Laman Webantu (M)   KM2: 5390 File Size: 10.9 Kb

| KM2 Index |


TJ SP MGG: Di Sebalik Kubah Tabung Haji
By M.G.G. Pillai

6/9/2001 5:04 pm Thu

Artikel Inggeris akan muncul dalam HARAKAH isu 15-30 September.


Di Sebalik Kubah Tabung Haji

(The Jihad Of The Hamids Under The Shadow Of Tabung Haji)

5/9/2001: Satu jihad sudahpun meledak antara dua insan - seorang menjadi menteri hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri dan seorang lagi adalah penasihat agama kepada Kerajaan. Kalau pandangan sahaja sudah mampu membunuh seseorang, kedua-dua mereka ini sudahpun lama mati. Jeneral (bersara) Hamid bin Zainal Abidin menganggotai kabinet sebaik dilantik menjadi anggota Senat apabila Hamid Othman, orang yang digantinya kalah pada pemilu 1999. Hamid Othman adalah orang kepercayaan Perdana Menteri, menjadi penasihat agama kepada kerajaan. Mereka berdua ini memang saling membenci, dan sepanjang masa celik sahaja mata, mereka saling membunuh usaha yang lain untuk terus memekap-rapat dengan perdana menteri. Setiap mereka berkeyakinan bahawa Islam yang ditonjolkan oleh UMNO mestilah mengikut ragam dan rentak yang mereka aturkan (secara berasingan)

Inilah dia 'Jihad di Putra Jaya' yang sering dibualkan di Putra Jaya. Baru-baru ini Hamid Othman meletakkan keretanya di satu petak milik kementerian agama. Hamid Zainal Abidin naik radang dan mengarahkan kereta itu diengsotkan keluar daripada petak itu. Inilah yang menonjolkan jihad dua insan ini, bekas jeneral itu menjadi seorang menteri dan yang menjadi bekas menteri itu pula kini menjadi penasihat agama kepada perdana menteri. Jihad mereka itu sebenarnya menjurus kepada satu kerakusan yang bertopeng untuk menguasai harta yang luas dan pelaburan yang lumayan yang ada pada Tabung Haji dan juga beberapa institusi Islam yang lain. Hamid Othman kehilangan kuasa memanipulasi semua itu sebaik sahaja tewas pada pemilu yang lalu. Dia berjaya mendapat sebahagian kuasa itu semula apabila dilantik sebagai penasihat agama kepada kerajaan. Pada mulanya dia dilantik menjadi pengerusi eksekutif dan kemudiannya bertukar menjadi pengerusi bukan bertaraf eksekutif kepada mahkota gemerlapan, Tabung Haji. Tetapi, jawatan itu ditarik-balik oleh Jeneral itu. Cuma dia terlupa betapa bekas menteri itu adalah lebih disenangi oleh Perdana Menteri (gara-gara satu tongkang mari! - penterjemah)

Memang tidak ada sesiapa bercakap mengenainya, tetapi orang baru ini mahukan para kroninya memegang jawatan lumayan untuk turut menungkit kek kewangan dana Islam. Dia tidak ada banyak masa untuk menikmatinya. Sebagai seorang senator, dia cuma ada lima tahun sahaja lagi. Namun, kehaprakan jihad yang mereka lalui itu adalah sesuatu yang tidak bermakna. Mereka berdua perlu menjawab kepada beberapa soalan apakah yang menyebabkan Tabung Haji lingkup. Hamid Othman mempunyai peluang menghentikan kehaprakan Tabung Haji dengan kuasa yang ada di tangannya. Dia tidak terdaya melakukan apa-apa ketika bekas pengerusi Tabung Haji, yang juga merupakan ipar perdana menteri menghamburkan kewangan tabung itu dalam pelaburan yang jauh menyimpang daripada matlamat pertubuhan itu dulu.

