Laman Webantu (M)   KM2: 5394 File Size: 22.2 Kb

| KM2 Index |


BKAdil: Britain lebih 'mesra Islam' daripada kerajaan Malaysia?
By Rafizi Ramli

6/9/2001 8:56 pm Thu

http://berita-keadilan.net/kolum/kolumnis/060901rafizi.htm

Britain lebih 'mesra Islam' daripada kerajaan Malaysia?

Minggu lepas di Britain, badan penyiaran terbesar di dunia iaitu BBC (Badan Penyiaran Britain) mengambil inisiatif mengadakan 'Minggu Kesedaran Islam'. Ia bertujuan meraikan kepelbagaian dan sumbangan Islam serta penganutnya kepada keharmonian Britain dan ketamadunan manusia seluruhnya. Salah satu misi utama minggu tersebut adalah untuk menghapuskan mitos dan 'stereotype' yang selalu mengaitkan Islam dengan keganasan, sikap tidak toleran dan pelbagai unsur negatif yang lain.

Sebagai meraikan minggu kesedaran Islam itu, pelbagai rancangan telah dikomisyenkan oleh BBC. Ini termasuklah sebuah siri yang bertajuk "Islam: The Empire of Faith" (Islam: Empayar Keimanan) yang dihoskan oleh Ben Kingsley, bekas penerima Anugerah Oskar hasil lakonannya sebagai Mahatma Ghandi di dalam tahun 1982. Dokumentari bersejarah itu merupakan yang terbaik pernah penulis saksikan datang dari negara Barat mengenai Islam.

Dalam tiga episod, ia menjejaki susur galur kelahiran islam dan bagaimana ia berkembang daripada sebuah agama kecil di Semenanjung Tanah Arab menjadi salah sebuah agama yang terbesar yang pernah disaksikan dunia. Lebih penting lagi, dokumentari itu menekankan sumbangan Islam kepada ketamadunan moden terutamanya nilai-nilai yang dijunjung oleh dunia Barat kini - tidak lain dan tidak bukan untuk menjawab pelbagai prejudis terhadap Islam yang timbul akibat 'stereotype' yang mengaitkan Islam dengan tindakan pelampau.

Nilai-nilai ini termasuklah peranan Islam meletakkan hak-hak asasi manusia dan semangat kesejagatan yang jelas mendahului generasi dunia ketika itu. Lebih penting lagi kata dokumentari itu ialah peranan Islam sebagai pembela mereka yang tertindas, dan sejarah awal Islam tidak sekali-kali memperlihatkan Islam berada di pihak yang menindas.

Salah satu contoh yang dipaparkan oleh dokumentari tersebut ialah peristiwa pembukaan Mekah, yang mana penduduknya pada ketika itu begitu takut mereka akan dihukum kerana kezaliman yang telah dilakukan terhadap penganut awal agama Islam. Sebelum itu, penduduk Mekah seringkali mengumpulkan bala tentera untuk menyerang Madinah.

Sebaliknya, Rasullah SAW memasuki dan membuka Kota Mekah dengan sifat pengampun dan terbuka. Tidak ada seorangpun yang dihukum atau diapa-apakan, lantas penduduk Kota Mekah memeluk agama Islam kerana kagum dengan sifat pengampun penganut-penganutnya.

Sikap pengampun dan kedepanan Islam dalam menjaga hak asasi penduduk kota yang dikuasainya dijadikan contoh berkali-kali, dan dijadikan bandingan dengan Eropah ketika itu yang masih berada di dalam zaman gelap. Ini termasuklah dengan sikap luarbiasa Sallehuddin al-Ayubi (dikenali sebagai Saladin dikalangan cendikiawan Barat) yang mengisytiharkan penduduk Baitul Maqdis yang tidak beragama Islam bebas untuk terus kekal di kota itu dan mengamalkan agama yang mereka anuti - sedangkan hampir seratus tahun sebelumnya kota itu dibanjiri darah umat Islam, Kristian dan Yahudi yang sama-sama dibunuh oleh pejuang tentera Salib.

Begitu juga keadaannya apabila Muhammad al-Fatih (Mehmet the Conqueror atau Mehmet Penakluk seperti yang dikenali di Barat) membuka kota Constantinople dalam tahun 1453 M. Penduduk ibukota kebanggaan Empayar Rom Timur Byzantium itu dibenarkan terus menjalankan urusan seharian mereka tanpa gangguan.

