Laman Webantu (M)   KM2: 5387 File Size: 24.4 Kb

| KM2 Index |


TAG SP 268: B9A - Perjalanan Yang Panjang
By Nelson Mandela

5/9/2001 6:44 pm Wed

[Mandela begitu hemat memerhati dan meneliti gelagat orang dan persekitaran sambil cuba memikirkan kenapa ia menjadi sedemikian. Dengan cara itu dia dapat memahami keadaan dan seterusnya menimba pengalaman dan pengajaran. Inilah sifat yang perlu ada pada seorang pemimpin - bukannya lebih banyak duduk di dalam kamar berhawa dingin sahaja. Seseorang itu perlu bergaul dan mendekati masyarakat barulah dia dapat memahami dan membaiki masalah. Ini tidak memerlukan sebarang ijazah - tetapi cuma se batang jasad yang sanggup meredah. Banyak pemimpin negara kita lebih rapat dengan orang luar dari rakyat yang mereka wakili... patutlah mereka gagal menyelesaikan masalah hingga kini.

'He wrote for reasons both practical and personal: if his memoirs were published, they would become an inspirational tale for future freedom fighters... When he is 21, he runs away to Johannesburg after his guardian tries to arrange a marriage for him. There the country boy in the big city resolves to become a lawyer... He faces prejudice and repression at every turn, but he succeeds in becoming an attorney, undergoing a slow political awakening along the way.' - Richard Stengel mengulas buku Mandela - Time, Nov 28, 1994 Volume 144, No. 22 - Editor]



PERJALANAN YANG PANJANG

(Long Walk To Freedom)


Oleh: Nelson Mandela



Satu Autobiografi

Terjemahan SPAR 11



Bab 9A

J o h a n n e s b u r g

Hari masih awal pagi, ketika kami sampai di pejabat Crown Mines, yang terletak di kaki bukit yang sungguh mengkagumkan. Johannesburg telah diwujudkan hasil perlombongan emas di Witwaterstrand pada 1886, dan Crown Mines adalah lombong emas yang terbesar di bandaraya itu. Pada mulanya saya menjangkakan dapat melihat satu bangunan yang tersergam indah laksana pejabat kerajaan di Umtata, tetapi pejabat Crown Mines itu merupakan pondok berzink di pintu masuk kawasan perlombongan.

Tidak ada sesuatu yang menakjubkan dengan satu lombong emas. Tempatnya lengang dan berlekak-lekuk, penuh dengan debu dan tidak ada tanaman pokok di situ. Apabila berpagar di sekeliling, kawasan lombong emas itu adalah laksana satu kawasan yang pernah dijadikan medan perang. Bunyi yang terdengar di situ memang bising dan bingit: ada bunyi gerudi yang mengorek bumi, ada bunyi gerudi yang berpusing menegak, sekali-sekala terdengar juga ledakan dinamit yang sayup bunyinya, dan suara lantang memberikan arahan. Di mana sahaja saya melihat saya nampak orang lelaki kulit hitam yang mengenakan pakaian 'overall' yang kotor berdebu dengan wajah keletihan dan sayu berjalan sambil membongkokkan bahu. Mereka hidup di berek bujang yang disediakan dengan ratusan pelantar simin yang jaraknya hanya beberapa inci antara satu dengan yang lain.

Perlombongan emas di Witatwersrand adalah satu kerja yang tinggi kosnya kerana ketulan-galian yang rendah mutu dan penggerudian yang jauh ke dasar bumi di situ. Kerana itu kerja-kerja murahan diusahakan dengan tenaga ribuan rakyat Afrikan yang dikerah bekerja untuk masa yang panjang dengan bayaran gaji yang rendah tanpa sebarang peluang untuk mengongsi sebahagian keuntungan yang diperolehi oleh syarikat pengusaha. Inilah syarikat yang dimiliki oleh orang kulit putih yang menjadi kaya-raya di luar keupayaan orang kulit hitam mengimpikannya. Itulah pertama kali saya melihat perusahaan seperti itu, di mana jentera yang digunakan memang besar-besar belaka. Begitu juga dengan kaedah perusahaan yang menggunakan tenaga kerja yang mendera kudrat mereka. Itulah pandangan pertama saya akan kapitalisme Afrika Selatan, dan saya dapat merasakan bahawa saya akan mendapat satu jenis pelajaran yang terbaru dalam hidup saya ketika itu.


