Laman Webantu (M)   KM2: 5400 File Size: 8.5 Kb

| KM2 Index |


TJ SP MGG: Malaysia, KMM Dan Mujahidin Afghanistan
By M.G.G. Pillai

7/9/2001 8:18 pm Fri

[Kalaulah KMM itu memang ujud, sudah tentu tidak akan kerap bertukar-tukar namanya. Kalau sekadar namapun sudah gagal ditentukan dengan nyata bagaimana kerajaan mahu menentukan siapa itu siapa? Lagipun hanya ahlinya yang berhak memberi nama - kerana merekalah yang membentuknya. Apabila nama itu muncul dari kerajaan ia membayangkan kerajaanlah yang menciptanya... - Editor]


Malaysia, KMM Dan Mujahidin Afghanistan

(Malaysia, KMM And The Mujahideens of Afghanistans)

KMM - adalah tiga abjad yang pada asalnya bererti 'Kesatuan Mujahidin Malaysia', kemudian bertukar menjadi 'Kesatuan Militan Malaysia'; kini ia lebih dikenali tanpa perlu ditukar-tukar lagi sebagai 'Kesatuan Mamak Malaysia'. Apapun, kalaulah benar maksud sebenar KMM itu dulu, ia merujuk kepada satu bentuk kerajaan ala Taliban di Malaysia. Para pemimpinnya, seperti yang anda tahu telah melawat Afghanistan ketika mereka masih belajar di Pakistan kira-kira sepuluh hingga lima belas tahun dulu, dan terpaut kepada semangat revolusi yang mereka lihat di situ. Inilah yang malangnya, kata Perdana Menteri, dan mesti dibasmikan. Bagaimana mereka ini boleh menonjolkan diri pada satu ketika yang menyegarkan Perdana Menteri, untuk memberikan satu nafas baru menyelamatkan masalahnya yang muncul bertalu-talu tidak siapa yang tahu.

Taliban sedang menguasai Kabul yang merupakan pusat kerajaan di Afghanistan. Tetapi, Malaysia tidak mengiktirafnya, kerana ia mengakui salah satu kumpulan Mujahidin yang sedang cuba menumpaskan regim Taliban di Afghanistan. Kedutaan Afghan di Kuala Lumpur mewakili puak Ahmad Shah Masood yang bertahan di Lembah Pansheer. Menteri Luar beliau, Abdullah, pernah melawat Kuala Lumpur baru-baru ini dan diberikan layanan permaidani merah. Tetapi, tidak pun ada sebarang kenyataan bahawa dia adalah mewakili satu kumpulan mujahidin yang cuba menjatuhkan pemerintahan Taliban.

Bagaimana pun, Malaysia memang tidak dipercayai kerana terjebak dalam satu teka-teki dasar Afghanistan. Seorang bekas menteri pelajaran yang bernama Anwar Ibrahim pernah menukar dasar kerajaan Malaysia yang bersikap berkecuali dalam peperangan saudara Afghanistan itu. Beliau berjaya mendesak Kabinet mengenepikan pendirian Wisma Putra ketika itu yang bertindak berkecuali dan bertindak memperakui satu puak Afghan yang diketuai oleh Gulbudeen Hikmatyer. Hikmatyer pernah melawat negara ini secara rasminya beberapa tahun sebelum pasukan Taliban menumpaskan pasukannya daripada bumi Kabul. Beliau begitu diawasi oleh bekas menteri pelajaran itu bersama duta Arab Saudi di Malaysia, sehinggakan seorang duta negara Timur Tengah enggan menemui beliau ketika ditemani oleh dua orang pengawasnya itu, sehinggakan terpaksa meminta jasa baik teman sekerjanya di Jakarta bertanyakan Gulbudeen apakah sebenarnya yang diminta oleh kerajaannya. Tidak lama kemudian Malaysia berubah fikiran dan menyokong pula kumpulan Masood dengan memberi kuasa kepada kumpulan Masood mengirimkan seorang duta menggantikan duta pilihan Gulbudeen. Namun, kita masih belum mempunyai satu dasar rasmi mengenai Afghanistan.

Ketika Gulbudeen dan askar kaum Pathan bersama-sama berjuang dengan kumpulan lain untuk menumpaskan tentera Russia, Malaysia mengirimkan kumpulan mujahidin untuk turut berjuang mengnyahkan tentera Russia daripada bumi Afghanistan. UMNO dan PAS turut meraih nama dengan penyertaan rakyat Malaysia itu dan mereka telah diberikan sambutan baik ketika pulang ke tanah air. Tiba-tiba pula muncul keraguan terhadap KMM ini. Aktivis yang digolongkan dalam KMM dan yang ditangkap itu semuanya pernah belajar di Pakistan dan pernah pergi berperang di Kabul dan diberikan latihan peperangan dengan penuh restu dan kesedaran serta galakan pihak kerajaan Malaysia. Apabila Taliban daripada kaum Pathan menumpaskan kumpulan Pathan pimpinan Gulbudeen dalam usaha menegakkan ketuanan Pathan di bumi Afghanistan, Malaysia bertindak untuk memberikan sokongan kepada kumpulan Ahmad Shah Masood yang anti-Pathan dan anti-Taliban.