Turut dipaparkan sepanjang seminggu kempen kesedaran itu adalah sebuah program yang mencoretkan perjalanan sekumpulan rakyat Britain menjalankan ibadah haji. Salah seorang peserta rombongan dari Britain pada tahun ini ialah seorang pakar bedah neurologi terkenal iaitu Hajjah Aminah Abdullah (nama Islam) yang memeluk Islam.

Pendek kata, penulis dan rakyat Britain beragama Islam yang lain sudah tentu berasa cukup sejuk hati dan terharu apabila melihat Islam diraikan sebagai sebuah agama yang penuh warna dan kepelbagaian, yang meraikan 'diversity', yang mengagungkan ilmu melebihi segala-galanya dan menjadi salah satu penyumbang terbesar ketamadunan manusia.

Inisiatif atasi prejudis dan sentimen perkauman

Sudah tentu ada pihak akan mengaitkan minggu kesedaran ini dengan kejadian rusuhan perkauman yang melibatkan pemuda-pemuda beragama Islam di Bradford, Oldham dan Burnley baru-baru ini, kononnya ia sandiwara Barat untuk menutup kelemahan di dalam rumah sendiri. Sebelum ada pak-pak menteri atau tukang canang mereka membuat tuduhan melulu, perlulah kita kaji latar belakang kejadian rusuhan itu, iaitu:


  1. rusuhan-rusuhan itu diapi-apikan oleh sebuah kumpulan fasis berfahaman perkauman iaitu British National Party (Parti Kebangsaan Britain, ironisnya nama parti tersebut bila dikenang sebuah parti terkemuka di tanahair iaitu Parti Kebangsaan Melayu Bersatu)

    BNP - parti serpihan gabungan kumpulan perkauman sayap kanan ekstrem yang diberi nama National Front (Barisan Nasional, ironis sungguh apabila dibandingkan dengan gabungan parti bercorak perkauman yang memerintah tanahair!) - telah lama menuntut agar semua orang 'berwarna' (bukan keturunan Eropah) dihalau keluar dari Britain.

    Mereka berkempen secara senyap-senyap dari satu bandar ke satu bandar meniupkan semangat bencikan orang Asia.

  2. tindakan reaksi pemuda-pemuda berbangsa Asia yang melampaui batas menyebabkan kempen perkauman itu meletus menjadi perbalahan kaum. Lebih teruk lagi, kebanyakan mereka sebenarnya berasal dari bandar lain dan datang ke bandar-bandar itu untuk membuat kacau, sedangkan pemimpin masyarakat tempatan mengutuk hebat tindakan melampau mereka.

  3. Pihak polis menjalankan tugas tanpa menunjukkan berat sebelah secara terang-terangan, walaupun hampir 95% anggota pasukan polis berbangsa Eropah. Jika dilihat jumlah yang ditahan, kedua-dua kumpulan pelampau - dari penyokong BNP dan golongan pemuda Asia - terpaksa bersoal jawab dengan polis di bawah tahanan!


Oleh kerana faktor-faktor ini, rusuhan itu tidak merebak ke kawasan yang mempunyai penduduk Asia yang besar seperti Birmingham atau Leicester.

Kita juga perlu menilai dan memahami kenapakah rusuhan-rusuhan yang berlaku secara sporadik ini tidak menjadi ancaman besar kepada keselamatan negara seperti di Malaysia. Di Malaysia contohnya, peristiwa hitam 13 Mei 1969 menjadi titik tolak yang mengubah lanskap Malaysia selama-lamanya, sedangkan tiga rusuhan berbau perkauman di Britain baru-baru ini tidak pula mempunyai kesan yang begitu mendalam kepada aspek ketenteraman awam.

Salah satu perbezaan utama kedua-dua senario ini adalah pendirian kerajaan. Kerajaan Parti Buruh di Britain mengambil tindakan pantas mengecam BNP dan anasir perkauman serta merancang pelbagai polisi yang lain untuk mempastikan peristiwa yang sama tidak berlaku.

