Laman Webantu (M)   KM2: 5403 File Size: 7.6 Kb

| KM2 Index |


Detik: Puisi Gelombang Reformasi Kedua - Dari Derita Bangsa
By Wartawan Cabaran

8/9/2001 12:17 am Sat


[Nampak jelas sasterawan negara sudah lama mengikuti perkembangan
semasa dan memeram rasa. Kita ternanti-nanti bilakah mereka akan muncul
dengan lebih giat di laman web pula. Atau memang sudah muncul lama dengan
nama dan gaya yang berbeda sehingga sukar diteka??

Tetapi jika hatimu tersentuh itu bermakna jawapannya sudahpun ada. Munculnya
mereka adalah kerana tulisan anak-anak bangsanya juga. Kerana bukan sekadar
lukiran yang dibaca tetapi sesuatu yang lebih hebat yang terpendam dalam
setiap olahan kata. Ia tidak padam walaupun sudah tiga tahun dimakan masa
kerana apinya masih tetap menyala. Hanya sibuta yang masih tidak dapat
mengcamnya. Reformasi sebenarnya semakin berjaya - jika tidak takkan Mahathir
terdesak menggunakan ISA untuk menggempur sesiapa sahaja.
- Editor
]


Susunan : WARTAWAN CABARAN

Antologi puisi Dari Derita Bangsa, yang diselenggarakan
Sasterawan Negara, Usman Awang menimbulkan kejutan dalam
dunia puisi tanahair apabila ramai penyair besar menyumbangkan
karya yang dipercayai ada kaitan dengan peristiwa pemecatan
Anwar Ibrahim dari jawatan kerajaan dan Umno.

Berikut kami nukilkan kembali enam puisi yang tersiar dalam
antologi itu.


[Susunan semula: Editor KM2]




Reformasi

Bila benar
Maka berani
Maka kami melangkah lagi
Tak gentar
Tak ada kata tunggu sebentar

Noor SM


Sajak Berilhamkan Judith Wright

di hujung hidup sajak ini
kuambil jiwa kata,
melapah dan buang lemaknya.

iramanya tanpa bunga,
kubenarkannya berenang
dalam arus diri

ceritanya sebabak:
seorang watak dan seorang lawan
seorang benar dan seorang palsu
akhirannya - semua tahu:
si palsu jadi raja
dan wira meringkuk dalam penjara.

Muhammad Haji Salleh


Sajak Kepada Anwar Ibrahim

Selepas bulan jatuh di atas ribamu
Pekung malammu terhapus. Tetapi para
wali masih berada di sekelilingmu masih
mendoakan, agar kata-kata terdampar
di hujung mimbar.

Selepas matahari memecahkan fikir
cinta tertikam di kakimu. Sidang jadi
gempar kerana menjulang wasiat yang
tidak tersurat. Semua peraturan
bisa dibatalkan. Kerana semua sidang
telah akur dengan keputusan..
selepas bintang melayang di kamar
siangmu, ternyata kau memang tidak begitu
panik, kerana kau sudah biasa
menghadapi karenah sinar yang
memanah wajahmu.

Selepas sidang bubar, hukuman telah
dibatalkan. Hanya kau sendiri yang
akan memukau para makmum untuk
meneruskan perjalanan yang telah hampir.

Ahmad Razali


Siapakah Hakim Yang Maha Bijaksana

engkau boleh menyeksanya
mencampakkannya di lubang-lubang gelap
dunia tiba-tiba berubah
jadi neraka
dinding tak ada
meski terpisah duka dan bahagia

engkau boleh menikamnya
dengan tuduhan dan fitnah
yang dia sendiri tak pandai merekanya
bahawa dia dianggap gila
meski pintar otaknya
masih siuman dan mengingat Tuhan

engkau boleh mengotorkan tubuhnya
engkau boleh mencampakkan najis ke mukanya
engkau telah menghina
engkau telah menyeksa
engkau telah memutuskan segala yang ada
kecuali manusia
dan peribadi
yang telah bebas dari tubuhnya
menjalar diluar-luar penjara
siapakah hakim yang maha bijaksana?

Baha Zain


Penjara Itu Kebesaran

'penjara itu kebesaran,
' katanya sedikit megah.
'dan bagi pejuang,
penjara adalah kuliah membangunkan jiwanya,
' sambungnya membetulkan cermatanya.

aku pernah melihat sang mandela - tiga dekad
dalam kurungan, melangkah keluar membawa senyuman dunia..
aku teringat pak hamka - membawa keluar roman klasik,
satira sejagat.