Kami terus melangkahkan kaki untuk berjumpa ketua 'induna' ataupun mandur di situ. Piliso merupakan seorang tua yang memang tegap dan masih bertenaga dan telah melihat semua putaran hidup yang ganas dan tidak berperikemanusian. Dia memang tahu kisah Justice, kerana Regent telah mengirim surat beberapa bulan sebelum itu meminta bantuannya mendapatkan beliau pekerjaan sebagai seorang kerani, satu jawatan yang dianggap paling mulia dengan syarikat perlombongan. Saya bukannya anak muda yang dikenalinya, sehinggalah Justice memperkenalkan saya sebagai adiknya.


'Tetapi saya hanya diberitahu akan kedatangan Justice,' kata Piliso. 'Surat ayah kamu tidakpun menyebut nama adik kamu.' Dia mengukur saya dengan matanya dengan pandangan yang penuh curiga. Tetapi, Justice telah memujuknya dan merayu bahawa semua itu adalah disebabkan kealpaan, dan Tuanku sudahpun mengirimkan satu surat mengenai diri saya. Walaupun Piliso nampak tegas, jauh di lubuk hatinya dia tentu mempunyai satu perasaan bersimpati dengan saya, dan dia telah melantik saya sebagai seorang pengawal keselamatan di syarikat lombong itu. Dia menjanjikan saya kenaikan pangkat menjadi seorang kerani kalaulah saya tekun bekerja selama tiga bulan.

Tuanku memang mempunyai pengaruh di Crown Mines. Begitulah halnya dengan semua ketua kaum di Afrika Selatan. Pegawai perlombongan memang berminat mengambil tenaga kerja daripada kawasan pendalaman, dan semua ketua kaum (diraja) memang mempunyai kuasa terhadap orang-orang yang diperlukan. Majikan mahukan ketua kaum menggalakkan rakyat mereka bekerja di Reef. Sebagai balasan, semua ketua kaum diberi penghormatan istimewa, seperti kemudahan tempat persinggahan setiap kali mereka datang untuk melawat kawasan perlombongan. Hanya melalui satu surat tuanku mampu mendapatkan pekerjaan seseorang, dan Justice dan juga saya telah diberikan layanan istimewa disebabkan pertalian darah kami dengan tuanku. Kami dijanjikan catuan makanan percuma, tempat tinggal percuma dan sedikit gaji. Pada malam pertama, kami tidak tinggal bermalam di berek pekerja. Selama beberapa hari awalan kerja itu, Piliso telah mempelawa kami berdua tidur di tempat kediamannya, sebagai satu penghormatan kepada tuanku.


Ramai pekerja lombong, terutama sekali mereka yang berasal daripada Thembuland, menghormati Justice laksana seorang raja juga dan menyambut ketibaannya dengan pelbagai hadiah serta pemberian wang tunai, seperti yang lazimnya mereka lakukan setiap kali tuanku datang melawat lombong itu. Kebanyakan mereka menginap di hostel yang sama kerana sudah menjadi amalan mereka ditempatkan mengikut puak dan kaum mereka. Inilah taktik syarikat perlombongan untuk mencegah pekerja pelbagai kaum dan puak hidup di bawah satu bumbung. Tujuannya untuk mengelak semua pekerja bersatu dan bergabung seandainya timbul sebarang masalah. Lagipun cara ini memperkasakan pengaruh setiap ketua kaum mereka. Namun, perbezaan begini kerap mengundang perbalahan dan pergaduhan antara etnik yang berbeza itu dan semua syarikat sengaja mebiarkan fenomena itu berlaku selalu.