Sebaliknya di Malaysia, tiket perkauman adalah nadi kerajaan pemerintah, kerana dasarnya yang berjuang selari dengan kehendak perkauman. Dalam erti kata lain, kerajaan BN seolah-olah kembar tidak seiras dengan BNP yang senantiasa bermain dengan api perkauman. Lihat sahaja ucapan pemimpin-pemimpin mereka:

Perdana Menteri menuduh kumpulan sivil masyarakat Cina atau Suqiu sebagai komunis, Datuk Ibrahim Ali mengumpul ahli UMNO dengan poster keris menghunus ke atas dilumuri darah dan yang terbaru Datuk Seri Lim Keng Yaik pula menuduh PAS sebagai komunis.

Maka tidak hairanlah, jika sesuatu kejadian berbau perkauman berlaku, rakyat gundah gelana dan dunia memandang dengan prihatin - disebabkan pandangan umum bahawa tidak ada jaminan kerajaan pemerintah bangun membanteras prejudis perkauman kerana itu juga merupakan sifat mereka!

Sebaliknya di Britain, pihak berkuasa cepat-cepat mengambil tindakan mengadakan satu 'blitzkrieg' media (atau 'gempur media') untuk menghapuskan salah anggap dan 'stereotype' kumpulan minoriti. Jika anda seorang ahli kumpulan minoriti di negara asing seperti penulis, inisiatif sedemikian rupa boleh juga memberikan keyakinan akan keprihatinan kerajaan.

Kerajaan tekapkan 'stereotype' Islam ganas

Bercakap mengenai 'stereotype' bahawa Islam ganas, penulis berasa amat kecewa dengan sikap kerajaan Malaysia, yang dikepalai oleh penganut agama Islam dalam usaha mereka 'menekapkan' imej Islam ganas di dalam pemikiran rakyat. Akhir-akhir ini, pak-pak menteri ghairah berucap mengenai kumpulan-kumpulan 'militan Islam' seperti KMM (walaupun mereka nampaknya masih belum menemui nama penuh yang standard bagi akronim itu!) yang belum dibuktikan kewujudannya!

Lebih dikesali lagi adalah tindakan seorang menteri kanan kerajaan yang arwah bapa serta datuknya disegani sebagai tokoh pemimpin dan ulama Islam di pulau mutiara mengumumkan kepada seluruh dunia bahawa Malaysia kini sudah menjadi sarang pengganas militan Islam!

Fobia terhadap Islam yang mendorong gerakan mendoktrinasikan imej Islam militan ini memang jelas diperlihatkan oleh kerajaan. Apabila mahasiswa di institusi pengajian tinggi tempatan nampak cenderong kepada Islam, mereka dicap militan atau menyokong parti pembangkang. Adakah semata-mata kerana pelajar-pelajar itu wara' sedikit, mereka sudah menjadi militan dan menyokong parti pembangkang?

Malanglah Islam di Malaysia, kerana iri hati terhadap pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang rata-ratanya lebih arif mengenai Islam dan nampak lebih wara' - pelajar yang cenderong kepada Islam terus dicap cenderong kepada parti pembangkang!

Adalah begitu dangkal jika atas sebab ini pelajar Malaysia tidak boleh menjadi wara' dan mengamalkan tuntutan syariah Islam, jika tidak akan dituduh bersifat militan. Bukankah lebih baik bagi Islam keseluruhannya jika pemimpin parti pemerintah turut menyahut semangat keadilan dan amanah yang diperjuangkan Islam agar pelajar yang cenderong kepada Islam boleh juga menyokongnya? Dengan demikian, hilanglah stigma pelajar wara' menjadi penyokong parti pembangkang seperti yang ada sekarang.

Begitu jugalah apabila seseorang professional memakai kopiah atau serban, terus sahaja beliau digelar jumud atau 'tidak professional'. Sejak bila pula mutu pekerjaan atau professional kita dinilai berdasarkan pakaian atau penampilan, bukankah ia bergantung kepada hasil kerja kita? Jika inilah mentaliti parti pemerintah, tidak hairanlah parti-parti mereka dipenuhi oleh individu yang kelulusannya tidaklah setinggi mana tetapi pakaian mengalahkan ketua eksekutif bank! Rupa-rupanya 'keprofessionalan' ahli mereka dinilai daripada cara mereka berpakaian.

Inilah beberapa simpton yang membuktikan fobia parti pemerintah dengan Islam. Malah bukan itu sahaja, apabila timbul masalah keruntuhan akhlak dikalangan anak muda, Islam jugalah yang disalahkan. Kononnya Islam diputar belitkan, Islam dipolitikkan, Islam itu dan Islam ini. Islamlah punca pening kepala parti pemerintah!

