Laman Webantu (M)   KM2: 5421 File Size: 7.8 Kb

| KM2 Index |


TJ SP MGG: Presiden MCA Menghambat Jembalang
By M.G.G. Pillai

10/9/2001 7:22 pm Mon

[Pengedaran VCD berhantu adalah kesan dari cengkaman presiden parti BN sendiri. Ahli parti sudah semakin pandai melawan tanpa dapat dicam identiti mereka. Kalaulah penyakit VCD berhantu ini merebak ke dalam Umno tentu lagi gila jadinya dan ramai yang tidak akan mampu tidur lena. Apakah nanti mereka akan menjadi hantu di laman web pula? Kita di sini sentiasa mengalu-ngalukan mereka.... - Editor]


Presiden MCA Menghambat Jembalang

(The MCA President Chases Human Ghosts Now)

Mula-mula, MCA telah meniru amalan MIC cara menguruskan mesyuarat dan persidangan, dengan cara membaling kerusi dan apa juga yang tercapai tangan. Kemudian MCA mempelajari pula daripada PAS bagaimana caranya memberitahu dunia apa yang tidak dapat dilaporkannya. Apabila diadun dua pengajaran itu, presiden MCApun mula menggigil dalam seluarnya. Inilah kesan yang dialami dengan keahlian parti pimpinannya kerana keputusan mereka yang menghantui masa depannya. Pembelian Nanyang Press bukannya satu usaha terbaik untuk digembar-gemburkan oleh presiden MCA itu. Dia tersilap langkah dan kini pelaburan MCA sedang terjerat dalam masalah yang dalam.

Dr, Ling semakin terdesak apabila kisah perbalahan pada perjumpaan Tahunan Pergerakan Pemuda MCA pada 3 Ogos lalu telah dirakamkan dalam VCD dan diedarkan. Yang anehnya, ketika itu perjumpaan MIC berjalan dengan licin tanpa balingan kerusi. Dr. Ling merasa hampa dengan berpendapat sesiapa yang mengedarkan VCD kekecohan itu tidak berhati perut. Mereka adalah laksana hantu-hantu yang dibiarkannya menganggotai beberapa cawangan MCA dulu. Memanglah dia tidak tahu menahu akan hal-hal menyangkuti hantu di kalangan ahli partinya, seperti juga dia tidak dapat meneka apakah jenis hantu yang mengedarkan VCD itu.

Dia tidakpun tahu apakah cerita VCD itu, dan terpaksa mempercayai apa yang diceritakan oleh pegawai dan pembantunya sahaja. Lagipun dia tidak berminat untuk mengetahui sebab-musababnya. Patutlah dia difikirkan berguna dalam kabinet yang sedia ada. Seperti rakannya yang lain dalam kabinet, dia membuka mulut untuk bercakap mengenai apa yang dia tidak tahu. Kini dia mencabar sesiapa yang bersikap semacam hantu mengedar VCD itu untuk menunjukkan muka dan mengakuinya.

Ada satu tugas seorang presiden parti yang dikira tidak relevan lagi ialah untuk menjadi penasihat utama mengenai akhlak yang baik. Dia mahu menghentikan kerja-kerja menghantar surat layang dan mahukan sesiapa yang membuat kerja itu tampil untuk bertaubat. Itulah yang diharapkannya seperti juga harapan ahli MCA yang menantikan pengundurannya seperti yang telah dikemukakannya dahulu. Tidak ada sesiapa yang menyahut cabarannya itu. Begitu juga dengan sahutan cabaran kepada penghuni lama jirat orang Cina di Malaysia.

Tetapi, cara Dr.Ling menyelesaikan masalah dalam MCA adalah gambaran betapa serius isu itu. Dia percaya apa yang sepatutnya dilakukan ialah bercakap berdegar-degar di tahap yang paling tinggi. Dia sudah begitu terpencil daripada anggota parti seperti Perdana menteri yang semakin dipulau oleh masayarakat bangsanya. Namun ada perbezaan antara mereka berdua: apabila Mahathir mahukan sokongan orang Cina, orang terakhir dia cakapkan niatnya ialah presiden MCA.

Bukannya usaha itu dapat menyelamatkan Mahathir. Tetapi itulah gambaran betapa pemimpin setiap masyarakat di negara ini tidak mampu bertentangan mata untuk memberi ucapan kepada masyarakatnya ataupun merelakan pertandingan mereka secara terbuka. Mereka semua sudah lama berkuasa dan sudah lupa daratan sehingga beranggapan betapa peranan mereka yang utama ialah untuk terus mengekalkan kuasa. Apa juga masalah masyarakat yang mereka wakili, adalah sesuatu yang tidak penting lagi.