Justice telah mengongsi hadiah yang diterimanya dengan saya dan memberikan sedikit wang sebagai bonusnya. Untuk beberapa hari terawal di situ, saku seluar saya kerap berenting dek bunyi wang siling, memberikan satu perasaan bahawa saya sudah menjadi seorang jutawan baru. Ketika itu saya mula berfikir betapa bertuahnya hidup sebagai seorang muda dan masa depan yang cerah tentu akan bersinar lagi seandainya saya tidak membazirkan masa. Seandainya saya teruskan pengajian, tentu saya mampu meniti nasib yang lebih gemilang. Sekali lagi, saya tidak nampak betapa takdir sedang sibuk menentukan masa depan saya.

Saya mulakan kerja sebagai seorang pengawal di malam hari. Saya diberikan pakaian seragam, satu pasang kasut but, satu topi keledar, satu lampu suluh, satu wisel dan sebatang belantan. Kerja itu memang mudah: Saya berdiri di pintu masuk kawasan kerja di mana sudah sedia terpampang satu papan tanda yang tertulis: 'WASPADA: PRIBUMI MELINTAS DI SINI'. Di situlah saya memeriksa pas kerja pekerja yang masuk dan keluar melalui pintu itu. Untuk beberapa malam ketika mula bekerja, saya telah meronda kawasan padang tanpa sebarang peristiwa. Pernah juga saya mencabar seorang pekerja yang mabuk pada lewat petang, tetapi dia hanya menunjukkan pas dan berundur pulang ke hostel penginapan.


Kerana riak dengan kejayaan, Justice dan saya telah menceritakan kisah kejayaan kami kepada seorang kawan yang kami kenali di kampung halaman, yang turut bekerja di lombong yang sama. Kami menceritakan kisah kami menipu tuanku untuk lari. Walaupun kami telah membuat kawan itu bersumpah dulu untuk mendengar cerita dan tidak memberitahu sesiapa, dia telah pergi berjumpa nindunan dan mengulang sekali lagi segala rahsia yang diketahui. Sehari kemudiannya, Piliso telah memanggil kami dan soalan pertama beliau dihalakannya kepada Justice. "Mana dia surat kebenaran tuanku untuk adik kamu?" Justice mengulang lagi betapa tuanku sudahpun mengirimkan surat itu. Piliso tidak puashati dengan penerangan ini dan saya dapat merasakan sesuatu akan berlaku. 'Saya telah terima satu bingkisan daripada tuanku,' katanya dengan suara yang garang sambil menunjukkan sepucuk telegram tuanku dan menyuruh kami membacanya. Telegram itu mengandungi satu barisan ayat sahaja: 'HANTAR BUDAK-BUDAH ITU PULANG DENGAN SEGERA.'

Piliso naik berang dan menuduh kami membohonginya. Dia menuduh kami menyalah-tafsir keramahannya dan mengaibkan nama baik tuanku. Dia memberitahu akan rencana mengutip derma daripada para pekerja untuk membelikan tiket agar kami pulang ke Transkei. Justice membantah kerana mahu terus bekerja dan menyebut betapa kami mampu membuat keputusan untuk terus hidup di situ. Namun Piliso memekakkan telinganya. Kami merasa malu dan terhina, tetapi kami keluar daripada pejabatnya tanpa sebarang niat untuk pulang ke Transkei.

Kamipun merencana satu strategi baru. Kami pergi berjumpa Dr. A.B. Xuma, seorang kawan lama tuanku yang menjadi setiausaha agung African National Congress (ANC). Dr. Xuma memang orang Transkei dan merupakan seorang pakar perubatan yang memang amat dihormati.