Islam ibarat 'si bongkok hodoh' Notre Dame

Pendek kata, Islam di mata pemerintah hanyalah satu senjata dan alat propaganda untuk terus berkuasa persis 'si bongkok hodoh' Notre Dame dalam hikayat terkenal Perancis itu.

Seperti juga 'si bongkok hodoh', Islam diherdik ke sana ke mari mengikut kepentingan parti pemerintah, samalah dengan 'si bongkok hodoh' yang menjadi kuli penguasa gereja!

Keindahan Islam 'disembunyikan' daripada orang ramai kerana bimbang itu akan membuka pekong mereka, tidak ubah seperti 'si bongkok hodoh' yang terus disembunyikan dari mata khalayak ramai!

Tidak hairanlah 'si bongkok hodoh' itu akhirnya bangun memberontak, meronta-ronta melawan kezaliman penguasa gereja yang dangkal itu.

Inilah yang penulis amat kesali dengan pendekatan dan pembangunan Islam yang diperlihatkan kerajaan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad akhir-akhir ini. Sebelum gebang KMM ini dimainkan sekalipun, Islam seolah-olah hanya menjadi 'make up', senjata atau apa sahaja - asalkan ia tidak menjadi penghalang kepada langkah kerajaan untuk terus berkuasa. Jika tidak, Islam akan di'persyaitan'kan (mengambil perkataan 'demonised' dari Bahasa Inggeris) dan alim ulama' yang menjunjung kemuliaan Islam menjadi bahan omokan pemimpin kerajaan.

Berlatar belakangkan senario inilah, pemimpin-pemimpin kerajaan mempersendakan Datuk Prof. Dr. Harun Din sebagai penjampi air professional, mereka berteori bahawa Rasulullah SAW menyimpan janggut kerana tiadanya pisau cukur Gillette pada ketika itu dan lain-lain lagi.

Polisi Islam sebagai 'make up' juga jelas kedapatan apabila kita meneliti pembinaan masjid-masijd besar. Kerajaan mendabik dada mengaku bahawa dibawahnya Malaysia menjadi model 'negara Islam' kerana bangga dengan masjid indah yang dibinanya - malang sekali, masjid-masjid itu tidak pula dibenarkan menjadi pusat dakwah perkembangan Islam dan ilmu, tetapi alat mereka mengabui mata dunia dan rakyat. Lebih malang lagi, apabila ada di kalangan rakyat beragama Islam sendiri yang gah menjadikan masjid-masjid indah itu sebagai bukti 'Islamnya' pemerintah yang ada sekarang!

Masjid nadi kemajuan Islam

Mereka yang berpendapat sedemikian rupa bukanlah pembaca sirah Islam yang mengkaji selok belok kemanisan agama yang dianuti mereka. Sesungguhnya Islam tidak dibina di atas landasan 'masjid indah'; keagungannya berpaksikan kepada kekuatan akidah dan ilmu yang datang dari kekuatan akidah tadi. Atas paksi inilah, masjid sebagai rumah Allah menjadi pusat perkembangan ilmu dan kebajikan masyarakat yang memacu perkembangan Islam lebih seribu tahun dahulu!

Pada zaman permulaan Islam dan zaman emasnya, masjid merupakan dewan pelbagai fungsi - ia juga menempatkan hospital, sekolah, perpustakaan dan dewan masyarakat.

Pemimpin-pemimpin agung membina masjid-masjid besar untuk menjadikannya nadi kemajuan negara. Sultan Sulaiman contohnya (Suleiman the Magnificent, atau Suleiman yang Mengkagumkan kerana kejayaan beliau memperluaskan Islam hingga ke pintu Vienna, pusat pentadbiran Empayar Austro-Habsburg), membina Masjid Sulaimaniyyah di Istanbul turut menempatkan salah sebuah perpustakaan yang terbesar di dunia pada ketika itu. Masjid itu memuatkan tulisan-tulisan cendikiawan dan saintis Islam seperti al-Burundi, al-Kindi, al-Razi dan lain-lain.