Jadi, apabila Dr. Ling mencabar hantu yang berani merakamkan kekecohan pada persidangan pergerakan pemuda MCA dulu, dia telah terlupa hakikat sebenar dalam kenyataan hidup moden ini. Terdapat banyak kamera video di setiap persidangan, merakamkan setiap gelagat dan peristiwa untuk dirakamkan sebagai bahan sejarah sedangkan yang sebenarnya mahu menunjuk-nunjuk betapa pentingnya mereka itu kepada masyarakat yang mereka wakili. Setengah jurukamera itu sengaja dilantik dengan rasmi, ramai pula yang sengaja melakukannya untuk menguji kamera baru mereka sambil menunjuk-nunjuk betapa pentingnya kamera itu.

Beberapa bahagian rakaman kamera itu mungkin telah disunting ataupun ia mungkin sengaja dirakamkan oleh salah seorang yang hadir dan dirakam pula dalam bentuk VCD. Apakah perlunya orang yang melakukan kerja itu mengaku untuk dimusnahkan? Hanya satu soalan yang perlu dikemukakan, yang tidakpun disebut oleh Dr. Ling: Apakah benar kekecohan itu berlaku? Kalau ya, kenapakah Dr. Ling menjadi tertekan kepada kejadian yang dirakamkan untuk bahan sejarah?

Oleh kerana semua parti tidak memberikan kebebasan hubungan antara pemimpin dengan anggota keahliannya, dan sesiapa yang menyanggah pemimpinnya akan ditekan, seperti yang berlaku dalam banyak parti politik yang tidak perlu disebutkan di sini akan identitinya, baik di pihak kerajaan mahupun di pihak pembangkang. Kewujudan parti ialah untuk mendewakan presidennya sebagai dewa separuh-Tuhan, dan untuk memenangi pilihanraya. Ahli parti yang menganggap tugas mereka menganggotai parti ialah untuk bergiat cergas dalamnya, perlu melihat tempat lain untuk cergas dalam perkara yang lain pula.

PAS telah menunjukkan keunggulan dalm hal ini, mengedarkan VCD ceramah parti dan mengedarkan ratusan ribu banyaknya VCD itu untuk menghindarkan sekatan kerajaan terhadap kegiatan mereka. Pemuda UMNO kena lebam mata apabila rakaman debat antara pergerakan pemuda dengan pemuda PAS telah diedarkan dengan meluasnya. Inilah yang membuatkan kerajaan menjalankan serangan untuk mengharamkan video prono dan VCD politik. Sasaran pertama ialah video porno, sedangkan sasaran sebenar ialah untuk merampas VCD politik. Kini, ada pula VCD yang menunjukkan gelagat pemuda MCA yang telah mengikut gelagat persidangan MIC.

Yang anehnya, presiden MCA tidak melakukan apa yang pernah dibuat oleh orang lain dengan penuh kerelaan. Dia tidakpun melaporkan perkara itu kepada polis. Kenapa? Kalaulah perkara itu begitu berat dan patut dicela, seperti dakwaannya, pihak polis sepatutnya mesti dikerah untuk membuang masa mengesan pengedaran VCD haram itu - terutama sekali VCD itu tidak ada kelulusan pihak berkuasa yang menapisnya mengikut hukum undang-undang. Kenapakah yang menghindarnya mengambil tindakan itu?

Mungkinkah rakaman VCD itu hasil suntingan rakaman rasmi parti yang dijadikan bahan VCD dan diagihkan oleh orang suruhan presiden MCA untuk menunjukkan betapa liarnya persidangan pergerakan pemuda MCA? Oleh kerana ketua pergerakan pemuda itu adalah orang daripada kem timbalan presiden MCA dan bukannya orang beliau, rakaman VCD itu adalah bertujuan mendedahkan betapa ketua pergerakan itu adalah orang yang liar juga. Malangnya usaha itu melantun balik dan mempersoalkan kepimpinan beliau. Kerana itu dia bercakap itu seolah-olah dia berada di puncak Gunung Tahan, untuk mengelirukan suasana. Jadi, apa pula yang terbarunya?


M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR-01-1611




KM2 5408: MGG: The MCA President Chases Human Ghosts Now




KM2 Main Index