada carta yang sama untuk perbandingan. Perbezaan dalam keadaan dagangan dapat dilihat dengan ketara. Pada tahun lalu dalam tempoh masa yang sama ini terdapat sokongan terhadap keyakinan yang tidak terbatas, dan polisi-polisi ekonomi kerajaan dapat dipertahankan. Pada tahun ini, walau bagaimana pun, keadaan berubah dengan begitu jelas. Tahap aktiviti ekonomi yang berkaitan dengan dagangan asing adalah lebih rendah dari mendatar, manakala perangkaan bulan Julai pula lebih mengecewakan.

fig3

Gambar rajah 3


Sementara lingkungan (merah) 2001 kelihatan semakin mendatar, selepas perangkaan bulan Ogos yang dilakarkan bersama-sama dengan perangkaan bulan Julai (49.6) yang rendah, aliran arah lingkungan akan terus menurun. Terdapat kejatuhan yang mendadak dari RM61.4 bilion dalam bulan Julai tahun lalu kepada RM49.6 bilion tahun ini. Ini adalah penurunan dari tahun-ke-tahun sebanyak RM11.8 bilion dalam aktiviti dagangan asing (-19.2%). Adakah kejatuhan sedemikian merupakan satu isu yang serius terhadap ekonomi negara? Perdana Menteri berkata 'Tidak, kemelesetan ekonomi tidak berlaku. Pertumbuhan KDNK sepanjang tahun akan mencapai +2 peratus.' Ramai yang tidak bersetuju. Harimau telah dibaham oleh dagangan asing.

Berita dari Jepun dan US, rakan kongsi terbesar kita, adalah tidak menyenangkan, dan Singapura juga sedang mengikat perutnya. Lebih banyak pembuangan kerja dilaporkan setiap hari. Lebih 200,000 rakyat Malaysia berkerja di Singapura, dan mereka pasti merasai kesannya apabila Singapura bertindak untuk melindungi pekerja-pekerja dari rakyatnya sendiri. Oleh kerana Singapura adalah pusat perkapalan ke Jepun dan US, bagi Malaysia sendiri, ketiga-tiga rakan kongsi dagangan itu adalah berkait antara satu sama lain.

Sekiranya ketentuan ekonomi Malaysia bebas dari pergantungan terhadap aktiviti dagangan asing, sebagaimana yang dinyatakan oleh kerajaan, kejatuhan di dalam sektor ini tidak akan membimbangkan bagi jangka waktu yang panjang. Tidak timbul rasa terdesak atau merasa terancam juga tiada langsung kesedaran bahawa Malaysia sedang berhadapan dengan satu keadaan yang serius. Gambaran ekonomi tersebut, walau bagaimana pun, diberi perhatian yang serius di Jepun, Singapura dan US. Soalannya sekarang adalah sama ada permintaan domestik di Malaysia sudah cukup kuat untuk mengabaikan statistik dagangan asing yang rendah.

Banyak perkara yang berlaku di Malaysia berkait secara langsung dengan Menteri Kewangan yang tersingkir, Anwar Ibrahim. Sewaktu beliau memegang jawatan tersebut pada tahun 1991, hutang negara adalah sekitar RM25 bilion. Selama lapan tahun beliau berjaya menurunkan jumlah tersebut sehingga menjadi RM10 bilion. Semasa 'krisis 1997' terdapat tekanan yang amat besar untuk meningkatkan perbelanjaan awam dengan banyaknya, terutamanya dalam projek-projek mega yang disenangi oleh Perdana Menteri. Salah satunya adalah projek Empangan Bakun, yang digantung oleh Anwar bersama-sama projek-projek yang lain, yang beliau rasakan sebagai satu penyalahgunaan harta rakyat bagi menyelamatkan kedudukan kewangan rakan-rakan rapat Perdana Menteri.

Semenjak penyingkiran Anwar Ibrahim dari jawatannya dalam bulan September 1998, hutang negara pada peringkat persekutuan telah bertambah kepada lebih RM200 bilion. Jumlah ini tidak termasuk hutang di peringkat negeri dan lain-lain hutang peringkat bawah, juga hutang di dalam sektor swasta. Kebanyakan dari hutang ini tidak akan dapat dibayar semula.

Ia sudah menjadi satu kegilaan. Akan tetapi itu bukanlah cerita keseluruhannya. Sebagai tambahan kepada peningkatan beban hutang ini, kerajaan telah menyapu bersih badan-badan korporat yang berada di bawah kawalannya. Maybank, Petronas, Telekom dan terutamanya Tenaga Nasional sedang dibebani teruk sehingga bankrap secara teknikalnya. Hutang-hutang dan pinjaman-pinjaman tidak berbayar pada hari ini terlalu membebankan untuk menghadapi kemerosotan yang ketara, dan tahap terkini kegagalan membayar kadar faedah akan segera menjadi faktor utama yang membawa keaiban kepada sistem kewangan negara.