Malah, asal-usul dunia digital - iaitu penciptaan konsep binari serta pelbagai teorem-teorem berkaitan frekuensi dan 'sampling' - yang dibanggakan dunia Barat kini bermula di perpustakaan Masjid Sulaimaniyyah, melalui koleksi penyelidikan-penyelidikan al-Razi mengenai teorem itu. Ilmu yang diterokai oleh saintis agung Islam ini jugalah yang digunakan oleh Sir Francis Walsingham untuk membongkarkan kod-kod rahsia Queen Mary of Scots, sehingga menyebabkan beliau dipenggal kepalanya atas tuduhan menderhaka!

Contoh-contoh ini dikemukakan oleh penulis untuk mengimbau kenangan kita akan peranan besar yang dimainkan oleh masjid dari perspektif Islam.

Sebaliknya, lihat pula fungsi masjid dari kaca mata pemimpin-pemimpin UMNO. Masjid seboleh-bolehnya mahu dikongkong mengikut cita rasa mereka semata-mata, perselisihan pendapat langsung tidak dibenarkan - sedangkan perselisihan pendapat sebegitulah yang mengangkat masjid dan Islam sebagai gedung ilmu ketamadunan dunia sebelum ini. Aktiviti di masjid seboleh-bolehnya dihadkan kepada kuliah-kuliah yang tidak menyentuh aspek selain daripada ibadah sembahyang! Malah, ahli jawatankuasa masjid sekalipun hendak ditapis agar sekepala dengan mereka - walaupun sebahagian besar dari mereka (pemimpin UMNO) jarang sekali nampak kelibat di masjid-masjid tersebut!

Islam adalah 'ad-deen'

Akibat sempitnya penterjemahan Islam dari kaca mata mereka, maka pemerintah mengambil tindakan-tindakan yang langsung tidak mencerminkan semangat Islam.

Di manakah kita sebagai umat Islam mahu meletakkan muka apabila seorang pegawai tinggi agama Islam di negara ini suatu ketika dahulu memberikan khutbah yang terlalu berbau partisan sehinggakan jemaah bangun membantah dengan melaungkan 'Allahu Akbar'? Apakah Islam jenis ini yang membawa sinar kepada dunia 800 tahun sebelum Renaissance mula berputik di Eropah?

Di manakah keikhlasan dan keyakinan mereka kepada keagungan nilai yang dibawa Islam apabila 'think thank' (kumpulan pemikir) yang ditubuh dan dibiayai mereka bertungkus-lumus memutar belitkan Islam bagi kepentingan partisan parti pemerintah?

Bagaimanakah Islam boleh memainkan peranan memacu kemajuan negara dan ummah apabila penuntut Universiti Islam Antarabangsa dihalang berdiskusi secara bebas dan mengamalkan kebebasan intelektual? Semangat Islamkah yang mendorong pentadbir universiti itu mengenakan tindakan terhadap penuntut-penuntutnya kerana dituduh menganjurkan seminar ilmu undang-undang yang disifatkan tidak selari dengan kehendak pemerintah?

Bagi penulis, ini adalah bentuk Islam ala 'si bongkok hodoh' yang disebutkan sebelum ini. Ia tidak akan membawa kemajuan dan perkembangan ilmiah, malah mendorong keruntuhan dan ketamadunan Islam!

Islam yang membawa ajaran itu ke rantau ini adalah agama yang semangatnya perlu dijadikan pegangan hidup - 'ad deen'. Islam sebagai 'ad deen' - seperti yang dimaktubkan di dalam Manifesto Barisan Alternatif - mengajak ummah menghayati semangat Islam - berpaksikan kekuatan akidah dan keagungan ilmu, meletakkan toleransi sebagai pra-syarat utama, menghormati hak manusia sama ada Islam atau tidak, menitik berat soal amanah dan keadilan!

Hentam Islam kerana marahkan PAS

Kebelakangan ini, pemerintah nampaknya meningkatkan retorik prejudis Islamnya dalam usaha mereka membendung pengaruh PAS. Pelbagai isu ditimbulkan berkaitan Islam, semuanya ditohmahkan kembali kepada PAS - harapan mereka agar parti itu akan dipandang keji di mata rakyat.