Puak Pathan merupakan kaum terbesar dan terkuat di Afghanistan, dan mereka memang memandang rendah akan kaum lain. Warga istana Afghanistan dulu adalah kaum Pathan, dan semua pemimpin yang bersilih ganti adalah orang Pathan, sehinggalah Burhanuddin Rabbani berjaya merangkul kuasa;. Perdana Menteri beliau ialah Gulbudeen Hikmatyar, tetapi beliau tidak pernah meninggalkan kubu kuat 'Pathan' nya sepanjang beliau memegang kuasa. Sesiapa yang mahu memegang kuasa di Afghanistan, harus mengalahkan kumpulan Taliban. Ini hanya mampu dilakukan oleh satu kumpulan yang didominasi oleh Pathan juga. Kemungkinan munculnya kuasa baru itu masih samar lagi. Kerana itu Pakistan masih merasa selesa berurusan dengan Taliban Pathan.

Garisan Durand yang merupakan garisan sempadan yang memisahkan dua negara (Pakistan dan Afghanistan) tidak mengambil kira keadaan sebenar di bumi. Barisan rumah kediaman dibina dengan begitu rupa sehinggakan ada bahagian dapur yang terletak di sempadan sebuah negara sedangkan anjung rumahnya berada di sempadan negara jiran. (Northwest Frontier, Pakistan) Lagipun hukum sivil tidak boleh diambil kira di kawasan Pathan yang masih memperakui undang-undang kaumnya. Laluan Kyber (Kyber Pass) bukan merupakan hanya satu laluan untuk menyusup masuk Afghanistan daripada Pakistan. Masih ada lorong dan laluan lain persis lorong dan laluan untuk menyusup masuk Thailand daripada tanah Semenanjung.

Undang-undang kaum dan adat resam puak Afghanistan masih lagi diamalkan, tetapi Kuala Lumpur tidak pun sedar semua itu. Lagipun puak Pathan memang menguasai sepanjang sempadan dua negara (termasuk dengan kawasan Afghanistan-Iran - penterjemah). Apabila Khan Abdul Ghafoor Khan seorang tokoh sempadan Pakistan meninggal dunia, dia telah dikebumikan di kampungnya di Afghanistan. Ketika Pakistan mahu melantik seorang duta untuk mewakilinya di Kabul, seorang Pathan telah dipilih kerana dia mempunyai pertalian darah dengan warga diraja Afghanistan.

Kerana itu, apabila Kuala Lumpur berlagak menyekat pembabitan pelajarnya di Pakistan dengan kegiatan di Afghanistan, sedangkan nyawa mereka sudah menjadi pertaruhan sejak dulu lagi, sekaligus Kuala Lumpur memperlekehkan diri sendiri. Untuk mentohmah adanya semangat keIslaman keterlaluan (fundamentalism) dalam aktiviti pelajar yang pernah menuntut di Pakistan ataupun pernah melawat negara itu, adalah laksana menaruh buruk-sangka terhadap setiap pelajar yang pernah menuntut di Universiti Malaya, semata-mata kerana Anwar Ibrahim pernah menuntut di universiti itu. Kerajaan mungkin dapat mempertahankan martabatnya kalaulah ia bertegas tidak memihak kepada sesiapa dalam kemelut Afghan ini.

Tetapi, kerajaan Malaysia telah bertindak berpihak dalam peperangan saudara Afghanistan ini. Dan bertegas, bahawa hanya mereka yang berkongsi pendapat dengan pendirian kerajaan adalah pihak yang benar, yang bertentangan dengan pilihan kerajaan dianggap sebagai puak fundamentalis yang mesti dinyahkan. Dengan pantas, masyarakat Melayu nampak muslihat tersirat kerajaan Mahathir mahu memperlekehkan PAS dengan isu ini. Terdapat keanehan apabila wujudnya puak yang dikatakan menganggotai KMM ini yang rela bercakap di hadapan kamera dan TV serta wartawan. Malahan, di Kuala Terengganu ada pula puak yang mengaku ahli KMM meminta masa untuk menyuarakan pendapat mereka. Inilah yang mencetuskan satu kepelikan dan tanda tanya bagaimana sebuah organisasi yang telah dituduh melakukan aktiviti fundamentalis Islam kepada rompakan dan pembunuhan boleh mempunyai gelagat bersuara secara terbuka. Apabila KMM digunakan untuk dikaitkan kepada peri laku fundamentalis Islam dan memalitkannya kepada para siswa dan siswi untuk dijadikan satu alasan menyekat aktiviti mereka di universiti adalah satu langkah yang berbahaya semata-mata mahu menyekat kegiatan mereka yang kurang senang dengan kerajaan. Memang ada kebenarannya dalam kenyataan pemimpin PAS Dato' Fadzil Noor betapa episod KMM itu adalah satu sandiwara sahaja.


M.G.G.Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR-01-1601




Asal: KM2 5396 MGG: (Malaysia, KMM And The Mujahideens of Afghanistans



KM2 Main Index