Laman Webantu (M)   KM2: 5398 File Size: 20.0 Kb

| KM2 Index |


TAG SP 271: B9B - Perjalanan Yang Panjang
By Nelson Mandela

6/9/2001 9:35 pm Thu

[Walaupun pemalu, Nelson bergaul juga dengan beberapa individu yang berpelbagai latarbelakang mereka. Tetapi dia kerap menipu diri sendiri sehingga akhirnya berpisah dengan mereka. Padahal dia tidak perlu menyembunyi atau menipu untuk mendapat atau menjauhi sesuatu. Nelson sudahpun insaf, namun kisah lampau hidupnya itu terus datang menghantui. Kini dia terpaksa mengambil hati rakannya dengan menghadiri perjumpaan komunis. Tetapi Nelson sudah menjadi lebih berhati-hati kerana tidak mahu tersilap lagi. Perhatikan Neslon sentiasa meneliti orang di sekelilingnya dan berfikir apakah yang membentuk atau memenjara diri mereka. Dari situ dia dapat memahami segala dan apa yang akan membebaskan mereka.
- Editor
]


PERJALANAN YANG PANJANG

(Long Walk To Freedom)


Oleh: Nelson Mandela



Satu Autobiografi

Terjemahan SPAR 11



Bab 9B

Tidak lama kemudian, saya berpindah daripada rumah sepupu saya itu untuk tinggal di kediaman Reverand J. Mabutho daripada Gereja Anglican di Eight Avenue di Alexdra. Rev. Mabutho adalah daripada puak Thembu, menjadi sahabat rapat keluarga kami dan seorang yang pemurah serta amat takut kepada Tuhan. Isterinya yang kami panggil Gogo, adalah seorang ibu yang periang, pengasih dan merupakan seorang tukang masak yang pintar serta pemurah dengan sajiannya. Oleh kerana Rev. Mabutho kenal keluarga saya dia merasa bertanggungjawab menjaga saya pula. 'Nenek moyang kita mengajar kita mengongsi kemudahan.' Demikian katanya pada satu hari.

Akan tetapi saya masih tidak belajar daripada pengalaman yang silam, di Crown Mines. Saya tidak memberitahu Reverand Mabutho akan perihal saya keluar daripada Transkei. Kecuaian itu telah menyebabkan satu bencana. Beberapa hari selepas berpindah ke rumah beliau, ketika saya sedang menikmati minuman teh dengan mereka suami isteri, muncul seseorang untuk menziarahi mereka. Malangnya tetamu mereka kali itu ialah Mr. Festile. Beliau ialah seorang induna di Chamber of Mines yang hadir di pejabat Mr. Wellbeloved ketika Justice dan saya menemuinya. Mr. Festile telah bertegur sapa dengan saya sambil memberi isyarat yang kami pernah bertemu sebelum itu. Walaupun tidak ada sesuatu yang disebut mengenai pertemuan kami yang terdahulu, pada keesokan harinya Reverand Mabutho telah memanggil saya dan memberitahu dengan jelasnya betapa saya tidak boleh tinggal sebumbung dengan mereka.

Saya menyumpah diri sendiri kerana tidak memberitahu kisah sebenarnya. Saya telah menjadi kebiasaan dengan penipuan diri sendiri sehinggakan saya mudah berbohong walaupun tidak perlu melakukannya. Saya yakin Rev. Mabutho tentu tidak akan ambil hati kalau saya ceritakan perkara sebenar, tetapi apabila dia mengetahuinya daripada Festile, dia merasakan dirinya tertipu. Selama saya menetap di Johhannesburg waktu itu, saya telah meninggalkan beberapa jejak pembohongan, dan dalam setiap hal, pembohongan itu telah datang menghantui hidup saya. Pada waktu itu saya merasakan ketandusan alternatif. Saya telah menjadi takut kerana masih muda dan tidak berpengalaman. Saya juga sedar tidak memulakan langkah hidup yang baik. Dalam hal ini, Rverand Mabutho telah bersimpati dengan saya dan memberikan kemudahan untuk menumpang rumah seorang jiran sebelahnya, keluarga Xhoma.


Mr.Xhoma merupakan seorang pemilik tanah Afrikan di Alexandra. Rumahnya - 46 Seventh Avenue - adalah kecil sahaja, dan dia mempunyai enam orang anak. Tetapi rumah itu boleh dikira selesa, dengan adanya satu verandah dan satu kawasan berkebun yang kecil. Untuk menyara hidupnya Mr.Xhoma menyewakan beberapa kamar kepada orang luar. Dia telah membina atap zink di bahagian belakang rumahnya dan menyediakan beberapa kamar yang kotor di bawahnya yang tidak mempunyai pemanas udara, bekalan api dan air. Sebagai tempat penginapan sendiri tentulah saya puashati dengan keadaan itu.