Namun dalam keghairahan berpolitik itu, mereka alpa bahawa tindakan mereka acapkali menghina Islam lebih daripada melemahkan PAS. Oleh kerana tiada modal lain, Islam dipersenda-sendakan, simbol-simbol berkaitan Islam seperti pakaian berjubah diharamkan. Paling malang sekali apabila perkataan 'mujahideen' - yang maksudnya orang yang berjihad di jalan Allah dan Islam, jika gugur hukumnya mati syahid - dipermain-mainkan sehingga ia mempunyai konotasi pengganas.

Di manakah kewarasan kita sebagai umat Islam apabila perkataan 'mujahideen' diperlakukan sedemikian rupa semata-mata untuk kepentingan politik partisan pemerintah?

Apakah umat Islam di dalam UMNO (bukan semuanya Islam kerana ada juga yang berketurunan Kadazan, Cina dan sebagainya!) boleh terus memejamkan mata dan menutup telinga, lantas menelan sahaja hempedu penghinaan ini?

Di kalangan penyokong parti pembangkang sekalipun mengakui bahawa PAS bukanlah Islam dan Islam tidak pula diwakili sepenuhnya oleh PAS. PAS adalah sebuah parti politik yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya, walaupun pentafsiran mereka mungkin berbeza daripada pihak-pihak yang lain.

Jadi kenapa perlu diperlakukan Islam dengan sedemikian rupa? Jika PAS dan pembangkang yang dimusuhi, hadapilah mereka secara 'anak jantan' - jangan sekali-kali bermain-main dengan perkara yang menyentuh kemuliaan dan 'sanctity' agama Islam.

Benteng identiti terakhir

Sebagai anak muda yang menghabiskan separuh usia remajanya di negara asing, kecenderongan menghentam Islam sebagai helah politik seperti yang sedang berlaku di tanahair amat meruntun jiwa penulis. Di kala umat Islam di Palestin dizalimi saban hari dan kita hanya mampu berdoa dan menangis semata-mata, cukuplah dikesali apabila pemerintah Islam sendiri seolah-olah memijaknya untuk meraih sokongan penduduk bukan Islam.

Secara peribadi, pengalaman penulis dewasa di negara asing sebagai umat Islam yang menjadi kaum minoriti mengajarnya menghargai erti kemanisan dan semangat Islam. Salah satu perasaan yang cukup manis adalah apabila bersama-sama menunaikan sembahyang Jumaat atau terawih bersama-sama umat Islam lain yang pelbagai bangsa dan latar belakang - perasaan persaudaraan jelas dirasakan apabila jemaah bersalam-salaman dan berpeluk-pelukan selepas menunaikan ibadat sembahyang. Di negara asing seperti Britain, ras perkauman tidak lagi menjadi penting. Anda dikenali sebagai seorang 'Muslim' (penganut agama Islam) tidak kira sama ada anda datang dari Malaysia, Jordan atau Ulan Batur sekalipun! Identiti Islam inilah yang menjadi benteng identiti terakhir - terutamanya tatkala gelombang globalisasi makin deras melanda dunia.

Mungkin Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad dan timbalannya Abdullah Ahmad Badawi perlu tinggal di Britain buat beberapa ketika, untuk mengalami liku-liku menjalani kehidupan sebagai seorang ahli masyarakat minoriti - barulah mereka faham keprihatinan kaum Cina dan India di Malaysia, serta bahayanya bermain-main dengan kemuliaan Islam untuk tujuan politik partisan!

Akhir sekali, semangat Islam sebagai 'ad-deen' - yang menekankan kemajuan ilmu, toleransi, keadilan dan sebagainya - perlulah dihayati bersama-sama; janganlah Islam sebagai agama dijadikan 'bedak muka' semata-mata atau diperlakukan ibarat 'si bongkok hodoh' dari Notre Dame. Benarlah kata-kata Pengerusi Masjid Pusat Birmingham di England, Dr. Sayyed bahawa:

"The greatest tragedy that can befall the Muslim world is when Islam is reduced to a set of rituals practised by a set of people, if this happens - I fear Islam cannot lift its followers from the present state of despair?

"Malapetaka terbesar yang boleh menimpa umat Islam adalah apabila Islam disempitkan menjadi satu set amalan semata-mata yang diamalkan oleh satu kumpulan manusia, jika ini berlaku - saya khuatir Islam tidak mampu membawa keluar penganutnya daripada keadaan kucar-kacir sekarang.."



Rafizi Ramli, 24 tahun adalah Pengerusi Biro Antarabangsa, Pemuda keADILan



KM2 Main Index