Laman Webantu (M)   KM2: 5385 File Size: 6.3 Kb

| KM2 Index |


TJ SP MGG: Kenapa Dikenakan Cukai Kumbahan Berasingan? [IWK]
By M.G.G. Pillai

5/9/2001 10:03 am Wed

[Vincent Tan asyik menimbulkan masalah sahaja setelah membaham beberapa projek mega tanpa perlu banyak bekerja. Dia diberikan projek IWK sedangkan kepakarannya langsung tiada. Kesannya imej IWK sudah menjadi semakin busuk sebusuk air kumbahan itu sahaja. Sudahlah Projek Monorel menyakitkan mata dan menyesakkan jalan kini hidung kita pula sesak dengan bau IWK yang meloyakan. Yang peliknya Mahathir masih menyayanginya walaupun sudah banyak karenahnya. Mungkin itulah tanda cintanya begitu hebat sehingga busuk dan sakit mata pun masih sanggup didakap..... - Editor]


Kenapa Dikenakan Cukai Kumbahan Berasingan?

(Why A Separate Sewarage Fee?)

Ada satu kiriman surat di The New Straits Times bertarikh 3 September, 01 (muka surat 12) yang mungkin tidak terjawab: 'Merujuk kepada surat K. Chong (NST. Ogos 14) mengenai pengurusan khidmat kumbahan, bayaran untuk perkhidmatan itu telah dimasukkan dalam taksiran cukai. Taman TAR, Seremban telah mempunyai satu pusat kumbahan sejak 1963 dan segala khidmat kumbahan oleh majlis tempatan dianggap memuaskan selama ini. Tiba-tiba muncul Indah Water Konsortium (dalam perkara ini). Pembayar cukai mahukan satu penjelasan daripada majlis tempatan kenapa pula IWK mengeluarkan surat guaman mengugut tindakan mahkamah yang mengancam mereka yang enggan membayar untuk khidmat kumbahan ini. - Q.W. Goh, Seremban.'

IWK tidak boleh mengutip bayaran khidmat kumbahan daripada pemilik rumah selagi tidak wujud satu perjanjian dengan mereka. IWK tidak mempunyai kuasa munisipal dan keistimewaannya untuk menyediakan khidmat munisipal. Sebarang soalan yang dikemukakan kepada IWK tidak pernah dijawab tetapi dibalas dengan soalan; apakah anda suka melihat air kopi anda dibuat dengan air tandas? Atau seperti yang saya diberitahu, air di dunia ini semakin berkurangan. Ataupun biarkan sahaja soalan dan mengugut anda dengan tindakan guaman atau menghantar tukang ugut ke rumah-rumah dengan tujuan yang sama. 11 tahun sudah berlalu sejak bermulanya kisah yang hodoh ini. Inilah kesan penswastaan yang diberikan kepada seorang peniaga yang mempunyai ketokohan yang tidak ada tolok bandingnya. Beliau ialah Tan Sri Vincent Tan yang tidak ada niat sebenar untuk menguruskan syarikat kumbahan dan meramas keuntungan darinya (saya diberitahu sekitar 1 bilion ringgit banyaknya). Keuntungan itu, tanpa perlu ditambah lagi, tidakpun dimasukkan dalam akaun salah satu syarikat yang tersenarai, tetapi diselewengkan kepada syarikat persendiriannya.

Dalam beberapa rencana yang berakhir dengan pemindahan khidmat munisipal sesebuah negeri itu kepada kerajaan persekutuan, tidak ada sesiapa yang berani bersuara dan melihat kepada kesahihan perilaku IWK. Tidak juga apabila ia sudah menjadi kawalan kerajaan pusat.Tidak ada sesiapa yang mempersoalkan kenapa pelanggan yang dikenakan cukai tahunan yang termasuk khidmat kumbahan majlis bandarannya terpaksa membayar lagi. IWK bertindak dengan segala ugutan, seandainya anda tidak membayar cukai yang dikenakannya, bekalan air akan dipotong, kerajaan telah mengarahkan anda membayar kami dan eloklah anda lunaskan jika tidak.... Tetapi, IWK dan kerajaan terlupa bahawa sebuah syarikat swasta (IWK sebenarnya sebuah syarikat swasta) tidak boleh menuntut bayaran daripada orang awam tanpa satu kontrak. Kontrak ataupun perjanjian itu memang tidak wujud. Kini ia mengirimkan surat ugutan dan juga tukang ugut ke rumah. Kumpulan tukang ugut itu bertindak apabila kaum wanita sahaja yang tinggal di rumah. Saya telah mencuba mendapatkan IWK memberitahu saya asas tuntutan mereka itu, tanpa kejayaan.

Saya tidak hairan dengan kisah ini. Tidak ada satupun penswastaan negara yang berjaya. Kerajaan pernah berkata betapa ia tidak berniat mencampuri bidang perniagaan. Kerajaan terpaksa menelan ludah sendiri apabila berkata bahawa utiliti yang diswastakan dan gagal itu mesti diambil semula untuk diurus oleh kerajaan; jika tidak rakyat akan merana. Apakah kerajaan tidak sedar ketika itu bahawa penswastaan tidak akan berjaya? Terutama sekali apabila ia diserahkan kepada kroni, pakpacak dan anak-anak pihak yang berkuasa? Betapapun diamati ketokohan Vincent Tan, dia dianugerahkan IWK bukannya disebabkan dia pakar dalam pelupusan ataupun mempunyai pengalaman dengan syarikat kumbahan, tetapi kerana dia mempunyai satu barisan anugerah bintang yang seolah-olah membayangkan dia mempunyai status seorang kroni. Dia sudah tidak berapa menonjol sekarang, tetapi ketokohannya tidak pernah dipersoalkan.

Seperti yang didedahkan oleh masa, segalanya sudah menjadi bencana. Kerana itu IWK diambil semula oleh kerajaan. Vincent Tan ketawa berdekah-dekah sambil melangkah memasukkan keuntungannya dalam bank. Untuk menonjolkan yang dia adalah seorang tokoh yang tidak ada tolok bandingnya dia menyaman sesiapa sahaja yang mempersoalkan ketokohan yang disebut itu. Itulah kejayaannya sehingga dia mampu menghaprakkan pengurusan IWK dan membuatkan Berjaya Group semakin sarat dengan hutang.

Apa yang sepatutnya memperkenalkan manusia ini ialah kepintarannya memautkan hutang kepada beberapa syarikat yang tersenarai (di BSKL) yang layak dimasukkan dalam Buku Rekod Cemerlang Malaysia? Bukankah dia kerap mengugut dengan saman malu sesiapa yang berani menyoal kaedah perniagaannya dan hubungan politiknya? Apakah kena mengena beliau dengan IWK? Serba-serbi sebenarnya. Lihat sahaja setiap projek penswastaan negara dan keadaan mereput yang sama telah terdedah. Dalam hal IWK, kita tidak perlu membayar satu sen selagi IWK tidak menunjukkan perjanjian yang kita telah tandatangani dengan mereka untuk mendapatkan perkhidmatan mereka itu.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR-01-1571




Asal: KM2 5368 MGG: Why A Separate Sewarage Fee?


KM2 Main Index