'penjara itu bukan kuburan,' katanya. pidato yang
menyengat hadirin; 'pejuang tulen pasti mendepani fitnah,'
tambahnya kian keras.

ketika wajahnya lebam dan darahnya ke makmal, dia bisa
bertasbih; 'penjara adalah rumah akal, mengumpul ketulenan,
juga kepalsuan ?'

Imlan Adabi



Langit Kelabu Kuala Lumpur September 1998

Langit kelabu Kuala Lumpur September 1998
Suara-suara garau
Antara dua planet
Alif dan Mim
Musibah yang ini
Antara hidup dan mati
Kebenaran jangan dipersenda
Kejujuran dan cakap-cakap politik
Sejarah Melayu dan amuk Melayu
Berulang kali ini?
Pawai rakyat dan dosa pemimpin
Perpecahan dan perbenturan
Hikmah yang tersembunyi
Kalau kau tidak mengenal akumu
Kalau aku tidak mengenal kaumu
Maka kalian mengambil jalan singkat, 'membunuh'
Musuh politik untuk apa? Kebenaran mutlak
Atau kebenaran relatif, sementara
Siapa menggugat siapa?
Selamanyakah rakyat hina dina ini
Pandir politik, mengambil jalan diam
Terkepung dalam sindrom bisu
the silent majority

Langit kelabu Kuala Lumpur September 1998
Kelabukah kalbu politikus Melayu, tak menggenggam
Amanah Ilahi sebagai khalifah taqwa dan
Pasrah kepada pengadilan di Yaumil Mahsyar.
Langit kelabu dan orang Melayu
(Yang kononnya) tinggi tatasusila, adab
sopan iltizamnya kepada al-Khaliq, wahai
adakah rakyatku yang hinadina itu
akan mati dalam kesongsangan dan perkecohan ini
antara Mim dan Alif
tayangan dan tantangan
isi dan agenda
yang tersurat dan tersirat
yang benar dan yang batil
dan bapa-bapa politikus berkarat dan impoten
cukup sekian perjanjian Tuhan
rahsia dalam buku-buku terbuka
menghiris roh nenek moyang, kita
telah membakar sejarah dan amanah, kita
telah merobek malu di jalan-jalan panjang yang rusuh
rumah-rumah suci yang menjadi saksi
di bawah langit Kuala Lumpur yang kelabu
serigala-serigala lapar mencakar-cakar
mengoyakkan perjanjian dan harapan empat dasawarsa
mengapa cermin kemerdekaan ini retak sejuta
mengapa? Aku penyair Melayu, untuk bangsa dan
negara ini, mengambil tanggungjawab dengan sajakku
di bawah langit kelabu Kuala Lumpur ini, wahai
pemimpin kembalilah ke pangkal jalan, tindakan
gegabah lambatbangat akan meramas dan melemaskanmu
dalam taufan murka Ilahi
Mim dan Alif tak bakal sampai ke mana-mana
Sejarah akan merobek kerana kalian mengambil
Nafsunafsi sebagai sahabat
Sejuta kata yang luncur dalam marah dan dendam
Ibarat lumpur terlimpar kembali
Ke muka sendiri. Yang Perkasa Pencipta Perdana
Yang gagah, Dia Yang Esa.

Aku menatap mendung kelabu yang terapung-apung
Di langit Kuala Lumpur
Kota tanah airku
Dunia menatap sinis 'kedunguan Melayu'
Di manakah hikmah kebijaksanaan Melayu itu?
Kini dirongkong, dirongkong rakus perebutan
Takhta, Harta dari Wanita
Yang telah menipu seribu Fir'aun dan Qarun

Sebagai penyair
Di hadapan bangsa dan di bawah langit tanah air tercinta ini
Aku melaungkan sajakku
Untuk Mim dan Alif dan politikus Melayu
Lambatbangat angin abad baru
Akan melemaskan kalian, melenyapkan tamadun Melayu
'Tak Melayu hilang di dunia' hanya klise, toksid terbuang
pabila kalian tidak belajar dari cermin
kesilapan sejarah semaalam
'Yang batil tetap akan hancur
Yang benar bakal menyongsong datang'

Langit kelabu Kuala Lumpur September 1998
Membawa musibah terbesar abad ini
Terpaku, terpukau atau kembali
Menjadi mangsa besar!
Sebagai penyair sajakku kali ini menyapamu lagi
Untuk kembali mengenal diri
Langit kelabu Kuala Lumpur September 1998
Langit kau, langitku, langit kalian
Dengan latar, layar dan iktibarnya.

Kemala

Link Reference : Detik Puisi Gelombang Reformasi Kedua


KM2 Main Index