Pada waktu yang sama, dengan sokongan Walter, saya telah menerima tawaran bekerja sebagai 'article clerk' di pejabat Lazar Sidelsky, sambil meneruskan pelajaran untuk mendapatkan ijazah BA. Syarikat guaman Witkin, Sidelsky and Eidelman, merupakan salah satu syarikat guaman terbesar di bandaraya itu, dan mengendalikan perniagaan masyarakat kulit hitam dan putih. Selain dari mengaji guaman dan lulus beberapa peperiksaan tertentu, untuk melayakkan diri menjadi seorang peguam di Afrika Selatan, seseorang perlu bekerja dulu sebagai aparentis kepada seorang peguam yang terlatih dan bertauliah, dan inilah yang disebut sebagai kerja 'article clerk'. Tetapi sebelum saya boleh layak menjalani proses tauliah itu saya mesti lulus dulu peperiksaan untuk mendapatkan ijazah BA. Kerana itu saya belajar malam di UNISA yang merupakan singkatan University of South Africa yang memberikan satu institusi pendidikan yang terkenal dan memberi pengakuan dan kursus ijazah secara jarak jauh.

Selain menguruskan kes guaman yang berbentuk konvensional, Witkin, Sidelsky and Eidelham (WSE) menguruskan segala proses jualbeli untuk pelanggan Afrikan. Walter berurusan dengan firma ini dengan memperkenalkan pelanggan yang memerlukan gadaian. Firma WSE menguruskan permohonan pinjaman dan mendapat komisen yang mereka agihkan bersama dengan agen hartanah itu. Malahan, firma guaman itu akan menerima habuan besar daripada wang komisen, memberikan hanya 'kulit roti' kepada syarikat agensi Afrikan itu. Sudah menjadi kebiasaan bagi orang kulit hitam menerima kerak roti daripada meja makan orang putih, dan mereka tidak mampu berbuat apa-apa.

Namun demikian, firma guaman ini bersifat lebih liberal berbanding firma yang lain. Ini adalah firma Yahudi, dan dalam pengalaman saya saya dapati orang Yahudi lebih matang dan luas fikirannya daripada kebanyakan orang kulit putih ketika menangani isu ras dan politik. Mungkin sejarah telah mematangkan mereka setelah menjadi mangsa prejudis dalam hidup. Kesediaan Lazar Sidelsky mengambil saya sebagai kerani firmanya ketika orang lain tidakpun bersedia membuat seperti itu ketika itu, adalah satu bukti adanya sifat liberalisme itu.

Mr. Sidelsky yang memang saya hormati telah melayan saya dengan baik. Beliau merupakan lulusan University Witwatersrand dan berusia tiga puluhan ketika saya bekerja di firmanya. Dia memang terlibat dengan pendidikan Afrikan, menderma wang dan meluangkan masa kepada sekolah Afrikan. Dia adalah seorang yang kurus dan berhemah tinggi, dengan kumis nipis laksana pensel di bibirnya. Dia telah menaruh minat terhadap masa depan saya, sambil kerap berkhutbah memberikan galakan mengenai kepentingan pendidikan - untuk saya secara persendirian dan untuk Afrikan secara umumnya. Hanya pendidikan massa, katanya selalu kepada saya, yang dapat membebaskan orang saya, sambil menegaskan seorang yang berpendidikan tidak mudah tertekan kerana dia mampu berfikir sendirian. Dia selalu mengulangi nasihat kepada saya betapa untuk menjadi berjaya sebagai seorang peguam dan menjadi satu model contoh kepada orang muda daripada kaum saya adalah satu cabaran yang saya perlu laksanakan.

Saya telah bertemu dengan kebanyakan kakitangan firma itu pada hari pertama saya bertugas di situ, termasuklah seorang lagi pekerja Afrikan, Gaur Radebe, yang mengongsi sebuah kamar dengan saya. Beliau berusia sepuluh tahun lebih tua dari saya dan bekerja sebagai seorang kerani, penterjemah dan tukang utusan. Dia berbadan pendek, gempal dan tegap badannya. Dia fasih berbahasa Inggeris, Soho, dan Zulu, dan mampu menggunakan semua bahasa itu dengan tepat dan yakin serta mampu berjenaka. Dia berupaya berhujah dengan tegas dan mempunyai kepintaran berbalah dengan asas yang baik sebagai membantu perdebatannya dan kerana itu merupakan seorang tokoh Afrikan yang terkenal di Johannesburg.