Dr. Xuma gembira melihatkan kedatangan kami, dan telah menyoal kami dengan hormatnya mengenai kisah keluarga di Mqhekezweni. Kami ceritakan satu kisah dongeng yang mengandungi kebenaran yang disaluti pembohongan mengenai kemunculan kami di Johannesburg, dan amat mengharapkan sokongannya mendapatkan kerja di lombong emas. Dr. Xuma bersedia membantu dan telah menelefon seorang yang bernama Mr. Wellbeloved di Chamber of Mines, sebuah pertubuhan yang bepengaruh mewakili semua syarikat perlombongan, dan mempunyai monopoli terhadap kuasa mengambil pekerja lombong. Dr. Xuma memberitahu Mr. Wellbeloved akan kebaikan kami dan meminta kawannya itu mendapatkan pekerjaan untuk kami. Kami mengucapkan terima kasih kepada beliau untuk bergegas ke pejabat Mr. Wellbeloved.

Mr. Wellbeloved adalah seorang berkulit putih yang mempunyai sebuah ruang pejabat yang tidak pernah saya lihat sebelum itu. Mejanya seolah-olah sebesar sebuah padang bola. Kami berjumpa dengannya ketika beliau ditemani oleh seorang tauke lombong bernama Festile. Kami mengulang semula kisah dongeng yang kami ceritakan kepada Dr. Xuma. Mr. Wellbeloved menunjukkan minat kepada penjelasan saya mahu bekerja di Johannesburg untuk belajar malam di Universiti Witwatersand. "Baiklah," kata beliau, "Saya akan aturkan agar kamu berjumpa seorang pengurus di Crown Mines. Namanya Mr. Piliso, dan saya akan beritahu agar kamu dijadikan kerani di situ." Dia telah menceritakan bagaimana selama tiga puluh tahun dia mengenali Mr. Piliso, dia kagum dengan perwatakan orang tua itu yang tidak pernah berbohong kepadanya. Kami berdua diam membisu mendengarkan cerita itu. Tanpa berfikir panjang, kami berfikir tentlulah Mr. Piliso akan mengambil kami semula berlandaskan surat ketuanya, Mr. Wellbeloved, yang sudah menyebelahi kami.

Kami pulang ke pejabat Crown Mines, di mana soerang pengurus kawasan berkulit putih telah melayan kami dengan mesra. Pada waktu itu, Mr. Piliso ternampak kelibat kami dan dia meluru masuk pejabat orang putih itu dengan suaranya yang membesar. "Jadi, kamu datang semula?" soalnya dengan bengis. "Apa yang kamu buat di sini?"

Justice bertenang. "Kami telah dihantar ke sini oleh Mr. Wellbeloved," katanya dengan nada seolah-olah tidak lagi menghormati Mr. Piliso. Orang tua itu diam seketika. "Adakah kamu beritahu Mr. Wellbeloved yang kamu lari daripada kampung?" Piliso menyoal balas membuatkan Justice diam sahaja.

"Kamu tidak akan mendapat pekerjaan di lombong yang aku uruskan!" jerit beliau. "Sekarang, berambus kamu dari sini!" Justice masih memegang surat Wellbeloved itu. "Aku tak mahu ambil kisah surat itu!" kata Piliso. Saya menoleh kepada pengurus kulit putih itu, mengharapkan beliau boleh menyanggah Piliso, tetapi dia diam laksana patung di situ tanpa merasakan apa-apa. Kami tidak lagi dilayan oleh Piliso dan terpaksa keluar daripada pejabat itu dengan perasaan yang lebih memalukan daripada dulu.

Nasib kami mula berubah. Kami tidak lagi mempunyai pekerjaan dan tanpa sebarang peluang yang cerah dan tanpa tempat untuk tinggal. Justice kenal ramai orang di Johannesburg, dan dia telah pergi ke bandar untuk mendapatkan satu tempat tinggal. Pada waktu yang sama saya terpaksa pergi mengambil beg pakaian kami di rumah Piliso dan kemudian bertemu Justice semula di George Goch, sebuah pekan kecil di bahagian selatan Johannesburg, pada sebelah petangnya.