Semua perhatian kini tertumpu kepada kisah RM1.7 ringgit yang dibalun oleh kumpulan bajingan di Tabung Haji, tetapi kerugian yang lebih besar masih lebih teruk lagi gara-gara kebajingan orang atasan. Beberapa ratus juta ringgit telah hilang dalam pelaburan ladang sawit di Indonesia dan beberapa ratus juta lagi dalam projek 'Negri Sembilan Technical Corridor.' Inilah projek di Ngeri Sembilan yang dicadangkan untuk melengkapkan projek MSC di Cyber Jaya, tetapi merupakan sesuatu yang tidak mampu mencapai sasarannya. Itu baru dua buah projek sahaja, sedangkan banyak lagi yang belum dibuka pekungnya. Tidak ada sesiapa yang berani bercakap perihal kerugian itu secara terbuka. Mereka lebih selesa menceritakan kisah pencuri picisan yang sempat lari.

Tabung Haji sudah menjadi satu tempat yang banyak ulat tahinya. Ia kerugian di sana-sini, kerana sistem akaun yang tidak mengikut peraturan. Perdana Menteri terkejut sehingga terpaksa membawa masuk pengurus professional, untuk meredakan ketegangan dan memperbaiki keadaan. Tetapi, politik masih berkecamuk, kerana dua Hamid itu yang masih bemain politik di situ. Masalah semakin membesar sehingga tidak mudah diperbetulkan. Tindakan segera amat diperlukan kerana kemelut Tabung Haji sudah meresap ke daerah pendalaman. Seorang ahli politik UMNO menjadi kaku apabila ibunya yang tua di sebuah kampung di Perak memintanya menjelaskan bagaimana Tabung Haji boleh kerugian setakat ini.

Tabung Haji adalah benteng terakhir untuk Kerajaan mempertahankan martabatnya. Perdana Menteri sedar akan fenomena ini dan mahukan masalah itu dibetulkan secepat mungkin. Tetapi, apakah mudah mengapungkan satu raksasa kewangan seperti Tabung Haji dengan melakukan pertukaran di bahagian atasan, menukarkan halatujunya tanpa mencari kepastian setakat mana masalahnya? Kerajaan bertindak tanpa memikirkannya masak-masak, begilah caranya selama ini, dan itulah jua kaedahnya dalam menangani masalah Tabung Haji - sedangkan itulah kaedah yang tidak akan menyelesaikan segala keadaan yang sudah lama bercelaru. Dalam perencanaan memusnahkan institusi negara sejak dua dekad yang lalu, Tabung Haji merupakan salah satu institusi itu. Setiap menteri yang menguasainya mempunyai alasan tersendiri apa yang telah dilakukannya, sambil memastikan kesinambungannya dan terus menggalakkan perilaku korupsi yang tidak ada tolok bandingnya.

Akan tetapi, Tabung haji bukan sahaja satu institusi kewangan yang penting dengan asetnya yang kurang sikit daripada aset KWSP (disebabkan usia kewujudannya yang lebih muda daripada EPF: KWSP - penterjemah). Namun Tabung Haji telah memberikan nama harum kepada kerajaan kerana prestasinya sebelum itu. Ia menggalakkan orang ramai menabung untuk belanja mengerjakan Haji, dan ramai yang terus menganggapnya sebagai tempat yang mudah untuk menyimpan wang mereka. Tetapi, apabila ahli politik mula memberikan perhatian kepada tabung itu, dan institusi itu sendiri mudah dikotak-katikkan oleh orang politik, mulalah proses institusi itu mereput. Pada mulanya politik campur tangan dalam pengangkutan jemaah haji, kemudian dalam jenis pelaburannya, selepas itu meresaplah segala budaya korupsi dan keangkuhan dalam institusi itu. Selepas itu kita dapati ramai yang menyimpan jumlah wang yang besar sebagai deposit dalam akaun mereka, seolah-olah mahu lari daripada jangkauan agensi penyiasat seperti Polis dan Badan Pencegah Rasuah.

Tabung haji membenarkan had pelaburan sebanyak RM3 juta bagi setiap ahlinya, tetapi jumlah sebanyak itu hanya merupakan satu impian kepada sebahagian besar ahli pencarumnya. Tetapi untuk ahli yang lain, peraturan yang istimewa dikenakan. Pernah terjadi apabila seorang pengarah membawa masuk berjuta wang sebagai deposit pada namanya dan juga nama ahli keluarganya. Wang deposit itu diterima, walaupun setiap mereka itu sudah mempunyai tabungan yang melebehi hadnya sebelum itu. Sebelum pengurus professional dibawa masuk dua tahun yang lalu, pengerusi politik telah mengarahkan beberapa pelaburan yang besar tanpa sebarang penyelidikan awal dan Tabung Haji telah membayar wang yang melebehi nilai bayaran sepatutnya tanpa sebarang alasan selain mengikut nafsu-nafsi pengerusi yang mengarahkannya.

