Laman Webantu (M)   KM2: 5392 File Size: 5.5 Kb

| KM2 Index |


TAG SP 270: Time - Khairul, Mangsa Perang Politik di Malaysia
By Simon Elegant

6/9/2001 6:53 pm Thu

Time Asia
04.09.01

Khairul, Mangsa Perang Politik di Malaysia

(Khairul - Innocent Victim of Malaysia's Political War)

Oleh: Simon Elegant

Perutusan: Memecah Ikatan Belenggu - Perang politik Malaysia meragut mangsa yang tidak bersalah.

Adalah sukar untuk tidak menyukai Khairul : seorang pelajar dengan kesungguhan untuk membantu anak-anak yang tidak berkemampuan, beliau juga seorang anak muda yang mempunyai penampilan yang menarik dan perbadi yang sangat disenangi. Sememangnya, begitulah beliau pada kebiasaannya. Hari ini wajahnya seperti ada yang tidak kena : kulit di bawah matanya kelihatan lebam akibat keletihan. Beliau menghisap rokok keretek Indonesia satu demi satu, tanpa benar-benar menyedari apa yang sedang dilakukannya, matanya melemparkan pandangan ke sekeliling dari masa ke semasa laksana seekor haiwan yang terperangkap. Tangannya kelihatan menggigil sedikit. Beliau memberitahu yang beliau tidak dapat tidur pada malam hari dan dihantui mimpi-mimpi ngeri apabila terlelap di siang hari.

Kami sedang duduk di sebuah kedai kopi di Kuala Lumpur pada suatu petang baru-baru ini, dan setiap kali seseorang mengambil tempat duduk, Khairul memandang mereka dengan perasaan syak wasangka dan marah yang bercampur-baur, terutamanya kepada lelaki di dalam lingkungan usia pertengahan tahun dengan potongan rambut yang pendek. 'Saya merasakan seperti mereka sedang memerhatikan saya sepanjang masa,' jelasnya. "Pihak polis memberitahu saya, 'jangan lupa, kami tahu apa yang sahaja yang kamu lakukan'"

Kebimbangannya itu dapat difahami : Baru-baru ini Khairul telah dibebaskan setelah ditahan selama beberapa minggu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akta tersebut membenarkan penahanan yang kekal di dalam penjara tanpa perlu dibicarakan - atau tanpa apa sahaja, seperti buku-buku, pen, kertas dan lawatan dari keluarga, sekiranya mereka yang memenjarakan anda itu tidak menyukainya. Kesalahannya? Besar kemungkinan adalah bantahan terhadap ISA yang akhirnya menyebabkan beliau diperlakukan sedemikian rupa.

Khairul, pelajar berusia 22 tahun yang mengikuti pengajian kejuruteraan elektrik, tidak melakukan lebih dari mengendalikan pusat tiusyen untuk pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan, dan mempersoalkan dasar-dasar kerajaan yang merangkumi semuanya dari ISA kepada langkah menyelamat syarikat-syarikat kroni. Bukanlah satu kesalahan yang besar pun, barangkali anda berkata. Memang benar. Namun Khairul adalah seorang lagi mangsa yang tidak bersalah di Malaysia yang masih bergelumang dengan pertempuran politik yang menyaksikan pertembungan Perdana Menteri yang telah lama berkuasa Mahathir Mohamed dengan bekas Timbalannya, Anwar Ibrahim. Anwar telah ditangkap dan dipenjarakan genap tiga tahun pada bulan ini. Beliau kini menjalani hukuman penjara 15 tahun selepas disabitkan dengan kesalahan korupsi dan kes l***t di dalam dua perbicaraan kontroversial yang telah meninggalkan kesan yang pahit di kalangan ramai rakyat Malaysia.

Peperangan politik tercetus dengan kuatnya dan kemudian menjadi lemah. Demonstrasi jalanan, yang satu ketika dahulu sering diadakan, kini semakin berkurangan. Namun kemarahan terhadap Perdana Menteri masih berterusan, membara di sebalik ketenangan, dan kerajaan telah bertindak keras sejak beberapa bulan kebelakangan ini, menangkap ahli-ahli politik pembangkang, mereka yang dituduh sebagai pengganas-pengganas Islam, dan dua pemimpin pelajar, salah seorangnya adalah Khairul. Akan tetapi Khairul bukanlah seorang ahli politik dan tidakpun menyimpan cita-cita ke arah itu. Atas sebab itulah beliau merasa amat terkejut apabila ditangkap. Namun begitu beliau sepatutnya sudah boleh membaca dari ucapan-ucapan Perdana Menteri yang bersungguh-sungguh mengecam rakan-rakan pelajar Khairul yang berbangsa Melayu (orang-orang Melayu Islam merupakan 60% dari populasi tempatan; selebihnya adalah kaum Cina, India dan suku kaum yang lain) sebagai pemalas dan tidak berguna, lebih berminat untuk menyertai demonstrasi jalanan dari belajar.

Pihak polis mengutarakan perkara yang sama kepada Khairul semasa sessi soal siasat, sehingga membingungkannya. 'Saya memberitahu mereka tahap militan di kalangan pelajar adalah sifar. Kebanyakan pelajar Malaysia tidak langsung berminat dengan hal-hal lain selain belajar dan menamatkan pengajian serta mendapatkan satu pekerjaan yang baik.'

Sudah seminggu Khairul dibebaskan dan beliau masih merasa tidak sihat Namun apa yang telah berlaku terhadap dirinya semasa ditahan - tujuh jam disoal siasat dalam sehari oleh dua pasukan yang berbeza, diasingkan di dalam sel berukuran dua kali empat meter dengan lampu yang dinyalakan sepanjang masa, ketidakpastian tentang bila, atau jika, beliau akan dibebaskan - tidak dapat mengubah dirinya, katanya. 'Sesungguhnya ia telah menjadikan pandangan dan prinsip saya lebih kuat lagi.' Sehingga di lain ketika.

Terjemahan: SPAR 09




Asal: http://www.time.com/time/asia/news/ column/0,9754,173567,00.html

atau KM2 5381: Malaysia's political war claims an innocent victim


KM2 Main Index