Saya telah merayu kepada seorang kawan sekampung bernama Bikitsha untuk mendapatkan beg pakaian kami dan membawanya ke pintu masuk. Seorang pengawal keselamatan ternampak gelagat kami dan menahan untuk memeriksa beg itu. Bikitsha membantah kerana bukannya ada benda haram dalam beg itu. Pengawal itu bertegas kerana peperiksaan semacam itu adalah perkara biasa dan dia melihat isi beg secara selamba tanpa menyentuh sebarang pakaian di situ. Ketika pengawal itu menutup beg, Bikitsha, yang memang sedikit cleupar, telah berkata; "Apa sebab kamu menyibuk? Bukankah akau sudah katakan, tidak ada satu benda pun dalam beg itu." Cakap celuparnya itu membuatkan pengawal bengis dan membuka beg itu semula untuk memeriksanya. Saya menjadi terdesak apabila dia megelebek beg itu di setiap penjuru. Kemudian dia meraba bahagian bawah beg itu dan terjumpa apa yang selama itu saya doakan dia tidak akan menjumpainya. Dia terpegang sepucuk pistol yang berbungkus di bahagian dalam beg antara pakaian yang tersusun.

Dia berpaling kepada kawan saya dan berkata: "Saya menahan kamu." Kemudian, diapun meniup wiselnya untuk menarik perhatian sekumpulan pengawal lain datang membantunya. Kawan saya memandang dengan kehairanan dan keraguan ketika dia diheret ke arah sebuah balai polis yang berdekatan. Saya mengekori mereka dari belakang, sambil memikirkan apakah pilihan terbaik untuk dilakukan. Pistol itu adalah sebuah senjata lama yang diserahkan oleh ayah saya sebelum dia mati. Saya tidak pernah menggunakannya. Hanya sebagai satu bentuk keselamatan saya telah membawanya masuk ke bandar.

Saya tidak boleh membiarkan kawan saya itu menanggung dosa yang saya lakukan. Selepas dia masuk balai polis itu saya pun melangkahkan kaki di tempat yang sama dan meminta kebenaran berjumpa pegawai yang berkuasa. Saya pun dibawa berjumpa beliau dan telah bercakap dengannya secara jelas dan lantang: "Tuan, pistol itu adalah kepunyaan saya dan dijumpai dalam beg pakaian sahabat saya. Saya mewarisinya daripada ayah saya di Transkei dan membawanya ke sini kerana saya takutkan kumpulan samseng." Saya ceritakan bagaimana saya pernah belajar di Fort Hare, dan saya berada di Johannesburg hanya untuk sementara waktu. Pegawai yang berkuasa itu berlembut setelah mendengar penerangan saya dan berjanji melepaskan kawan saya itu serta merta. Dia berkata mahu mendakwa saya kerana menyimpan pistol itu tetapi tidak akan menangkap saya pula. Saya diarah menghadirkan diri pada hari Isnin untuk menjawab dakwaan itu di mahkamah. Saya pun pergi ke mahkamah dan dikenakan denda yang tidak seberapa.

Pada waktu yang sama, saya dapat persetujuan sepupu saya Garlick Mbekeni, di George Cosh, untuk menumpang tempat penginapannya. Garlick ialah seorang penjaja yang menjual pakaian, dan beliau mempunyai sebuah rumah kecil laksana kotak sahaja rupanya. Dia merupakan seorang manusia yang pemurah dan setelah berada di rumah itu untuk beberapa hari saya memberitahu niat saya menjadi seorang peguam. Dia memuji niat saya iatu dan berjanji mahu membantu.

Beberapa hari kemudiannya, Garlick memberitahu saya bersiap pakaian untuk berjumpa 'salah seorang orang kita yang terbaik di Johnannesburg'. Kami telah menaiki kereta api untuk menuju pejabat seorang wakil hartanah di Market Street. Tempat itu memang sesak dengan manusia yang menaiki tram (bas berkuasa elektrik) yang lalu-lalang di jalanraya, yang memberikan gambaran bahawa kekayaan dan kemewahan memang sedia menanti di penjuru jalan.