Seolah-olah semua ini masih belum mencukupi, tabung pencen bagi kakitangan awam pula telah digunakan di dalam skim mengepam modal ke dalam industri yang tenat (pump priming scheme) dan adalah mustahil untuk mendapatkan pengiraan yang tepat tentang kerugian yang mereka alami. Sayap kewangan kerajaan telah dipatahkan, dan berbagai tabung yang berada di bawah kawalannya telah kehilangan kefleksibelannya, bersama-sama dengan keselamatan rakyat.

Analisis yang disampaikan di sini adalah menyedihkan, dan diharapkan ianya tidak benar. Namun kerajaan begitu taksub dengan kerahsiaannya, dan dipercayai tiada sebarang pendedahan akan dibuat. Buktinya telah ada, dengan lanjutan tarikh bayaran yang sering berulang, tiadanya audit luar, perlanjutan tempoh bon-bon yang telah matang, dan keengganan yang sepenuhnya untuk membenarkan sebarang penyiasatan atau pendakwaan jenayah-jenayah dan penipuan-penipuan besar yang telah pun didedahkan sehingga kini.

Di dalam keadaan sekarang, seharusnya kita bersikap merendah diri dan berhemah. Dengan menunjukkan minat dalam konservatisme kewangan adalah satu sikap yang bijak. Tetapi tidak, akhbar-akhbar kerajaan mengumumkan projek-projek mega yang baru bahkan tidak memberi sebarang faedah bagi menambahkan lagi beban kepada orang awam untuk ditanggung selama beberapa generasi yang akan datang. Gambaran ini tidak ubah seperti kisah dongengan segerombolan tikus yang meluru ke sebuah tebing sebelum terjun dan mati lemas di dalam laut. Begitulah nasib tikus-tikus yang tidak jujur. Sungguh pun demikian segala hutang akan ditinggalkan kepada para pembayar tol dan cukai. Mereka yang merancang dan membina jambatan-jambatan dan empangan akan mengaut keuntungan sekarang, dan dijangka akan mencari tempat yang selamat sebelum keruntuhan yang tidak dapat dielakkan berlaku.

Seandainya tempoh lapan tahun diambil untuk membayar semula hutang sebanyak RM15 bilion dalam tahun-tahun yang cemerlang 1991 hingga 1998, berapa tahun pula akan diambil untuk membayar semula tahap hutang masa kini, yang hampir sepuluh kali ganda dari jumlah itu? Bolehkah kerajaan Malaysia meneruskan skim mengepam modal ke dalam industri-industri yang tenat pada tahap yang sama untuk satu jangka masa yang tidak pasti? Sudah tentu tidak. Minyak dijual untuk beberapa tahun ke hadapan, sumber balak semakin berkurangan, dan harga komoditi pertanian adalah rendah. Ahli ekonomi Keynes merumuskan bahawa sebuah negara tidak boleh jatuh bankrap, memandangkan hutang negara boleh diputar di dalam negeri secara berterusan. Teori itu kini sedang diuji di seluruh dunia.

Sumber-sumber asing bagi pinjaman seterusnya pasti akan kekeringan kerana kegagalan membayar balik pinjaman menjadikan keadaan lebih ketara, memaksa pihak kerajaan untuk mengakui bahawa polisi-polisi 'berbelanja mengikut cara kita' yang tidak munasabah itu telah betul-betul membawa bencana. Perbelanjaan defisit kerajaan pada kadar melebihi RM75 bilion setahun telah menjadikan keadaan pada satu ketika kelihatan lebih baik dari yang sebenarnya. Akan tetapi segala yang indah-indah itu sudah hilang kini., dan masa-masa yang sukar menanti di hadapan.

Namun begitu tiada kenyataan rasmi yang menunjukkan sebarang kesedaran mahu pun kebimbangan. Kerajaan tetap meneruskan perancangan mereka dengan sepenuhnya. Satu-satunya insan di Malaysia yang akan dan boleh bertindak untuk melindungi kepentingan awam sedang berada di dalam penjara, sementara para konspirator yang menjatuhkannya hidup riang, dengan enjin-enjin jet yang mengaum-ngaum di lapangan terbang.


Terjemahan : SPAR 09

Link Reference : Harun Rashid Worldview: Foreign Trade and the National Debt


KM2 Main Index