Laman Webantu (M)   KM2: 5424 File Size: 3.7 Kb

| KM2 Index |


BH: Tabung Haji: Kenyataan Hamid bercanggah
By Wan Esuriyanti

10/9/2001 11:15 pm Mon

[Alangkah baiknya jika Pemuda Umno menghala kritik itu terus PM kerana beliaulah yang melantik Hamid selama ini. Nampaknya pemuda Umno seperti banyak membaca dari laman web pro reformasi..... Tidak sia-sia MGG Pillai dan Harun Rashid mengupas isu ini. Yang peliknya mengapa Hishamuddin tidak mengepalai tindakan seperti ini? - Editor]


http://www.emedia.com.my/z/Current_News/BH/ Monday/Mukadepan/20010910080012/Article/pp_index_html

Tabung Haji: Kenyataan Hamid bercanggah

Oleh Wan Esuriyanti Wan Ahmad

KUALA LUMPUR, Ahad - Pemuda Umno hari ini menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin bahawa masalah Tabung Haji tidak seteruk seperti dilaporkan bercanggah dengan penjelasannya kepada pergerakan itu.

Mereka juga kesal apabila Abdul Hamid menyatakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak perlu menyiasat masalah Tabung Haji.

Pengerusi Biro Pembinaan dan Pembelaan Masyarakat pergerakan itu, Ismail Sabri Yaakob, berkata dalam penerangan kepada Pemuda Umno, Abdul Hamid menjelaskan secara terperinci masalah dan kesilapan Tabung Haji, terutama dalam aspek pelaburan.

Penjelasan itu diadakan dalam pertemuan wakil Pemuda Umno dengan Abdul Hamid selama lebih sejam sebelum menteri itu mengadakan sidang akhbarnya di Pusat Islam, semalam.

'Pada pertemuan itu, beliau mendedahkan banyak penyelewengan berlaku dalam Tabung Haji, termasuk mengenai pelaburan di Indonesia dan pembelian tanah di Negeri Sembilan.

'Dari segi pengamatan Pemuda, kami dapat merasakan beliau menganggap masalah itu sebagai sesuatu yang besar dan beliau juga bersetuju membersihkan nama baik Tabung Haji.

'Oleh itu, Pemuda turut memberi jaminan menyokong Tabung Haji dalam usaha itu.

'Bagaimanapun, saya terkejut apabila dalam sidang akhbar, dia mengatakan masalah itu tidak teruk. Ini seolah-olah dia ingin melindungi sesuatu,' katanya kepada Berita Harian, hari ini.

Pemuda Umno mengadakan pertemuan itu bagi menyerahkan memorandum mendesak Tabung Haji menilai semula tambang haji dan menyegerakan tindakan undang-undang ke atas pihak bertanggungjawab atas kehilangan lebih RM9 juta daripada akaun pendeposit agensi itu.

Akhbar hari ini melaporkan penjelasan Abdul Hamid mengenai beberapa isu membabitkan Tabung Haji, termasuk kehilangan wang daripada akuan pendepositnya dan terbaru, kelewatan pembentangan Laporan Tahunan 1999.

Pada sidang akhbar itu, Abdul Hamid dipetik sebagai berkata:

'Saya akui ada kelemahan tapi nak kata teruk sangat, tak sampai ke situ. Saya sudah umumkan penubuhan panel pelaburan baru dan dalam beberapa hari lagi, kita akan umumkan pelantikan anggota panel profesional yang boleh membantu Tabung Haji membuat pelaburan lebih baik.'

Ismail berkata, Pemuda Umno bukan menuduh Abdul Hamid berbohong, tetapi mahu beliau bersikap lebih telus supaya masyarakat khususnya pendeposit Tabung Haji tidak bimbang dengan simpanan mereka.

'Kami juga kesal keputusan Abdul Hamid yang tidak mahu BPR menyiasat masalah dalaman Tabung Haji kerana memberi alasan ia sudah diserahkan kepada Jabatan Audit Negara.

'Dalam perbincangan kami, dia mengatakan Tabung Haji sedia bersikap terbuka untuk memberi mana-mana badan berkuasa menyiasat penyelewengan organisasi itu. Mengapa dia tiba-tiba mengatakan BPR tidak perlu siasat,' katanya.


KM2 Main Index