Johannesburg pada zaman itu adalah sebuah bandar yang merupakan campuran bandaraya moden dengan kawasan pekan perlombongan Bumbung khemah dipacak di sana-sini bersebelahan rumah kedai, dan kaum wanita menggantung pakaian basuhan mereka di tengah-tengah bangunan yang tinggi-tinggi. Bidang industri menjadi ligat disebabkan peperangan yang sedang hebat. Pada 1939 Afrika Selatan, yang merupakan ahli negara-negara Komanwel British, telah mengisytiharkan perang terhadap Nazi Jerman. Terdapat peluang pekerjaan yang mudah dan Johannesburg menjadi satu tarikan kepada anak muda daripada pendalaman. Sehingga 1949, jumlah anak watan Afrika di bandaraya itu sudah berganda dua kali. Setiap pagi bandar itu kelihatan lebih besar daripada hari sebelumnya. Orang lelaki mendapat pekerjaan di kilang-kilang dan kawasan perumahan di kawasan bandar yang dikhaskan kepada orang yang bukan berkulit putih di Newclare, Martindale, George Goch, Alexandra, Sophiatown dan di Western Native Township, di mana kawasan perkampungan berbentuk kotak mancis yang tersusun di tanah lapang yang tidak berpokok.

Saya duduk menemani Garlick di bilik menunggu di pejabat agen hartanah itu sambil melihatkan seorang penyambut tetamu Afrikan mengumumkan kehadiran kami kepada bosnya di pejabatnya. Selepas membuat pengumuman itu, dia meneruskan kerja-kerja menggunakan mesin taip untuk menyudahkan sepucuk surat. Itulah pertama kali dalam hidup saya melihat seorang Afrikan menaip surat, apatahlagi dia adalah seorang wanita. Sebelum itu saya pernah juga melihat jurutaip di Umtata dan Fort Hare, tetapi semuanya adalah berkulit putih dan lelaki sahaja. Saya memang kagum melihat gadis hitam ini yang pintar membiarkan jejarinya menari di papan kekunci mesin taip. Amat berbeza sekali kecekapannya apabila dibandingkan dengan jurutaip lelaki kulit putih yang mampu menggunakan sistem 'patuk-ayam' mereka dulu.

Tidak lama kemudian, kami dipelawa masuk ke sebuah kamar di mana saya diperkenalkan kepada seorang lelaki yang mengikut taksiran saya berumur lewat dua puluhan ketika itu. Dia kelihatan segak berpakaian 'double-breast' yang membuatkan wajahnya kelihatan pintar dan pemurah. Walaupun muda dia kelihatan seorang yang berpengalaman. Beliau berasal daripada Transkei, tetapi fasih berbahasa Inggeris dengan kepetahan orang bandar besar. Apabila dilihat saiz bilik menanti yang besar, dan timbunan fail yang tersusun di atas meja tulisnya dia memang merupakan seorang yang sibuk dan berjaya dalam perniagaanya. Namun, dia tidak tergesa-gesa menerima kedatangan kami dan menunjukkan minat terhadap hajat ketibaan kami itu. Namanya ialah WALTER SISULU.

Pejabat Sisulu menjalankan kegiatan khas dalam urusan hartabenda orang Afrikan. Pada 1940-an, terdapat beberapa kawasan tanah yang masih boleh dibeli oleh orang Afrikan. Inilah dia kawasan perkebunan yang terletak di Alexandra dan Sophiatown. Di beberapa tempat itu, orang Afrikan memang telah memiliki tanah itu secara turun temurun. Kawasan Afrikan yang lain merupakan kawasan munisipal bandar yang menjadi tapak perumahan laksana kotak mancis itu di mana para penghuninya membayar cukai kepada Majlis bandaran Johannesburg.