Pada hari pertama bertugas di firma itu saya didatangi seorang kerani kulit putih, Miss Lieberman, yang bercakap dengan saya sendirian, "Nelson, kami tidak mengamalkan perbezaan warna di syarikat ini." Dia menjelaskan, pada waktu pagi, seorang pembancuh teh akan muncul di ruang depan dengan membawa satu dulang berisi cawan dan cangkir teh. "Sebagai menghormati kedatangan kamu, kami telah membeli dua cawan baru untuk anda dan Gaur," kata beliau. "Para setiausaha membawa cawan kopi ke bilik peguam tetapi anda dan Gaur akan minum teh seperti yang kami lakukan. Saya akan panggil kamu bila teh tiba dan anda bolehlah tuang teh anda dalam cawan yang baru itu." Dia meminta saya memberitahu mesej itu kepada Gaur. Saya mengucapkan terima kasih kepadanya. Tetapi saya sedar 'dua cawan terbaru' itu adalah kesan dan bukti wujudnya perbezaan warna kulit yang dikatakannya tidakpun wujud di firma itu. Para setiausaha itu boleh minum bersama dengan dua orang Afrikan, tetapi tidaklah sampai mahu berkongsi cawan menikmati minuman itu.

Apabila saya menceritakan perkara itu kepada Gaur, saya dapat melihat perubahan airmukanya, seolah-olah ada satu perkara ganjil yang berputar di kepala seorang kanak-kank. "Nelson," katanya, "pada waktu minum teh nanti, jangan fikirkan apa-apa. Kamu ikut apa yang saya lakukan." Pada jam 11 pagi, Miss Lieberman memberitahu kami kedatangan minuman teh. Di hadapan semua setiausaha dan beberapa petugas firma itu, Gaur pergi mendapatkan dulang teh itu dan sengaja tidak memilih dua cawan yang baru dibeli untuk kami. Dia memilih salah satu cawan lama di situ dan mengisi gula, susu dan kemudiannya menuangkan air teh dalam cawan itu. Dia mengacau minumannya dengan perlahan sebelum meminumnya dengan perasaan yang semestinya melegakan. Para setiausaha memandang sahaja gelagat Gaur itu dan beliau kemudiannya menganggukkan kepala kepada saya, seolah-olah memberi isyarat, "Sekarang giliran kamu pula, Nelson."

Saya menjadi serba-salah untuk seketika. Saya tidak mahu mengguriskan perasaan para setiausaha di situ ataupun mengguris hati teman baru saya itu. Jadi, saya membuat pilihan yang saya fikir merupakan tindakan berkecuali: saya telah menolak tawaran meminum teh pada ketika itu dengan alasan saya tidak haus lagi. Saya baru berusia dua puluh tiga tahun ketika itu, dan masih meraba-raba dalam perjalanan hidup di Johannesburg dan sebagai seorang pekerja kepada sebuah firma orang kulit putih. Jadi, saya fikir, mengambil jalan tengah adalah yang terbaik ketika itu. Sejak itu, bila tiba waktu minum teh, saya akan masuk bilik kecil di pejabat untuk menikmati teh saya secara bersendirian.

Para setiausaha di situ tidak begitu berfikiran terbuka. Pernah berlaku satu ketika apabila menjadi lebih berpengalaman, saya telah memberikan maklumat untuk dicatatkan oleh seorang setiausaha kulit putih. Pada waktu itu muncul seorang pelanggan kulit putih yang dikenalinya. Dia menjadi malu dan cuba berpura-pura bahawa dia bukannya mengambil trengkas daripada ucapan saya, seorang Afrikan. Dengan pantas dia mengambil sekeping wang siling daripada dompetnya dan mengunjukkanya kepada saya, "Nelson, tolong pergi belikan saya satu botol shampoo di kedai." Saya pun keluar bilik itu untuk membelikan botol shampoo itu.

Pada tahap awalannya kerja saya di pejabat itu memang merupakan kerja biasa sahaja. Sebagai seorang kerani dan juga tukang utusan, saya terpaksa mencari dan menyusun fail dan dokumen dan menghantarnya di merata Johannesburg. Kemudian, saya merangka kontrak untuk beberapa pelanggan firma itu. Namun, betapa kecilpun tugas itu, Mr. Sidelsky tidak henti-henti memberikan penjelasan apakah tujuan sesuatu kerja yang saya lakukan itu. Dia merupakan saorang guru yang sabar dan tabah, dan menurunkan ilmu pengetahuan bukan sahaja mengenai segala butirannya malahan lengkap dengan falsafah sesuatu kerja itu. Dia mempunyai tanggapan terhadap perundangan secara meluas dan tidak secara sempit, kerana dia amat percaya kepada falsafah bahawa undang-undang adalah satu alat yang dapat merobah masyarakat.