Kini, Tabung Haji sudah menaikkan tambang mengerjakan haji sekali lagi. Inilah bahana kerugian yang besar yang dialami oleh hampir semua anak syarikatnya, sehinggakan Tabung Haji tidak mampu memberikan penjelasan yang memuaskan, sedangkan orang yang mengerjakan haji secara persendirian mampu berbelanja hanya separuh daripada kos yang dikenakan oleh Tabung Haji. Nampak sangat adanya budaya mengaut untung di setiap siku perjalanan untuk mengerjakan haji melalui Tabung Haji. Khidmat pengangkutan datang daripada para kroni, dan dalam hal ini, untuk satu ketika, seorang anak lelaki Perdana Menteri terbabit sama. Dulu, satu dekad yang lalu, urusan penerbangan telah menjadi perniagaan bapa kepada seorang menteri kabinet yang telah diaibkan. Tidak ada sesiapa yang berani menyoalnya. Sesiapa yang mempersoalkan perkara itu pasti kehilangan jawatannya.

Begitulah tragedi yang menghantui Tabung Haji, seperti langkah yang dilalui oleh setiap institusi negara ini. Segala hukum akauntabiliti dan peraturannya sengaja diabai setiap kali ada orang politik yang berpengaruh bertegas mahukan caranya dipakai. Korupsi sudah menjalar hingga di tahap atasan Tabung Haji sejak lama dulu lagi sehinggakan segala kerugiannya dalam usahasama terbaru amat mudah dikesan kalau kita perhatikan rakan niaga Tabung Haji membalun keuntungan daripada usahasama mereka. Pengurusan professional yang terbaru cuba membetulkan segala kepincangan, tetapi apakah mereka mampu melaksanakannya tanpa mencemar martabat tinggi yang masih dimiliki oleh Tabung Haji di mata masyarakat Islam. Namun pengurusan itu mesti diberikan pujian kerana adanya mereka yang berbuat salah dihadapkan ke mahkamah pengadilan. Jika tidak jangan haraplah akan adanya perubahan.

Tabung Haji memang merupakan institusi yang diingini oleh kerajaan kerana simpanan dana yang besar. KWSP, yang tidak mempunyai simpanan dana sebesar itu, merupakan satu tabung simpanan yang telah dihamba-abdikan untuk melabur dalam rencana gila-gila seperti Empangan Hidro-Bakun dan dalam pembikinan hotel yang tidak akan meraih keuntungan kerana pelaburan yang haprak. KWSP mengaku ada aset bernilai 180 bilion ringgit. Kita tahu itu adalah nilai kiraan dulu dan bukan kiraan buku semasa, disebabkan harga belian pelaburan itu yang terlalu tinggi dulu. Cuba usahakan menarik simpanan anda semula, dan anda akan diarah ke jalan yang berpusing-pusing sehingga anda akan putus asa. Apabila angka rasmi mengenai hutang bertapuk adalah bernilai 190 bilion, dengan kesamaran sejauh mana hutang korporat yang tertanggung, kerajaan dijangka menghadapi masalah wang tunai tidak lama lagi. Di sinilah simpanan Tabung Haji merupakan senjata yang amat diperlukan oleh kerajaan. Tetapi, patutkah simpanan itu digunakan untuk menyelamatkan kerajaan? Perkara penting semacam ini memang tidak ada dalam agenda dua Hamid itu, kerana mereka terlalu taksub cuba saling menjatuhkan saingan mereka. Inilah sasaran Jihad mereka berdua.

M.G.G. Pillai

Terjemahan: SPAR-01-1581




Asal: KM2 5388 MGG: The Jihad Of The Hamids Under The Shadow Of Tabung Haji



KM2 Main Index