Nama Sisulu memang semakin popular sebgai seorang peniaga dan juga seorang pemimpin tempatan. Dia sudah berpengaruh ketika itu di kalangan masyarakat tempatan. Dia telah mendengar dengan teliti segala masalah saya di Fort Hare, dan niat saya menjadi seorang peguam dan bagaimana saya bercadang mendaftarkan nama mengikuti kursus guaman untuk menyudahkan pengajian di University of South Afrika secara kursus jarak jauh. Saya sengaja tidak menceritakan kisah sebenar bagaimana saya tiba di Johannesburg. Setelah mendengar cerita saya itu, dia bersandar di kerusinya sambil memikirkan apa yang saya ceritakan. Kemudian dia merenung saya sekali lagi, dan menyebut nama seorang peguam kulit putih yang pernah menjadi majikannya bernama Lazar Sidelsky. Sidelsky, mengikut kata Sisulu adalah seorang yang berhati mulia kerana mahukan rakyat pribumi mendapatkan pendidikan mereka. Dia berjanji menghubungi Sidelsky untuk mendapatkan pekerjaan untuk saya sebagai seorang 'article clerk' (pelatih guaman).

Pada waktu itu, saya beranggapan bahwa kepintaran bertutur dalam Bahasa Inggeris dan kejayaan dalam perniagaan adalah hasil kejayaan dalam pengajian yang tinggi-tinggi dan saya pula beranggapan bahawa Sisulu adalah seorang graduan universiti. Saya terkejut apabila diberitahu oleh sepupu saya sejurus keluar daripada pejabat Sisulu betapa beliau tidak pernah belajar melepasi Darjah VI (ketika itu. Tetapi di Malaysia hari ini seorang anak yang berkelulusan Darjah Enam hanya pandai memikul buku - penterjemah). Berita sepupu saya itu merupakan satu pengajaran baru yang tidak pernah saya ketahui di Fort Hare dulu. Dulu, saya diajar bahawa untuk menjadi seorang pemimpin saya perlukan ijazah BA. Tetapi di Johannesburg saya dapat melihat betapa kebanyakan pemimpin dan peniaga yang berjaya tidakpun pernah menjejakkan kaki di kampus universiti. Walaupun saya telah mengikuti pelajaran dalam Bahasa Inggeris, yang menjadi prasyarat untuk mendapatkan ijazah BA, kepintaran saya dan pertuturan saya dalam bahasa Inggeris tidakpun seberapa apabila dibandingkan dengan kebanyakan orang di Johannesburg yang tidakpun pernah menerima sijil persekolahan mereka.



....bersambung....

Terjemahkan: SPAR11

Rolihlahla88@hotmail.com




Asal: [Portions Only]

http://archives.obs-us.com/obs/english/books/Mandela/pp55-56.html

JOHANNESBURG

Gold Mines

IT WAS DAWN when we reached the offices of Crown Mines, which were located on the plateau of a great hill overlooking the still dark metropolis. Johannesburg was a city built up around the discovery of gold on the Witwaterstrand in 1886, and Crown Mines was the largest gold mine in the city of gold. I expected to see a grand building like the government offices in Umtata, but the Crown Mine offices were rusted tin shanties on the face of the mine.

There is nothing magical about a gold mine. Barren and pockmarked, all dirt and no trees, fenced in all sides, a gold mine resembles a war-torn battlefield. The noise was harsh amd ubiquitous; the rasp of shaft-lifts, the jangling of power drills, the distant rumble of dynamite, the barked orders. Everywhere I looked I saw black men in dusty overalls looking tired and bent. They lived on the grounds in bleak, single-sex barracks that contained hundreds of concrete bunks separated from each other by only a few inches....

Most of these men were in the same hostel; miners were normally housed according to tribe. The mining companies preferred such segregation because it prevented different ethnic groups from uniting around a common grievance and reinforced the power of the chiefs. The separation often resulted in factional fights between different ethnic groups and clans, which the companies did not effectively discourage.


KM2 Main Index