Ketika Mr.Sidley mengajar saya selok belok undang-undang dia kerap memberi amaran agar saya tidak terlibat dengan politik. Politik, katanya, akan membogelkan segala keburukan seseorang. Politik adalah punca segala masalah dan korupsi, dan seharusnya dielakkan dengan apa cara sekalipun. Dia memberikan gambaran yang menakutkan akan kemungkinan buruk yang akan melanda saya seandainya saya terlibat dengan politik. Dia juga menasihatkan agar saya menjauhkan kumpulan manusia yang dianggapnya sebagai tukang sibuk dan tukang kacau, terutama sekali Gaur Radebe, dan Walter Sisulu. Walaupun Mr. Sidelsky menghormati kebolehan mereka, dia sebenarnya bencikan penglibatan politik mereka semua.

Gaur memang merupakan seorang 'tukang sibuk, tetapi merupakan seorang yang berpengaruh kepada masyarakat Afrikan', mengikut cara yang diketahui oleh Mr. Sidelsky ataupun yang boleh diagaknya. Dia merupakan salah seorang ahli Majlis Penasihat di Western Native Township. Ini merupakan barisan empat orang tempatan yang berurusan dengan pihak berkuasa mengenai masalah mereka. Walaupun tidak mempunyai sebarang kuasa, majlis itu mendapat penghormatan yang tinggi di kalangan masyarakat. Tidak lama kemudian barulah saya tahu betapa Gaur merupakan seorang ahli ANC dan parti Komunis Afrikan yang cergas.

Gaur memang seorang yang berpendirian. Dia tidak menganggap majikan kami dengan penghormatan yang berlebihan, dan kerap mengejek mereka kerana sikap memberikan layanan buruk kepada orang Afrikan. "Kalian telah mencuri dan merampas tanah air kami," katanya, "kemudian kamu jadikan hamba abdi kmu. Kini kamu dera kami agar bekerja keras untuk menyediakan wang untuk membeli semula harta rampasan kamu." Satu hari setiba saya daripada kerja luar dan memasuki pejabat Mr.Sidelsky, Gaur telah bercakap kepadanya, "kamu duduk di situ laksana orang besar sedangkan ketua kaum aku berkeliaran menjadi tukang utusan kamu semua. Sepatutnya keadaan itu diubah, dan ia akan berlaku juga satu hari nanti, dan kami akan humban kamu semua ke dalam laut." Gaur kemudian keluar dari kamar itu, sambil Mr. Sidelsky menggelengkan kepalanya.

Gaur adalah contoh seorang manusia yang tidak pun berbekalkan BA yang kelihatan lebih terpelajar daripada orang-orang pribumi yang lain yang keluar daripada Fort Hare dengan segulung ijazah mereka yang gemilang. Dia bukan sahaja lebih berpengetahuan, dia lebih berani dan lebih yakin lagi. Walaupun saya berniat menyudahkan pelajaran undang-undang dan mendapatkan ijazah saya, saya telah mempelajari daripada Gaur betapa segulung ijazah itu bukannya dapat menjamin satu kepimpinan dan ia tidak membawa sebarang erti melainkan seseorang itu mampu membuktikannya kepada masyarakatnya.

Bukan saya seorang sahaja yang menjadi 'article clerk' di Witkin, Sidelsky and Eidelman. Ada seorang anak muda yang sama usianya dengan saya bernama Nat Bregman yang masuk bekerja lebih awal sikit daripada saya. Nat memang pintar, ceria dan bertimbang rasa. Dia semacam seorang yang rabun-warna dan menjadi kawan saya yang pertama berkulit putih. Dia memang pintar mengajuk suara orang, dan dapat mengajuk suara tokoh dunia seperti Ian Smuts, Franklin Roosevelt dan Winston Churchill. Saya kerap dapatkan nasihatnya mengenai undang-undang dan peraturan pejabat, dan dia memang sedia membantu.

Pada satu hari ketika makan tengah hari, kami sedang duduk di pejabat dan Nat keluarkan satu bungkusan sanwic. Dia ambil sekeping sanwic dan berkata, "Nelson, pegang bahagian sanwic yang lagi satu." Saya tidak berapa faham apa maksudnya, tetapi kerana lapar waktu itu, sayapun menerima pelawaannya. "Sekarang, tarik," katanya. Saya ikutkan sahaja dan sanwic itu putus dua.

"Sekarang, makan," katanya. Ketika saya mengunyah itu, Nat berkata, "Nelson, apa yang telah kita lakukan adalah satu simbol falsafah Parti Komunis untuk mengongsi apa yang kita ada." Dia menceritakan betapa dia menjadi seorang ahli parti komunis dan menjelaskan pergerakannya. Saya tahu Gaur adalah ahli parti yang sama walaupun dia tidak pernah mencanang agar seseorang memasuki keahlian parti. Saya mendengarkan sahaja penjelasan Nat pada hari itu dan setiap kali dia berkhutbah akan kebaikan perjuangan komunisme sambil cuba memujuk saya menganggotai parti itu. Saya kerap berbincang dengan beliau tetapi tidak sampai menjadi ahli parti itu. Saya tidak cenderung menjadi ahli sebarang parti politik, kerana nasihat Mr. Sidelsky masih berdering di ingatan. Lagipun saya suka beribadat dan sikap parti itu yang menyipikan agama membuatkan saya tertutup untuk menganggotainya. Namun demikian saya memang menghargai sebahagian sanwic Nat itu.

Saya memang selesa dengan persahabaan Nat dan kami kerap jalan bersama, termasuk menghadiri beberapa majlis dan mesyuarat Parti Komunis. Saya mengekorinya semata-mata kerana kepentingan intelektual. Saya sudah semakin sedar akan sejarah penekanan ras di negara sendiri, dan melihat perjuangan di Afrika Selatan itu tertumpu kepada masalah etnik. Tetapi parti komunis melihat masalah Afrika Selatan melalui lensa perjuangan kelas. Mereka menganggapnya sebagai perjuangan antara golongan yang sudah berada dengan golongan marhaen yang serba tiada. Inilah yang menarik perhatian saya walaupun tidak begitu relevan dengan masalah harian Afrika Selatan, kini. Mungkin juga perkara itu relevan di Jerman, England ataupun Russia. Tidak semestinya ia sesuai untuk negara ini. Namun, saya terus berminat untuk mendengar dan mempelajari sesuatu daripada semua itu.

Nat telah mengajak saya menganggotai parti politik di mana terdapat kepelbagaian ras; orang putih, Afrikan, orang India dan yang berwarna. Satu majlis perjumpaan telah diatur untuk mebolehkan ahli parti bertemu-ramah. Saya masih teringat bagaimana saya merasa resah-gelisah pada kali pertama menyertai pertemuan itu, kerana memikirkan saya tidak mempunyai pakaian yang sesuai untuk majlis itu. Di Fort Hare, kami telah diajar untuk mengenakan tali leher dan jeket setiap kali menghadiri sesuatu majlis. Walaupun pakaian saya amat terhad ketika itu, saya berjaya juga mengenakan tali leher di majlis itu.

Saya terjumpa satu kumpulan manusia yang bertemasya dengan riangnya tanpa memikirkan masalah warna kulit mereka. Itulah pertama kali saya menghadiri himpunan manusia seperti itu, dan saya lebih bersikap sebagai seorang pemerhati sahaja. Saya menjadi terlalu pemalu, terlalu takut kalau melakukan sesuatu yang janggal, dan masih tidak pintar masuk campur dalam perbincangan yang melibatkan perbualan yang laju. Fikiran saya masih belum mencapai satu tahap kepintaran menyerap dialog yang canggih di sekeliling.

Pada satu petang, saya diperkenalkan kepada seorang yang bernama Michael Harmel. Saya telah diberitahu beliau mempunyai ijazah Sarjana dalam Bahasa Inggeris daripada Rhodes University. Saya memang kagum dengan kelulusannya tetapi apabila kami bertemu, saya tersentak dan berfikir sendirian, 'Dia ini mempunyai MA, dan dia tidakpun mengenakan tali leher!" Saya masih tidak faham akan ketenangannya itu. Tidak lama kemudian Michael dan saya menjadi kawan baik, dan saya semakin mengkaguminya kerana dia lebih bersedia menghumbankan budaya luar yang sudah lapuk tetapi masih membuatkan saya taksub ketika itu. Dia bukan sahaja seorang penulis hebat, teapi begitu beriltizam dengan falsafah komunisme sehingga beliau sanggup hidup mengikut cara orang Afrikan, walaupun dia mampu hidup lebih selesa daripada itu.


....bersambung....

Terjemahkan: SPAR11

Rolihlahla88@hotmail.com




KM2 Main Index